Rabu, 27 April 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN AWAM "LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMAJUKAN INDUSTRI DESA."

Industri desa dapat mengatasi masalah pengangguran di desa.

Bincangkan langkah-langkah untuk memajukan industri desa.

Sektor industri desa telah dijalankan sejak zaman berzaman. Industri ini meliputi kraf tangan, makanan, pakaian, dan inap desa. Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era yang dilimpahi dengan teknologi maklumat, taraf hidup manusia semakin meningkat berikutan dengan perkembangan ekonomi negara kita. Sektor perindustrian sering diberikan tumpuan untuk menjana ekonomi negara kita. Walau bagaimanapun, sektor industri desa semakin dipinggirkan pada saban hari. Sebenarnya, sektor industri desa berpotensi tinggi untuk memajukan ekonomi negara kita di samping dapat mengatasi masalah pengangguran di desa. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah untuk memajukan industri desa di negara kita?

 

Langkah perdana untuk memajukan industri desa di Malaysia ialah pihak kerajaan haruslah memberikan bantuan kepada pengusaha industri desa yang muda dan baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan perusahaan mereka dalam industri desa. Contohnya, tindakan pihak kerajaan yang memperkenalkan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) merupakan satu tindakan terpuji kerana mampu memikat hati masyarakat untuk menceburi bidang industri desa. Dalam hal ini, pihak kerajaan boleh menawarkan pakej peminjaman modal, khidmat nasihat, dan peralatan kepada pengusaha tersebut. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja jadi deras”. Dengan adanya bantuan pihak kerajaan, pengusaha dapat memulakan pekerjaan industri desa dengan lancar. Tegasnya, pihak kerajaan perlu membantu pengusaha industri desa supaya mereka mampu mengusahakan industri desa dengan baik.

Selanjutnya, pihak sekolah perlu mendedahkan sektor industri desa kepada murid-murid sejak bangku sekolah lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid yang masih berdarah setampuk pinang mudah menerima pengaruh luar. Misalnya, pihak sekolah boleh mengadakan lawatan sambil belajar ke industri desa untuk mendedahkan proses pembuatan kraf tangan atau makanan di industri desa. Seterusnya, pihak sekolah turut boleh mengajak usahawan industri desa yang berjaya untuk menyampaikan ceramah kepada murid-murid. Hal ini secara tidak langsung dapat mengikis tanggapan buruk terhadap sektor industri desa dalam kalangan murid-murid dan mereka akan berminat untuk menceburi bidang tersebut ketika dewasa. Tuntasnya, pihak sekolah harus meyakinkan murid-murid bahawa sektor industri desa turut menyumbangkan pendapatan yang lumayan.

 

Sementelahan, pengusaha industri desa patut menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sendiri di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri desa dapat belajar dan mendalami budaya kraf tangan negara lain. Contohnya, dengan kelengkapan ilmu tersebut, pengusaha dapat membuat inovasi untuk menghasilkan kraf tangan yang baharu dengan penerapan nilai tempatan dan nilai estetika negara lain. Sehubungan dengan itu, kraf tangan yang baharu akan menarik perhatian pembeli dan menembusi pasaran antarabangsa kerana mempunyai reka bentuk yang berbeza dengan kraf tangan yang lama. Hal ini merupakan satu pendekatan serampang dua mata untuk menaikan nama baik negara dan menjana ekonomi negara. Tegasnya, pengusaha industri desa patut menghasilkan produk yang berbeza untuk memajukan industri desa.

 

Intihanya, industri desa mampu menjana ekonomi negara kita dan amat berpotensi untuk dimajukan. William Shakespeare pernah berkata bahawa jangan hentikan usaha yang mulia, selagi hasilnya belum dikecapi dan dicapai. Lantaran itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memajukan sektor industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Peribahasa genggam bara api, biar sampai jadi arang haruslah menjadi pegangan pengusaha industri desa dalam memulakan perusahaan industri desa. Sehubungan dengan itu, industri desa mampu dimajukan dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan industri negara maju lain. 

                                                                    (540 patah perkataan)





 

 

Ahad, 10 April 2022

KARANGAN RESPON TERBUKA DOMAIN AWAM " PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA BENCANA ALAM " KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN B

 

ISU BENCANA ALAM

           Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di dalam dan di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Persoalannya, apakah punca menyebabkan bencana alam ini berlaku?

           Aktiviti pembalakan merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

           Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab sering melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

           Bahkan, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab kerana membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

           Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Negara pernah mengami bencana alam terburuk apabila sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

          Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini.” Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.