Sabtu, 28 September 2013

SELAMAT MENJALANI KEM KECEMERLANGAN SPM KEPADA PELAJAR TING. 5 SMKASAS 2013

Kem Kecemerlangan SPM 2013 telah diadakan:-
     Tarikh   : 27 hingga 29 September 2013
     Hari      : Jumaat hingga Ahad.
     Tempat :  Pusat Latihan Perhutanan, Sungai Siput, Perak.
Alhamdulillah, slot Bahasa Melayu telah selesai dan diadakan pada pukul 8.00 hingga pukul 10.00 malam pada 27/10/2013 iaitu pada malam semalam. Selepas slot B. Melayu saya terpaksa bali ke rumah kerana isteri saya akan ke IPG Ipoh, Tanjung Rambutan menghadiri kelas pensiswazahannya. Semoga pelajar SMKASAS mendapat ilmu sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM 2013, sepanjang program berkenaan dijalankan. Terima kasih juga kepada penyelaras Kem Kecemerlangan kerana telah memberi slot kepada mata pelajaran Bahasa Melayu kerana pada peringkat perancangan awal, B. Melayu tidak termasuk dalam pakej  kem berkenaan. Antara slot dalam kem berkenaan melibatkan mata pelajaran lain seperti Fizik, Akaun, Biologi, Syariah, Kimia, dan Sejarah. Selamat "berkem" kepada pelajar SPM 2013. kepada Cikgu Sirajuddin sebagai kem komander kem terus bersemangat untuk menjaga disiplin, kebajikan dan segala hal berkaitan pelajar sepanjang kem berkenaan dijalankan.

Ahad, 22 September 2013

CONTOH KARANGAN SUMBER Cikgu Anelyza SPM

 1.      CARA-CARA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP
-      Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan antara ciri sesebuah negara yang menuju ke arah
kemodenan dan kemajuan yang mapan. Hal ini disebabkan kemodenan dan kemajuan sesebuah negara
tidak bererti sekiranya kualiti hidup rakyat masih ketinggalan zaman.
-    Kualiti hidup biasanya dikaitkan dengan penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal oleh pihak pentadbir
di sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, persekitaran yang baik tidak membawa maksud kualiti hidup
juga baik kerana hal ini juga turut berkait dengan penerimaan atau penolakan dan tindak balas penduduk
terhadap persekitaran yang disediakan.
- Semua pihak termasuk individu, keluarga, masyarakat, dan kerajaan perlu bersinergi dan memainkan
peranan secara bersepadu bagi meningkatkan kualiti hidup di negara ini dan seterusnya mencapai aspirasi
negara ke arah Wawasan 2020.
 
Isi-isi penting:

1. Membina keluarga bahagia
-    Setiap individu dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang harmoni, saling bertoleransi, dan saling menghormati. 
-      Ibu bapa berperanan untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga mereka secara umumnya. Ibu bapa perlu mempunyai pegangan hidup dan sebaik-baiknya bertunjangkan didikan moral dan ajaran agama kerana mereka turut berperanan untuk menanamkan asas-asas didikan moral dan ajaran agama ini dalam diri anak-anak.
-         Datuk dan nenek pula menguatkan asas binaan keluarga bahagia lagi dengan mendidik cucu cicit mereka agar menghormati ibu bapa, adik beradik, orang tua dan sesiapa sahaja sebagai suatu cara hidup berkomuniti.
-          Setiap aktiviti juga dilakukan bersama dengan keluarga seperti makan bersama-sama, melakukan aktiviti riadah bersama-sama dan sebagainya. Dengan ini, keluarga yang bahagia dapat dilahirkan.
-          Keluarga bahagia sememangnya melambangkan kualiti hidup masyarakat yang baik kerana individu daripada keluarga bahagia biasanya akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah negatif – selesaikan masalah melalui perbincangan keluarga dan sebagainya.
2.      Menambahkan ilmu pengetahuan
 -   Penguasaan ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.
-      Hadis bermaksud “Carilah ilmu hingga ke negara China” menunjukkan bahawa ilmu ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi yang boleh. Ilmu yang dituntut pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
-      Individu yang berilmu akan membentuk masyarakat yang berfikiran rasional, berinovasi, dan berdaya saing setanding dengan masyarakat berilmu di negara-negara maju. Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, Malaysia akan mempunyai aset modal insan bagi mentransformasikan negara ini bagi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1 Malaysia. Jadi, jelaslah bahawa kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui penguasaan ilmu.

3. Menjana pertumbuhan ekonomi negara
-          Pertumbuhan ekonomi negara turut melambangkan peningkatan kualiti hidup. Individu dan masyarakat termasuk golongan wanita perlu aktif dalam memberikan sumbangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini bertujuan supaya setiap tenaga kerja yang masih aktif di negara ini dapat digembleng dalam setiap sektor ekonomi sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, pelancongan, pengangkutan, dan banyak lagi.
-          Pihak kerajaan pula memainkan peranan penting dengan menyediakan pelbagai dasar seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan, Dasar Industri Kecil dan Sederhana, dan Pelan Transformasi Ekonomi Negara bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara untuk menanam modal dan menyediakan ruang niaga yang kukuh bagi masyarakat Malaysia sendiri.
-          Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara bagi menjamin kesuburan pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan kerana pihak kerajaan akan mempunyai dana yang kukuh untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada rakyat semula.

4. Penggunaan sistem pengangkutan mesra alam
-      Alam sekitar yang bersih mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, kebersihan dan kecantikan alam sekitar perlu dijaga. Oleh itu, penggunaan sistem pengangkutan yang mesra alam adalah perlu untuk mengurangkan pencemaran di negara ini. Hal ini demikian kerana asap daripada cerobong alat-alat pengangkutan yang ketinggalan zaman merupakan antara faktor utama pencemaran alam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, George Town, dan Johor Bahru.
-      Setakat ini, tidak banyak sistem pengangkutan yang mesra alam digunakan di Malaysia – cuma KLIA Ekspres dan penggunaan minyak NGV – perlu diperluas kepada penggunaan enjin kenderaan elektrik seperti di negara China.
-      Alam sekitar yang bersih akan mengurangkan risiko penyakit – kualiti hidup meningkat.

Penutup:

-      Terdapat banyak cara yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.
-      Pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara
            ini.
-          Aspirasi negara dapat direalisasikan dengan mudah dan tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin                                                                                                                                             
2.  AMALAN RUMAH TERBUKA
            (TEMA) Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
            (ISI 1) Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. (PENEGAS) Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
            (ISI 2) Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA) Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA) Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (KESAN) Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
           
            (ISI 3) Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita. (MENGAPA) Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN) Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
           
            (ISI) Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan  di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.
            (PENUTUP) Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa  kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.
3.      CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
            (TEMA) Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam Wawasan 2020. (ISU) Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. (ARAHAN) Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?
            (ISI 1) Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang berwawasan. (MENGAPA) Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.  Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. (BAGAIMANA) Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan inisiatif  merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran  ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka.  Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki mentaliti kelas pertama.
            (ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek. (BAGAIMANA) Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus asa sebaliknya bersemangat tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada kejayaan yang datang bergolek bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (KESAN) Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS) Pendek kata, remaja yang berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya berubah untuk memajukan diri dan negaranya.
            (ISI) Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA) Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang.  Dalam industri teknologi  komunikasi dan maklumat (ICT),  umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka  melontarkan impian mereka. Namun demikian,  impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya.  (KESAN) Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi.  Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita  mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. (PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif merupakan ciri remaja yang berwawasan.
            (ISI) Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya cinta akan negara. (MENGAPA) Remaja yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. (BAGAIMANA) Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa patriotik remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. (PENEGAS) Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.
            (PENUTUP) Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang memaparkan seseorang remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus  terlepas daripada belenggu angkara sosial. Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN) Oleh itu, golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan kecemerlangan negara. (HARAPAN) Diharapkan kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi negara di samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada antarabangsa.
4.      AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
            (TEMA) Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. (ISU) Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. (ARAHAN) Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
        
            (ISI) Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. (MENGAPA) Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA) Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN) Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria dan sihat.
           (ISI) Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. (MENGAPA) Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. (KESAN) Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. (PENEGAS) Tegasnya, aktiviti beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.
       
            (ISI) Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. (MENGAPA) Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. (BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN) Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS) Ringkasnya, seseorang itu akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual sebelum kudis menjadi tokak.
           
            (ISI) Akhir sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat seperti pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan dadah atau pil-pil perangsang. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA) Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu menjauhi amalan mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat menjamin maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara. (PENEGAS) Pendek kata, seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

            (PENUTUP) Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. (CADANGAN) Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (HARAPAN) Semoga kempen kerajaan iaitu kempen ‘Rakyat Sihat Negara Maju’ dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.
         

5.      KEJAYAAN MALAYSIA DALAM PELBAGAI BIDANG
            (TEMA) Malaysia merupakan sebuah negara yang maju dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang. (ISU) Kalau dijejaki atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan rakyat Malaysia dalam rentang masa 55 tahun kemerdekaan negara. Kejayaan-kejayaan luar biasa yang dicapai selama ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu menandingi kejayaan yang ditempa oleh orang Barat yang jauh lebih maju daripada kita. (ARAHAN) Persoalannya, apakah kejayaan-kejayaan yang diraih oleh nusa tercinta ini?
          (ISI 1) Tidak dapat dinafikan bahawa bidang perusahaan automobil merupakan mercu kecemerlangan dalam mencapai kejayaan Malaysia. (HURAIAN – MENGAPA) Kejayaan ini telah menandakan bahawa negara Malaysia berupaya mengeluarkan kereta sendiri setanding kereta asing. (CONTOH – BAGAIMANA) Di Malaysia, terdapat dua buah syarikat yang menghasilkan kereta nasional iaitu Syarikat Holdings Bhd (PROTON) dan Syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd (PERODUA). Teknologi industri berat yang diusahakan oleh rakyat Malaysia ini membolehkan kereta nasional dieksport ke luar negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan sebagainya. (HURAIAN CONTOH –KESAN) Perusahaan ini secara tidak langsung telah dapat meningkatkan pendapatan negara kita. (PENEGAS) Tegasnya, bidang automobil negara menjadi salah satu mercu kejayaan negara.
        (ISI 2) Selain itu, kejayaan Malaysia turut dapat dilihat melalui pembinaan bangunan yang menjadi kebanggaan negara. (HURAIAN – MENGAPA + UNGKAPAN) Pembangunan negara yang bergerak pantas bagai belut diketil ekor dapat dilihat melalui pembinan bangunan-bangunan yang tinggi terutamanya di ibu kota metropolitan, Kuala Lumpur. (CONTOH – BAGAIMANA) Pembinaan bangunan pencakar langit seperti Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS merupakan bangunan mercu tanda kemajuan negara di Malaysia. Kedua-dua bangunan tersebut terletak di Kuala Lumpur. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Ciri-ciri istimewa kedua-dua menara ini telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menarik banyak pelancong asing melancong ke negara Malaysia sepanjang tahun. (PENEGAS) Pendek kata, pembinaan bangunan yang tersergam gah telah membuktikan kejayaan negara dicapai.
       (ISI 3) Malaysia juga melangkah maju ke era teknologi angkasa lepas apabila kita berjaya melancarkan dua satelit Malaysia Asia Timur iaitu MEASAT I dan MEASAT II.  (HURAIAN – MENGAPA & CONTOH - BAGAIMANA) Pelancaran satelit ini menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara ASEAN yang mempunyai satelit angkasanya sendiri. Bukan itu sahaja, program penghantaran angkasawan negara yang pertama iaitu  Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. (HURAIAN CONTOH – KESAN) Program ini telah menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat Malaysia untuk belajar mata pelajaran sains dan teknologi. (UNGKAPAN MENARIK) Melalui program tersebut, pelajar sekolah dapat menimba ilmu sains tentang angkasawan dan memupuk minat mereka untuk menceburi dalam bidang angkasawan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. (PENEGAS) Sesungguhnya, penerokaan negara dalam bidang angkasa lepas juga merupakan salah satu kejayaan negara yang patut dibanggakan.
      (ISI 4) Kemajuan dalam bidang pengangkutan dan perhubungan juga menempa nama Malaysia di seantero dunia. (HURAIAN – MENGAPA) Di Malaysia, terdapat sistem pengangkutan yang terkenal seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, PUTRA, monorel, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Terowong SMART. (CONTOH – BAGAIMANA & KESAN) KLIA ialah lapangan terbesar di negara Malaysia dan merupakan salah satu penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Selain itu, sistem pengangkutan seperti Sistem Transit Ringan (LRT), KTM, monorel dan PUTRA menjimatkan masa, wang dan tenaga kepada pengguna dan pelancong asing menuju ke destinasi mereka. Perkembangan teknologi yang semakin canggih membolehkan Terowong SMART dibina untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur. (PENEGAS) Ringkasnya, kecanggihan sistem pengangkutan dan perhubungan negara turut menjadi kayu ukur kejayaan negara pada alaf ini.
   (ISI 5) Kejayaan negara yang seterusnya ialah kejayaan dalam bidang sukan. (HURAIAN – MENGAPA) Sukan negara semakin rancak apabila banyak atlet negara yang berjuang bermati-matian  untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. (CONTOH – BAGAIMANA) Pemain sukan wanita yang terkenal di Malaysia ialah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David. Kini, Datuk Nicol merupakan pemain skuasy wanita nombor satu di dunia. Selain bidang skuasy, nama pemain badminton di Malaysia juga terkenal di dunia, khasnya Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei merupakan seorang pemain badminton profesional di Malaysia. Beliau selalu menyertai pertandingan badminton di dalam atau di luar negara Malaysia dengan keputusan yang cemerlang. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa peningkatan pencapaian yang cemerlang oleh atlet-atlet negara berjaya menempa nama Malaysia di seantero dunia.
    (PENUTUP – KESIMPULAN ISI-ISI) Sebagai konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa negara kita telah meraih kejayaan dalam pelbagai bidang yang menakjubkan. Pencapaian yang menakjubkan dalam bidang perusahaan automobil, pembinaan bangunan pencakar langit, bidang aeroangkasa, bidang pengangkutan dan perhubungan, dan bidang sukan membolehkan rakyat negara kita bertanding dengan kejayaan yang ditempa oleh orang Barat. (CADANGAN) Oleh itu, rakyat Malaysia harus bersikap sedia menghadapi segala cabaran untuk mencapai Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia perlu berusaha gigih, bangga dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelbagai pihak untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang. (HARAPAN) berharap agar kejayaan luar biasa ini juga dapat membangkitkan semangat rakyat Malaysia agar lebih berani untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di  dunia.

ANALISA KERTAS BAHASA MELAYU 1 BAHAGIAN A (RESPON TERTUTUP) SUMBER BMSPMNET 2012

SUMBER bmspmnet
KERTAS 1 (BAHAGIAN A- KARANGAN BAHAN RANGSANGAN)

BIL
NEGERI/DAERAH/ZON/ SEKOLAH PILIHAN DLL.
TEMA
1
SBP
Ciri-ciri remaja berwawasan
2
Kedah
Kebaikan menyertai sukan lasak.
3
Sabah (SMKN)
Usaha-usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan OKU.
4
Terengganu
Cara-cara menyayangi sekolah.
5
Yayasan Islam Kelantan (YIK)
Faedah melawat tempat bersejarah di negara kita
6
Negeri Sembilan
Langkah-langkah memajukan sukan di Malaysia.
7
Johor (Sebuah sekolah)
Kepentingan sukan.
8
WPLabuan
Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memajukan industri kraf tangan di Malaysia.
9
Selangor
Faedah-faedah yang diperoleh daripada industri pertanian.
10
Kelantan
Kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat.
11
Pulau Pinang
Kepentingan amalan berjimat cermat.
12
Pahang
Faedah-faedah mengambil sarapan pagi.
13
MRSM
Usaha-usaha menggalakkan masyarakat membeli barangan buatan Malaysia.
14
Perak
Langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh di negara kita.
15
Sarawak Zon B (Kuching)
Faktor-faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
16
Melaka
Manfaat membaca.
17
Perlis
Nilai murni yang harus diamalkan oleh remaja dalam kehidupan.
 

BANDINGKAN DENGAN TEMA YANG TELAH KELUAR SEBELUM INI!

TAHUN
TEMA
2005(N)
Gejala vandalisme
2006(J)
Sijil Pelajaran Malaysia
2006(N)
Semangat patriotik, PLKN dan tokoh yang berjasa
2007(J)
Aktiviti masa lapang
2007(N)
Tanggungjawab menjaga kebersihan
2008(J)
Kegiatan dalam bidang pertanian
2008(N)
Punca-punca pencemaran sungai
2009(J)
Bantuan kepada mangsa banjir
2009(N)
Aktiviti badan beruniform serta faedah-faedahnya
2010(J)
Punca pencemaran udara
2010(N)
Grafik penjagaan kesihatan - Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
2011(J)
Kepentingan pengangkutan awam
2011(N)
Faedah belajar secara berkumpulan
2012(J)
Faedah menggunakan perpustakaan

ANALISA SOALAN KERTAS 1 BAHAGIAN B (RESPON TERBUKA) SUMBER BMSPMNET 2012


BIL
NEGERI/DAERAH/ ZON/SEKOLAH PILIHAN DLL.
TEMA
SOALAN 1
(INDIVIDU)
TEMA
SOALAN 2
(KELUARGA)
TEMA
SOALAN 3
(MASYARAKAT/
NEGARA)
TEMA
SOALAN 4
(ANTARABANGSA)
TEMA
SOALAN 5
(KOMSAS)
1
SBP
Ciri-ciri pusat pengajian tinggi yang menjadi idaman anda
Usaha-usaha ibu bapa bagi memastikan amalan membaca menjadi budaya dalam kalangan keluarga mereka.

Usaha-usaha untuk memajukan pelancongan negara.
Kebaikan yang diperoleh daripada kerjasama yang erat antara negara yang berjiran.
Tulis cerpen bertemakan pepaduan kaum.
2
Kedah
Sekolah penyayang - cara-cara anda menghagai kasih sayang guru.
Sifat-sifat kepemimpinan yang pernah diasuh oleh ibu bapa kepada anak lelaki mereka sebagai pemimpin keluarga.

Langkah-langkah memulihara peninggalan sejarah negara.
Punca-punca kemerosotan bekalan makanan dunia.
Satu karya sastera yang anda baca - amalan-amalan baik yang sesuai dipraktikkan oleh masyarakat kini.
3
Sabah (SMKN)
Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan remaja.
Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.
Pada zaman sekarang ini, amalan bergotong-royong dalam kalangan penduduk setempat semakin kurang diamalkan. Pada pendapat anda, mengapakah hal yang demikian berlaku?

Malaysia perlu mengekalkan hubungan yang baik dengan negara jiran. Pada pendapat anda, apakah kepentingan hubungan yang baik ini perlu dikekalkan.
Huraikan persoalan-persoalan dalam salah sebuah novel KOMSAS yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian.
4
Terengganu
Bagaimanakah Program motivasi telah menimbulkan kesedaran dalam diri anda untuk terus berjaya.
Peranan ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.
Rencana "Faedah-faedah Pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan di Sekolah".
Ksepakatan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat antarabangsa mampu mewujudkan keamanan dan kemakmuran masyarakat dunia
.
KOMSAS menerapkan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan generasi muda pada hari ini - pendapat
5
Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK)
Langkah-langkah sekolah meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum, sahsiah dan persekitaran fizikal.

Peranan ibu bapa mendidik anak-anak agar sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Semangat kejiranan semakin terhakis.
Kesan buruk krisis politik
Kesan-kesan buruk apabila wujudnya masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
6
Negeri Sembilan
Langkah-langkah yang wajar dilakukan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri anda.
Keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa penting dalam menentukan kejayaan hidup anak-anak - Rencana.

Faedah-faedah sektor pelancongan kepada negara kita.
Kesan yang diperoleh sesebuah negara daripada hubungan diplomatik.
Punca-punca yang menyebabkan minat masyarakat terhadap karya sastera tradisional semakin berkurangan.
7
Johor (Sebuah sekolah)
Faedah-faedah lawatan sambil belajar ke suatu tempat menarik.
Pendapat tentang keluarga yang diimpikan.
Rencana - Tanggungjawab masyarakat untuk membanteras jenayah.

Kebaikan dan keburukan belajar di luar negara.
Perihalkan pengalaman anda semasa menyertai kursus penulisan anjuran DBP.
8
WPLabuan
Pendapat tentang sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak sering membawa pelbagai kesan terhadap tingkah laku anak-anak pada masa ini.
Langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan amalan hidup berjiran terus terpelihara dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini.

Jelaskan kebaikan-kebaikan industri pelancongan kepada negara.
Pidato ‘Peranan Pemimpin-pemimpin Kuasa-kuasa Besar Dunia dalam Menjamin Keamanan Sejagat’.
Ulasan sebuah novel yang sarat dengan pengajaran.
9
Selangor DE
Keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan pendidikan agama dan moral memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja. Pendapat.

Rencana "Peranan keluarga dalam membantu anak-anak mengatasi masalah".
Kesan-kesan penggunaan telefon bimbit kepada masyarakat.
Kerjasama Malaysia dan negara-negara dunia dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.
Ulasan sebuah novel yang bertemakan kegigihan sempena pelancaran program NILAM.
10
Kelantan
Usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani tekanan dalam kalangan remaja.
Peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.
Rencana tentang peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.

Faedah-faedah penganjuran sukan bertaraf dunia.
Manfaat semangat hidup bermasyarakat dalam kehidupan seharian - Bukit sama didaki, luruh sama dituruni.
11.
Pulau Pinang
Faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.
Langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekitar.

Rencana berkaitan peranan pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.
Kerjasama antara negara di dunia untuk meningkatkan pembangunan pendidikan.
Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam penulisan kreatif.  
12.
Pahang
Kepentingan penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar.
Remaja bersahsiah mulia mampu membangunkan sesebuah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murni anak-anak mereka.

Ceramah "Usaha-usaha Kerajaan dalam Melahirkan Masyarakat Berjimat Cermat".
Jelaskan tindakan-tindakan berkesan bagi membendung kegiatan pemerdagangan manusia daripada berleluasa.
Berdasarkan petikan sajak ‘Harga Remaja’, terangkan kepentingan menjaga maruah diri sendiri.
13.
MRSM
Sebagai pelajar yang prihatin, kemukakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan persekitaran sekolah anda sentiasa bersih.

Ulasan. Kejayaan anak-anak berkait rapat dengan keprihatinan ibu bapa.
Rencana 'Kesan-kesan buruk pengambilan makanan segera secara berlebihan'
Usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan misi keamanan dunia.
Kepentingan menuntut ilmu dan menyebarkannya.
14.
Perak
Usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa (anak-anak berjaya dalam kehidupan) tercapai.
Peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.
Huraikan kebaikan-kebaikan menggunakan barangan buatan tempatan.
Rencana 'Usaha-usaha menarik minat pelancong asing datang ke Malaysia'.
Perwatakan watak utama dalam sebuah novel. Keistimewaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.

15.
Sarawak Zon B (Kuching)
Peranan anda sebagai remaja untuk menjayakan wawasan negara pada tahun 2020.
Peranan keluarga dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak
Pendapat - Malaysia terkenal dengan keunikan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Sikap toleransi, saling menghormati, dan bekerjasama merupakan amalan hidup rakyat Malaysia yang telah mewujudkan perpaduan antara kaum.

Rencana "Kesan-kesan Kemasukan Buruh Asing Kepada Negara Kita."
Ulasan tentang keistimewaan sebuah novel
16.
Melaka
Usaha-usaha anda untuk menjadi seorang anak yang baik kepada kedua-dua ibu bapa.
Usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk menangani isu penderaan ke atas kanak-kanak - wawancara.

Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.
Kepentingan dan peranan teknologi satelit terhadap hubungan dan komunikasi masyarakat dunia.
Usaha-usaha dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan kita.
17.
Perlis
Sebagai remaja, jelaskan cara-cara yang dapat anda lakukan untuk mengharumkan nama sekolah.
Huraikan tanggungjawab sesebuah keluarga untuk memupuk amalan membaca.
Rencana tentang peranan pelbagai pihak untuk mewujudkan amalan berjimat cermat.

Kerjasama Malaysia dengan negara-negara jiran - jenayah pemerdagangan manusia.
Tulis cerpen yang bertemakan maksud perumpamaan "bagai menatang minyak yang penuh".
 
RUJUKAN DARIPADA BMSPMNET ( MOHON PERKONGSIAN MAKLUMAT)