Ahad, 27 Jun 2021

JAWAPAN SOALAN PEMAHAMAN - PETIKAN NOVEL ( SOALAN 8 )

 

Soalan 8 : Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

Mata Farid dan Amin tertumpu pada skrin di hadapan wanita yang kini menjengilkan mata pada mereka. Jelas kelihatan gelombang keluar dan masuk di situ. Bacaan dikutip daripada peranti pemancar dan penerima yang dibangunkan oleh wanita itu sejak bertahun-tahun. Padanlah dia terlebih gembira. Hari ini usahanya sudah membuahkan hasil.

 

“Kita sudah jumpa frekuansi yang betul. Aku tidak perlu wayar atau gentian untuk menguasai Farisha,” nadanya berbaur bangga. Kedua-dua tangannya dijulang tinggi ke udara, tanda kemenangan. “Hari ini aku sudah membuktikan bahawa aku lebih hebat daripada lelaki itu!”

 

“Mengapa puan perlu menguasai Farisha? Bukankah dia anak puan?” Persoalan itu sudah lama berputar-putar dalam minda Farid. Sejak hari pertama dia bekerja dan juga sejak kali pertama wanita separuh gila itu mengarahkan dia untuk menjejak Farisha.

Dipetik daripada

Novel Di Sebalik Dinara

Karya Dayang Noor

Kemeterian Pendidikan Malaysia

 

 

 

 

( i ) Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan ‘aku’ berasa gembira?

        [4 markah]

Jawapan:-

‘Aku’ berasa gembira kerana:-

i)   ‘aku’ atau wanita berkenaan mencipta peranti pemancar dan penerima

     yang dibangunkannya sejak bertahun-tahun.

ii)  kelihatan gelombang keluar dan masuk di peranti pemancar dan

     penerima ciptaannya.

iii) mereka telah menjumpai frekuansi yang betul.

iv) ‘aku’ tidak perlu wayar atau gentian untuk menguasai Farisha.

v)  hari ini aku sudah membuktikan bahawa aku lebih hebat daripada lelaki

     itu

 

(ii) Jawab soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(a)        Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib

(b)        Di Sebalik Dinara, karya Dayang Noor

(c)        Jendela Menghadap Jalan, karya Ruzaini Matdarin

(d)        Pantai Kasih, karya Azmah Nordin

 

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang memaparkan nilai keberanian dalam novel.

[6 markah]

 

Jawapan:-

Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, pengarang memaparkan dua peristiwa yang memaparkan nilai keberanian iaitu peristiwa Lili, Danel, dan Geetha berani menyelesaikan masalah kubah surau yang sensitif dihadapi oleh masyarakat Islam Kampung Sentosa kerana mereka menganggap menyelesaikan masalah kubah surau berkenaan merupakan tanggungjawab mereka. Mereka berani mencampuri hal ehwal agama terutama Geetha yang bukan beragama Islam tetapi terlibat sama dalam usaha menyelesaikan konflik sensitif kubah surau di Kampung Sentosa bersama-sama rakan-rakannya Danel dan Lili.

Selain itu, peristiwa Danel memberanikan diri menyelamatkan Lili yang telah diculik oleh Rafik dan Haziq mengambarkan keberanian Danel. Kemungkinan, usaha untuk menyelamat Lili boleh menyebabkan nyawa Danel terancam kerana kedua-dua adik-beradik berkenaan menghadapi masalah keluarga. Namun, Danel terus menyelamatkan Lili dari diculik Rafik dan Haziq dan akhirnya Lili dapat diselamatkan.


Sabtu, 26 Jun 2021

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita.

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

     Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat.  Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut dipandang enteng serta mula tersisih  daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak watan berterusan  meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak  perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa  di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini. Persoalannya, apakah  usaha-usaha untuk mempopularkan permainan tradisional?

     Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan serta  mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu  mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat  bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun  ataupun sebagai hadiah kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah.  Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah.  Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional.  Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu,  pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan, justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan  satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran,  peraduan melukius poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing.  Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong  terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia,  segelintir masyarakat  memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor  oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut  berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara. 

Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah  khazanah dunia yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia  sedang mengorak langkah serta bersedia melakukan pecutan akhir  ke arah negara maju pada tahun  2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!

KATA SENDI

Rabu, 23 Jun 2021

SOALAN PEMAHAMAN - PETIKAN NOVEL ( SOALAN 8 )

 Soalan 8 : Novel

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

Mata Farid dan Amin tertumpu pada skrin di hadapan wanita yang kini menjengilkan mata pada mereka. Jelas kelihatan gelombang keluar dan masuk di situ. Bacaan dikutip daripada peranti pemancar dan penerima yang dibangunkan oleh wanita itu sejak bertahun-tahun. Padanlah dia terlebih gembira. Hari ini usahanya sudah membuahkan hasil.

 

“Kita sudah jumpa frekuansi yang betul. Aku tidak perlu wayar atau gentian untuk menguasai Farisha,” nadanya berbaur bangga. Kedua-dua tangannya dijulang tinggi ke udara, tanda kemenangan. “Hari ini aku sudah membuktikan bahawa aku lebih hebat daripada lelaki itu!”

 

“Mengapa puan perlu menguasai Farisha? Bukankah dia anak puan?” Persoalan itu sudah lama berputar-putar dalam minda Farid. Sejak hari pertama dia bekerja dan juga sejak kali pertama wanita separuh gila itu mengarahkan dia untuk menjejak Farisha.

Dipetik daripada

Novel Di Sebalik Dinara

Karya Dayang Noor

Kemeterian Pendidikan Malaysia

 

 

( i ) Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan ‘aku’ berasa gembira?

        [4 markah]

 

(ii) Jawab soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :

(a)        Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib

(b)        Di Sebalik Dinara, karya Dayang Noor

(c)        Jendela Menghadap Jalan, karya Ruzaini Matdarin

(d)        Pantai Kasih, karya Azmah Nordin

 

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang memaparkan nilai keberanian dalam novel.

[6 markah]


Jawapan akan menyusul:-

SOALAN PEMAHAMAN - PETIKAN SASTERA ( SOALAN 7)

 

Bermula dari tahun 2021, soalan komsas dalam kertas Bahasa Melayu SPM telah berubah selaras dengan pelaksanaan KSSM. Antologi yang dipelajari hanya boleh menjadi rujukan sahaja dan tidak menjadi bahan peperiksaan secara langsung. Petikan sastera akan diambil daripada pelbagai karya sastera. Oleh itu calon dan guru perlu mengambil perhatian akan hal ini.Berikut ada beberapa petua atau sedikit nasihat hendak dikongsi bersama semoga dapat memberikan manfaat kepada murid dan guru serakan.

Petua 1 Pengetahuan komsas nampaknya tidak diuji lagi, seperti persoalan, nilai, pengajaran, gaya bahasa, teknik plot dan sebagainya. Oleh itu , Murid tidak perlu menghafaz maklumat-maklumat itu ketika menghadapi peperiksaan nanti.

Petua 2 Walaupun petikan puisi moden dan klasik serta prosa moden (mungkin termasuk prosa tradisional) mungkin tidak pernah diajar di dalam kelas, murid tidak patut panik dan mengambil tumpuan kepada tema bahan-bahan yang diuji itu. Bahan-bahan petikan sastera yang diuji itu pasti mempunyai tema yang hampir sama, seperti isu pencemaran, patriotik, perjuangan kemerdekaan, warga tua, masalah keluarga, perpaduan dan lain-lain lagi. Oleh itu, cikgu bercadang agar murid membaca soalan-soalan KBAT dahulu, iaitu (iii) dan (iv) untuk mengetahui tema yang hendak diuji lalu membaca petikan-petikan sasatera itu dan menjawab soalan (i) dan (ii).

Petua 3 Terserlah markah dalam soalan KBAT (7 markah) lebih banyak daripada soalan pemahaman petikan (5 markah). Oleh itu, murid perlu berlatih untuk membincang, menghuraikan, menganalisis dan mengesyorkan pendapat dalam pelbagai isu semasa untuk menajamkan pemikiran dan berupaya untuk mengemukakan idea yang bernas dan betul serta rasional.

Semoga nasihat yang hendak saya kongsi bersama dapat memberikan manfaat kepada para murid Tingkatan 4 tahun 2020 dan rakan setugas yang sibuk menghadapi PdP yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.


Baca bahan-bahan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sajak : Aku Membaca lagi

membaca langit

ku mendongak lagi

di dalamnya pohon-pohon kayan rapuh

dahan dan ranting terkulai

daun-daun berguguran

helai demi helai

di lantai tanah airku yang makmur.

Petikan 2

Sungai Ceper semakin hari semakin tohor sehingga air sampai paras buku lali. Ikan-ikan terperangkap dan banyak yang mati kerana tidak boleh main air lagi. Sungai menjadi busuk kerana najis tidak boleh mengalir. Hendak mandi menyelam kepala dalam-dalam pun tidak boleh lagi kerana air Ceper betul-betul tohor.

Ibu mengamuk juga. Dia maki-maki Ceper yang boleh jadi bagitu sehingga menyusahkan semua. Baruh habis kering. Padipun kecut di dalam sawah. Yang sudah menguning boleh jadi tahan-tahan sampai benar-benar tunduk. Tetapi banyak yang belum masuk isi habis kering dan mati menjadi jerami begitu saja. Yang kuning pun nampak saja besar biji-biji padinya, tetapi banyak yang hampa kerana kemarau panjang sangat dan air Sungai Ceper tidak boleh menolong langsung.

Dalam hati ibu memang Ceper itu bedebahlah. Ibu tidak turun ke Ceper lagi kerana airnya sedikit. Ibu berbaik dengan telaga. Meskipun telaga di penjuru tanah kami itu amat dalam, ibu tarik juga tali timba membawa naik air ke atas.

(Dipetik daripada cerpen Ibu dan Ceper oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berdasarkan bahan 1, apakah yang telah berlaku seperti yang digambarkan oleh penyajak?                                                                                    [2 markah]

Jawapan:-

Penyajak mendongak ke langit lagi dan cuba memahami langit. Penyajak mendapati bahawa alam semula jadi semakin tercemar apabila negara semakin makmur. Pencemaran alam semula jadi ini dikaitkan dengan keadaan bahasa Melayu yang semakin lama semakin kurang didaulatkan oleh rakyat walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Selain itu, penyajak mendapati bahawa kemakmuran negara tidak dapat menjamin kedaulatan  bahasa Melayu.

(ii)Berdasarkan bahan 2, Apakah yang telah terjadi kepada Ceper?     [3 markah]

Jawapan:-

Apa yang telah berlaku kepada Ceper ialah:-

i)  Sungai Ceper semakin kering menyebabkan ikan-ikan yang hidup di 

    dalamnya mati.

ii) Ceper yang kekeringan menyebabkan sungai semakin busuk kerana najis 

     tidak  boleh mengalir. 

iii)Ceper yang selama ini menjadi tempat masyarakat sekitar dan ibu 

    mendapatkan air dan untuk mandi sudah tidak berfungsi lagi. 

iv)Ceper semakin cangkat menyebabkan bahagian hilir sungai semakin 

   kering. 

v) padi yang sudah matang hidup di sawah mati kerana kekurangan air. 

vi)Ibu juga tidak pergi ke Ceper lagi dan menggunakan perigi untuk 

     mendapatkan air.

(iii)Negara kita semakin maju, tetapi masalah alam sekitar semakin menjadi-jadi. Pada pendapat anda, apakah punca masalah pencemaran semakin menjadi-jadi?                                                                                                             [3 markah]

Jawapan:-

Masalah pencemaran semakin menjadi-jadi kerana:-

i)  Sikap mengambil mudah sesetengah pengguna dengan membuang sampah

     di merata-rata tempat.

ii) Masyarakat tidak ambil peduli langkah-langkah kerajaan untuk mengelakkan

    pencemaran berlaku kerana kepentingan diri.

iii) Kerajaan dan pihak penguatkuasaan undang-undang tidak mengenakan 

     hukuman dan penalti yang tinggi kepada masyarakat yang  mencemarkan 

     alam sekitar.

iv)  kerajaan tidak  menguar-uarkan usaha mengelakkan pencemaran alam sekitar

      di media eletronik dan media cetak.

v)   Kerajaan tidak menjalanlankan kempen mengelak pencemaran alam sekitar.

(iv)Pelbagai kempen kesedaran tentang kepentingan alam sekitar telah dilancarkan tetapi pelbagai pencemaran masih berleluasa. Pada pendapat anda, apakah yang patut dilakukan untuk mengelakkan fenomena yang diceritakan dalam kedua-dua bahan tersebut?                                                       [4 markah]

Jawapan:-

i)   Setiap ahli masyarakat perlu akur bahawa tugasan dan tanggungjawab 

     menjaga alam sekitar tanggungjawab bersama-sama.

ii)  Masyarakat juga perlu berkejasama untuk menjaga persekitaran alam sekitar

      kerana tanpa kerjasama sudah pastika persekitaran alam sekitar sukar dijaga.

iii)  Pendidikan awal tentang peri pentingnya menjaga persekitaran alam sekitar 

      perlu diterapkan di sekolah.

iv)  Pihak penguatkuasaan perlu bersikap tegas kepada individu dan masyarakat

      yang gagal menjalankan tanggungjawab menjaga alam sekitar supaya alam

      sekitar agar sentiasa lestari.

v)   Pihak kerajaan sentiasa mengubal undang-undang dengan hukuman yang

      tegas agar masyarakat takut melakukan perbuatan yang boleh merosakkan

      persekitaran alam sekitar.

vi)  Pihak kerajaan juga perlu mengenakan hukuman dengan denda yang tinggi

      agar masyarakat takut untuk  mencemarkan alam sekitar.

Selasa, 22 Jun 2021

SOALAN PEMAHAMAN - PETIKAN UMUM ( SOALAN 6)

Soalan 6 : Petikan Umum

Baca Bahan 1 dan Bahan 2 dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

Bahan 1

 

        Media sosial merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia cuba mengawal media baharu ini. Keupayaan rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan media sosial sering dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian terus.

        Di samping itu, media sosial juga digunakan untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku diseluruh dunia mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam Internet. Kebimbangan terhadap media sosial turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Media sosial menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas. Media sosial sering mencabar amalan budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan media sosial.

 Dipetik dan diubah suai daripada,

‘Pengunaan Internet : Kesan kepada Pengguna’

Oleh Salmah Ali,

Majalah Siswa, Jun 2012

  Bahan 2

 

        Walaupun media sosial banyak kebaikannya, namun terdapat kesan negatif yang perlu diberikan perhatian oleh golongan remaja. Antara kesan negatif  media sosial ialah penyebaran berita palsu secara berleluasa. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang bebilang kaum, penyebaran berita palsu mesti dibanteras dengan segera. Selain itu, media sosial juga boleh mendorong golongan muda menjadi lalai dan membuang masa dengan mengabaikan pelajaran.

        Disamping itu, media sosial menyebabkan golongan muda mudah terpengaruh dengan gejala negatif  seperi melihat gambar dan video lucah. Dalam aspek keselamatan negara, media sosial kadang-kadang mewujudkan ketidaktentuan ekonomi apabila hal yang menjadi rahsia negara diperkatakan di dalam laman sembang. Dalam hal ini, kerajaan perlu memantau  media sosial untuk memastikan keselamatan negara terjamin. Selanjutnya, banyak kes telah dilaporkan apabila penggodam mencuri maklumat peribadi media sosial untuk tujuan menipu.

 

Dipetik dan diubah suai daripada

rencana ‘Berita Palsu Musuh Negara’

oleh CMCF

Dewan Siswa, April 2018

 

 

(i) Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud rangkai kata sering dijadikan wahana.

[2 markah]

 Jawapan:  Rangkai kata sering  dijadikan wahana bermaksud kerap                 

                  dijadikan saluran / perantaraan.

(ii) Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2, nyatakan persamaan dan perbezaan kesan buruk penggunaan media sosial kepada masyarakat.

[4 markah]

Jawapan :   Persamaan kesan buruk media sosial yang terdapat dalam bahan 1 dan

 2 ialah:-

            i)  sebagai  alat penyebaran bahan yang tidak bermoral serta penyebaran

                berita  palsu secara berleluasa.

            ii) sering mencabar   amalan budaya dan moral masyarakat,

           iii) mewujudkan ketidaktentuan ekonomi

                :  Perbezaan kesan buruk media sosial yang terdapat dalam bahan 1 dan 2 ialah :

            i)  mendorong golongan muda menjadi lalai dan membuang masa dengan

                mengabaikan pelajaran.

           ii   penggodam mencuri maklumat peribadi media sosial untuk tujuan

                menipu.

         iii)  menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah

               negara.

          iv) menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas.

** Senaraikan 4 isi sahaja, iaitu dua persamaan dan dua perbezaan.

(iii) Hasil laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuite dan We Are Social, jumlah penggunaan Internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna yang mewakili 79 peratus penduduk Malaysia. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin taasub dengan media sosial dan menjadi fokus utama dalam kalangan remaja hari ini.

Pada pendapat anda, apakah sebab-sebab remaja menggemari media sosial?

[3 markah]

 Jawapan:- Remaja menggemari media sosial kerana:

      i)  beranggapan media sosial mampu mencari kenalan baru.

     ii)  media sosial dianggap sebagai sumber hiburan.

    iii)  media sosial dianggap sebagai sumber maklumat.

     iv) media sosial sebagai penyebar maklumat yang murah. 


(iv) Penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp mendapat perhatian masyarakat di negara kita. Kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan sukar membendung angkara negatif  di sebaliknya. Cadangkan langkah-langkah mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

[4 markah]

 

Langkah-langkah mengawal penggunaan media sosial:-

i)   pengguna sendiri perlu mengawal diri dengan mengurangkan penggunaan media 

      sosial dalam kehidupan.

ii)    kerajaan menentukan tahap umur tertentu untuk pemilikan media sosial.

iii)   ibu bapa perlu mengawal pengunaan media sosial  dalam kalangan anak-anak.

iv)  Malaysian Communication And Multimedia Commission (MCMC) perlu

      menguatkuasakan undang-undang yang ketat kepada pengguna media sosial.

iv)  kerajaan perlu mengetatkan kawalan penggunaaan internet dengan menggubal

      akta penggunaan internet.

iiv)   mengenakan hukuman yang berat kepada pengguna yang menyalahgunakan media 

      sosial 

 

** Senaraikan sekurang-kurangnya 3 isi.