Khamis, 11 April 2019

PENULISAN KARANGAN BERPANDU - PUNCA-PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR


 
Lihat gambar di bawah dengan teliti.
Huraikan pendapat anda tentang punca-punca berlakunya pencemaran di negara kita. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

        DALAM era globalisasi ini, setiap negara dunia berlumba-lumba untuk  mencapai kemajuan sehingga sanggup menggadaikan kelesterian alam sekitar yang sangat berharga. Pada tanggal 7 Mac 2019, negara digemparkan dengan tragedi hitam pabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang hilang kewarasan akal dan kemurnian intergiri dengan rakus membuang bahan buangan kimia terlarang di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang Johor Bahru hingga mencemari sungai tersebut demi mengejar kemajuan. Pencemaran sungai berkenaan mengakibatkan lebih 5,848 orang awam menerima rawatan di hospital, dan menyebabkan 111 buah sekolah ditutup demi keselamatan  pelajar. Impak daripada pencemaran Sungai Kim-Kim, Kerajaan negeri Johor telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan bantuan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pencemaran” bererti perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah-sarap dan sebagainya. Persoalannya yang tergiang-ngiang di gawang minda kita ialah apakah punca-punca berlakunya pencemaran di negara kita?

                    Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat yang sanggup menodai sungai yang tidak berdosa. Hal ini demikian terjadi kerana ada segelintir pengusaha kilang penguraian tayar haram tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan sering memandang enteng isu kelestarian alam sekitar. Mereka hanya mengejar serta mementingkan kememawahan dan keuntungan tanpa memikirkan kesannya perbuatan terkutuk yang dilakukan kepada masyarakat di sekeliling mereka dengan membuang bahan kimia terlarang ke dalam Sungai Kim-Kim. Antara bahan kimia yang disyakki dibuang di sungai Kim-Kim ialah mentana, hydrogen, klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toluene, exylene, dan limonene. Paling mengejutkan lemonene merupakan sebatian yang digunakan dalam proses paralisis iaitu pengasingan atau menghancurkan elemen tayar untuk kitar semula dan juga digunakan sebagai sebatian kimia yang digunakan sebagai pelarut organik. Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memaklumkan 300 metrik tan tanah dan enap cemar serta 150 metrik tan air tercemar yang dikeluarkan akan diurus oleh syarikat pembakaran di Pasir Gudang sebelum dihantar ke Seremban bagi tujuan pelupusan. Kos pelupusan bahan pencemaran berkenaan memakan kos yang tinggi dan perlu ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai. Sekiranya, semua pihak berkepentingan mengikut peraturan dan tidak membuang bahan buangan industri sebarangan sudah pasti tragedi hitam di Sungai Kim-Kim tidak akan berlaku kerana apabila sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi. Tegasnya punca berlakunya pencemaran akibat tangan-tangan kotor individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat mencemar sungai negara.


                    Bahkan juga, pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta tanpa memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya pencemaran air, tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk lagi, jika hal ini dibiarkan berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan menyebabkan hujan yang turun tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang berfungsi menyerap lebihan air yang mengalir. Tindakan ini akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya menyebabkan pencemaran sungai dan mendapan lumpur yang dibawa menyebabkan air sungai menjadi semakin cetek. Kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang iaitu di George Town,  Paya Terubung, dan Balik Pulau antara contoh kejadian tanah runtuh akibat pembangunan yang dilakukan secara tidak sistematik yang melibatkan kematian dan kecederaan berlaku pada tahun 2018. Selain itu, penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam proses pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan yang menolak natijah alam maka terciptalah kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap keputusan yang diizharkan. Jika keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan dalam pertimbangan ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya. Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak perlu berhampar lapis, berlicin daun.  Tegasnya, pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta antara punca berlakunya pencemaran alam sekitar.

                 Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda, justeru kurangnya bukti yang boleh mengheret individu yang terbabit dalam pencemaran lantaran pemantauan yang tidak konsisten oleh pihak berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran yang kini berleluasa tanpa mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan antah. Undang-undang yang diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan tanpa adanya penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa khususnya pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut dan bukan hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang kesedaran sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik dengan membuat serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran dengan segera kerana jika kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek kemaslahatan rakyat, maka masalah pencemaran pasti berada di tahap yang semakin membimbangkan. Situasi pencemaran yang berlaku di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor contohnya, sehingga kini masih tidak ada keputusan pendakwaan diputuskan terhadap penjenayah yang melalukan pencemaran yang memberi kesan kepada lebih 5,848 orang awam sedangkan jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang.  Perlukah sudah patah baru hendak melantai? Tegasnya, pemantauan dan penguatkuasaan yang kurang konsisten pihak berkuasa antara faktor membarahnya pencemaran alam sekitar di negara kita.

                    Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah sederap ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh semua pihak dan organisasi agar belenggu yang merantai permasalahan pencemaran clam sekitar seperti pencemaran air, udara, tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Namun, kejadian demi kejadian pencemaran terus berlaku seperti lautan yang tidak ada penghujungnya. Tragedi pencemaran Sungai Kim-Kim dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang perlu diambil iktibar oleh masyarakat dan pihak berkuasa agar peristiwa tragis berkenaan tidak berulang kembali kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diutamakan kerana setiap pesalah yang terlibat menodai kelestarian alam sekitar ibarat enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing perlu diadili dan menerima hukuman sewajar dengan kesalahan yang mereka lakukan. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan yang akan mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang

DRAMA -BUKAN GILA KAJIAN KOMSAS ANTOLOGI SEJARAH RINDU TINGKATAN LIMA


SINOPSIS

ADEGAN I

Drama ini mengisahkan tentang Azmir yang dimasukkan ke wad kerana dikatakan kurang siuman. Semasa di dalam wad, fikirannya bercelaru dan dengan membayangkan kehadiran Ani, bapa dan Pak Haji serta berdialog dengan mereka. Dialog-dialog tersebut telah memperlihatkan perbezaan prinsip yang menjadi pegangan Azmir.

ADEGAN II

Azmir telah dilawati oleh doktor. Doktor telah mengizinkan Azmir untuk keluar bersiar-siar dari wad pesakit jwa. Namun begitu, doktor berpesan supaya Azmir tidak pergi jauh, hanya di kawasan wad sahaja.

ADEGAN III

Dalam adegan ini terdapat sesi pementasan lakonan yang diarahkan oleh Arif dan tiga orang pelakon. Setiap watak menyatakan prinsip hidup yang berbeza tentang dunia. ( dunia ialah kuasa, wang ialah dunia dan dunia ialah fikiran). Azmir pula berpendapat bahawa yang penting ialah sistem. Sistem yang betul ialah sistem yang prorakyat. Rakyat yang berkuasa menentukan segala-galanya. Dialog mereka berkisar tentang kehidupan ini yang berbentuk lakonan atau realiti. Azmir berpendapat bahawa sejarah membuktikan bahawa rakyat yang betul dan kemenangan sentiasa berpihak kepada rakyat. Pada masa yang sama Azmir sering melaung kesakitan pada kepalanya. Azmir diragui oleh kawan-kawannya sama ada Azmir benar-benar sakit atau hanya lakonan.

Kemudian Doktor Razi telah datang dan membawa Azmir kembali ke wad setelah tiga hari telah hilang.

ADEGAN IV

Arif, Pelakon 1, Pelakon 2 dan Pelakon 3 telah menziarahi keluarga Azmir. Mereka ingin mendapatkan maklumat latar belakang hidup Azmir. Ibu bapa Azmir nenceritakan kisah Azmir yang tinggal dengan neneknya, bersikap gila-gila, mula berpelakuan aneh apabila berada dalam tingkatan 6 dan tidak dapat menamatkan pengajian di universiti. Dia jugamenggunakan nama W.A. Domski dan bercakap dalam bahasa Indonesia. Rakan Azmir pula mempunyai persepsi yang berbeza tentang diri Azmir. Rakan Azmir berpendapat mungkin Azmir kekurangan kasih saying dan sokongan daripada kedua ibubapa. Pelakon 2 pula berpendapat Azmir sedang menanggung kesakitan yang berat. Pelakon 1 pula berpendapat mereka perlu membantu Azmir kerana pada tanggapannya dia memerlukan kasih sayang, bukan cemuhan dan penghinaan.

ADEGAN V

Azmir bermonolong tentang kisah lampau hidupnya bercinta dengan Ani. Azmir juga bermonolong tentang suka duka kehidupannya.Manusia sering tertipu dengan keindahan dunia tanpa pertimbangan yang rasional. Akhirnya dia memilih untuk hidup bersendiri dan menilai cinta dalam kehidupan. Manusia ialah pemburu dalam kehidupan

ADEGAN VI

Berita kematian Azmir dilaporkan dalam akhbar pada 21 Jun 1993. Kematiannya amat mengejutkan dan dikaitkan berpunca daripad penyakit barah otak dilamainya. Ani menyesal kerana meninggalkan Azmir

TEMA
Ketabahan seorang anak muda melawan penyakit yang dihidapi
PERSOALAN:-
1.         Perbezaan pemikiran  dan tindakan menyebabkan seseorang itu dianggap           janggal oleh masyarakat sekeliling.
-Contoh:Azmir dianggap gila kerana mempunyai pandangan yang berbeza tentang  hidup (cinta, sifat kemanusiaan, prinsip hidup) berbanding orang lain.
2.         Kepentingan cinta dan kasih sayang
            Contoh: Cinta dan kasih sayang amat penting bagi menjamin kebahagiaan
3.         Rencah kehidupan
            Contoh: hidup ini ibarat roda yang berputar, ada suka dan dukanya.
4.         Dunia ini ibarat pentas lakonan
            Contoh: dalam kehidupan di dunia ini, manusia ialah pelakonnya yang
                            membawa pelbagai watak
5.         Kesakitan boleh membawa penderitaan
            Contoh: Azmir yang menanggung kesakitan kerana menghidap barah otak.
6.         Sokongan daripada ahli keluarga terdekat boleh memberi kekuatan dalam             menghadapi cabaran hidup.
Contoh: Azmir  menanggung cabaran hidup tanpa sokongan ibu bapa dan
              kekasih hati.
7.         Keprihatinan perlu ada dalam diri setiap manusia.
Contoh:Tindakan para pelakon yang mengunjungi rumah Azmir untuk
             mengetahui latar belakang hidup Amir
8.         Setiap orang perlu mempunyai sikap bantu-membantu .
Contoh : Para pelakon yang membantu mengurangkan kesakitan dengan
               memicit-micit kepalanya
8.         Kekuasaan Tuhan
            Contoh: perlu menerima takdir terhadap yang telah ditentukan oleh Tuhan

9.         Sifat berterima kasih
Contoh: setiap manusia perlu berterima kasih terhadap sumbangan orang lain
              dalam kehidupan mereka – ibu bapa, para petani.
10.      Hikmah di sebalik sesuatu kejadian
            Contoh: sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai pelbagai hikmah yang
                           tersembunyi

Plot Binaan Plot (a) Plot drama ini disusun secara kronologi.
(b) Pengenalan
     Azmir berada di wad pesakit jiwa di Hospital Besar seorang diri dan berada dalam khayalan.
(c) Perkembangan
Azmir sentiasa berkhayal akan kehadiran Ani, kekasihnya yang sudah meninggalkannya kerana Azmir dikatakan gila. Azmir juga berkhayal akan kehadiran ayahnya yang menziarahinya di wad. Azmir bertelingkah dengan ayahnya kerana dia beranggapan ayahnya tidak sayangkannya. Kemudian, Azmir berkhayal pula tentang Pak Haji melawatnya di wad. Dia bertengkar dengan Pak Haji tentang namanya dan sikap manusia yang tidak bertindak seperti yang dikatakan oleh mereka. Azmir kembali berkhayal bahawa Ani datang mengunjunginya. Azmir mempertikaikan kata-kata cinta Ani terhadap dirinya. Selepas itu, doktor melawat Azmir di wad. Doktor memeriksa Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar wad.
 (d) Perumitan
Arif dan pelakon-pelakon lain ingin memantapkan kefahaman tentang tajuk drama mereka, iaitu Sasau. Tiba-tiba Azmir datang dan mencelah sewaktu Arif dan pelakon-pelakon lain membuat latihan drama. Azmir mempertikaikan dialog drama Sasau yang mengagungkan kuasa. Azmir mengatakan bahawa sistem terbaik ialah sistem yang prorakyat. Para pelakon berbincang dengan Azmir tentang sistem tersebut. Tibatiba Azmir berasa sakit dan meminta pelakon memicit kepalanya.
 (e) Klimaks
Azmir menghantuk-hantukkan kepala ke lantai sehingga berdarah. Azmir berguling-guling di lantai kerana kesakitan dan darah masih mengalir di pipinya. Arif dan pelakon-pelakon lain membantu Azmir. Selepas itu, doktor membawa Azmir ke hospital semula. Arif cuba menerangkan kepada doktor bahawa Azmir sedang menderita suatu penderitaan yang tidak tertanggung olehnya. Doktor mengatakan bahawa orang gila sememangnya pandai berkata-kata.
(f) Peleraian
Arif dan pelakon-pelakon lain mengunjungi ibu bapa Azmir di rumah. Mereka menerangkan keadaan Azmir kepada Arif. Arif menjelaskan bahawa Azmir bukan buat-buat gila tetapi sedang menderita suatu penderitaan. Pelakon 1 meminta ibu bapa Azmir agar memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya. Arif mencadangkan ibu bapa Azmir berjumpa dengan Azmir di hospital sebelum terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir mengimbau kenangan lalu antaranya dengan Ani. Akhirnya, Azmir semakin lemah dan jatuh ke lantai. Ani yang berada di rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad yang dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Ani berasa bersalah dan bersikap kejam terhadap Azmir

Watak Utama : Azmir

1.       Azmir diletakkan di wad sakit jiwa kerana keluarganya menyangka bahawa dia tidak siuman akibat sering terguling-guling dan menghantukkan kepada ke lantai.

2.      Dia suka berfalsafah dan bersyarah.

3.      Dia bijak kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan memberi pendapat yang bernas.

4.      Menghidap penyakit barah yang kronik.

5.      Seorang yang berbudi bahasa kerana menyatakan penghargaan kepada mereka yang berjasa dalam membangunkan negara.

6.      Seorang yang petah berkata-kata apabila menyuarakan pendapat.

7.      Seorang yang bijak menyatakan pendapat sewaktu menyertai drama ‘Sasau’ secara spontan.

8.     Azmir seorang yang optimis kerana tidak mudah melatah apabila disoal para pelakon drama sebaliknya menerangkannya dengan baik.

Watak Sampingan dan Perwatakan

Bapa
1.       Bapa kepada Azmir
2.      Seorang yang penyayang kerana sering menziarahi Azmir.
3.      Namun, dia kurang memberikan perhatian dan kasih sayang serta sokongan kepada Azmir kerana tidak tahu anaknya menghidap penyakit barah otak.

Ibu
1.       Ibu kepada Azmir
2.      Dia tidak prihatin terhadap anaknya.
3.      Mengambil mudah tentang perubahan sikap Azmir dan menyangka anaknya itu sengaja buat-buat gila.
4.      Mudah putus asa kerana menyatakan ketidaksanggupannya menjaga Azmir yang sengaja berbuat gila.
5.      Mudah percaya tuduhan orang yang menyatakan Azmir menjadi Orang Putih.

Arif
1.       Pengarah drama ‘Sasau’.
2.      Seorang yang rasional iaitu tidak mudah menerima komentar pelakon tentang Azmir.
3.      Mudah bersimpati – bersimpati terhadap Azmir yang padanya sedang menderita bukannya gila seperti dakwaan doktor.
4.      Seorang yang prihatin – berusaha menjejaki keluarga Azmir untuk mengetahui kedudukan sebenar Azmir yang dikatakan gila.

Ani
1.       Kekasih Azmir.
2.      Tidak setia kerana meninggalkan Azmir yang disangkanya gila tanpa usul periksa.
3.      Menyedari kesilapannya, namun telah terlambat kerana Azmir telah meninggal dunia.

Drama Bukan Gila : Latar Masa dan Latar Tempat (Komsas Tingkatan 5)
Latar Tempat
1.       Wad pesakit gila – tempat Azmir menjalani rawatan.
2.      Pentas – tempat para pelakon drama ‘Sasau’ berlakon.
3.      Rumah Azmir – tempat tinggal Azmir dan dikunjungi Arif serta rakan-rakannya.
4.      Ruang tamu rumah Ani – tempat ani duduk membaca akhbar tentang kematian Azmir.
Latar Masa
1.       Waktu siang – Bapa dan Pak Haji melawat Azmir di wad.
2.      Tiga hari – tempoh Azmir menghilangkan diri dari wad pesakit jiwa.
3.      Sehari – tempoh Arif dan para pelakon berkawan dengan Azmir.
4.      21 Jun 1993 – tarikh kematian Azmir.

Latar Masyarakat
1.       Golongan pesakit yang menderita penyakit kronik – Azmir mengalami sakit kepala yang teruk kerana menghidap penyakit barah otak.

2.      Masyarakat golongan doktor yang kurang ilmu – Dr Razi tidak teliti ketika memeriksa dan merawat Azmir. Sebaliknya, dia mengambil jalan mudah dengan mengatakan Azmir gila.

3.      Masyarakat golongan ibu bapa yang kurang memberikan sokongan dan kasih sayang. – Ibu bapa Azmir sering mengambil mudah tentang perubahan sikap Azmir. Mereka tidak mengambil tahu tentang penderitaan Azmir yang menghidap barah otak.

4.      Masyarakat yang prihatin dan mengambil berat. – Arif dan rakan-rakannya prihatin terhadap penderitaan Azmir. Mereka berkunjung ke rumah Azmir untuk melawatnya.

5.      Masyarakat yang bijak dan petah berkata-kata. – Azmir mampu berkata-kata dengan petah dan hujah yang bernas.

6.      Masyarakat yang penyayang, – Bapa Azmir melawatnya di hospital.
7.      Masyarakat yang mudah mempercayai khabar angin tanpa menyelidik terlebih dahulu. – Ani mengambil keputusan memutuskan cinta dengan Azmir dan meninggalkannya setelah mendengar khabar bahawa Azmir kurang siuman.

8.     Masyarakat yang menginsafi kesilapan. – Ani menginsafi kesilapannya kerana meninggalkan Azmir. Namun, tindakannya telah terlambat kerana Azmir sudah meninggal dunia.

9.      Masyarakat yang bertimbang rasa. Arif dan para pelakon memberi peluang kepada Azmir berlakon dan mendudukkannya yang sakit apabila dipinta serta memicit-micit kepalanya.

GAYA BAHASA
1.       Simile – mata Azmir semacam melihat tepat ke arah suatu objek.

2.      Anafora – HAMBA : Rahsiamu? Rahsiamuialah penderitaanku tetapi kepuasanmu.

3.      Repetisi –  ANI : Percayalah. Ani masih mencintai abang, sungguh-sungguh mencintai abang.

4.      Metafora – kamus kemanusiaan, pesona keghairahan, angin kemudaan, pohon-pohon jasa.

5.      Sinkope – kau, mu, tak.

6.      Kata ganda – daging-daging, saat-saat.

7.      Bahasa Arab – Assalamualaikum, Astaghfirullah.

NILAI
1.       Kasih sayang
Contoh– bapa sayang akan Azmir dan menziarahinya di wad.

2.      Keprihatinan
Contoh– Pak Haji amat prihatin akan perubahan yang berlaku pada diri Azmir.

3.      Rasional
Contoh– Pak Haji bersikap rasional dengan menukar topik perbualan apabila Azmir menunjukkan rasa kurang senang.

4.      Kebijaksanaan
Contoh– Azmir bijak menyampaikan hujahnya tentang kuasa, wang, rakyat dan manusia kepada para pelakon drama ‘Sasau’.

5.      Bertanggungjawab
Contoh – Arif dan para pelakon drama ‘Sasau’ bertanggungjawab menyampaikan khabar Azmir kepada kedua-dua ibu bapanya.

6.      Kebebasan
Contoh– Azmir berasa tertekan kerana terkurung di wad dan gembira apabila diberi peluang untuk bersiar-siar.

7.      Belas kasihan
Contoh– Arif dan rakan-rakannya bersimpati dengan keadaan Azmir yang kesakitan.

8.     Kesihatan mental dan fizikal
Contoh– Azmir sering terguling-guling dan menghantukkan kepalanya ke lantai akibat sakit tetapi pakar perubatan mengatakan bahawa dia gila.

PENGAJARAN
1.    Kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita  dapat  membantu mereka.
        Contohnya, Arif prihatin terhadap nasib Azmir dan telah menasihati ibu Azmir agar segera melawat Azmir di wad pesakit jiwa sebelum terlambat.

2.      Kita hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan       khianat.          
     Contohnya, Azmir setia terhadap Ani yang telah meninggalkannya setelah Ani  beranggapan bahawa Azmir gila.

3.     Kita mestilah bersikap baik hati kepada orang lain.
        Contohnya, doktor bersikap baik hati terhadap Azmir dengan membenarkan Azmir         bersiar-siar di kawasan hospital.

4.     Kita hendaklah menghargai jasa orang lain supaya orang tersebut tidak  berasa      dipinggirkan.
   Contohnya, Azmir menghargai jasa-jasa petani, nelayan, dan buruh yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup.

5.      Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak.
Contohnya, bapa Azmir menziarahi Azmir walaupun anaknya itu dikatakan gila.

SOALAN:-



Cadangan Jawapan Soalan 2 (b)

I  
Faktor menyebabkan Azmi menderita kerana kurang:-
i)      perhatian dan kasih kedua-dua ibu bapanya
ii)     menerima kutukan dan cemuhan
iii)    menerima hukuman

ii
Tindakan-tindakan yang boleh saya ambil untuk mengatasi masalah tekanan emosi rakan saya seperti :-
i)     memberi nasihat dan motivasi kepadanya supaya masalah berkenaan  dapat diselesaikan.
ii)    Memaklumkan kepada rakan paling rapatnya supaya rakannya berkenaan mampu menyelesaikan masalah tekanan emosi berkenaan
iii)   memaklumkan kepada beliau supaya bertemu dengan kaunselor atau guru untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
iv)   memaklumkan kepada ibu bapanya tentang masalah tekanan emosi yang dihadapinya.
v)    menasihatkan beliau bertemu dengan doktor untuk menyelasikan masalah tekanan emosi beliau.

iii
Satu nilai murni yang terdapat dalam petikan drama “Bukan Gila”  di atas adalah :- (Nilai dalam petikan)
i)      nilai prihatin, contohnya rakan Azmir, Arif sanggup berjumpa ibu dan bapa Azmir untuk menasihatkan mereka bertemu dengan Azmir di hospital sebelum terlambat.
ii)    nilai kasih sayang, contohnya, pentingnya ibu bapa Azmir memberi kasih sayang kepada Azmir sebagaimana pandangan rakan Azmir iaitu Arif.
 :- ( Nilai di luar petikan )
i)      Baik hati, Contohnya, Doktor Razi membenarkan Azmir bersiar-siar di kawasan hospital.
ii)     Bertanggungjawab, Contohnya, Doktor Razi bertanggungjawab menjalankan tugasnya dengan membawa Azmir pulang ke wad.