Rabu, 4 November 2020

NOTA CERPEN MUNSYI, ANTOLOGI JAKET KULIT KIJANG DARI INSTANBUL- KAJIAN KOMSAS TINGKATAN 4

 

CERPEN MUNSYI
Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil. Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

TEMA
Semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga negara. Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.

PERSOALAN
1.         Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan. Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.
2.         Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara. Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.
3.         Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya. Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.
4.         Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya. ‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.
5.        Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya. Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

TEKNIK PENCERITAAN
1.         Dialog - “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”
2.         Imbas kembali - Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.
3.         Imbas muka. - Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.
4.         Pemerian. Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. 
5.         Kejutan. Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.
6.         Saspens. Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

WATAK DAN PERWATAKAN
1.         Watak utama - ‘Saya’
·         Seorang yang taat -‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
·         Seorang yang amanah. -‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
·         Seorang yang gemar membaca- ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
·         Seorang yang tidak mudah putus asa -‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

2.         Watak sampingan
Bonda ‘saya’
·         Seorang yang berpengetahuan luas. -Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah air.
·         Seorang yang bersifat patriotik. -Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara.
·         Seorang yang amat memahami -Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.
Munsyi
·         Kawan lama bonda.
·         Seorang yang cinta akan budaya Melayu -Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’.
·         Seorang yang mengalu-alukan tetamu. -Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.
LATAR
Latar masa
1.         Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah telah memerintah negara menggunakan sistem pecah dan perintah.
2.         Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.
Latar tempat
1.         Di kampung -Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota
2.         Di kota -‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna.
3.         Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota -Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.

Latar masyarakat
1.         Masyarakat kampung. -‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung.
2.         Masyarakat remaja yang tinggal di bandar. -‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup.
3.         Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan. -Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.
4.         Masyarakat yang cekal dan berani. - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

GAYA BAHASA
1.         Kata ganda - Zaman- berzaman
2.         Metafora. - Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman
3.         Peribahasa. -Bahasa jiwa bangsa
4.         Simile - Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.
5.         Hiperbola -Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.

NILAI
1.         Patriotik. Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama.
2.         Ketaatan. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
3.         Kegigihan. Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
4.         Amanah. ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

PENGAJARAN
1.         Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu. ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar
2.         Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
3.         Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan.‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
4.         Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan.‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.




Soalan 2 (b)
Di bawah saya menyenaraikan sekolah/ daerah dan negeri menyoal soalan Cerpen Munsyi buat masa ini dalam peperiksaan percubaan tahun 2019. Inysa-Allah jika ada ruang dan masa, saya akan menyenaraikan soalan percubaan negeri yang lain yang menyoal soalan Cerpen Munsyi dalam analisis selanjutnya. Pelajar boleh merujuk soalan-soalan berkenaan di ruangan Soalan Percubaan sama ada sekolah, daerah, dan negeri di ruangan atas bahagian kanan, blog ini. Sekiranya saya dapat menyenaraikan soalan-soalan percubaan negeri daripada sumber sekolah, daerah dan negeri yang lain, saya akan meneruskan analisis ini.


  Bilangan sekolah, daerah dan negeri yang menyoal cerpen Munsyi dalam peperiksaan percubaan sehingga ke hari ini. Saya akan cuba mengemaskini data ini dari semasa ke semasa.

Persoalannya, kenapa sekolah, daerah dan negeri beminat memasukkan soalan Cerpen Munsyi dalam 
peperiksaan percubaan SPM tahun 2020. Jika dirujuk daripada analisis soalan yang telah 
saya lampirkan sebelum ini, soalan Cerpen Munsyi belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. 
Analisis soalan selain Cerpen Munsyi akan saya paparkan di dalam blog ini, insya-Allah.

Di bawah disenaraikan antara soalan Cerpen Munsyi yang dikeluarkan oleh pihak sekolah, daerah dan 
negeri sebagai rujukan pelajar. Pelajar boleh merujuk

Soalan Peperiksaan Percubaan 2019 SMK Sungai Manik, Perak.
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

            Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 “Mel, buku-buku ini khazanah nenek moyang kita. Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi. Hadiahkan buku-buku ini kepadanya kerana masih ada nilainya di kota sana.”
Saya akur dengan permintaan bonda yang mahu saya menjaga buku-buku itu dengan baik. Kata bonda, hanya insan bernama Munsyi sahaja yang layak menyimpan khazanah lama itu. Lalu, sebaik sahaja tiba di ibu kota,saya berusaha menjejak tempat kediaman sahabat bonda melalui peta yang dibekalkan bonda. Pencarian saya membawa saya ke sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu. Akhirnya,selepas bertanya beberapa kali,saya tiba di sebuah rumah kayu berukir indah dengan pelbagai seni dan corak. Salam saya akhirnya dijawab seorang lelaki berusia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja pada zaman Kesulatanan Melayu. Jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. Dia memandang saya lama-lama.
            “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”
                               Selepas saya memperkenalkan diri, dia mula tersenyum meramahi saya sebelum menjemput saya masuk.
                               Kami bersalaman erat. Saya menyampaikan salam bonda kepadanya sebelum menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang saya bawa dari kampung.

           (Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’ oleh Husna Nazri
                               dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
                                                  Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)  Berdasarkan petikan cerpen di atas, apakah pesanan bonda kepada  Mel?                                        
                                                                                                    [2 markah

(ii)        Pada masa ini, bahan-bahan kesusasteraan kurang menarik minat para remaja.

 Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk memupuk minat para 
 remaja terhadap bahan-bahan kesusasteraan?


                                                                                                            [3 markah]

(iii)       Jelaskan satu perwatakan Mel yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan  satu 
             perwatakan Mel yang lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.  

                                                                                                                     [markah]


Soalan Peperiksaan Percubaan 2019, SMK Sungai Karangan, Kedah.
Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



 “Mel, buku-buku ini khazanah nenek moyang kita. Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi. Hadiahkan buku-buku ini kepadanya kerana masih ada nilainya di kota sana.”
Saya akur dengan permintaan bonda yang mahu saya menjaga buku-buku itu dengan baik. Kata bonda, hanya insan bernama Munsyi sahaja yang layak menyimpan khazanah lama itu. Lalu, sebaik sahaja tiba di ibu kota,saya berusaha menjejak tempat kediaman sahabat bonda melalui peta yang dibekalkan bonda. Pencarian saya membawa saya ke sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu. Akhirnya,selepas bertanya beberapa kali,saya tiba di sebuah rumah kayu berukir indah dengan pelbagai seni dan corak. Salam saya akhirnya dijawab seorang lelaki berusia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja pada zaman Kesulatanan Melayu. Jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. Dia memandang saya lama-lama.
                “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”
                               Selepas saya memperkenalkan diri, dia mula tersenyum meramahi saya sebelum menjemput saya masuk.
                               Kami bersalaman erat. Saya menyampaikan salam bonda kepadanya sebelum menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang saya bawa dari kampung.

         (Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’ oleh Husna Nazri
                     dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
         Dewan Bahasa dan Pustaka)

 (i)                 Berdasarkan petikan cerpen di atas, apakah pesanan bonda kepada Mel? 
                                    
                                                                                                                     [2 markah

(ii)        Pada masa ini, bahan-bahan kesusasteraan kurang menarik minat para remaja.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk memupuk minat 
para remaja terhadap bahan-bahan kesusasteraan?



                                                                                                            [3 markah]

(iii)       Jelaskan satu perwatakan Mel yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan     satu 
             perwatakan Mel yang lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.  
                                                                                                                            [4 markah]


Soalan Peperiksaan Percubaan 2019 SMK Seri Londang, Daerah Perak Tengah.
Soalan 2 (b) – Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang 
berikutnya  dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Saya akur dengan permintaan bonda mahu saya menjaga buku-buku itu dengan baik. Kata 
bonda, hanya insan bernama Musyi sahaja yang layak menyimpan khazanah lama itu. Lalu, 
sebaik sahaja tiba di ibu kota, saya berusaha menjejak tempat kediaman sahabat bonda 
melalui peta yang dibekalkan bonda.Pencarian saya membawa saya ke sebuah 
perkampungan tradisi di pinggir kota yang merupakan tanah rizab Melayu. Akhirnya, 
selepas bertanya beberapa kali, saya tiba di sebuah rumah kayu berukir indah dengan 
pelbagai seni dan corak. Salam saya akhirnya dijawab seorang lelaki pada usia emas 
dengan janggut menutupi sebahagian muka yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan 
tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja pada zaman Kesultanan 
Melayu.Jari jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik. Dia 
memandang saya lama-lama.
  “ Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya?”  
Selepas saya memperkenalkan diri, dia mula tersenyum meramahi saya sebelum 
menjemput saya masuk.   
    Kami bersalaman erat. Saya menyampaikan salam bonda kepadanya sebelum 
menghulurkan beg berisi puluhan kitab lama yang saya bawa dari kampung.
   Minggu-minggu pertama saya berada di kota mewah ini, dapat saya saksikan kerapuhan 
jiwa anak-anak muda sebangsa  saya. Mereka dihanyutkan keseronokan hidup dengan 
memperdagangkan maruah dan peribadi.Saya berasa jelik dan aib menyaksikan adengan 
sumbang wajah-wajah anak muda peribumi tanah air ini yang tidak segan silu menjual  
bahasa  ibunda dan merosakkan agama yang murni.

Dipetik daripada cerpen “Musyi”dalam
Antalogi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka


(i)                 Apakah yang ‘saya’  lakukan selepas menerima pesanan bonda?

                                                                                                                [2 markah]

(ii)              Jati diri remaja pada masa kini semakin luntur.

Pada pendapat anda , bagaimanakah cara untuk memupuk semangat cinta akan 
bahasa kebangsaan dalam kalangan remaja?                                         [3 markah]


(iii)            Huraikan satu perwatakkan ‘saya’ yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu perwatakkan ‘saya’ yang lain dari keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. 

                                                                                                                [ 4 markah ]

Selasa, 3 November 2020

6 SAJAK – KUDUP PERANG (Tuah Saujana)

NOTA PUISI MODEN - "SAJAK SEJADAH RINDU" ( MOHD HAIKAL AMINUDDIN)

 

NOTA PUISI MODEN - "SAJAK SEJADAH RINDU" ( MOHD HAIKAL AMINUDDIN)

Sebagai persiapan pembentangan KOMSAS antologi pada 11 Januari 2018, saya lampirkan nota seperti di bawah.

NOTA SAJAK SEJADAH RINDU   (MOHD. HAIKAL AMINUDDIN)

Maksud Setiap Rangkap Sajak.

Maksud Rangkap 1: 

Terkedu aku 
di sejadah rindu 
mengungkap kalimah syahdu 
merekah keinsafan di hati yang beku 
mengenang dosaku yang terdahulu 

Maksud: 

Penyajak berdiam sambil bermunajat kepada Allah SWT sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha  Agung. Dalam bermunajat itulah timbul satu persatu segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu.



Rangkap 2: 

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
 Kupohon kembali nafas kehidupan 
dalam keterhadan dan keterbatasan insan 
moga terbuka ruang keampunan
 sebelum saat aku dinisankan 
di masa yang Kautetapkan.

 Maksud: 

Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia. 

Rangkap 3 

Air mata menjadi saksi
 keikhlasan menjadi bukti 
akhirnya
 aku sujud menghadap Ilahi 
di keheningan yang sepi
 lafaz taubat mengiringi 
nafas sebak kian mengikuti. 

Maksud: 

Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Beliau menangis teresak-esak dalam suasana bening menyatakan keinsafan diri terhadap kesalahan lalu. 

Rangkap 4: 

Hati ini luluh 
jiwa yang kaku tersentuh 
ayat-ayat cinta disusun kukuh 
di sejadah rindu yang lusuh 
kemaafan yang kupohon sungguh 
dari Pencipta dalam gemuruh.

 Maksud: 
Keegoan diri penyajak musnah dan dia berasakan dirinya kosong. Penyajak memuji keagungan Tuhan di atas sejadahnya. Beliau memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

 Rangkap 5 

Ungkapan doa pada Yang Esa
 izinkan aku menjadi manusia yang taat sentiasa
 pada perintah Maha Kuasa
 agar aku tidak lupa 
dunia ini hanya bersifat sementara.

 Maksud : 
Penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Beliau juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

TEMA

Keinsafan di saat meniti hari-hari terakhir. Penyajak menyesali dosanya dan memohon diberi kesempatan untuk mengulang kembali kehidupan yang lalu kerana penyajak sudah benar-benar insaf.
Contoh :
(R1;B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.

PERSOALAN
1.    Persoalan keinsafan seorang pesalah yang menunggu hukuman 
Contoh:
(R1; B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.

2.    Persoalan setiap manusia diberi peluang untuk bertaubat selagi dia hidup.
Contoh :
(R3;B6;B7)
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

3.    Persoalan setiap manusia masih berkesempatan untuk memohon keampunan sebelum meninggal dunia.
Contoh :
(R2;B4;B5)
 moga terbuka ruang keampunan
 sebelum saat aku di nisankan.

4.    Persoalan ajal maut di tangan tuhan.
Contoh :
(R2;B5;B6)
sebelum saat aku dinisankan

di masa yang kautetapkan.


C GAYA BAHASA

(a) Metafora   ( Jelaskan maksud metafora)
Buktinya, di sejadah rindu

(b) Bahasa asing, bahasa Arab
Buktinya, mengungkap kalimah syahdu
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
aku sujud menghadap Ilahi
lafaz taubat mengiringi

(c) Pengulangan kata
Buktinya, di sejadah rindu
di masa yang Kautetapkan
di keheningan yang sepi
di sejadah rindu yang luruh

(d) Sinkope  ( Jelaskan maksud Sinkope)
Buktinya, mengenang dosaku yang terdahulu
kupohon kembali nafas kehidupan
di masa yang Kautetapkan
kemaafan yang kupohon

(e) Responsi  
( Jelaskan maksud Responsi )
Buktinya, izinkan aku menjadi manusia
agar aku tidak lupa

D)   NILAI MURNI

Saya mengharapkan kumpulan pertama melampirkan bukti, nilai-nilai di bawah berdasarkan puisi yang dikaji.

(a) Keinsafan
(b) Kepercayaan kepada Tuhan
(c) Rasional
(d) Kesyukuran
(e) Ketaatan
(f) Hemah tinggi
(g) Keikhlasan
(h) Kejujuran
(i) Keberanian

E)  PENGAJARAN

Saya mengharapkan kumpulan pertama melampirkan bukti, nilai-nilai di bawah berdasarkan puisi yang dikaji.

(a) Kita mestilah insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.
(b) Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.
(c) Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.
(d) Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.
(e) Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
(f) Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.
(g) Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.
(h) Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.
(i) Kita mestilah berani menghadapi segala cabaran dalam kehidupan demi ketenangan hidup pada usia tua



SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NEGERI KEDAH 2017
SAJAK SEJARAH RINDU

SILA JAWAB SOALAN SAJAK DI BAWAH. PASTIKAN ANDA MENJAWAB SOALAN-SOALAN BERKENAAN DENGAN BINAAN AYAT YANG GRAMATIS

Nota Tambahan Sajak Sang Gembala Kuda oleh Mohd Hashim Othman

 

Nota Tambahan Sajak Sang Gembala Kuda oleh Mohd Hashim Othman 

MAKSUD SAJAK

 

Rangkap 1: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambal menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

Rangkap 2: Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

Rangkap 3: Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

Rangkap 4: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hhanya mementingkan diri apabila kuda-kuda itu terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

TEMA

Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya. Berbekalkan kuasa yang dimiliki, dengan angkuh dan berani, penjaga kuda Berjaya menakutkan serta mengawal kuda-kudanya kembali ke kandang. Penjaga kuda hanya mementingkan diri dan sanggup menggunakan sepenuh tenaga kuda-kudanya tanpa mempedulikan nasib haiwan tunggangannya itu.

PERSOALAN

1.     Kekuasaan mempengaruhi gaya kepimpinan.

2.     Ketegasan dalam memimpin.

3.     Penganiyaan terhadap haiwan.

4.     Kepatuhan menurut pemerintah.

5.     Keberaniaan menempuh cabaran dan rintangan.

6.     Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.

7.     Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.

 BENTUK SAJAK

1.     Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.

2.     Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.

3.     Bilangan barisnya tidak sama, iaitu rangkap pertama ada lima baris, rangkap kedua ada lima baris, rangkap ketiga ada sebelas baris, dan rangkap keempat ada  lapan baris.

4.     Jumlah patah kata  dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata setiap baris.

5.     Jumlah suku kata  dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga tiga belas  suku kata.

6.     Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama;  abcdd, abcab, aabccadecc, abaabacc.

 

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

1.  Pemilihan kata yang indah dan ayat atau baris yang dibentuk adalah puitis.   Contohnya:

(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3

(b)   Meredah onak di rimba perburuan – rangkap 3, baris 5

2.     Epifora. Contohnya, perulangan kata ditunggangi – rangkap 4, baris 7 dan baris 8.

3.     Repetisi atau perulangan. Contohnya:

 Ditunggangi dan ditunggangi – rangkap 4, baris 8.

4.     Penggunaan metafora. Contohnya:

(a)   Rimba perburuan

(b)   Paya penindasan

(c)    Cemeti durjana

5.     Personifikasi. Contohnya:

(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3

(b)   Pacuannya diiringi seribu keberanian – rangkap 3, baris 4

6.     Hiperbola. Contohnya:

Dimamah rakus kala lapar – rangkap 2, baris 3

7.     Sinkope. Contohnya:

Tak peduli nasib diri setelah kenyang – rangkap 2, baris 4

8.     Inversi. Contohnya:

Dan kuda-kuda itu ditunggangi – rangkap 4, baris 7

Sepatutnya: kuda-kuda itu ditunggangi dan

9.     Unsur bunyi:

(a)   Asonansi. (perulangan bunyi vokal). Contohnya:

i.        sesekali suaranya lebih gempita

        Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.

ii.       menentang semua kebobrokan

        Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.

(b)   Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan). Contohnya:

i.       ditunggangi dan ditunggangi!

        Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan sebanyak tiga kali.

ii.       dia melampar muslihat

        Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan sebanyak dua kali.

 NADA

Sajak ini bernada sinis. Nada sinis sesuai dengan sajak “Sang Gembala Kuda” yang menyatakan sikap mementingkan diri penjaga kuda dalam menjalankan tugasnya hingga menganiayai dan mengabaikan soal-soal penjagaan khusus terhadap haiwan itu.

 NILAI

1.     Nilai tanggungjawab. Contohnya, penjaga kuda bertanggungjawab menjaga kuda tunggangannya dengan mengurus makan dan minum secara baik.

2.     Nilai keberanian. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.

3.     Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya detika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.

4.     Nilai kegigihan. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.

5.     Nilai kepatuhan. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

 

PENGAJARAN

1.     Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.

2.     Kita mestilah berani mengahadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.

3.  Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan satu-satu tugas agar kejayaan dapat dikecapi akhirnya.

4.   Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.

5.   Kita hendaklah bijak dalam merancang dan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.