CERPEN KOMSAS: MUNSYI
A. SINOPSIS
Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke
kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh
budaya-budaya negatif di bandar. Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap
bahasa ibunda dan jati dirinya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah
hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.
Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat
sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara
kaum. Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa
dan negara supaya terus dihormati dan disegani. Sebagai seorang warga
yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan
bahasa,dan sejarah. Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda,
asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam,
bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.
Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke
bandar untuk meneruskan kehidupan. Namun bonda berpesan agar menjaga dua
perkara iaitu agama dan bangsa. Bonda juga mengirimkan sejumlah buku
untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’. Apabila tiba di
bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada
pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan
budayanya. Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan
tradisi di pinggir bandar. Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah
hilang identiti dan jati diri. Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu
Munsyi. Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi
akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel. Apabila ‘saya’
mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan
rumah-rumah di situ. ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah
‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak
kelihatan di mana-mana.
B. TEMA
Semangat cinta akan bahasa,
agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga
negara.
Contohnya, ibu kerap
menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar
dihormati oleh orang.
C. PERSOALAN
1. Keinginan anak muda
berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan
Contohnya, ‘saya’ memohon
keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti
kebanyakan remaja yang lain.
2. Peranan penjajah dalam
usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara.
Contohnya, pihak penjajah
telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak
berlaku secara adil hingga menimbulkan
rusuhan kaum akibat rasa tidak
puas hati rakyat.
3. Kegigihan anak muda
mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya.
Contohnya, ‘Saya’ tekun
belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke
bandar.
4. Ketaatan seorang anak
terhadap nasihat ibunya.
‘Saya’ mentaati nasihat ibunya
yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’
masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.
5. Kebimbangan seorang
ibu terhadap anaknya.
Contohnya, ibu keberatan untuk
melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya
negatif yang terdapat pada remaja di bandar.
D. PLOT
1. Permulaan
Cerpen dimulakan dengan kisah
‘saya’ tidak diizinkan oleh bondanya berhijrah ke kota kerana bimbang anaknya
itu akan hanyut oleh arus hedonism dan modenisme yang melanda anak-anak muda di
kota.
2. Perkembangan
Bonda pernah bercerita pada
‘saya tentang system pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan
rakyat negara ini.
Setelah Negara merdeka,
perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini.
Ibu menasihati ‘saya’ agar
memelihara agama, bahasa , bangsa dan Negara ini. ‘Saya’ juga membaca
membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa
‘saya’
Setelah bonda yakin dengan
kemantapan diri ‘saya’ baharulah ‘saya’ dibenarkan berhijrah ke kota untuk
membaiki taraf hidup saya. ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk
disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi.
Di Bandar ,’saya’ dapati
anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai
murni dan batas kehidupan.
‘Saya’ mendengar berita
kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah
dan hotel bertaraf lima bintang.
3. Klimaks
Aku sampai di perkampungan
tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di
situ. Buku-buku pemberian bonda juga turut musnah dalam peristiwa itu
tetapi Munsyi tidak ada di situ.
4. Peleraian
Berhari-hari aku mencari
Munsyi tetapi tidak berjumpa.
E. TEKNIK PENCERITAAN
1. Dialog - “Tuan
inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”
2. Imbas kembali - Saya
teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam
empat dekad lampau.
3. Imbas muka - Di kota
nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.
4. Pemerian - Salam saya
akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi
sebahagian muka yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan tengkolok
dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan
melayu. Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung
cantik.
5. Kejutan - Saya
mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradiri
yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima
bintang.
6. Saspens - Aku mencari
Munsyi tetapi tidak berjumpa.
F. WATAK DAN PERWATAKAN
Watak utama
‘Saya’
1. Seorang yang taat. Cth
- ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
2. Seorang yang amanah. Cth
- ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya
diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.
3. Seorang yang gemar membaca.
Cth - ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah
serta membaca banyak buku lama milik ibunya.
4. Seorang yang tidak mudah
putus asa. Cth - ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah
lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh
ibunya.
Watak sampingan
Bonda ‘saya’
1. Seorang yang berpengetahuan
luas.
Bonda bercerita kepada ‘saya’
tentang sejarah pahit tanah air.
2. Seorang yang bersifat
patriotik.
Bonda menasihati ‘saya’ agar
memelihara agama, bahasa ibunda dan negara.
3. Seorang yang amat memahami
Bonda mengizinkan ‘saya’
berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.
Munsyi
1. Kawan lama bonda.
2. Seorang yang cinta akan
budaya Melayu
Munsyi berpakaian tradisi
Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’.
3. Seorang yang mengalu-alukan
tetamu.
Munsyi tersenyum dan menjemput
‘saya’ masuk ke rumahnya.
F. LATAR
Latar masa
1. Zaman pemerintahan penjajah
- Penjajah telah memerintah negara menggunakan system pecah dan perintah.
2. Zaman selepas merdeka
- Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa
dan agama selepas dijajah.
Latar tempat
1. Di kampung - Pada
mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke
kota
2. Di kota - ‘Saya’
berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna.
3. Di sebuah perkampungan
tradisi di pinggir kota - Munsyi tinggal di sebuah rumah yang terletak di
sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.
Latar masyarakat
1. Masyarakat kampong - ‘Saya’
dan bonda tinggal di kampung.
2. Masyarakat remaja yang
tinggal di Bandar - ‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar
kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup.
3. Masyarakat yang mengamalkan
demonstrasi untuk menunjukkan bantahan - Penduduk kampung tradisi
mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan
tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.
4. Masyarakat yang cekal dan
berani - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka
hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
G. GAYA BAHASA
1. Kata ganda - Zaman-
berzaman
2. Metafora - Pagar-pagar
perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman
3. Peribahasa - Bahasa
jiwa bangsa
4. Simile - Pakaiannya
lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja
di zaman kesultanan Melayu.
5. Hiperbola - Namun
kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela,
kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.
H. NILAI
1. Patriotik - Bonda
menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama.
2. Ketaatan - ‘Saya’
tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.
3. Kegigihan - Anak-anak
bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar
pelabuhan yang terkenal.
4. Amanah - ‘Saya’
menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika
‘saya’ pergi ke bandar.
I. PENGAJARAN.
1. Kita hendaklah taat pada
perintah dan larangan ayah dan ibu - ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya
melarang dia berhijrah ke bandar
2. Kita hendaklah gigih
apabila melakukan sesuatu pekerjaan - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu
cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.
3. Kita hendaklah rajin
membaca untuk meningkatkan pengetahuan - ‘Saya’ telah mengkaji teks
Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik
ibunya.
4. Kita tidak boleh mudah
putus asa apabila menemui kegagalan - ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali
lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu
pernah ditolak oleh ibunya.
KADUK, AYAM DAN RAJA
(Zurinah Hassan)
Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja mengisahkan perjuangan cucu Kaduk
iaitu Hakim yang berusaha mendapatkan tanah milik arwah datuknya yang diambil
oleh Raja. Hakim yang merupakan lulusan universiti telah meminta bantuan
sahabatnya iaitu Azam seorang lulusan bidang undang-undang untuk memfailkan kes
tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Melalui penghujahan Azam, beliau telah
berjaya menyakinkan mahkamah bahawa Kaduk menyerahkan ayam Kunani kepada raja
tanpa kerelaannya hatinya. Hal ini menyebabkan kemenangan berpihak
kepada Hakim. Setelah itu, Hakim merancang untuk menternak ayam secara
pertanian kontrak dengan syarikat besar yang menubuhkan cawangan di Malaysia
dengan nama Rangkaian Jasa Agrikultur atau singkatannya RAJA. Hakim menternak
ayam bagi menyahut seruan kerajaan yang banyak memberi insentif kepada penternak.
Kesungguhannya terbukti apabila Hakim telah membuat pinjaman bank
melebihi dua ratus ribu ringgit. Hakim terpaksa meminda kertas kerjanya
beberapa kali dan hasil bantuan seorang Yang Berhormat telah menyebabkan
bank meluluskan pinjaman tersebut untuk membina sebuah reban ayam tertutup yang
dilengkapi sistem penyaman udara serta peralatan memberi makanan secara semi
automatik. Setelah kelulusan bank diperoleh, satu perjanjian kontrak di meterai
antara Hakim dan syarikat RAJA, maka projek penternakan ayam pun bermula.
Konflik mula timbul setelah setahun Hakim menjadi penternak ayam.
Sahabat karibnya Azam telah pulang dari luar negara kerana berkursus dan
terus berjumpa dengan Hakim. Hakim telah menceritakan masalah yang dialaminya
sepanjang dia menjadi penternak ayam iaitu terdapat rungutan orang kampung
terhadap lorinya yang telah menyebabkan keadaan jalan kampung bertambah teruk.
Selain itu, hakim menjelaskan kepada Azam bahawa hidupnya dibelenggu hutang
dengan menunjukkan penyata hasil jualan ayam dari rebannya yang bernilai
lapan puluh lima ribu ringgit. Namun begitu hanya tiga belas ribu ringgit
sahaja yang diterimanya kerana selebihnya digunakan untuk membayar hutang
kepada syarikat RAJA. Jumlah wang yang diterima itu pula terpaksa digunakan
untuk membayar pelbagai kos seperti bil elektrik, bil air, hutang bank dan
sebagainya. Hakim menzahirkan penyesalannya tentang memilih ternakan kontrak
yang dianggapnya situasi menang menang tetapi keadaan yang sebaliknya pula
berlaku. Hakim mula menyedari bahawa dirinya telah dieksploitasi oleh
Syarikat RAJA melalui harga dedak dan ubat untuk ayam ternakannya sehingga
hutangnya meningkat. Hakim menganggap dirinya menerima nasib yang sama seperti
nasib datuk yang tertipu oleh orang yang memiliki kuasa.
Tema
Tema cerpen ini ialah
kesungguhan seorang anak muda menceburi bidang keusahawanan. Sebagai contoh
Hakim berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ternakan ayam
walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Persoalan
1. Persoalan
keberanian menuntut hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik
datuknya dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
2. Persoalan
memahami selok belok bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan
agensi kerajaan sebelum menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
3. Persoalan
ketaatan terhadap pemerintah. Sebagai contoh Kaduk mentaati perintah raja
dengan menukarkan ayam Kunani dengan ayam raja atas perintah baginda semasa
bersabung ayam.
4. Persoalan
penindasan golongan yang berkuasa terhadap golongan yang lemah. Sebagai contoh,
syarikat RAJA mengambil kesempatan dengan menentukan harga dedak dan ubat ayam
ternakan sehingga menyebabkan Hakim menanggung beban hutang.
Plot
Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan
watak Kaduk yang dianggap bodoh kerana bertukar ayam dengan raja.
Akhirnya Kaduk, isteri dan anaknya hidup menumpang di atas tanah yang
sebenarnya miliknya sendiri.
Perkembangan
Hassan menamakan anaknya Hakim
yang bererti bijaksana yang berbeza nama-nama orang lain yang primitif
dan jelik seperti Si Bulat, Si Labi dan sebagainya.
Hakim seorang yang pandai dan
melanjutkan pelajaran ke universiti. Hakim semakin sedar akan
ketidakadilan dan penganiayaan yang telah berlaku dalam kehidupan datuknya. Hakim mendapatkan bantuan Azam, sahabatnya untuk menyelasaikan kemelut
keluarganya itu. Usaha Hakim berjaya.
Hakim berhasrat mengusahakan
projek penternakan ayam di atas tanah milik datuknya itu walaupun memakan
belanja yang besar melebihi dua ratus ribu ringgit. Untuk melialisasikan
hasratnya itu, Hakim memohon pinjaman bank. Masalah yang timbul ialah pihak bank pula memerlukan cagaran dan dia tidak ada harta yang lain
untuk dicagarkan. Mujurlah seorang Yang Berhormat campur tangan dan pinjaman
hakim diluluskan.
Hakim memeterai perjanjian
dengan Syarikat RAJA untuk membekalkan makanan dan ubat ayam dan projek pun
bermula.
Orang kampung merungut bahawa
jalan kampung mereka rosak disebabkan lori-lori yang membawa ayam melalui jalan.
Hakim berusaha meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk membaiki
masalah ini tetapi jawapan mereka ialah tiada peruntukan.
Klimaks
Setelah setahun, Hakim
bercerita kepada Azam yang baharu pulang dari luar negara bahawa dia berasa
kecewa terhadap projek penternakan ayamnya kerana walaupun mendapat pulangan
yang besar tetapi hakikatnya keuntungan yang diperolehnya amat kecil. Dia
berasa dirinya telah dieksploitasi oleh syarikat RAJA yang membekalkan makanan
dan ubat ayam kepadanya. Harga makanan dan ubat ayam Syarikat RAJA amat
mahal.
Peleraian
Hakim menganggap dirinya
mengalami nasib yang malang sama seperti datuknya yang terpaksa akur pada
golongan yang berkuasa.
Teknik Plot
Pemerian
Pengarang menggambarkan
usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim untuk membina reban ayam tertutup.
Sebagai contoh dia memulakan segala kerja, menebang pokok dan meratakan tanah,
berlori-lori tanah telah diangkat untuk menambak kawasan yang memang rendah dan
berair itu.
Dialog
“Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam
Imbas muka
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali
tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial.”
Imbas kembali
“Kau ingat kan , tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah
dengan susah payah.”
Kejutan
Nilai jualan dari rebanku
ialah lapan puluh lima ribu ringgit. Tetapi akhirnya hanya tiga belas ribu
sahaja yang masuk ke kantungku.Tujuh puluh dua ribu adalah untuk RAJA kerana
membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan.Dari tiga belas ribu
itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar
bil elektrik dan bil air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang
lain.
Watak dan Perwatakan
Hakim
Anak kepada Hassan dan cucu
kepada Kaduk.
Seorang yang berani
memperjuangkan hak. Sebagai contoh Hakim berani menuntut tanah milik datuknya
dengan memfailkan kes di mahkamah melalui sahabatnya, Azam.
Seorang yang gigih menceburi
bidang keusahawanan. Sebagai contoh Hakim mendapat bantuan agensi kerajaan sebelum
menjalankan bidang penternakan ayam yang dirancangnya.
Seorang yang tabah menghadapi masalah. Sebagai contoh Hakim
tabah mengharungi cabaran akibat kegagalannya dalam bidang keusahawanan.
Seorang yang rajin menuntut ilmu. Sebagai contoh
Hakim berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Azam.
Sahabat baik Hakim semasa di
universiti.
Seorang yang suka membantu
orang lain. Sebagai contoh Azam membantu Hakim dengan menjadi peguamnya
dalam kes tuntutan tanah milik datuknya.
Seorang yang rajin menuntut
ilmu. Sebagai contoh walaupun Azam sudah memiliki ijazah dalam bidang
undang-undang namun dia sanggup menghadiri kursus selama setahun di luar negara
untuk menambah pengetahuannya.
Seorang yang prihatin. Sebagai
contoh Azam sanggup mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh Hakim dalam
usaha penternakan ayamnya kerana dia prihatin terhadap sahabatnya itu.
Kaduk.
Datuk kepada Hakim dan ayah
kepada Hassan.
Seorang yang suka bersabung
ayam. Sebagai contoh Kaduk bersabung ayam dengan raja.
Seorang yang mentaati raja.
Sebagai contoh Kaduk sanggup menyerahkan ayam Kunani apabila diminta oleh raja.
Raja
Seorang yang suka bersabung
ayam. Sebagai contoh raja bersabung ayam dengan Kaduk.
Seorang yang suka mengambil
kesempatan atas kelemahan orang lain. Sebagai contoh raja telah
menukarkan ayamnya dengan ayam kunani Kaduk untuk memenangi pertandingan itu.
Latar
Latar masa
Zaman lampau. Sebagai contoh
Kaduk pernah bersabung ayam dengan ayam raja.
Zaman selepas merdeka. Sebagai
contoh Hakim didedahkan oleh kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap
projek penternakan ayam secara kontrak dengan syarikat RAJA.
Dalam masa setahun.
Sebagai contoh Hakim mengalami kerugian dalam masa setahun dia menjalankan
perternakan ayamnya.
Latar tempat.
Mahkamah. Sebagai contoh kes
tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya dijalankan di mahkamah.
Tanah Kaduk. Sebagai contoh
Hakim menjalankan projek ternakan ayamnya di tanah Kaduk.
Kampung. Sebagai contoh
penduduk kampung mendakwa lori-lori Hakim telah merosakkan jalan kampung
mereka.
Universiti. Sebagai contoh
Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di universiti yang sama.
Latar masyarakat
Masyarakat yang mementingkan bidang keusahawanan. Sebagai
contoh para menteri menyeru rakyat menceburi bidang keusahawan melalui
pertanian yang mengeluarkan lebih banyak makanan.
Masyarakat yang sensitif terhadap keadaan sekeliling.
Sebagai contoh penduduk kampung merungut apabila mendapati jalan di kampung
mereka rosak akibat dilalui oleh lori-lori Hakim.
Masyarakat yang bekerja untuk mencari rezeki. Sebagai
contoh Hakim mengambil pekerja-pekerja untuk bekerja di projek penternakan
ayamnya.
Masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Sebagai contoh
wujud dua golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat semasa hayat
Kaduk.
Gaya Bahasa
Sinkope
Sebagai contoh: kau, ku
Pengulangan kata
Sebagai contohnya: Kami sama-sama membela ayam dan kami
sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah cengkaman orang
berkuasa.
Kata ganda
Sebagai contonya: bangunan-bangunan, sama-sama dan tanah
–tanah.
Bahasa Arab
Sebagai contoh: Assalamualaikum, Alhamdulillah
Bahasa Inggeris
Sebagai contoh Global Chiken
Simile
Sebagai contoh : Bank akan merampas tanahku tak ubah
seperti raja merampas tanah datukku dahulu.
Personifikasi. Sebagai contoh; Setiap musim syarikat payung
akan mengatur lori-lori untuk mengangkut ayam-ayam yang sudah besar.
Nilai
1.
Nilai keadilan. Sebagai contoh hakim menuntut
keadilan di mahkamah bagi pihak datuknya yang telah ditipu.
2. Nilai keberanian. Sebagai contoh hakim berani
menceburi bidang keusahawan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
3. Nilai kegigihan.Sebagai contoh Hakim gigih
menjadi penternak ayam walaupun dirinya terpaksa menanggung hutang yang banyak.
4.
Nilai keprihatian. Sebagai contoh Azam sangat
prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh hakim dengan memberi semangat
kepadanya untuk terus berjaya menjadi penternak moden sebelum dia berangkat ke
luar negara untuk berkursus.
5. Nilai tolong-menolong. Sebagai contoh Azam
sanggup menjadi peguam Hakim untuk menolongnya mendapatkan hak tanah seluas
empat ekar milik datuk hakim.
Pengajaran
1. Kita
hendaklah menuntut hak kita yang dirampas oleh orang lain. Sebagai contoh
Hakim menuntut hak milik tanah datuknya yang diambil raja di mahkamah.
2. Kita
hendaklah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh
Hakim gigih berusaha untuk mendapatkan kelulusan bank bagi menjayakan projek
penternakan ayam walaupun terpaksa meminda kertas projeknya beberapa kali
sebelum bank meluluskan permohonannya dengan bantuan Yang Berhormat.
3. Kita
hendaklah berani menceburi bidang perniagaan. Sebagai contoh hakim berani
mengusahakan tanah peninggalan datuknya dengan menjalankan penternakan ayam
untuk dijual.
4. Kita
hendaklah menolong golongan yang memerlukan bantuan. Sebagai contoh Azam
membantu sahabatnya dengan menjadi peguam bagi mendapatkan hak milik tanah
datuk Hakim.
5. Kita
janganlah mengambil kesempatan terhadap golongan yang lemah. Sebagai
contoh Syarikat RAJA mengenakan bayaran yang tinggi terhadap makanan dan ubat
ayam yang dibeli oleh Hakim untuk mengaut keuntungan yang lebih.
JAKET KULIT KIJANG
DARI ISTANBUL
( Maskiah Haji Masrom )
SINOPSIS
Mengisahkan
Aku melancong ke negara Turki sambil mencari cenderahati untuk di bawa pulang
ke Malaysia.Pelbagai barangan yang tersenarai untuk dibeli kepada rakan-rakan
serta dirinya sendiri. Namun dirinya hanya tertarik dengan buku-buku berbanding
barang-barang hiasan yang lain. Sejumlah wang telah disediakan dan diperuntukan
untuk pembelian cenderahati tersebut serta sedikit wang kecemasan untuk
dirinya.Beliau juga telah dinasihatkan oleh pemandu pelancong dan beberapa
panduan serta pantang larang ketika berbelanja di Istanbul. Aku serta
rakan-rakannya berasa sukar untuk menawar harga barangan yang hendak
dibeli kerana tiada tanda harga dipamerkan dan harga barangan hanya akan
diberitahu jika ditanya.
Melintasi
sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung tangan kulit
berwarna hitam di rak cermin. Aku mengimbas akan abangnya yang menunggang
motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit, tentu tangan Abang
Longnya itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki seakan dapat
membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun Aku tidak berani
mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya.
Hajah
Normah dan dan Dr. Liza tertarik dengan harga jaket berwarna kuning keemasan
yang dibeli oleh Haji Helmi dan isterinya dengan harga yang murah berbanding
kedai-kedai lain. Aku tiada pilihan mengikut rakan-rakannya masuk ke kedai
tersebut. Kedainya tidaklah begitu luas namun mampu menempatkan sepuluh orang
pelanggan pada satu-satu masa dan mempunyai beratus-ratus helai jaket kulit
beraneka warna dan rupa bergantungan kemas di dalam rak berhawa dingin. Aku dan
rakannya dilayan mesra umpama selebriti. Pekedai tanpa putus asa memujuk Aku
agar membeli jaket kulit kijang, namun Aku masih belum berniat untuk mencari
pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadanya. Namun, kerana ingin
mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, Aku
cuba mengenakan jaket kulit tersebut. Aku tersentak dengan harga yang
disebutkan kerana dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli jaket
kulit kijang yang lembut itu. Dua rakannya itu telah membayar harga jaket
pilihan mereka. Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk
tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan
tindakan Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat.
Perjalanan
melawat Egyptian Market, Aku didatangi seorang remaja kurus dan bercakap
separuh berbisik menjual barangan Black market. Melewati rakan Aku, Kak Chah
dan Shahmeem, lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja
tersebut atas kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki
feri menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan
sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku. Rakan Aku, Shahmeem
menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai
dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada Aku dengan harga
AS$100. Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. Aku juga
menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai
dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat
sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak jika koyak pula tidak dapat dijahit
dengan benang. Jelas sekali Aku terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk
mendapatkan sehelai jaket kulit.
Akhirnya
Aku berhasrat untuk menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu
dan wang jualan akan didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang
kijang, sabagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya
hidup yang penuh dengan kemodenan.
TEMA
Pengalaman seorang pelancong
yang suka melancong serta terjerat dengan pembelian jaket kulit kijang yang
tidak disengajakan demi menjaga hati dan kegembiraan penjual jaket, rakannya
serta dirinya demi mengelakkan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi demi
kelangsungan kehidupan moden.
PERSOALAN
Perasaan
kasih dan sayang terhadap kehidupan haiwan-haiwan esotik.
Contoh:-
Aku berasa kasihan terhadap haiwan kijang yang terpaksa menjadi korban kerana
kulitnya.
Sikap
berbudi bahasa sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan negara.
Contoh:-
Aku melahirkan kata-kata yang cukup berbahasa kerana tidak mahu menyakitkan
hati pekedai Turki itu.
Kewajaran
memberikan layanan serta ramah mesra terhadap pelanggan atau pelancong.
Contoh:-
Pekedai Turki telah memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan
memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada
pelanggannya.
Kepandaian
sikap puji memuji dalam kalangan masyarakat Turki.
Contoh:-
Masyarakat Turki memang pandai memuji pelanggannya demi melariskan jualan.
Kebijaksanaan
dalam menguruskan perbelanjaan kewangan.
Contoh:-
Aku telah membuat senarai nama barangan dan cenderahati yang akan dibeli untuk
dibawa pulang ke Malaysia.
PLOT
Permulaan
Aku
mengikuti rombongan Passage Tours and Travel ke negara Turki. Dengan
berbekalkan AS$400 yang bersamaan dengan RM1,800.00, dia telah menyenaraikan
barang-baang yang ingin dibeli. Antaranya, cenderamata untuk keluarga, untuk
saudara-mara, kawan pejabat dan kenalan rapat, untuk pensyarah-pensyarahnya
yang banyak membimbingnya semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan
untuk dirinya sendiri, memadai membeli beberapa buah buku terbitan Turki.
Perkembangan
Aku
mengisahkan bagaimana dia terbeli jaket kulit kijang dari Istanbul pada hari
kelima lawatannya ke Turki. Dia tidak berniat langsung untuk membeli jaket
tersebut. Ahli rombongan dibenarkan pergi membeli-belah di Grand Bazaar yang
terletak lebih kurang satu kilometer dari tempat penginapannya di Hotel
Senator. Sebelum sampai di Istanbul, Aku telah melawat beberapa kawasan
bersejarah di Bursa, Pamukkale, Konya, Cappadocia dan Bolu. Pada setiap
persinggahan itu, Aku telah mendapatkan cenderamata yang popular dan unik.
Klimaks
Aku
disapa oleh seorang lelaki berbaju T merah, berjaket kulit hitam dan berwajah
tampan dari sebuah kedai jaket kulit. Aku tertarik akan keramahannya. Aku juga
terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin dan
berhasrat untuk membelinya tetapi tidak berani kerana tidak mengetahui harganya
dan takut akan ditipu oleh penjualnya. Walaubagaimanapun Aku akhirnya masuk ke
kedai jaket kulit itu dan mencuba sehelai jaket kulit berwarna hitam, namun dia
tidak berniat untuk jaket tersebut kerana harga yang ditawarkan diluar
kemampuannya. Akhirnya berlaku perbalahan antara Aku dan pekedai Turki itu. Aku
berasa tersentak dengan sikap pekedai Turki yang menghinanya dan aku juga
berasa terkilan kerana tertipu dengan layanan mersa yang telah diberikan
oleh pekedai Turki itu.
Peleraian
Sewaktu
beratur untuk menaiki feri ke Selat Bhosporus, seorang lelaki tua telah
meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di atas lengannya. Shahmeem
menunjukkan minat untuk membeli jaket tersebut dan telah membayar sebanyak
AS$120, namun apabila dicubanya, jaket itu bersaiz kecil lalu menjualkannya
kepada Aku dengan mengurangkan AS$20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda
terhutang budi. Aku tidak nampak praktikalnya jaket itu untuk kegunaan harian di
Malaysia. Aku memandang jaket kulit kijang itu, lalu membayangkan kegembiraan
kepada lelaki tua yang berjaya menjual jaket kepada Shahmeem, kegembiraan
Shahmeem yang berjaya menjualkannya kepada Aku serta kegembiraan Aku kerana
dapat menghangatkan badannya sepanjang perjalanan di Selat Bhosporus yang
dingin. Akhirnya kegembiraannya itu ingin dikongsi dengan orang lain iaitu
dengan berhasrat menjual jaket tersebut di kedai pakaian terpakai dan wang yang
diperoleh didermakan kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang sebagai tanda
muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup yang penuh
kemodenan.
TEKNIK PLOT
Imbas Muka
Contoh: Aku tidak dapat
membayangkan jika aku menjadi wanita tua yang menjual makanan burung di situ.
Imbas Kembali
Contoh: Entah mengapa aku
tiba-tiba teringat akan Abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja.
Saspens
Contoh: Perbalahan antara aku
dan pekedai Turki membuatkan aku ingin melangkah keluar tetapi dihalang oleh
pekedai Turki dengan wajahnya yang kelihatan marah.
Monolog
Contoh: Aku terpaku
seketika. Apakah jawapan yang lebih baik pada saat itu selain yang dapat
menggembirakan Shahmeem?
Dialog
Contoh: “Dah beli, ke?
Ok tak harganya? Tanya kak Chah.
“Ok juga. Dah survey tiga, empat kedai. Kedai ni ok. Dapat
harga
AS$150 sat jaket,” terang Haji Helmi sambil menunjukkan
beg plastiknya.
WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
Aku ( Mas ) –
Seseorang yang :-Gemar
membaca.
Aku gemar membaca kerana dia
akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai yang menjual buku.
Baik dan murah hati.
Aku begitu bermurah hati
dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual
makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira.
Berbudi bahasa.
Aku dengan sebaik mungkin
berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli jaket kulit agar
pekedai itu tidak berasa kecil hati.
Tidak boros berbelanja.
Aku tidak terpengaruh dengan
layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit kijang itu.
Sayang akan haiwan.
Aku begitu menyayangi haiwan
seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket
kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat
memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
Bersederhana apabila
berbelanja.
Aku telah membuat senarai
barangan yang hendak dibeli agar tidak melebihi perbelanjaan yang telah
diperuntukan.
Watak Sampingan
Pekedai Turki–
Pemuda berkulit putih
Mempunyai kumis. (misai)
Fasih berbahasa inggeris.-
Pekedai Turki berbahasa inggeris apabila berkomunikasi dengan pelanggan yang
datang ke kedainya.
Peramah dan mesra
Pekedai Turki kelihatan begitu
peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
Tidak berputus asa
Pekedai Turki tidak berputus
asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
Pandai mengambil hati
Pekedai Turki sangat pandai
mengambil hati pelanggannya dengan memberikan kata-kata manis.
Cepat marah
Pekedai Turki cepat naik
amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupuan telah
mencubanya.
Polis Turki –
Lelaki dewasa
Bertubuh tegap
Berbaju T dan berseluar
panjang
Berwajah serius –
Polis Turki kelihatan serius
ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap seorang remaja yang
menjual barangan pasaran gelap.
Shahmeem –
Kawan kepada Aku
Mudah terpengaruh
Shahmeem terpengaruh dengan
sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran gelap tanpa mengetahui ukuran
saiznya.
Murah hati
Shahmeem bermurah hati dengan
mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal pasaran gelap kepada Aku
kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.
LATAR
Latar tempat.
Hotel Senator – tempat
penginapan aku dan rakan-rakannya ketika melancong di Turki.
Grand Bazaar – Pusat membeli
belah.
Kedai menjual jaket kulit –tempat
di mana aku terpaku ketika melihat sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam
di rak cermin.
Tempat Haji Helmi dan
isterinya, cikgu Juliah membeli empat helai jaket berwarna kuning keemasan.
Tempat Aku mencuba jaket kulit
kijang namun tidak jadi membelinya kerana dia tidak mempunyai wang yang
mencukupi.
Pigeon Valley – Aku bersedekah
kepada pengait benang yang kesejukan.
Gunung Bolu – Aku bersedekah
kepada seorang kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta.
Masjid Ulu – bersedekah kepada
seorang lelaki yang cacat anggota.
Masjid Biru – tempat Aku
menunaikan solat jamak.
Egyptian Market – tempat
membeli belah yang mempunyai dataran burung merpati jinak.
Terminal feri Selat Bhosporus
– Shahmeem membeli jaket kulit hitam daripada lelaki tua di pasaran gelap
dengan harga AS$120.
Latar masa
Malam – Kak Chah teman sebilik
Aku tidur awal kerana kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota bersejarah.
Siang –Aku , Kak Chah dan
Shahmeem berada di dalam kedai menjual jaket kulit.
Semasa aku dan rakan-rakannya
sedang beratur untuk menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus.
Latar masyarakat
Masyarakat elit – Ahli
rombongan yang terdiri daripada guru dan pensyarah.
Masyarakat yang bekerjaya
untuk menampung kehidupan seharian.
Encik Yuksel bekerja sebagai
pemandu pelancong dan pekedai Turki yang menjual barangan kulit.
Masyarakat yang tidak
berkemampuan.
Wanita tua yang menjual
makanan burung, remaja kurus dan lelaki tua yang menjual barangan pasaran
gelap, dan pengemis –pengemis seperti pengait benang yang diberi sedekah oleh
Aku, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat
anggotanya.
Masyarakat yang suka
melancong.
Aku serta 30 orang ahli
rombongan telah melawat negara Turki.
Masyarakat yang suka akan
kemewahan.
Haji Helmi dan isterinya cikgu
Juliah telah membeli sebanyak empat helai jaket kulit berwarna kuning keemasan
dengan harga AS$150 sehelai.
Masyarakat yang tidak
menyayangi haiwan.
Seekor atau lebih daripada
seekor kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit yang menjadi
lambang pendewaan dan pemujaan diri.
GAYA BAHASA
Kata ganda –
cenderamata untuk
pensyarah-pensyarah yang banyak berjasa membimbingku semasa melanjutkan
pelajaran ke peringkat sarjana;
Aku bercadang untuk membelikan
professor Siti Zainon, Dr Shaiful Bahri dan Dr Rosnah sesuatu yang boleh
dijadikan kenang-kenangan.
Matanya bercahaya-cahaya.
Bahasa Asing – bahasa inggeris (“Hello lady! …. “ , “Please…
“ )
Bahasa Arab. –
Assalamualaikum, solat jamak, al- mathurat
Sinkope – ‘Eh, lawanya jaket tu! Macam yang
kita tengok kat Grand Bazaar semalam. Murah ke?”
NILAI
Kegigihan – pekedai Turki
begitu gigih dan tidak berputus asa meyakinkan pelanggannnya agar membeli
barangan kulitnya.
Keprihatinan – Aku begitu
prihatin dengan pembunuhan haiwan kijang kerana kulitnya untuk dijadikan jaket.
Berjimat cermat – Aku telah
membuat senarai barangan yang perlu dibeli untuk dibawa pulang agar tidak
melebihi perbelanjaan.
Keikhlasan – Aku dengan ikhlas
memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak
bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
PENGAJARAN
Kita haruslah bersikap
berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan seharian maupun semasa melancong ke
luar negara.
Contoh :- Cenderamata untuk
keluarga : 29 helai baju T, 2 helai untuk keluarga Anim, masing-masing sehelai
untuk Tahrir, Nadia dan Salleh.
Kita hendaklah bersikap ikhlas
dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.
Contoh :- Aku begitu bermurah
hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual
makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira serta ikhlas memberi
derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama
datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
Kita wajar mempunyai sikap
gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai.
Contoh :- Pekedai Turki gigih
memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan
yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya dengan harapan pelanggannya
itu membeli barangannya.
Kira patut bersikap prithatin
terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus.
Contoh : Aku begitu prihatin
terhadap haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil
jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang
agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan