Karangan
boleh dimulai dengan penulisan jenis karangan tertentu. Oleh sebab itu pelajar
boleh memilih jenis-jenis karangan seperti di bawah:-
JENIS-JENIS
PENGENALAN KARANGAN:-
1. Pengenalan jenis umum.
2.
Pengenalan jenis pendapat dan kata-kata
pemimpin
3.
Pengenalan jenis definisi.
4.
Pengenalan
jenis sejarah.
5.
Pengenalan
jenis lagu.
6.
Pengenalan
jenis puisi.
7.
Pengenalan
jenis iklan.
8.
Pengenalan
jenis cerita.
9.
Pengenalan
jenis fakta.
10.
Pengenalan jenis cerita
11.
Pengenalan jenis persoalan.
1.
Penulisan pengenalan jenis umum
memerlukan pelajar menulis lima jenis ayat iaitu
a) Ayat tema
b) ayat rangsangan
c) frasa menarik
d) Unsur KBAT e) ayat
arahan.
Ayat
tema : Merujuk kepada soalan karangan.
Ayat
rangsangan ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk
membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna
kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan
jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk
kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya
berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat
yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan
pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat
pembaca atau pemeriksa untuk menentukan slot markah sama ada markah cemerlang,
kepujian, baik, memuaskan, kurang memuaskan dan pencapaian minimum.
Frasa
menarik : merujuk kepada peribahasa/ hadis/ maksud ayat Al Quran/puisi/ kata-kata pemimpin/ stastitik dan
sebagainya.
Unsur KBAT:
Kesan dan akibat.
Ayat
arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata
kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau
pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan
seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan
pengenalan.
** Perenggan pengenalan cemerlang dan
sesuai dengan tahap pelajar SPM, bilangan ayat dalam perenggan pengenalan mesti
mengandungi lima atau enam ayat.
Contoh soalan:
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras
gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini
masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?
Contoh
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin
bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan
swasta, ahli politik, dan orang awam. (AR1) Keadaan ini membimbangkan kita
kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api
di dalam sekam. (AR2) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat
yang tiada integriti, dan boleh merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.(AR3)
Bahkan juga, isu rasuah boleh menyebabakan sesebuah kerajaan yang kukuh menjadi
lemah, dan tidak dipercayai oleh msyarakat. [ AR4 ] Sejarah telah menunjukkan
isu rasuah meruntuhkan sesebuah kerajaan seperti yang berlaku di negara
Jepun, dan Thailand. [ AR 4 ] [ Oleh sebab itu, semua pihak samada ada
kerajaan mahupun masyarakat sesebuah Negara harus berusaha untuk membanteras
gejala rasuah kerana rasuah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat,
ekonomi, dan maruah negara. ( AA)
Contoh soalan 2.
Di negara kita, kes kemalangan jalan raya
berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang
perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.
Hampir setiap hari media masa sama ada
media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan
raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya
kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam
kemalangan. (AR2) Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di
negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Menurut stastitik
bagi tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri 2015, sebanyak 20,458 kemalangan yang
melibatkan 330 kematian telah direkodkan oleh Polis Di Raja Malaysia
(Stastitik). Justeru, stastitik berkenaan merupakan
kejutan yang menakutkan kita sebagai masyarakat Malaysia. ( AR4) Oleh itu,
pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil
langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)
Dalam jawapan contoh pengenalan di atas (
AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan
3, (Ayat Contoh Statistik ) dan (AA) ayat arahan.
2. Pengenalan jenis definisi.
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi
berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan
punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.
“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain
sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang
dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera.
Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk
fizikal dan penderaan berbentuk mental. Bedasarkan keratin akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 15 April 2016, Sebanyak 1,531 kes penderaan kanak-kanak
telah dilaporkan di seluruh negara dengan 46 daripadanya melibatkan kematian
sejak 2011 sehingga Mac 2016.
Berdasarkan kajian, banyak faktor penyebab berlakunya gejalaini berlaku
terutamanya kepada kanak-kanak.
3. Pengenalan jenis pendapat
pemimpin.
Kepentingan bahasa
Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan
yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa
Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia
ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan
penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita.
Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada
kepada rakyat mahupun negara.
4. Pengenalan jenis suasana atau
situasi.
Jiran
anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu.
Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.
Apabila saya sampai di tempat kejadian
itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu,
tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang
berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat
masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan
sesuatu tindakan. Tambahan pula. tiada alat yang boleh saya gunakan untuk
membantu saya menyelamatkan mangsa. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan
mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan
batu itu dapat diselamatkan.
5. Pengenalan jenis persoalan.
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di
jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor
yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?
Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang
dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan
raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan
kemalangan ini berlaku?
6. Pengenalan
jenis sejarah.
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan
mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.
Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri
dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini
diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di
Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan
pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak
Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan
bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan
berbanding dengan negara-negara lain?
7. Pengenalan
jenis berita .
Sistem pengangkutan di negara ini telah
mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang
lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi
kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem
pengangkutan moden di negara ini.
‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang
terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri
Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi
eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih
besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet.
Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai
tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem
pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan
lain-lain lagi.
8. Pengenalan jenis
peribahasa.
Peribahasa
”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh
masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang
tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha
untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.
‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat
mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep
kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran
yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah
musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila
dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa
pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep
pemuafakatan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh masyarakat. Justeru,
kejadian yang menyedihkan seperti peristiwa di atas tidak akan berlaku dalam
kalangan masyarakat. Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang
terungkap di awal perenggan ini.
9. Pengenalan jenis
dialog.
Ceritakan
sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang
tidak akan putus.
“Kataku pergi!
Pergi!!” pekik Kassim.
“Pergi
kataku!” kataku lagi.
“Mengapa mesti
aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan
kesakitan.
“Bukankah ini
rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum
ini sudah tidak boleh dibuka lagi. Namun, Aminah sedar, sekeras-keras batu akan
lembut juga apabila terkena titisan air. Aminah sedar akan sifat Pak Karim
suaminya yang kerap membuat keputusan terburu-buru tanpa usul periksa . Aminah
juga sedar, sikap pemarah Pak Karim pada hari itu sungguh berbeza. Kemungkinan
juga,suaminya mempunyai masalah pada waktu tersebut. Aminah tetap sabar dan
terus mendiamkan diri selepas itu.
Hatinya berkata-kata, “ Sabar separuh daripada iman, jika aku terus melawan
tindakaku ibarat api dengan minyak akan terus menyala.”
10. Pengenalan
jenis puisi.
Anda
telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk
esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.
Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.
Pantun
warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk.
Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu
untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah
pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi
makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat
kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar
sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian
khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros
lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.
11. Pengenalan
jenis lagu.
Pelbagai
langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di
samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara
untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.
Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang
Lagu
’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama
Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam
lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan.
Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah
kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor
pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan
penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat
di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah
dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor
pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara.
Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi
memajukan sektor pertanian di negara ini?
12. Pengenalan
Jenis petikan Hadis dan Al Quran.
Tangungjawab
pelajar menumpukan pelajaran amat penting kerana hanya pendidikan mampu
mengubah kehidupan keluarga dan diri mereka kelak. Bincangkan.
Allah
berfirman dalam Surah Al-“Asr, “ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Pengertian Surah Asr ini
amat bermakna kepada seorang pelajar, serta tanggungjawab mereka sebagai
seorang pelajar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kepada kedua-dua
ibu bapa mereka. Pelajar perlu belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran
untuk memastikan mereka mampu mengubah kehidupan keluarga dan untuk kebahagian
kehidupan mereka pada masa mendatang. Justeru, sebagai seorang pelajar, mereka
perlu tidak mengabaikan tanggung jawab mereka sebagai seorang pelajar.
Apabila kita merujuk, dan meneliti setiap
pengenalan di atas, pengenalan-pengenalan berkenaan mempunyai kekuatan
dan impaknya tersendiri kepada pembaca atau kepada pemeriksa.
Namun,keberkesanan pengenalan bergantung kepada kebijaksanaan
pelajar semasa memilih dan menentukan supaya pengenalan berkenaan efektif
dan sesuai berdasarkan tema atau soalan yang dikemukan semasa peperiksaan.