Sabtu, 29 Jun 2013

SELAMAT BERCUTI DAN PERINGATAN KERJA RUMAH BAHASA MELAYU YANG DIBEKALKAN

KARANGAN UMUM

SOALAN 1Lambakan barangan tiruan dari luar negara di pasaran tempatan menjadi masalah utama yang
perlu dibanteras habis-habisan kerana kegiatan ini telah menjejaskan pengeluaran industri
kecil dan sederhana tempatan. Jelaskan usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk mengekang lambakan baranga tiruan di negara kita.



PENGENALAN
Lambakan barangan tiruan di Malaysia bukanlah satu isu baru kerana isu ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat sama ada di peringkat daerah, negeri sehinggalah ke peringkat nasional. Sindiket ini sudah bertapak lama di dalam pasaran negara kita dan kini masih lagi ‘hidup’ dan ‘belum mati’ sepenuhnya. Apakah itu barang tiruan sebenarnya? Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, barangan tiruan bermaksud barangan palsu atau tidak tulen. Tegasnya, barangan tiruan merupakan hasilan keluaran syarikat pengeluaran yang beroperasi secara haram dengan mengeluarkan barangan  seakan-akan menyerupai barang yang asal tetapi kualitinya tidak standing dengan barangan yang asli. Sudah pasti, lambakan barangan tiruan mampu melumpuh dan menggugat operasi Industri kecil dan sederhana merupakan sumber pendapatan rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat luar bandar. Justeru, isu lambakan barangan tiruan tersebut perlu dibanteras dengan segera agar tidak menjadi barah yang mampu melumpuh ekonomi negara.

Perenggan Isi Pertama:-


Mari kita selongkar satu persatu langkah  untuk membanteras permasalahan lambakan barangan tiruan menggunakan minda pelajar kelas pertama agar isu berkenaan tidak akan melumpuhkan ekonomi negara. Antaranya, masyarakat sebagai pengguna mampu menggagalkan usaha pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi angkara utama permasalahan ini berlanjutan sehingga kini. Hal ini kerana, senjata utama yang mampu untuk membanteras penyakit yang semakin membarah ini adalah dengan kuasa pengguna. Masyarakat sebagai pengguna  perlu memulau barangan tiruan yang dipasarkan di pasaran tempatan. Sekiranya, masyarakat alpa dan terus menerus membeli barangan tiruan ini, mereka boleh diibarat sebagai pemusnah ekonomi negara dan seterusnya menyokong modus operandi pengeluar yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka. Walaupun barangan keluaran tulen agak mahal harganya tetapi kualiti barangan berkenaan lebih berkualiti kerana alah membeli menang memakai. Bahkan juga, pengguna akan dapat berjimat, selain selesa menggunakan barangan tulen kerana barangan tersebut tahan lama. Antara barangan tiruan sering dijual di pasaran seperti kasut, baju, tali pinggang, alat perhiasan wanita, dan pelbagai lagi. Justeru, masyarakat pengguna mampu membanteras modus operandi pengeluar dan pengedar barangan kerana kerjasama bak  aur dengan tebing mampu menggagalkan pengedaran barangan tiruan di pasaran.

Perenggan Kedua.
Akan bersambung.


Khamis, 6 Jun 2013

KELEMAHAN PELAJAR MENGARANG SEMASA PPT 2013 ( TINGKATAN 4 DAN 5)

      Tujuan saya melampirkan karangan-karangan di bawah bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sekadar sebagai pengajaran supaya kesalahan yang dilakukan tidak berulang. Seterusnya pelajar yang tergolong menghasilkan karangan bertahap seperti karangan dilampirkan di bawah perlu bersedia  dari sekarang untuk mengatasi kelemahan yang dilakukan. Saya mohon maaf sekiranya ada yang tersinggung dengan karangan yang saya lampirkan ini. Jika saya tidak memaparkannya, masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan. Seterusnya, cuba bandingkan dengan karangan terbaik yang telah dihasilkan oleh rakan sebaya yang saya paparkan dalam catatan sebelumnya.
      Saya tidak akan mengemukakan keseluruhan karagan pelajar tetapi saya sedut hanya untuk memperkatakan sebahagian kesalahan yang dilakukan sama ada kes amat berat, berat, sederhana, dan sedikit bermasalah. Semoga pelajar dapat melihat kesalahan-kesalahan yang berlaku sepanjang PPT 2013.

CONTOH PENGENALAN YANG TIDAK MANTAP

1.   MEMBINA PERENGGAN PENGENALAN.
      Contoh pertama:-

Kesalahan pelajar membina karangan pengenalan:-
Kesalahan tatabahasa:-  pemilihan kata / semantik ( makna)- maksud ayat tidak jelas/ binaan ayat tidak 
                                     gramatis.
                                 -  pelajar tidak tahu peristiwa sejarah kerana pengenalan yang digunakan jenis sejarah.
   Ayat pertama:  Sejarah adalah ( ialah) peristiwa lampau yang meninggalkan kesan dan jasa  kepada 
                          masyarakat. ( jasa hanya boleh ditinggalkan oleh pejuang/tentera tetapi bukan sejarah)
    Huraian kesalahan: peristiwa ialah kata nama dan semestinya kata pemeri yang sesuai ialah.

   Ayat kedua  :   Ia ( Sejarah) juga akan dikenang oleh semua masyarakat sebagaimana jasa ditinggalkan.
   Huraian kesalahan : Binaan ayat tidak lengkap  tidak ada prediket / ayat tergantung.  
   Kesalahan  penggunaan kata ganti nama ia hanya sesuai untuk manusia sepatutnya digantikan 
   dengan sejarah) 

   Ayat ketiga  :   Lebih banyak jasa dilakukan, lebih banyaklah penghormatan oleh masyarakat pada zaman 
                          ini.
   Huraian kesalahan:  Ayat tidak gramatis kerana tidak ada subjek dan prediket / ayat ini pula merupakan ayat aktif bukan pasif.)
  Ayat keempat:  Kepayahan perwira semasa mententeramkan negara amatlah dihargai oleh semua 
                          masyarakat.
   Huaraian kesalahan : Pemilihan kata mententeramkan tidak sesuai dan sepatutnya diganti dengan 
                          mempertahankan negara.
                         
   Perenggan pengenalan yang sepatutnya seperti di bawah:-
   Sejarah ialah peristiwa lampau yang banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat. Peristiwa sejarah pejuang bangsa yang sentiasa mempertahankan negara daripada dikuasai oleh penjajah barat akan sentiasa dikenang oleh masyarakat. Tambahan pula, pejuang bangsa  sanggup menggadaikan nyawa, meninggalkan anak dan isteri, harta benda mereka demi kesejahteraan generasi selepasnya, amat dihormati oleh masyarakat. Hal ini terbukti apabila pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Si Pitung, sanggup mati ditali gantung kerana membunuh Residen British pertama di Perak iaitu JWW Birch. Sedangkan pihak penjajah menganggap mereka ini penderhaka atau pemberontak. Sekiranya kita tidak mengkaji sejarah sudah pasti pejuang dan nenek moyang kita dahulu kala yang menentang penjajah dianggap sebagai pemberontak. Oleh itu, terdapat beberapa kepentingan yang kita peroleh apabila mempelajari sejarah.

Ingat balik kepentingan pengenalan. Sekiranya pengenalan anda tidak menarik, dan banyak berlaku kesalahan tatabahasa, binaan ayat dan frasa, sudah pasti pemeriksa sudah membuat tanggapan bahawa karangan anda tidak menarik. Bayangkan bagaimana caranya saya hendak memberi markah sekiranya, pengenalan yang dihasilkan oleh pelajar seperti di atas. Belum lagi menyemak perenggan isi, dan akhirnya perenggan penutup.

Contoh pengenalan kedua:-
 Pengenalan di atas tidak mengambarkan kemantangan pelajar. Selain ringkas, ayat pertama tidak gramatis. Ayat rangsangan dibina terlampau mudah dan tidak ada ayat arahan. Adakah pelajar ini pelajar sekolah kluster. Fikir-fikirkanlah. Saya hanya boleh mengatakan masalah ini berlaku kerana  sikap pelajar di atas yang mengambil mudah ketika mengarang.

Contoh pengenalan ketiga:-
 Bagaimana pelajar di atas membina pengenalannya. Semakin banyak pen merah saya habis menconteng, semakin menurun impreson saya, semakin kurang markah pelajar di atas. Macam mana pendapat pelajar jika bertemu pengenalan sebegini? Fikir-fikirkanlah. Sebaik-baiknya, selepas membina ayat, baca dan fahamkan maksud yang hendak disampaikan. Jika boleh biarlan anda membuat "scan" seperti yang saya lakukan tetapi binaan ayat demi binaan ayat, cuba fahamkan apa yang hendak anda sampaikan. Elakkan mengulang frasa atau ayat.

Perenggan Isi:-
Kelemahan mengolah idea dan membina ayat yang gramatis.

Cuba lihat binaan ayat pertama, kedua, ketiga, keempat, dan ayat kelima.
Binaan ayat pertama tidak mantap dan boleh dikatakan sebagai ayat tergantung. Ayat kedua juga tidak mantap dan sebenar berkait dengan ayat pertama. Ayat ketiga faktanya tidak tepat warga asing  dikaitkan dengan komunis dan tidak semua warga asing boleh disamakan dengan komunis. Ayat keempat, huraian tidak jelas dan tidak ada contoh perdana menteri yang hendak diperkatakan dan huraian peranan mereka terhadap negara Ayat terakhir kelima juga tidak mantap sebagai ayat penegas kerana banyak pemimpin yang disentuh tetapi hanya Perdana Menteri Pertama yang dikaitkan. Selain itu terdapat kesalahan penulisan kata nama khas Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku kepada pelajar tingkatan lima.

Contoh perenggan isi kedua:-
 Cuba baca dan lihat bagaimana pengembangan idea pelajar di atas.Selain itu, lihat binaan ayat serta kesalahan tatabahasa seperti imbuhan dan kesalahan penulisan kata nama khas. Kesalahan sedemikian akan mengurangkan markah anda semasa mengarang.

PERINGATAN KERJA RUMAH SELAMA DUA MINGGU BERCUTI UNTUK PELAJAR TING. 4 DAN 5

Assalamualaikum, saya pasti ada pelajar yang tidak faham kerja rumah Bahasa Melayu yang perlu anda lakukan dalam cuti selama dua minggu. Kerja-kerja tersebut seperti di bawah:-
1.  Merumus teks dan pemahaman teks untuk pelajar ting 4 dan 5 terdapat dalam halaman tingkatan 5 blog
     ini.
2.  Menyalin lima karangan terbaik sama ada contoh yang saya berikan atau contoh karangan rakan sebaya
     terbaik PPT 2013. Untuk kerja ini, pelajar ting. 4 menyalin karangan PPT ting. 4 2013 dan pelajar ting. 5
     menyalin PPT 2013 ting. 5. Hal ini kerana, saya mengharapkan pelajar ting. 4 dan 5 dapat melihat dan
     mencontohi karangan rakan sebaya terbaik dari segi kemahiran mengembangkan idea dan isi, kemahiran 
     membina ayat dan mengaitkan ayat dengan ayat. Begitu juga, membina frasa terutama frasa pasif untuk 
     kata ganti nama diri pertama, kedua dan ketiga, kemahiran mengaplikasi frasa menarik seperti 
     peribahasa, kata bijak pandai,pemimpin dan tokoh agama, kemahiran memilih penanda wacana, dan 
     kemahiran memilih perenggan pengenalan yang sesuai, penggunaan kaedah deduktif semasa 
     mengembangkan perenggan isi, serta membina perenggan penutup.

    Harapan saya, kerja tersebut bukan sahaja sekadar kerja menyalin sahaja tetapi biarlah anda muhasabah diri apabila melihat kehebatan orang lain menghasilkan karangan dan mengesan kelemahan yang ada pada diri anda. Ingat, jika orang lain boleh menghasilkan karangan terbaik kenapa anda tidak. Belakang parang jika diasah akan tajam juga. Sekian, ikhlas daripada saya yang mengharapkan terbaik daripada pelajar-pelajarnya.

    Selain itu, saya lampirkan TOV tingkatan 4S, 4H, 5K, dan 5H di bawah setiap keputusan PPT 2013. Diharapkan para pelajar dapat membuat perbandingan antara  TOV, AR1 (US1)  dan AR2(PPT 2013), serta sasaran  OTR3 ( Peperiksaan Percubaan dan ETR ( Sasaran SPM untuk Ting. 5 dan Sasaran PAT untuk Tingkatan Empat). Selepas itu, muhasabah diri agar 5 tahun pelajar tingkatan 5 dan 4 tahun untuk pelajar tingkatan 4 berada di SMKASAS tidak menjadi sia-sia dan ingat akhirnya impak keputusan anda akan jatuh ke muka kami sebagai tenaga pengajar. Ingat, pelajar yang baik "menurut kata".


Selasa, 4 Jun 2013

KEPUTUSAN TIDAK RASMI BAHASA MELAYU PPT 2013 TING. 4S DAN 4H


KEPUTUSAN TIDAK RASMI BAHASA MELAYU TING 4H  PPT 2013


TOV PELAJAR 4H SILA TAMBAH PADA RUANG AR2 UNTUK MUHASABAH DIRI




KEPUTUSAN TIDAK RASMI BAHASA MELAYU TING 4S  PPT 2013



TOV PELAJAR 4S  SILA TAMBAH PADA RUANG AR2 UNTUK MUHASABAH DIRI


Soalan Karangan Berpandu PPT 2013

Sebelum anda membaca contoh karangan terbaik ,sama ada dihasilkan oleh rakan sebaya atau contoh karangan yang saya lampirkan, sila rujuk kriteria karangan cemerlang yang telah saya bicarakan semasa mengulas jawapan karangan PPT tingkatan lima 2013. Paling penting anda perlu faham bagaimana karangan cemerlang dihasilkan dan pemarkahan setiap hasilan karangan berpandu dan karangan umum. Selain itu, anda juga perlu tahu kekerapan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar semasa mengarang.

Contoh Karangan Berpandu Terbaik PPT 2013




Contoh Karangan Berpandu Terbaik Kedua PPT 2013



Soalan Karangan Umum PPT 2013


DI BAWAH SAYA SENARAIKAN CONTOH KARANGAN UMUM TERBAIK. UNTUK KARANGAN HASILAN PELAJAR SAYA AKAN TERBITKAN KEMUDIAN.

         Contoh Karangan Soalan Pertama:-
            Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.
             Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya . Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
        Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,  sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.  Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi nkejora,  dicampak ke  bumi menjadi penawar.  Pernyataan di atas  jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
              Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput.  Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan.  Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
             Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,  menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh.  Tegasnya ,  pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . 
            Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.  Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis.  Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan  tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan “role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku, Syurgaku”

Contoh Karangan Soalan Pertama Hasilan Pelajar ( 1) :-




Contoh Karangan Soalan Pertama Hasilan Pelajar ( 2):-





Contoh Karangan Soalan Pertama  Hasilan Pelajar (3) :-



Contoh Karangan Soalan Pertama  Hasilan Pelajar (4) :-



        Karangan Soalan Kedua:-
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan  semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar. Tegasnya, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa  mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,  apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar  cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa,  jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil  lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan  bahawa ‘ tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

         Contoh Karangan Ketiga:-
            Dalam mendepani era modenisasi pada abad ke-21 kini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju lain. Namin sering meniti dari bibir ke bibir segenap umat manusia tentang fanomena kejadian tanah runtuh yang semakin membimbangkan. Kemelut ini juga disiarkan dalam media massa seperti internet, televisyen dan surat khabar. Dari segi konsepsinya, kejadian tanah runtuh ialah kejadian yang berlaku akibat daripada gelongsoran tanah di lereng-lereng bukit. Implikasinya, fenomena ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan boleh meragut nyawa pengguna jalan raya mahupun penduduk yang berdekatan. Persoalan yang bermain dalam kotak fikiran kita ialah mengapakah fenomena ini boleh berlaku dan siapakah yang patut dipersalahkan? Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR), fenomena kejadian tanah runtuh ini berpunca daripada kegiatan pembalakan hutan secara berleluasa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya menyebabkan hakisan tanah. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang mesti dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi fenomena ini sebelum nasi menjadi bubur.

     Cara-cara untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh adalah mengawal pembangunan perumahan di lereng-lereng bukit. Dalam hal ini, pembinaan taman perumahan di lereng bukit mesti mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu mengetatkan undang-undang kelulusan projek di bukit dan juga tidak meluluskan projek yang kecerunannya melebihi 35 darjah yang ditetapkan oleh kerajaan. Seperti kata dalam peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Kejadian seperti berlaku di Highland Towers 1993 melibatkan 16 mangsa terkorban, tanah runtuh yang berlaku di Ulu Yam Selangor pada 2008, dua mangsa terkorban , Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu  Langat,  pada 2011, 25  mangsa tertimbus, dan banyak lagi peristiwa kejadian tanah runtuh adalah pengajaran untuk semua pihak terutama pihak pemaju untuk membina projek yang berisiko tinggi tanah runtuh. Tegasnya, pembangunan di lereng bukit terutama untuk tujuan perumahan perlu dikawal agar kejadian tanah runtuh dapat dielakkan.
     Langkah yang tidak  boleh dikesampingkan untuk mengelak kejadian tanah runtuh ialah membina sistem perparitan yang terancang. Dalam konteks ini, tindakan berkenaan dapat mengurangkan kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit-bukau di negara kita. Sementelahan pula, tanah di bukit tidak mudah tergelongsor ke jalan raya dan dapat mengelakkan kes kemalangan. Terdapat statistik menjelaskan bahawa kejadian tanah runtuh disebabkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan aktiviti pembalakan haram antara penyebab berlakunya tanah runtuh. Implikasinya, langkah yang efektif dan pragmatik dapat ditangani dengan baik. Misalnya, pihak kerajaan perlu membina parit atau longkang yang sesuai dan sempurna di kawasan perumahan masyarakat. Justifikasinya, dapat mengurangkan kejadian kegelongsoran tanah di tempat kediaman masyarakat. Jadi jelaslah bahawa melalui langkah membina sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita sebelum nasi menjadi bubur.

            Jika ditelusuri secara mendalam, antara langkah yang pragmatik yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh ialah kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku. Oleh sebab itu, kerajaan haruslah mengenakan hukuman yang maksimum kepada pemaju perumahan yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bukan sahaja kerajaan malahan masyarakat juga harus memainkan peranan dalam mengelakkan kejadian tanah runtuh ini. Hal ini demikian kerana tangan-tangan manusia inilah yang telah menyebabkan berlakunya kejadiaan tanah runtuh ini. Kejadian ini juga perlu dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak yang berwajib agar masalah ini dapat ditangani dengan segera. Agensi-agensi kerajaan harus mengadakan kempen “Cintai Alam Sekitar”  agar dapat mengelakkan kejadian tidak diingini dar terus berlaku kerana sudah terhantuk baru tergadah amat merugikan negara dan masyarakat. Anak-anak harus dididik dari kecil agar apabila dewasa kelak, mereka akan menyanyangi alam sekitar dan alam sekitar akan terjaga. Ibu bapa haruslah melentur buluh biarlah dari rebungnya sebelum nasi sudah menjadi bubur. Tegasnya, pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan kejadian ini daripada terus berlaku.

            Tambah satu isi lagi ( Peranan media masa)..........................................................

.................................................................................................................................................

.................................................................................................................................................

     Sebagai konklusinya kita sebagai anggota masyarakat Malaysia hendaklah menjaga alam sekitar supaya kurang bencana alam seperti tanah runtuh. Seyogia, marhaen Malaysia hendaklah mengurangkan sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Mencegah lebih baik daripada merawat. Peribahasa berkenaan amat sesuai digunakan untuk memastikan masalah ini berlaku.  Elbert Hubbard pernah berkata, “kebijaksanaan ialah keupayaan untuk bertindak pada masa yang benar-benar tepat. Jika kita tersalah langkah, kita ibarat menconteng arang kemuka sendiri.” Oleh sebab itu, sebagai warganegara prihatin, janganlah kita hanya melepaskan batuk di tangga dalam mengurangkan masalah tanah runtuh kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, kita hanya akan menyesal buat selama-lamanya.

Contoh Karangan Keempat Hasilan Pelajar :-




  Hasilan Adik Wan Nusratina bt. Wan Tajri, Pelajar 4S 2012

  Contoh Karangan Keempat Hasilan Pelajar:-





Contoh Karangan Kelima:-




SAYA MOHON MAAF KERANA TIDAK DAPAT MEMPAMERKAN KESEMUA
KARANGAN MENARIK KERANA FAKTOR MASA. NAMUN SAYA, AKAN CUBA
UNTUK MEMPAMERKAN JIKA ADA KESEMPATAN MELAKUKANNYA SELEPAS INI.