Jumaat, 28 September 2018

SOALAN KARANGAN BERPANDU DAN CONTOH JAWAPAN KARANGAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI KELANTAN



         Marcapada, tugas membentuk kalangan pelajar bermoral, bersahsiah dan berdisiplin tinggi amat mencabar minda pentadbiran sekolah akibat pelbagai kerenah dan masalah pelajar yang timbul sekarang. Selalunya masyarakat terutama ibu bapa beranggapan tugas membentuk sikap dan altitud moral dan sahsiah pelajar terletak di pundak pentadbir sekolah dan juga guru-guru. Seyogia,  tugasan membentuk kemenjadian pelajar juga harus digalas oleh ibu bapa dan pemimpin sekolah sebagai pembantu serta pelengkap usaha membentuk disiplin dan sahsiah terpuji pelajar. Kebejatan  isu salah laku disiplin dalam kalangan pelajar sering menjadi buah mulut orang ramai malah sudah menjadi isu basi yang meniti daripada mulut ke mulut jagatraya ini. Statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 53 peratus remaja Malaysia mengalami kebejatan moral yang kritikal dan kerap kali menyumbang kepada peratus salah laku yang kian meningkat dari hari ke hari. Tambahan pula, dengan kehadiran gajet atau peranti moden seperti telefon pintar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan melitupi minda pelajar kerana secara langsung dunia tanpa sempadan mempengaruhi akhlak mereka dan meningkatkan lagi pidana salah laku dalam kalangan pelajar. Kesedaran tentang peranan- peranan penting yang perlu digemblengkan oleh pihak sekolah dan guru-guru, menyebabkan peranan pemimpin sekolah amat ditagih kerana tanpa kolaborasi mereka, objektif utama pihak sekolah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang, dan terbilang tidak akan kesampaian. Tambahan pula, remaja sekolah kini masih leka dengan fantasi dunia modenisasi mereka sehingga mengabaikan nilai  moral yang positif dan mengutamakan nilai hedonisma dan terdapat juga segelintir pelajar melakukan vandalisme dalam kehidupan mereka. Seyogia, peranan pemimpin sekolah seperti pengawas sekolah memang diperlukan untuk membantu pihak sekolah dalam membanteras salah laku disiplin rakan- rakan sebaya di sekolah. Persoalannya, apakah peranan pemimpin sekolah atau pengawas di sekolah mayapada?

                Pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru- guru memantau dan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekolah agar sekolah sentiasa dalam keadaan yang terkawal sama ada dari segi disiplin mahupun keceriaan sekolah. Pengawas sekolah kebiasaanya dilantik oleh guru-guru dalam kalangan pelajar yang berdedikasi, bertanggungjawab dan dihormati dalam kalangan pelajar sekolah. Pada masa yang sama, mereka perlu mengungguli setiap kecemerlangan di sekolah, sama ada dalam kurikulum, mahupun kokurikulum dan yang paling penting pengawas sekolah perlu menjalankan tugasan mereka penuh amanah dan bertanggungjawap. Dengan cara ini, pemimpin sekolah iaitu barisan pengawas sekolah dapat membantu pihak sekolah mengurangkan salah laku disiplin dan seterusnya melaksanakan setiap arahan sekolah agar keadaan sekolah sentiasa kondusif dan terkawal serta pembelajaran pelajar di sekolah akan sentiasa berlaku dalam keadaan ceria. Contohnya, jika  keadaan kelas tidak bersih, sampah sarap berteraburan sama ada di dalam atau luar kelas, pengawas sekolah boleh melaporkan situasi berkenaan kepada pihak pentadbir sekolah agar tindakan yang setimpal dapat diambil kepada kelas berkenaan atau jika ada terdapat dalam kalangan pelajar yang terlibat menyebabkan situasi berkenaan berlaku. Hal ini mampu untuk memudahkan guru dan pelajar menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih sempurna dan kondusif. Sekiranya, pengawas sekolah mampu memainkan peranan mereka menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah sudah pasti disiplin pelajar terkawal dan pelajar akan dapat menumpukan tanggungjawab mereka memastikan kebersihan kelas sentiasa ceria dan paling utama tanggungjawab mereka terhadap keluarga untuk menjadi pelajar cemerlang dalam pelajaran. Sebaliknya, pengawas yang gagal menjalankan peranan mereka sebagai wahana dan pemangkin untuk melahirkan pelajar cemerlang,gemilang dan terbilang, sudas pasti keadaan sekolah akan huru hara dan objektif sekolah untuk melahirkan kemenjadian pelajar  cemerlang, gemilang dan terbilang tidak akan kesampaian. Tegasnya, pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru-guru menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sekolah agar disiplin pelajar sentiasa dalam keadaan yang terkawal

                Selain itu, pengawas sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa pengaruh positif kepada rakan sekolah sebaya kerana gerak geri atau perbuatan mereka sama ada  cara percakapan, cara berpakaian, cara belajar dan apa sahaja tingkah laku mereka menjadi ikutan pelajar. Hal ini demikian kerana rakan pelajar amat teruja dengan sifat kepimpinan positif yang diperaga oleh mereka dalam kehidupan.  Menurut kata Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang motivator yang berasal dari Indonesia dalam salah satu programnya, “salah satu faktor menjadi ketua dan menghapuskan yang bathil ialah seseorang itu haruslah berpengaruh”. Berdasarkan ungkapan beliau berkenaan terbukti bahawa sifat keyakinan diri serta sifat terpuji pengawas sekolah mampu membawa pengaruh positif kepada rakan pelajar terutama dalam kalangan pelajar yang nakal atau rosak akhlaknya sekali gus mendorong mereka  berubah menjadi pelajar yang mampu menjadi benih yang baik dicampak ke angkasa menjadi kejora, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke daratan menjadi penawar. Walaupun begitu bukan mudah untuk melaksanakan usaha dan tugasan membentuk kemenjadian pelajar cemerlang, namun sehari selembar benang lama- lama menjadi kain. Sekiranya sifat terpuji pengawas sekolah menjadi ikon, dan idola pelajar sudah pasti impian pentadbir sekolah dan guru-guru untuk melahirkan pelajar sebagai insan berguna dalam kalangan masyarakat akan menjadi kenyataan. Sebaliknya, pengawas yang tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diharapkan dan diteladani oleh para pelajar, sudah pasti kehadiran mereka tidak memberi apa-apa kesan kepada rakan pelajar dan menghampakan pihak pentadbir dan guru-guru. Sudah terang lagi bersuluh, pengawas sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa pengaruh positif kepada rakan sebaya.

                Di samping itu, saya juga keberadaan pengawas sekolah mampu menurunkan bilangan kes salah laku disiplin dalam kalangan rakan sebaya. Hal ini kerana sebagai pengawas sekolah yang berkaliber dan bertanggungjawab serta berpengaruh, mereka seharusnya mampu mendekatkan diri dan menasihati rakan pelajar yang bergelumang dengan kebejatan moral marcapada seperti ponteng sekolah, merokok, membuli rakan pelajar yang lemah, melakukan vandalisme seperti merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya. Menurut hadis Rasulullah S.A.W. , “nasihat- menasihati akan menjadi kurang pada akhir zaman”. Oleh sebab itu, sebagai pengawas sekolah yang prihatin dan bertanggungjawab mereka perlu menegakkan yang hak dan menghapuskan yang bathil melalui peranan dan tanggunjawab mereka menasihati menasihati rakan sebaya rosak akhlaknya. Sebagai contoh, apabila terdapat dalam kalangan pelajar sekolah merosakkan harta benda sekolah seperti menconteng dinding bangunan sekolah, merosakkan tandas sekolah sekolah, merosakkan paip air sekolah dan pengawas  sekolah perlu menasihati mereka dengan menjelaskan bahawa perbuatan mereka tersebut telah memburukkan imej sekolah serta merugikan mereka sendiri dan orang lain sebagai pengguna kerana kemudahan yang disediakan adalah untuk kemudahan mereka gunakan seharian.  Pabila kemudahan awam yang disediakan rosak sudah pasti mereka sendiri dan rakan pelajar yang lain memerlukan kemudahan berkenaan akan menghadapi masalah sekali gus  kehidupan mereka sebagai pelajar akan terganggu dan pembelajaran kondusif tidak akan berlaku. Sekiranya, pengawas sekolah berjaya membanteras tingkah laku negatif segelintir rakan sebaya yang melakukan perbuatan vandalisme berkenaan, sudah pasti  pelajar akan dapat belajar dengan kondusif dan imej sekolah akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Tegasnya, keberadaan pengawas sekolah mampu menurunkan bilangan kes salah laku disiplin dalam kalangan rakan sebaya.

                Bukan itu sahaja, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga berperanan membantu program sekolah yang dianjurkan oleh guru kaunselor untuk membentuk tingkah laku terpuji dalam kalangan rakan sebaya. Segelintir pelajar melakukan kesalahan disiplin  berpunca daripada permasalahan keluarga, permasalahan hubungan dengan rakan-rakan dan ada juga akibat masalah peribadi. Hal- hal sedemikian telah memberi tekanan kepada mereka dan akhirnya mereka melakukan kesalahan disiplin dan melanggar peraturan sekolah kerana budaya hendonisme dan vandalisme yang melingkari kehidupan mereka. Seyogia, pengawas sekolah yang prihatin dan bertanggungjawab perlu menawar diri untuk membantu guru kaunselor berbekalkan simpati yang mengusik sanubari. Kolaborasi pengawas dan guru kaunseling membanteras dan menasihati rakan sebaya merupakan contoh yang terbaik untuk membantu rakan sebaya untuk tidak terus bergelumang dengan budaya hedonisme dan vandalisme yang akhirnya menyebabkan kes salah laku dan disiplin  meningkat. Contohnya, rakan sebaya yang melakukan vandalisme seperti menconteng sekolah, merosakkan kemudahan sekolah, dan merosakkan paip air sekolah. Perbuatan yang mereka lakukan hanya untuk keseronokkan yang tidak bertempat akibat budaya hendonisme dan vandalisme mencemari akhlak dan budi kehidupan mereka tanpa memikirkan natijah yang akan berlaku selepas perbuatan tersebut dilakukan, dan impaknya kepada pengguna yang lain yang akan menghadapi masalah. Pabila pengawas dengan bantuan guru kaunselor menasihati golongan pelajar yang melakukan perbuatan tidak senonoh ini diharapkan mereka tidak mengulanginya lagi demi kesejanteraan pelajar-pelajar yang lain. Tegasnya, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga berperanan membantu guru kaunselor membentuk tingkah laku terpuji dalam kalangan rakan sebaya

                Akhir sekali, pengawas sekolah perlu sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar undang- undang sekolah boleh diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Undang- undang yang luwes dan tidak dikuatkuasakan sepenuhnya tidak akan dapat mengurangkan kesalahan disiplin pelajar, malah penguatkuasaan yang tidak dijalankan secara berterusan atau dalam erti kata lain tidak dikuatkuasakan hanya akan menyumbang kepada peratusan salah laku pelajar yang meningkat naik saban tahun. Sekolah yang terbilang diukur pada undang- undangnya yang ketat dan sentiasa dikuatkuasakan. Tamsilannya, pelajar yang melakukan kesalahan berat seperti membuli, dan merokok di kawasan sekolah dan kesalahan berat yang lain, haruslah dikenakan tindakan buang sekolah. Seyogia,  kaedah perdana ini mampu mengurangkan salah laku pelajar kerana dengan tindakan seperti demikian akan menyebabkan pelajar akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan. Sekiranya pihak pentadbir sekolah tidak ambil pusing permasalahan pelajar dan tidak menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sekolah, sudah pasti para pelajar yang rosak akhlaknya akan terus bermahajarela dan akan mengulangi perbuatan terkutuk mereka tanpa menghiraukan kesan akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab bagai duri dalam daging yang akhirnya menimbulkan beban kepada pentadbir sekolah dan kepada pelajar-pelajar lain. Sebaliknya, dengan adanya penguatkuasaan undang-undang secara berterusan sudah pasti keadaan disiplin pelajar akan terkawal dan peratusan salah laku di sekolah akan dapat dikurangkan. Sudah terang lagi bersuluh, pengawas sekolah perlu sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar undang- undang sekolah diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

                Deduksinya, kesemua peranan pengawas sekolah seperti pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru-guru menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang  dilaksanakan di sekolah, pengawas sekolah berperanan sebagai ikon atau idola  yang membawa pengaruh positif kepada rakan sekolah sebaya, pengawas sekolah yang bertanggungjawab juga berperanan membantu program sekolah yang dianjurkan oleh guru kaunselor, pengawas sekolah perlu sentiasa berbincang dengan  pentadbir sekolah agar undang- undang sekolah diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya antara prakarsa yang perlu diambil kira dan diaplikasikan agar disiplin pelajar sentiasa dalam keadaan yang terkawal dan mampu membantu pihak sekolah dalam menangani kes salah laku disiplin pelajar sekolah dan seterusnya  mampu menjadikan sekolah- sekolah di Malaysia menjadi cemerlang, gemilang terbilang. Semua pihak hendaklah bahu-membahu agar masalah ini dapat kita bendung bersama supaya aspirasi negara dan harapan pemimpin untuk mengejar kemajuan dan ketamadunan negara tidaklah sekadar angan- angan Mat Jenin.

Insya-Allah saya akan cuba mengedit karangan di atas agar lebih mantap dari semasa ke semasa . Namun, pelajar digalakkan untuk membuat penambahbaikan tentang penulisan karangan di atas seperti menambah atau mengubah istilah menarik, memasukkan frasa menarik, dan mengubah atau membina ayat yang lebih kreatif. Sebagai makluman, karangan di atas hanya sekadar contoh......diharapkan dapat membantu pelajar dalam menghasilkan karangan yang bermutu.


10 ulasan:

Unknown berkata...

Berapa patah perkataan ni?

Unknown berkata...

Karangan ni berapa patah perkataan yang ditulis?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Terima kasih kerana bertanya. Untuk makluman, karangan ini merupakan karangan berpandu dan sudah semestinya pelajar bertanya kenapa karangan ini mengandungi sehingga enam isi keseluruhannya. Sebagai makluman pelajar, pelajar cuma perlu menulis paling minimum tiga isi, dan terbaik empat isi. Oleh sebab itu, pilih tiga atau empat isi sahaja daripada enam isi daripada karangan berkenaan. Kesimpulannya, pelajar boleh memilih tiga atau empat isi daripada karangan berkenaan. Harap maklum.

Unknown berkata...

Baik

Dodol_parkinson berkata...

terima kasih tuan atas rujukan yang sangat hebat ini. Saya sangat menghargainya. Izinkan saya menjadikannya sebagai rujuka😊

Unknown berkata...

👍

xxxxxxx berkata...

Terima kasih 👍

xxxxxxx berkata...

Terima kasih 👍

xxxxxxx berkata...

Terima kasih

Unknown berkata...

Thanks