BAHAGIAN A : SISTEM DAN APLIKASI
BAHASA
[ 35 markah ]
[ Masa dicadangkan : 45 minit ]
Soalan 1 : Morfologi
Baca petikan di bawah dengan teliti dan senaraikan dua kata
kerja aktif dan dua kata adjektif. Kemudian, anda
dikehendaki membina satu ayat anda sendiri daripada setiap perkataan yang
dipilih untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda
tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan
itu sebagai peribahasa atau nama khas.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih memerlukan
sokongan kewangan dan dasar daripada kerajaan, bank serta agensi berkaitan
bagi membolehkan operasi perniagaan terus bertahan ketika berhadapan dengan
impak pandemic COVID-19, demikian menurut RAM Holdings Bhd. Berdasarkan kaji
selidik terkini keyakinan Perniagaan RAM, sokongan itu masih diperlukan kerana
ekonomi dijangka tidak stabil dengan prospek yang tidak menentu dalam tempoh
tiga bulan akan dating. Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan yang
efektif bagi membantu PKS ketika ini. Ini termasuk moratorium pinjaman segera,
yang menjadi pelonggaran kewangan besar yang sangat diperlukan, dengan 86
peratus responden menerima tawaran itu.
Dipetik dan diubah suai daripada
“PKS Masih Perlukan Sokongan untuk Terus Bertahan”
oleh Alzahrin Alias
Berita Harian, 21 September 2020
[ 8 markah ]
Soalan 2
: Sintaksis
Berdasarkan
petikan di bawah, kenal pasti dan tulis subjek dan predikat yang lengkap
bagi tiga ayat yang anda pilih.
Permainan tradisional yang paling popular di negara kita
ialah wau, batu seremban, congkak, gasing, konda-kondi dan banyak lagi.
Permainan tradisional dimainkan sama ada oleh kanak-kanak, remaja atau orang
dewasa. Permainan tradisional seperti permainan moden dapat membina fizikal
kerana pemainnya perlu bergerak aktif, pantas dan laju. Seseorang yang aktif
dalam permainan lazimnya mempunyai bentuk badan yang catik dan sahsiah yang
baik. Permainan tradisional tidak memerlukan peralatan khusus seperti raket,
kasut, bola dan gelanggang tersendiri. Alat yang digunakan sungguh mudah dan
boleh didapati disekeliling kita seperti biji buah, kayu, buluh, bulu ayam dan
sebagainya.
Dipetik dan diubah suai daripada
“Remaja dan Permainan Tradisional”
oleh Hanapi Dollah
Dewan Siswa, September 2009
[ 6 markah ]
Soalan 3
: Penyuntingan
Petikan di bawah mengandungi tiga belas kesalahan
bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalah-kesalahan itu. Anda tidak boleh
menyenaraikan lebih daripada tiga belas kesalahan yang terdapat dalam
petikan. Anda tidak perlu menyalin petikan tersebut.
Jiran adalah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita sama ada di
kanan, di kiri, di depan atau di belakang, di tingkat atas atau di tingkat
bawah, hingga 40 buah rumah daripada setiap penjuru sesebuah zon kediaman
termasuklah ditaman perumahan, kampung dan pangsapuri. Orang tua-tua pernah
berkata, jiran tetangga yang baik umpama adik beradik yang dapat berkerjasama
di kalangan masyarakat serta terbentuk ukuwah yang kukuh dan ampuh. Jiran yang
baik juga dapat membentuk semangat kekitaan bagi melahirkan amalan bersatu padu
serta membolehkan semua ahli masyarakat memahami antara satu sama lain sehingga
mencetusnya slogan “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Keadaan ini bukanlah sesuatu
yang asing kerana jiran merupakan orang yang paling hampir dengan kita dan
menjadi orang yang pertama datang untuk menghulurkan batuan sebelum ketibaan
adik-beradik dan saudara-mara kerana jarang-jarang adik-beradik duduk berjiran
terutamanya ke bandar.
Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Rencana “Kemerosotan Nilai Kejiranan”
oleh Samat Buang
Dewan Siswa, Mac 2017
[ 13 markah ]
Soalan 4
: Bahasa Melayu Standard
Baca petikan bahasa Melayu klasik di bawah dengan teliti.
Kemudian tulis semula petikan tersebut dalam bahasa Melayu
Standard tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.
Maka Kertala Sari pun menyamarkan dirinya kepada segala Jawa
yang banyak itu. Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar masuk
bermain-main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar. Setelah
diketahuinya, maka Kertala Sari pun menyamar pada orang Patih Kerma Wijaya.
[Dipetik daripada Kepimpinan Melalui Teladan Dalam
antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Kementerian Pendidikan
Malaysia]
[ 4 markah ]
Soalan 5
: Peribahasa
Petikan di bawah mengandungi beberapa peribahasa.
Senaraikan dua peribahasa sahaja. Kemudian berikan, kemudian
berikan peribahasa lain yang sama maksud atau hampir
sama maksud dengan peribahsa tersebut.
Komuniti Kampung Muhibbah yang diketuai oleh ketua kampung
telah menjalankan aktiviti gotong-royong pada minggu lepas. Aktiviti seperti
ini mampu mengeratkan hubungan antara penduduk kampung . sikap tidak suka
bertegur sapa antara penduduk di kawasan itu juga boleh diatasi melalui
aktiviti sebegini.
[ 4 markah ]
BAHAGIAN B : PEMAHAMAN
[ 35 markah ]
[ Masa diperuntukkan : 60 minit
]
Soalan 6
: Petikan Umum
Baca Bahan 1 dan Bahan 2 dengan
teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat
anda sendiri.
Bahan 1
Media sosial
merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada
masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan
kerajaan-kerajaan di seluruh dunia cuba mengawal media baharu ini. Keupayaan
rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan media sosial sering
dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian
terus.
Di samping itu,
media sosial juga digunakan untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang
diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku diseluruh dunia
mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam Internet.
Kebimbangan terhadap media sosial turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah
ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Media sosial menjadikan
sempadan geografi semakin tidak jelas. Media sosial sering mencabar amalan
budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil
langkah-langkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan media sosial.
Dipetik dan diubah suai daripada,
‘Pengunaan Internet : Kesan kepada Pengguna’
Oleh Salmah Ali,
Majalah Siswa, Jun 2012
Bahan
2
Walaupun media
sosial banyak kebaikannya, namun terdapat kesan negatif yang perlu diberikan
perhatian oleh golongan remaja. Antara kesan negatif media sosial ialah
penyebaran berita palsu secara berleluasa. Dalam konteks masyarakat Malaysia
yang bebilang kaum, penyebaran berita palsu mesti dibanteras dengan segera.
Selain itu, media sosial juga boleh mendorong golongan muda menjadi lalai dan
membuang masa dengan mengabaikan pelajaran.
Disamping itu,
media sosial menyebabkan golongan muda mudah terpengaruh dengan gejala
negatif seperi melihat gambar dan video lucah. Dalam aspek keselamatan
negara, media sosial kadang-kadang mewujudkan ketidaktentuan ekonomi apabila
hal yang menjadi rahsia negara diperkatakan di dalam laman sembang. Dalam hal
ini, kerajaan perlu memantau media sosial untuk memastikan keselamatan
negara terjamin. Selanjutnya, banyak kes telah dilaporkan apabila penggodam
mencuri maklumat peribadi media sosial untuk tujuan menipu.
Dipetik dan diubah suai daripada
rencana ‘Berita Palsu Musuh Negara’
oleh CMCF
Dewan Siswa, April 2018
(i)
Berdasarkan Bahan 1, berikan maksud rangkai katan sering dijadikan
wahana.
[2 markah]
(ii) Merujuk Bahan 1 dan Bahan 2,
nyatakan persamaan dan perbezaan kesan buruk penggunaan media sosial kepada
masyarakat.
[4 markah]
(iii) Hasil laporan Digital 2018 yang dikeluarkan oleh
Hootsuite dan We Are Social, jumlah penggunaan Internet di negara ini
menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna yang mewakili 79 peratus
penduduk Malaysia. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia
semakin taasub dengan media sosial dan menjadi fokus utama dalam kalangan remaja
hari ini.
Pada pendapat anda, apakah sebab-sebab remaja menggemari
media sosial?
[3 markah]
(iv) Penggunaan media sosial seperti Facebook,
Twitter dan WhatsApp mendapat perhatian masyarakat di negara
kita. Kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan sukar membendung angkara
negatif di sebaliknya. Cadangkan langkah-langkah mengawal penggunaan
media sosial dalam kalangan masyarakat.
[4 markah]
Soalan 7
: Petikan Sastera
Baca bahan-bahan di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab
soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Bahan 1
Bonda tahu secubit ilmu yang mengisi dada saya yang kerdil
ini tidak akan mampu mengekang ledakan perubahan sosial yang boleh meragut jati
diri saya sebagai generasi bermaruah. Saya akui kebenaran kata-kata bonda
tentang malapetaka yang sedang menghinggapi sekian ramai anak-anak sebangsa
saya. Kebanyakannya tergadai maruah dan harga diri dek mengejar dunia yang bergelar
globalisasi dalam menuju arus perdana.
“Mel, agama dan
bangsa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad yang
dibaluti agama serta lidah yang ditebali bahasa ibunda merupakan warisan kita
yang masih ada. Andai kedua-dua sudah hilang di atas muka bumi ini, kita bukan
lagi generasi bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah.”
Pesan bonda itu
kekal melebat dalam hati sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama
dipangkal hati. Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk
menjengah wajah kotayang pesat dengan kemajuan dan peradaban . saya batalkan
keinginan meruap-ruap dalam diri saya untuk mencari pengalaman baharu sebagai
warga kota.
Dipetik daripada cerpin ‘Munsyi’
oleh Husna Nazri
antalogi Jaket Kulit kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia
Bahan 2
Ini
gelanggang kita
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.
Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan..
Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.
Dipetik daripada sajak ‘Gelanggang’
antalogi Jaket Kulit kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia
( i )
Berdasarkan Bahan 2, berikan maksud jangan sekali
bermain api kelak membinasakan diri sendiri.
[2 markah]
(ii)
Bedasarkan Bahan 1 dan Bahan 2, mengapakah kita
perlu mempertahankan kedaulatan negara kita?
[3 markah]
(iii) Pada
pendapat anda, mengapakah keamanan negara wajar dijaga dan dipelihara?
[3 markah]
(iv) Pada
masa ini, generasi muda semakin lalai dengan pengaruh dunia luar yang memberi
kesan kepada kemerosotan akhlak.
Sebagai
masyarakat yang prihatin, apakah nilai yang perlu diterapkan dalam diri yang
boleh menjadi banteng daripada pengaruh luar?
[4 markah]
Soalan 8
: Novel
Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab
soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Mata Farid dan Amin tertumpu pada skrin di hadapan wanita
yang kini menjengilkan mata pada mereka. Jelas kelihatan gelombang keluar dan
masuk di situ. Bacaan dikutip daripada peranti pemancar dan penerima yang
dibangunkan oleh wanita itu sejak bertahun-tahun. Padanlah dia terlebih
gembira. Hari ini usahanya sudah membuahkan hasil.
“Kita sudah jumpa frekuansi yang betul. Aku tidak perlu wayar
atau gentian untuk menguasai Farisha,” nadanya berbaur bangga. Kedua-dua
tangannya dijulang tinggi ke udara, tanda kemenangan. “Hari ini aku sudah
membuktikan bahawa aku lebih hebat daripada lelaki itu!”
“Mengapa puan perlu menguasai Farisha? Bukankah dia anak
puan?” Persoalan itu sudah lama berputar-putar dalam minda Farid. Sejak hari
pertama dia bekerja dan juga sejak kali pertama wanita separuh gila itu
mengarahkan dia untuk menjejak Farisha.
Dipetik daripada
Novel Di Sebalik Dinara
Karya Dayang Noor
Kemeterian Pendidikan Malaysia
( i )
Nayatakan faktor-faktor yang menyebabkan ‘aku’ berasa gembira?
[4 markah]
(ii) Jawab
soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :
(a) Leftenan
Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib
(b) Di
Sebalik Dinara, karya Dayang Noor
(c) Jendela Menghadap Jalan, karya Ruzaini
Matdarin
(d) Pantai
Kasih, karya Azmah Nordin
Berdasarkan sebuah
novel yang anda pelajari, huraikan dua peristiwa yang
memaparkan nilai keberanian dalam novel.
[6 markah]
BAHAGIAN C : RUMUSAN
[ 30 markah ]
[ Masa dicadangkan 45 minit ]
Soalan 9
: Rumusan
Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di
bawah. Kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak
melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Bahan 1 :
Petikan
Masyarakat harus
sedar tentang kepentingan teknologi hijau. Dengan kesedaran itu, masyarakat
tidak lagi bergantung dengan sepenuhnya pada sumber tenaga daripada petroleum,
gas dan arang batu seta berjaya mengecilkan peratus pencemaran melalui pelbagai
aktiviti yang menggunakan pelbagai sumber tenaga alternatif. Gaya hidup yang
dilihat tidak lestari yang berasaskan karbon dan tenaga fosil diubah kepada
gaya dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Perubahan ini menjadi asas
kepada aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat. Tambahan pula,kini
terdapat banyak pilihan dan cara untuk menghasilkan tenaga alternative seperti
tenaga suria (panel fotovolta solar), tenaga angin, tenaga hidro (empangan),
tenaga ombak dan tenaga berasaskan tumbuhan dan haiwan (tenaga biogas dan
biobahan api).
Sememangnya sudah
ada usaha-usaha untuk melahirkan masyarakat yang faham tentang teknologi hijau
demi kelangsungan dan kemandirian manusia. Kerajaan telah mewujudkan sistem
pengangkutan baharu seperti sistem transit massa (MRT). Perancangan untuk
mewujudkan MRT berasaskan elektrik dapat mengurangkan jejak karbon bagi setiap
penduduk terutamanya di bandar besar. Selain itu, terdapat seruan kepada rakyat
agar berbasikal atau berjalan kaki untuk jarak dekat manakala ada sesetengah
pihak membuat syor agar mengurangkan atau menghapuskan terus penggunaan
kenderaan bermotor.
Semua usaha dan
cadangan ini dilakukan untuk membawa masyarakat keluar daripada pergantungan
yang keterlaluan terhadap sumber tenaga daripada petroleum dan mengurangkan
kesan pencemaran karbon dioksida terutamanya daripada asap kenderaan. Hal ini
demikian kerana kajian mendapati bahawa ekzos kereta di seluruh dunia
mengeluarkan kira-kira 300 juta tan gas beracun pada setiap tahun seperti
karbon monoksida, nitrogen oksida, hidrokarbon, sulfer dioksida dan partikel
padu. Kenderaan enjin diesel pula kurang melepaskan gas toksik tetapi
mengeluarkan lebih banyak jelaga. Kadar karbon monoksida yang dihasilkan dalam
sistem pengangkutan sangat tinggi, iaitu 70 peratus hingga 80 peratus dan
menjadi penyumbang utama pencemaran udara.
Institusi
penyelidikan tempatan meningkatkan kajian atau penyelidikan tentang penggunaan
tenaga nuklear untuk menyokong usaha ini. Kerajaan pula melaksanakan pelbagai
kempen dari semasa ke semasa seperti mengurangkan penggunaan beg plastik,
meningkatkan amalan kitar semula dan amalan hidup sihat. Jabatan Alam Sekitar
tidak ketinggalan menganjurkan Program Sekolah Bestari, Anugerah Alam Sekitar
dan Bandar Lestari. Anugerah ini diharap akan dapat mengubah tingkah laku
masyarakat untuk mengurangkan jejak karbon yang dimiliki oleh mereka. Namun
begitu, usaha-usaha ini tidak akan mencapai kejayaan yang membanggakan
sekiranya masyarakat masih terus duduk senang menikmati apa-apa yang ada di
hadapan mata sekarang tanpa memikirkan cabaran yang bakal dihadapi pada masa
depan.
Dipetik dan diubah suai daripada
‘Teknologi Hijau Melestarikan Alam’
oleh Syahril Izwan Abdul Yamin
Dewan Kosmik, Januari 2016
Gambar 2
: Grafik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan