Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar
akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang
menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di
Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima
tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal
oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?” Semasa dalam
tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai
berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang
dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam
kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat
tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju
dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus
tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil
dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang,
jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya,
apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu
bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan
pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku
sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua
perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi
pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, ketika mereka
berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih,
sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan
belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata
pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana
kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara
gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka
menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk
menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik,
pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka akan
menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya,
faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar
untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.
Selain faktor minat dan
cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan
kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam
persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya
yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan
mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah
mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan
payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar
seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing
semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba
canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan
yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut
diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali
manikam. Contohnya, jika pelajar memilih kerjaya sebagai seorang
jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau
pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada
kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah
terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan
kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.
Bahkan
juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau
idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah
seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya.
Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat
pendidikan di Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University,
Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki
kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah
memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan
menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman
hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya
pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai
seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta
teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan
mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya,
seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan
idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
Selain itu, sokongan dan
doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat
direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan
daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka. Hal ini
bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu
daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti
mereka akan kecundang di peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu
bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka
bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan
kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan
anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu
bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama
ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut
serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah
pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga
berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa
depan anak-anak mereka.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai
akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya.
Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya
anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan
dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun
fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa
perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek
fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak
seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini
dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan
untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun
demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi
mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan
tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti
segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur
umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya,
perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif
dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang
mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan