Gejala vandalisme merupakan masalah sosial yang sering berlaku di masyarakat kita. Apakah langkah proaktif yang dapat mengatasi gejala vandalisme di Malaysia.
Gejala vandalisme atau laku musnah merupakan
gejala sosial yang masih belum ketemu jalan penyelesaiannya malah semakin hari
semakin parah bagai luka yang bernanah menjadi pekong dalam kalangan masyarakat
sehingga tidak mampu untuk ditutup ibarat bangkai gajah tidak dapat ditutup
dengan nyiru. Namun, gejala ini perlu dihentikan segera agar tidak menjadi
norma baharu dalam kehidupan remaja kita. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil
dengan segera bagi membendung gejala ini daripada terus beraja di mata
bersultan di hati. Persoalan yang selalu menerjah kotak pemikiran kita ialah,
apakah langkah atau tindakan proaktif yang wajar diambil bagi membendung gejala
vandalisme ini daripada terus berlaku?
Dalam isu yang sering dikaitkan remaja,
maka pokok perbincangan ini haruslah melihat remaja itu sendiri. Mereka
merupakan golongan muda yang banyak menerima pengaruh sama ada baik atau tidak.
Perkara ini pernah dinukilkan dalam satu hadis Nabi S.A.W yang menyebut
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang
penjual minyak wangi dan seorang tukang besi”.Perkara ini jelas menunjukkan
bahawa dalam isu gejala vandalisme, remaja haruslah bijak memilih rakan mereka
agar mereka tidak terjerumus dalam gejala yang merosakkan nama ibu bapa bagai
menconteng arang ke muka sendiri. Tegasnya, remaja hendaklah menentukan jalan
dan kehidupan mereka sama ada ke syurga atau ke neraka.
Selain itu, Ibu bapa hendaklah memberi asuhan
dan didikan agama kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi agar pembentukan
akhlak dapat diterima dan diserap oleh anak-anak dengan mudah bak kata
peribahasa melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian
kerana ajaran agama mampu menjadi perisai keimanan daripada terlibat dalam
gejala vandalisme. Malah, Ibu bapa hendaklah menunjukkan sifat sayang akan
harta benda milik sendiri serta menghormati harta benda orang lain. Dengan cara
ini anak-anak akan terasuh dan terdidik untuk menghormati barangan yang bukan
milik mereka. Oleh itu, tindakan ibu bapa ini akan dapat menyelamatkan
anak-anak daripada terjerumus dalam masalah vandalisme.
Pihak sekolah juga berperanan dalam mencegah
masalah laku musnah berlaku di sekolah. Pihak petadbir sekolah hendaklah bersikap
tegas dengan tindakan sesetengah pelajar yang merosakkan harta benda di
sekolah. Mereka melakukan tindakan memecahkan pintu tandas, merosakkan pagar
sekolah, dan menconteng dinding bangunan sekolah akibat tidak berpuas hati lalu
mereka melepaskan amarah dengan merosakkan harta benda sekolah. Keadaan ini
menyebabkan pihak sekolah terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan yang
dilakukan oleh mereka. Oleh itu pihak sekolah perlulah mengambil tindakan yang
wajar sebagai pengajaran kepada pelajar lain.
Masyarakat pula tidak harus membutakan mata dan
memekakkan telinga serta membiarkan tindakan merosakan harta benda awam berlaku
tanpa mengambil apa-apa tindakan. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri
seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing telah menyebabkan
kes vandalisme berlaku dan semakin berleluasa di negara kita. Masyarakat
hendaklah menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan
kejadian vandalisme. Masyarakat juga hendaklah bekerjasama dengan menyertai program
Rakan Cop yang dianjurkan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Usaha ini
akan dapat merapatkan hubungan pasukan polis dengan masyarakat sesuai dengan
tema polis dan masyarakat berpisah tiada.
Secara keseluruhannya dalam mencari titik
noktah penyelesaian masalah vandalisme, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur
dengan tebing mencari kata sepakat, sebulat suara, dan melangkah sederap untuk
menghapuskan gejala vandalisme yang berlaku dalam kalangan masyarakat demi
pembangunan diri serta pembentukan insan kamil bagi melahirkan generasi
kepimpinan negara yang bertanggungjawab untuk membangunkan negara dalam acuan
dan budaya bangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan