Ahad, 5 November 2017

CONTOH KARANGAN YANG BOLEH MENJADI PANDUAN PELAJAR UNTUK MENGHASILKAN KARANGAN CEMERLANG

CONTOH KEPENTINGAN RIADAH ATAU BERSUKAN
          BAHAGIAN A    
                              ( 30 MARKAH)                         
 (Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada masyarakat. Panjang huraian  hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


BERFAEDAH KEPADA KESIHATAN

MENGISI MASA LAPANG

SEBAGAI KERJAYA

MEGERATKAN HUBUNGAN


Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu dan keluarga. Sekiranya aktiviti sukan menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja mereka dapat mengakrabkan hubungan sesama masyarakat, malah kesihatan badan mereka juga sentiasa sihat serta kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan mampu pula menjana ekonomi untuk membantu mengurangkan kos sara hidup keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal bak kata peribahasa Melayu“sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang  menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan juga penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental terutama kalangan pelajar yang . Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Sekiranya, aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit kronik negara dapat dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdas. Seyogia, mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta hedonisme  dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesannya amat jelas kerana dengan bersukan sukan ahli sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin sehingga ke peringkat antarabangsa  walaupun terpaksa melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negara tercinta. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

            Di samping itu, bersukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.

            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya dan boleh meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan menjadi budaya masyarakat  bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat  meningkat sara hidup yang kini kian meningkat serta memperkenalkan negara di mata masyarakat dunia. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.


Bahagian A
[30 markah]
(Masa dicadangkan : 45 minit)

Gambar di bawah menunjukkan suasana di sebuah pusat sumber sekolah. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah. Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan
       
PUSAT SUMBER SEKOLAH


   LOKASI PUSAT SUMBER PERLULAH STRATEGIK

MENGHEBAHKAN      KEMUDAHAN PUSAT SUMBER KEPADA PELAJAR

MENGADAKAN PROGRAM MEMBACA

GALAKAN TEMPAT PENGAJARAN DAN PEMBELAJAR

Pusat sumber bertindak sebagai bank atau gedung ilmu pengetahuan kepada pelajar. Banyak bahan bacaan dikumpulkan dan disimpan di sana. Antaranya termasuklah bahan rujukan, buku cerita, majalah, surat khabar dan sebagainya daripada pelbagai negara. Kesemua bahan ini adalah untuk bacaan dan rujukan murid dan warga sekolah. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pusat sumber, contohnya kemudahan ASTRO kampus, ICT, makmal bahasa, bilik audio visual, dan sebagainya. Pelajar yang bijak dan tahu erti kepentingan ilmu akan memperoleh  pelbagai manfaat  jika memaksimum penggunaan  kemudahan pusat sumber sekolah. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penggunaan  kemudahan Pusat Sumber Sekolah?

Antara usaha untuk meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah (PSS) adalah dengan  memastikan lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik agar mudah dikunjungi oleh pelajar kerana prasarana berkenaan merupakan gedung ilmu. Misalnya, lokasi pusat sumber perlu terletak di bahagian bawah atau paras paling rendah sesebuah bangunan agar memudahkan pengunjung. Lokasi PSS juga perlu jauh daripada suasana kebisingan untuk membolehkan pengunjung memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. PSS juga perlu terletak di tempat yang menjadi tumpuan semua orang.  Bangunan tersebut perlulah dicat dan dihias dengan mural yang sesuai dan menarik supaya menjadi tarikan murid untuk  mengunjungi dan meneroka kemudahan yang terdapat di pusat sumber itu, bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Selain itu,  suasana di dalam pusat sumber perlulah kondusif seperti terdapat penyaman udara, dan ruang membaca dan membuat rujukan yang selesa. Suasana di pusat sumber juga perlu ceria, bersih dan senyap agar pengunjung dapat memperoleh ketenangan dan memberi tumpuan terhadap bahan yang dibaca. Buku-buku yang terdapat dalam PSS perlulah ditambah bilangannya dan yang terkini. Waktu PSS juga perlu ditambah untuk membolehkan murid-murid meminjam buku dan membaca atau membuat ulang kaji. Sekiranya PPS kondusif serta mesra pelajar sudah pasti pelajar di sekolah berkenaan akan membudayakan membaca sebagai amalan mereka, malah bilangan pelajar cemerlang dalam ujian malah peperiksaan akan meningkat. Tegasnya, lokasi pusat sumber sekolah perlulah strategik dan kondusif untuk kemudahan dan keselesaan pelajar.

Usaha seterusnya ialah guru Pusat Sumber Sekolah  perlu menghebahkan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaharu yang disediakan di pusat sumber. Hebahan tersebut boleh dilakukan semasa perhimpunan mingguan atau melalui iklan di kawasan tumpuan pelajar seperti di laluan utama, di papan kenyataan dan juga melalui guru mata pelajar. Melalui saluran ini, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan terbaharu yang terdapat di pusat sumber seperti e-pusat sumber iaitu kemudahan pusat sumber yang menggunakan rangkaian internet dan komputer dan sistem automasi. Di samping itu, bahan rujukan dan koleksi buku cerita pelbagai bahasa juga dihebahkan untuk menarik minat pelajar mengunjungi pusat sumber. Maklumat-maklumat tentang buku dan bahan rujukan terkini perlu ditampalkan di papan kenyataan pusat sumber dan kelas-kelas untuk rujukan murid. Jikalau, uasaha ini dijalankan berterusan sudah pasti bilangan pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah akan meningkat, minat membaca dalam kalangan pelajar akan disemai dan kadar buta huru dapat disifarkan. Jelasnya, melalui hebahan tersebut, murid-murid dapat maklumat tentang penggunaan perkhidmatan pusat sumber dan berminat untuk mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

Selain itu, untuk menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS, pihak PSS perlu  mengadakan Program Membaca. Program banyak membaca atau program NILAM harus digiatkan lagi agar murid  akan sentiasa mengunjungi pusat sumber untuk meminjam dan membuat bacaan di pusat sumber.  Program NILAM merupakan satu pendekatan untuk penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid. Hal ini menggalakkan usaha berkekalan murid untuk menanamkan sifat membaca. Di bawah program NILAM, setiap murid perlu merekodkan buku yang dibaca dalam Buku Rekod Membaca Nilam. Guru pula akan mengesahkan rekod bacaan murid. Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca. Di samping itu, PSS perlu menambahkan bilangan bahan bacaan yang dibaca agar murid juga dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman melalui bahan yang dibaca bak kata pepatah ’jauh berjalan luas pandangan, banyak membaca, menambah pengetahuan’. Tempat yang penuh dengan bahan bacaan tidak lain dan tidak bukan tentulah di pusat sumber sekolah. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah dalam kalangan pelajar serta akan dapat meningkatkan bilangan pelajar yang mendapat penghargaan pogram NILAM di peringkat sekolah, daerah, negeri dalam program NILAM akan meningkat. Jika usaha murni ini berkekalan bilangan pelajar cemerlang turut meingkat. Tegasnya, menggalakkan murid-murid mengunjungi PSS amat penting agar fungsi PPS menyerlah di peringkat sekolah sterusnya melahirkan pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bahkan juga, galakan kepada guru menggunakan PSS sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran sebagai alternatif penggunaan bilik darjah amat bijak. Pengurusan PSS Sekolah dan pentadbir sekolah perlu menjadikan PPS sebagai tempat guru untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran kerana PPS kondusif untuk tujuan berkenaan. Sebagai sebuah gedung ilmu serta kemudahan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran lebih kondusif sudah pasti penyebaran dan pengaliran ilmu daripada guru kepada pelajar akan lebih mudah. Hal ini kerana proses pengajaran guru akan lebih mudah dengan peralatan yang disediakan di PPS seperti peralatan paparan hablur cecair (LCD), persekitaran bilik seperti bilik multimedia yang kondusif  kepada pelajar, serta bahan rujukan seperti kamus rujukan serta buku melibatkan pelbagai mata pelajaran, serta adanya pendingin hawa, kemudahan ’wireless fidelity’ ( wifi) memudahkan guru melaksanakan Pengajaran Abad Ke-21 yang menyeronokkan pelajar kerana usaha tangga kejayaan. Sekiranya, proses pengajaran dan pembelajaran cemerlang, pelajar mudah menerima ilmu yang ingin disampaikan oleh guru dan melahirkan pengajaran dan pembelajaran berkesan. Sudah terang lagi bersuluh, galakan kepada guru menggunakan PSS sebagai tempat pengajaran dan pembelajaran sebagai alternatif penggunaan bilik darjah amat bijak untuk melahirkan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.

Kesimpulannya, pusat sumber sekolah perlu menyediakan kemudahan yang terkini dan mengikut peredaran zaman agar pelajar tertarik dengan fungsi PPS sebagai penyebar ilmu. Kemudahan yang disediakan perlu memenuhi keperluan pelajar  dan menarik mereka untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. Pusat sumber harus menjadi nadi utama murid dalam proses pembelajaran mereka di sekolah. Sebenarnya, ilmu yang kita miliki hanyalah setitik air jika dibandingkan dengan lautan yang luas. Oleh itu, banyak manfaatkan masa dengan membaca kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih tambahan pula masa itu emas.

Bahagian A
[30 markah]

(Masa dicadangkan : 45 minit)




Gambar di bawah menunjukkan iklan pelancongan di Malasyia. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakysat dan negara . Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Kedatangan pelancong ke negara membawa seribu rahmat dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

            Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa bertempat di Melaka Negeri Bersejarah. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Sekiranya sektor pelancongan menambat hati dan kedatangan para pelancong secara langsung negara mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sahaja.  Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.

            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan sahaja. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan berdasarkan kaum seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong asing ini akan memberikan mereka kelainan rasa makanan yang mustahil dijumpai di negara asal mereka dan ini akan menarik minat mereka untuk mengunjungi semula Malaysia selepas lawatan pertama mereka. Sekiranya, masyarakat Malaysia cakna dengan kepelbagaian masakan dan makanan tempatan serta mengambil kesempatan dengan kelebihan berkenaan dengan menyajikan menu berkenaan di premis mereka untuk dinikmati pelancong asing, sama ada di gerai-gerai makanan, restoran, dan hotel sudah pasti mereka dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkasa sektor pelancongan. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan untuk menggamit kehadiran pelancong asing.

            Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan.  Sekiranya, promosi yang hebat dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di samping  promosi agen-agen pelancongan yang terdapat di negara kita, sudah pasti bukan sahaja pengusaha pelancongan sahaja yang menerima kesan dari segi pertambahan pendapatan mereka tetapi  juga penduduk tempatan yang menjalankan perusahaan kecil dan kraftangan juga menerima tempiasnya. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

            Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman melancong di Malaysia serta keunikan cenderamata yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

            Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.


SEKIRANYA KARANGAN DI ATAS DIJAWAB UNTUK  SOALAN  BAHAGIAN B DIMENSI MASYARAKAT  ATAU DIMENSI SESUAI TAMBAH SATU ISI LAGI


( Soalan Bahagain B . Dimensi Diri)

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

            Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?

            Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan tindakan yang saya lakukan ini keadaan harmoni dan kondusif  rakan-rakan dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Sekiranya suasana kondusif seperti ini dapat diwujudkan sudah pasti bilangan rakan-rakan pelajar mengunjungi pusat sumber sekolah akan meningkat dan peranan pusat sumber sebagai gedung dan penyebar ilmu akan tercapai.  Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.

            Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa kerana banyak membaca luas pengetahuan. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Jikalau usaha saya ini berterusan, saya yakin bilangan ulat buku dalam kalangan rakan-rakan akan bertambah dan budaya malas membaca dalam kalangan pelajar akan dapat dibanteras. Selain itu, bilangan rakan-rakan miskin ilmu dapat dikurangjan agar mereka terelak menjadi seperti katak di bawah tempurung.  Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.

            Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik serta memastikan keberadaan buku-buku itu sentiasa terpulihara. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.  Jika situasi pusat sumber eksklusif dan kondusif, saya pasti rakan-rakan akan sentiasa berada di pusat sumber untuk mengaut khazanah ilmu untuk bersedia menjadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang. Tegasnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber agar pusat sumber sekolah saya menjadi sebuah Gudang ilmu yang eksklusif dan kondusif untuk keselasaan rakan-rakan pelajar.
            Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan. Sekiranya saya bersikap sedemikian rupa, tidak akan wujud perasaan kecil hati berlaku dalam karangan rakan-rakan semasa menggunakan pusat sumber untuk meluaskan ilmu dan mereka akan sentiasa berkunjung ke pusat sumber pada masa senggang. Konklusinya, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas.

            Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah agar perkhdmatannya mesra pelanggan serta selari dengan peredaran zaman. Jelasnya, selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah kerana pusat sumber sekolahku syurgaku.

            Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

(Dimensi Keluarga)
Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya                            masyarakat kita?

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabung ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa kerana kita situasi ekonomi negara dan dunia sentiasa mencabar, sara hidup keluarga dan masyarakat semakin menghimpit, nilai barangan sentiasa meningkat dan inflasi terus menghambat warga. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang sebagai persediaan untuk kebahagian pada masa mendatang dan merupakan nilai murni yang perlu terpahat di minda masyarakat. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?

             
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak dengan perkara yang positif yang bermakna untuk mereka. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Sekiranya amalan menambung ini diterap dan dibudayakan dalam kalangan anak-anak, mereka boleh berdikari di atas kaki sendiri tanpa menyusahkan ibu bapa sekiranya ada keinginan anak-anak untuk mendapat sesuatu yang menjadi keperluan mereka. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.

            Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka berkaitan amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi
  dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi?  Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana    sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Sekiranya ibu bapa berjaya menjadikan menambung amalan anak-anak mereka sudah pasti anak-anak akan membudayakan amalan murni berkenaan sehingga mereka meningkat dewasa, pastika kehidupan mereka akan bahagia di hari muka. Tegasnya, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi agar mereka akan tidak dibebani masalah ekonomi ketika mereka dewasa.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka  tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak agar kehidupan mereka sempurna kelak. Sudah terang lagi bersuluh, didikan ibu bapa agar anak-anak mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk akan memberi rahmat kepada mereka ketika dewasa.
            “Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya,   ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  Ibu  bapa  sendiri   harus mengamalkan  sikap  menabung.  Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak.  Anak-anak  mudah  terikut-ikut  oleh  tingkah  laku ibu  bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga.  Cuba  anda  bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan tidak  pandai  menguruskan  wang?  Jika ibu bapa mendidik anak-anak mereka ke jalan yang betul didikan tersebut seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sudah pasti mendidik anak-anak dalam situasi begini amat sukar kerana ibu bapa suri teladan mereka. Hal  ini  jelas menunjukkan  betapa pentingnya  imej  yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Kesimpulanhya, ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  

            “Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.


      KARANGAN SOALAN 3 BERJIMAT CERMAT AMALAN MULIA
Peringatan. Karangan di bawah Cuma untuk membenih idea anda untuk mengarang. Ubah suai jika perlu.

          Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap, negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Persoalannya, mengapakan Berjimat Cermat Amalan Mulia?

          Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao Tze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jikalau usaha seperti ini tidak dilakukan sudah pasti masyarakat akan menghadapi masalah kewangan terutama untuk mengharungi keadaan inflasi  serta  peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.

          “Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.

          Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Jelaslah, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.

           Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini. teganya, media massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang


          Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayangOleh itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin


(Dimensi Keluarga)
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.        
. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat semakin meluntur.  Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai  aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.  Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila  berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga  sedar akan peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti . Sekiranya amalan gotong-royong diamalkan anak-anak ketika dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ ke bukit  sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai  anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa  mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap  jiran mereka.. Apabila  mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran  dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan  dengan bantuan orang lain.  Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sekiranya amalan sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut,  masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.  Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak  menziarahi jiran tetangga pada  masa-masa  yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak  berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘ seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan.  Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti  Pertubuhan Rukun Tetangga , Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk  semangat kejiranan.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan  masyarakat yang prihatin dan mmmembentuk perpaduan kaum.  Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.


(Dimensi Keluarga)
Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.  Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?

Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan. Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Ibu bapa perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Anak-anak digalakkan mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih kerana baik untuk  kesihatan mata, gusi, kulit serta mengekalkan kecergasan tubuh badan.   Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan memasak makanan untuk anak-anak dan mengelakkan  makan  di luar  rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan, dibimbangi telah tercemar kerana mungkin terdedah kepada habuk dan asap kenderaan serta banyak mengandungi perisa makanan yang tidak baik untuk kesihatan.   Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan  oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurannya 30 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senam robik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Anak-anak yang mengamalkan senaman dan beriadah, akan lebih sihat dan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran di kelas semasa guru sedang mengajar dan semasa mengulang kaji pelajaran. Menurut kajian, murid-murid yang tidak gemar bersukan dan beriadah lebih cenderung untuk berkelakuan pasif di dalam kelas selain suka berkhayal dan mengantuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.  Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk bagi melahirkan otak yang cerdas dan badan yang cergas.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun di hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran.  Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol. Tujuan pemeriksaan dibuat agar ibu bapa dapat memastikan tahap kesihatan anak-anak berada dalam keadaan sihat dan baik. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu  mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segera membawa anak-anak berjumpa dengan doktor  untuk mendapatkan rawatan dan  ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Hal ini penting bagi membantu ibu bapa mengawal penyakit yang dihidapi anaknya daripada menjadi lebih serius dan kronik, bak kata pepatah cegah sebelum parah. Seterusnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran tempat tinggal pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, anak-anak diajar agar mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak. Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga perlu mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam diri anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan  badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.

Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Anak-anak yang mendapat tidur yang secukupnya berupaya menambah tenaga untuk bergiat aktif ketika di sekolah. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Nik Nor Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008, menyarankan agar semua pelajar tidur secukupnya. Namun, ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokannya merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga terganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak.. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

(KARANGAN DIMENSI KELUARGA)
Remaja kini banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet yang 
memberikan pelbagai kesan kepada mereka.
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan 
anak-anak.

Anak kecil main api,
            Terbakar hatinya yang sepi
                         Air mata darah bercampur keringat,
       Bumi dipijak milik orang.

          Lirik lagu Warisan di atas mengenai nasib anak bangsa pada masa akan datang sekiranya kita membiarkan sahaja minda kita dijajah oleh anasir luar. Umumnya mengetahui bahawa penjajahan minda lebih berbahaya daripada penjajahan secara fizikal kerana penjajahan minda ini bersifat halus dan sukar untuk dikesan berbanding dengan penjajahan Internet. Melalui Internet, penjajahan minda ini lebih  halus dan  mudah disebarkan kerana generasi muda hari ini terlalu leka dengan Internet sehingga terikut-ikut akan budaya kuning serta hedonisme yang dibawa oleh anasir luar. Dakyah hendonisme amat dasyat sehingga remaja merupakan benteng pertahanan negara dikongkong dan kehidupan mereka lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan sehinggakan tanggungjawab mereka sebagai pelajar hapus daripada minda. Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa orang yang paling hampir dengan remaja perlu mengawasi anak-anak mereka agar budaya kuning serta hendonisme ini tidak menjadi ikutan anak-anak. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak?

          Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah ibu bapa perlulah memberi didikan agama yang mantap kepada anak-anak sebagai pendinding kepada anak-anak agar terelak daripada dakyah songsang Barat. Internet bukanlah sesuatu yang mudah dikawal “programming”nya. Oleh sebab itu, banyak laman-laman web yang mengandungi unsur-unsur negatif seperti budaya Black Metal, Skin Head dan pornografi tersebar dengan begitu pantas di Internet. Melalui didikan agama yang mantap sahaja, anak-anak dapat membezakan yang mana perbuatan yang keji dan yang mana perbuatan yang mulia. Sabda Rasulullah SAW ‘akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu’. Sekiranya anak-anak melayari laman-laman web yang berunsur negatif sudah pasti  pasti merosakkan minda mereka dan menyebabkan mereka lalai untuk menyelesaikan tuntutan agama yang wajib mereka tunaikan seperti sembahyang lima waktu sehari semalam serta menjalankan tanggungjawab belajar kerana hanya dengan pendidikan mereka mampu mengubah status ekonomi keluarga. Oleh itu, jelaslah bahawa memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak adalah penting bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.

Selain daripada memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu mengehadkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Memang tidak dinafikan bahawa Internet mempunyai pelbagai kebaikan tetapi ibu bapa perlulah sedar bahawa Internet juga boleh mendatangkan  pelbagai keburukan kepada anak-anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka mestilah menetapkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan Internet  pada waktu-waktu tertentu terutama jika mereka ingin mencari bahan ilmiah ataupun untuk menghilangkan stres. Hal ini secara tidak langsung akan mengajar anak-anak agar menggunakan masa dengan baik di samping bijak menggunakan Internet. Sekiranya anak bebas menggunakan internet setiap masa, impaknya Internet mungkin akan melalaikan anak-anak. Jadi, tegaslah bahawa ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet oleh anak-anak agar anak-anak lebih berdisiplin ketika menggunakan Internet.

          Seterusnya, ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak. Pendedahan berkaitan Internet ini adalah penting supaya anak-anak mengetahui kebaikan dan keburukan Internet sewaktu akhlak mereka masih boleh dibentuk seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang melibatkan penggunaan Internet. Ibu bapa perlulah menunjukkan sikap yang positif ketika menggunakan Internet di hadapan anak-anak dan mengajar mereka tentang cara penggunaan Internet yang betul. Hal ini kerana tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Cuba bayangkan sekiranya anak-anak tidak diberikan pendedahan tentang Internet daripada kecil. Mungkin apabila dewasa kelak mereka akan terikut-ikut budaya-budaya yang tidak bermoral yang telah dipelajarinya daripada Internet. Natijahnya, pendedahan tentang Internet daripada ibu bapa kepada anak-anak akan dapat membantu untuk mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.

          Di samping itu, sebagai ibu bapa yang menyayangi anak-anak, mereka perlulah mendekatkan diri anak-anak semasa mereka aktiviti pembelajaran menggunakan internet. Pada masa kini, pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya Internet. Pelbagai laman sesawang telah diwujudkan bagi kemudah pembelajaran. Sekiranya anak-anak kerap menggunakan Internet untuk menuntut ilmu, ibu bapa perlulah menyokong tindakan anaknya itu. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak menggunakan buku untuk belajar malah mereka harus berbangga kerana anak-anak mereka merupakan generasi yang pintar dalam menggunakan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi. Tambahan pula, sebagai ibu bapa yang tahu penggunaan internet, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengesan aktiviti Internet anak-anak dengan memantau bahagian “history” atau sejarah penggunaan enjin carian sama ada Google, Al-Tavista, Monzila Firefox, Yahoo atau MSN. Hanya dengan cara ini ibu bapa akan tahu sama ada anak-anak mereka menggunakan Internet untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya Jadi, sebagai ibu bapa, mereka haruslah menyokong tindakan anak-anak dalam proses meningkatkan IQ melalui penggunaan Internet dalam masa yang sama ibu bapa juga boleh memantau dan terlibat sama semasa aktiviti Internet anak-anak.

          Akhir sekali, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Janganlah terlalu mempercayai anak-anak kerana sikap tersebut akan membawa masalah kepada ibu bapa pada masa akan datang. Hal ini boleh dilihat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘Anakku Sazali’ yang berkisahkan seorang bapa yang terlalu mempercayai anaknya sehingga anaknya sanggup menipu dirinya. Pemantauan terhadap penggunaan Internet oleh anak-anak mungkin sukar dilakukan kerana pada masa kini anak-anak telah mempunyai gajet peribadi seperti telefon pintar dan komputer riba. Namun, sebagai ibu bapa berminda kelas pertama dan arif berkaitan kemahiran Internet dan bertanggungjawab, mereka mampu mengesan penyalahgunaan Internet  dalam kalangan  anak-anak dengan memantau aktiviti penggunaan Internet. Sebagaimana saya perkatakan sebelumnya iaitu ibu bapa boleh melihat aktiviti internet anak-anak pada bahagian “history” atau sejarah enjin carian Internet, bukan sahaja dalam masa sehari, malah sepanjang masa. Tegasnya, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet untuk kebaikan anak-anak, keluarga dan bangsa.

          Akhir kata, dapatlah disimpulkan bahawa peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet amatlah penting. Selain daripada ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak daripada penjajahan minda, ibu bapa juga dapat melahirkan anak-anak yang celik dalam penggunaan Internet. Dengan adanya generasi yang bijak dalam penggunaan Internet, sudah pasti negara kita akan bertambah maju setanding dengan negara-negara lain. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bijak, berakhlak serta dapat memajukan bangsa, agama dan negara. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, nasihat saya kepada ibu bapa yang bijak dan mahir dalam penggunaan Internet, kebijaksanaan ibu bapa dalam aplkikasi Internet mempunyai banyak kelebihan,  ibarat anak seorang pelari pecut sedang berada di garisan penamat dengan larian 50 km dan ibu bapa perlu berlari lebih laju daripada pecutan anak mungkin 80 km. Barulah anak akan tahu kehebatan seorang ayah kerana ayah borek anak rintik dan ayah suri teladan bagi seorang anak.



DOAKAN SAYA SIHAT DAN MAMPU UNTUK MENCORETKAN KARANGAN
PERLU DIBERI PERHATIAN PELAJAR UNTUK MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU 1 ESOK. AMIIIN.


24 ulasan:

Unknown berkata...

Terima kasih

zul berkata...

Sangat membantu

Unknown berkata...

👍👍👍

Unknown berkata...

semoga cg terus sihat dan dirahmati Allah atas usaha ini..saya mohon share ye cg,,terima kasih.

Unknown berkata...

Bukan ke 200-250 patah perkataan?

Unknown berkata...

Tulah...yang ni banyak sangat takpe ke

Unknown berkata...

Cikgu saya kata..xpyh ikut arahan Tu...abaikan jer..buat sebanyak Yang mampu

Azim berkata...

Wahhh.. Tebaek laa.. Izinkn saye ambil isi2 ini.Trimas cikgu

Tanpa Nama berkata...

cikgu, karangan bahagian A boleh buat lebih drpd 250 pp? klau buat lebih kena potong markah x??

Unknown berkata...

Izinkan saya cp ya cikgu . Trima kasihhhh

Tanpa Nama berkata...

terima kasih cg.. banyak perkataan baru yang saya peroleh.. halalkan ye saya guna dalam spm

HambaAllah2002 berkata...

Izinkan saya copy ya cg sebagai rujukan..terima kasih cg

Atan berkata...

Terima Kasih Cikgu From Student Science Tuanku Jaafar Kuala Pilah

Atan berkata...

halalkan saya guna dalam buat selama lamanya

Tanpa Nama berkata...

Salam, izinkan saya berkongsi bahan cikgu untuk pelajar saya. Semoga cikgu terus dikurniakan Allah kesihatan berpanjangan

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Waalaikumsalam. Silakan Cikgu, semoga bahan berkenaan akan dapat membantu pelajar cikgu menghasilkan karangan bermutu.

CO XING berkata...

R u sure its in between 200 and 250 words??

Unknown berkata...

Terima kasih, halalkan ape yang saya pelajari

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Insya-Allah, saya sentiasa menghalalkan semua bahan yang terdapat di dalam blog Laman Bahasa Melayu SPM untuk kegunaan pelayar dan pelajar SPM 2019. Namun, saya mengakui bahawa tedapat bahan di dalam blog ini merupakan bahan perkongsian ilmu dengan guru bahasa Melayu Se-Malaysia. Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada Sifu Bahasa Melayu seperti Dr. Tan CL yang banyak mencacatkan bahan Bahasa Melayu yang banyak manfaatnya kepada pelayar dan pelajar SPM Seluruh Dunia, Laman BMSPMnet, penggubal-penggubal soalan sekolah, daerah (PPD) dan Jabatab Pendidikan Negeri Se-Malaysia, Jabatan Pendidikan Perak khususnya, Yayasan Perak yang sering memberikan input yang berguna kepada pelajar yang bermastautin di negeri Perak, guru-guru bahasa Melayu yang lain yang mungkin ada saya terbitkan bahan mereka di dalam Laman Bahasa Melayu SPM, terima kasih saya ucapkan. Semoga bahan-bahan berkenaan boleh digunapakai pelajar sebagai persediaan menghadapi Peperiksaan SPM 2019.

hafizuddin berkata...

Izink saya mengambil isi ii ini ye cikgu..semoga cikgu sentiasa dikurniakn kesihtan yg baik amin

Unknown berkata...

Terima kasih cikgu.Bahan ini sangat bermanfaat.

Unknown berkata...

Assalamualaikum....cg trima kasih atas perkongsian....tapi kalau boleh saya nak sedikit pencerahan...boleh ka lebih 250...lebih dlm kuantiti yg banyak....Apa-apa pun, trima kasih skali lagi, banyak vocab baru saya blajar👍

Tanpa Nama berkata...

Mantap2

Tanpa Nama berkata...

Mantap2