Industri desa dapat mengatasi masalah pengangguran di desa.
Bincangkan langkah-langkah untuk memajukan
industri desa.
Sektor industri desa telah dijalankan sejak zaman
berzaman. Industri ini meliputi kraf tangan, makanan, pakaian, dan inap desa. Zaman
beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era yang dilimpahi dengan teknologi
maklumat, taraf hidup manusia semakin meningkat berikutan dengan perkembangan
ekonomi negara kita. Sektor perindustrian sering diberikan tumpuan untuk
menjana ekonomi negara kita. Walau bagaimanapun, sektor industri desa semakin
dipinggirkan pada saban hari. Sebenarnya, sektor industri desa berpotensi
tinggi untuk memajukan ekonomi negara kita di samping dapat mengatasi masalah
pengangguran di desa. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda
saya ialah apakah langkah-langkah untuk memajukan industri desa di
negara kita?
Langkah perdana untuk memajukan industri desa di
Malaysia ialah pihak kerajaan haruslah memberikan bantuan kepada pengusaha
industri desa yang muda dan baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha
tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan perusahaan mereka dalam
industri desa. Contohnya, tindakan pihak kerajaan yang memperkenalkan Industri
Kecil dan Sederhana(IKS) merupakan satu tindakan terpuji kerana mampu memikat
hati masyarakat untuk menceburi bidang industri desa. Dalam hal ini,
pihak kerajaan boleh menawarkan pakej peminjaman modal, khidmat nasihat, dan
peralatan kepada pengusaha tersebut. Bak kata peribahasa, “ada padi semua
kerja jadi, ada beras semua kerja jadi deras”. Dengan adanya bantuan pihak
kerajaan, pengusaha dapat memulakan pekerjaan industri desa dengan lancar.
Tegasnya, pihak kerajaan perlu membantu pengusaha industri desa supaya mereka
mampu mengusahakan industri desa dengan baik.
Selanjutnya, pihak sekolah perlu mendedahkan
sektor industri desa kepada murid-murid sejak bangku sekolah lagi bagai
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana
murid-murid yang masih berdarah setampuk pinang mudah menerima
pengaruh luar. Misalnya, pihak sekolah boleh mengadakan lawatan sambil belajar
ke industri desa untuk mendedahkan proses pembuatan kraf tangan atau makanan di
industri desa. Seterusnya, pihak sekolah turut boleh mengajak usahawan industri
desa yang berjaya untuk menyampaikan ceramah kepada murid-murid. Hal ini secara
tidak langsung dapat mengikis tanggapan buruk terhadap sektor
industri desa dalam kalangan murid-murid dan mereka akan berminat untuk
menceburi bidang tersebut ketika dewasa. Tuntasnya, pihak sekolah harus
meyakinkan murid-murid bahawa sektor industri desa turut menyumbangkan
pendapatan yang lumayan.
Sementelahan, pengusaha industri desa patut
menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sendiri di negara-negara jiran seperti
Thailand dan Indonesia. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri
desa dapat belajar dan mendalami budaya kraf tangan negara lain. Contohnya,
dengan kelengkapan ilmu tersebut, pengusaha dapat membuat inovasi untuk
menghasilkan kraf tangan yang baharu dengan penerapan nilai tempatan dan nilai
estetika negara lain. Sehubungan dengan itu, kraf tangan yang baharu akan
menarik perhatian pembeli dan menembusi pasaran antarabangsa kerana mempunyai
reka bentuk yang berbeza dengan kraf tangan yang lama. Hal ini
merupakan satu pendekatan serampang dua mata untuk menaikan nama baik
negara dan menjana ekonomi negara. Tegasnya, pengusaha industri desa patut
menghasilkan produk yang berbeza untuk memajukan industri desa.
Intihanya, industri desa mampu menjana ekonomi
negara kita dan amat berpotensi untuk dimajukan. William Shakespeare
pernah berkata bahawa jangan hentikan usaha yang mulia, selagi hasilnya belum
dikecapi dan dicapai. Lantaran itu, semua pihak haruslah bekerjasama
bagai aur dengan tebing untuk memajukan sektor industri desa kerana
bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Peribahasa genggam bara
api, biar sampai jadi arang haruslah menjadi pegangan pengusaha
industri desa dalam memulakan perusahaan industri desa. Sehubungan dengan itu,
industri desa mampu dimajukan dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
industri negara maju lain.
(540 patah perkataan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan