Isnin, 14 Mac 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN AWAM KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN B

 

Karangan Respon Terbuka Domain Awam ( Kerajaan, Swasta, Masyarakat dan Keluarga )

Pandemik Covid-19 telah mencatatkan kes kematian terkini iaitu seramai 32 ribu orang di Malaysia. Apakah cara yang dapat menangani penyakit berjangkit di negara kita?

Dasawarsa ini, isu penularan penyakit berjangkit menjadi tajuk hangat dalam akhbar harian utama dan isu yang menjadi polemik dalam masyarakat sehingga ada yang trauma dengan penyakit berjangkit ini. Negara kita sedang mengalami serangan penularan penyakit berjangkit Covid-19 dan telah mencatatkan kes kematian seramai 32 ribu orang. Sebelum ini, negara kita juga telah diduga dengan serangan Penyakit Selesema Burung yang juga dikenali sebagai H5N1 juga pada 2007 dan Selesema Babi atau dikenali sebagai H1N1 pada tahun 2009. Oleh itu, langkah bijak perlu diambil bagi membendung masalah yang tiada kesudahan ini kerana cegah sebelum parah sebelum kudis menjadi tokak. Persoalannya, apakah cara yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menangani masalah penyakit berjangkit ini?

Antara langkah yang signifikan dalam usaha mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan secara sistematik menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan kita agar mencuci tangan, memakai pelitup muka, dan melakukan penjarakan sosial. Kaedah ini telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi Prosedur Tetap Operasi (PTO) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Sebagai contoh, peniaga mematuhi syarat jumlah pelanggan yang boleh berada di dalam premis dengan mengikut Prosedur Tetap Operasi. Dengan cara ini, kerajaan dapat mengawal penyakit berjangkit tersebut daripada merebak.

Dalam isu yang sama, masyarakat juga hendaklah meningkatkan imunisasi diri mereka. Masyarakat hendaklah mengambil kesempatan untuk melakukan senaman, riadah atau aktiviti yang mengeluarkan peluh pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan. Hal ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan kita berada dalam keadaan sihat dan terhindar daripada penyakit. Dengan cara ini masyarakat dapat memiliki kekuatan dalaman terutama kekuatan imunisasi badan, kekuatan fikiran dan perasaan serta kekuatan fizikal bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit yang masih belum ketemu titik pengakhiran. Secara tidak langsung penjagaan kesihatan kendiri menjadi benteng utama pertahanan diri.

Dari sudut lain pula, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengetatkan syarat kemasukan pendatang asing dari luar negara. Sama ada mereka datang ke Malaysia sebagai pelancong atau sebagai pekerja, Jabatan Imigresen hendaklah melakukan saringan kesihatan terhadap mereka. Banyak kes jangkitan penyakit berjangkit dibawa oleh pendatang asing. Sebagai contoh, kes COVID-19 yang berlaku di Napoh adalah disebabkan oleh pendatang asing yang tidak melakukan kuarantin diri sehingga wujudnya kluster Sivangangga. Kes ini menjadi bukti bahawa pendatang asing menjadi ejen pembawa penyakit berjangkit ke negara Malaysia. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak segera dengan menutup semua pintu masuk negara bagi membendung masalah ini daripada berlaku.

Dalam konteks yang sama berkaitan isu penguatkuasaan undang-undang, kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman berat terhadap individu atau syarikat yang masih berdegil tidak mematuhi Prosedur Tetap Operasi. Mereka hendaklah dikenakan denda yang besar dan hukuman yang berat agar memberi keinsafan kepada pesalah dan orang lain. Sebagai contoh, denda sebanyak seribu ringgit dikenakan terhadap pesalah yang melanggar Prosedur Tetap Operasi dan mereka yang masih berdegil melanggar PKP, akan dikenakan hukuman penjara di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Akta 342.

Secara keseluruhannya, pelbagai langkah drastik dan efektif telah diambil oleh semua pihak bagi memutuskan rantaian penyakit berjangkit ini. Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, agama dan kaum hendaklah bersatu hati dan mengetepikan segala persengketaan yang disebabkan isu-isu politik dan sosial demi mencari satu titik persamaan bagi membendung wabak Covid-19 ini.

Tiada ulasan: