ISU BENCANA ALAM
Dewasa ini, kita sering dikejutkan
dengan bencana alam yang berlaku di dalam dan di seluruh dunia. Berita-berita
yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi
bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam seperti tanah runtuh,
banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi telah
meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Malangnya, tiada jalan penyelesaian
untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana,
sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam
ini pasti akan terjadi. Persoalannya, apakah punca menyebabkan bencana alam ini
berlaku?
Aktiviti pembalakan merupakan antara
penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini
menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam
aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok
kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok
yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah
berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang
akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah
yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini
daripada berlaku.
Selain itu, terdapat segelintir manusia
yang tidak bertanggungjawab sering melakukan pembakaran terbuka. Hal ini
nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang
menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan
tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami
masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita
seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang
jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku
sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk
mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan
nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.
Bahkan, terdapat sesetengah anggota
masyarakat yang tidak bertanggungjawab kerana membuang sampah ke dalam longkang
dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya
menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah
kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian
kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke
dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula
akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan
menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah
mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.
Punca lain yang menyebabkan bencana alam
ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di
lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak
selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Negara pernah mengami
bencana alam terburuk apabila sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit
Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6
Disember 2008. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan
tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya
kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna
untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian
tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah
runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu
longgar dan mudah runtuh.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak
haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti
aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini.” Oleh itu, anggota
masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak
terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya
Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah
kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal
yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan