Sabtu, 21 September 2013

JAWAPAN MODUL PROGRAM ELIT BAHASA MELAYU KERTAS 2 DAERAH PERAK TENGAH 2013 ( PEMAHAMAN PROSA MODEN)



Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

            Hisyam dan ibunya terbunuh di JalanPetaling, daerah orang-orang Cina, ketika menunggu bas mahu pulang ke rumahnya.Orang-orang Cina di kampong setinggan tempat Hisyam tinggal tentu tidak sampai hati mahu melakukannya. Mereka kenal Hisyam, mereka kenal ibu Hisyam. Pagi-pagi buta orang akan dibangunkan dengansuara yang mersik meninggi menjajakan nasi lemak dan kuih koci. Perkenalan membuat orang berkasih sayang!

            Beberapa hari sesudah perintah berkurung ditarik, barulah para penduduk kampong setinggan dan di daerah sekitarnya mulai terasa akan kehilangannya. Suaranya yang mewarnai suasana pagi sudah tidak kedengaran lagi. Mereka mulai terasa akan kehilangan Hisyam dalam hidup mereka. Hisyam yang berjalan sambil membimbit sebuah raga yang sederhana besarnya, melaung-laungkan dengan suara tinggi menjaja nasi dan kuih koci buatan ibunya. Dahulu ketika Hisyam masih ada dan berjalan-jalan di lorong rumah mereka, tidak pernah ada yang memikirkan akan kehadirannya. Tiap-tiap pagi tanpa mangkir, dia telah berada di atas jalan raya.Dia menunggu mereka. Sekarang baru mereka merasa rindu dengan suara mersik tinggi itu.Mulai rindu pada nasil emak dan kuih kocinya. Tetapi perasaan itu pun sedikit demi sedikit hilang pula oleh kebiasaan.

            Daripada penelitian dan kajiannya, punat bisul rusuhan 13 Mei itu berpunca daripada virus yang sudah lama disemai oleh penjajah.Virus yang mereka bawa bersama-sama sejak kali pertama mereka menjejakkan kaki di bumi ini dahulu.Virus polarisasi kaum yang mereka bina. Mereka gali jurang pemisah dan mendirikan tembok penghadang melalui ssstem devide et empera. Orang Melayu yang menjadi peribumi semenanjung emas ini mereka biarkan terus hidup di  kampung-kampung sebagai petani dan nelayan, orang Cina mereka pusatkan di Bandar-bandar dan orang India  mereka biarkan menjadi buruh di kebun-kebun getah. Sehingga Negara ini mencapai kemerdekaan polarisasi perkauman itu menjadi semakin tebal juga. Baba peranakan yang  sudah berates tahun membina identiti sendiri dan begitu jauh sudah berasimilasi dengan masyarakat setempat tiba-tiba direntap oleh tangan dewa cauvinis lalu memperlihatkan bayang-bayang kelabu yang gagah. Gadis-gadis remaja pun mula membuang th’ngsah (bajupanjang) dantaysah (jaket dalam), mulai membuang sarung. Dahulu kalau mereka memakai serupa itu ditambah dengan sanggul siput suakea oh atau imboey, mereka tidak ada bezanya daripada gadis Melayu di sebelah rumah.
                                                            (Dipetik daripada cerpen “Melisa” oleh Abdullah Hussain
                                                         Dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i)                 Apakah kesan yang dirasai oleh penduduk setempat selepas ketiadaan Hisyam?
 [2 markah]

(ii)               Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan Inggeris menjalankan sistem “pecah dan perintah” terhadap penduduk Tanah Melayu?                                 [3 markah]

(iii)             Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.                                                                                                                                       [4 markah]
Jawapan:-


Skema Soalan 2 (b)
(i)                 Kesan yang dirasai oleh penduduk setempat selepas ketiadaan Hisyam ialah mereka terasa akan kehilangannya.
Mereka tidak lagi mendengar suara Hisyam yang nyaring menjaja nasi dan kuih koci buatan ibunya.
[ 2 markah]
[ Isi cukup 2]

(ii)               Pada pendapat saya, pihak Inggeris menjalankan sistem ‘pecah dan perintah’ kerana Inggeris tidak mahu rakyat Tanah Melayu bersatu padu.
            Sekiranya perpaduan wujud, sudah tentu rakyat akan berani memberontak dan menentang pihak Inggeris.
             Melalui sistem ‘pecah dan perintah’, pihak Inggeris mudah melaksanakan apa-apa sahaja yang ingin dilakukan oleh mereka di  Tanah Melayu kerana setiap kaum mempunyai identiti dan kepentingan masing-masing.
( Terima jawapan lain yang sesuai)
[ 3 markah ]
[ Isi cukup 2 ]

(iii)             Berdasarkan petikan cerpen ini, pengajarannya ialah sebagai rakyat kita perlu bersatu hati dan bermuafakat untuk menentang pihak musuh.
            Pengajaran lain daripada keseluruhan cerpen ialah kita perlulah bersikap rasional dan tidak berprasangka antara satu dengan yang lain.
                      ( Pengajaran lain yang sesuai boleh diterima)
[ 4 markah ]
[ Isi cukup 2]
                     ( Isi sahaja tanpa huraian 1 markah)
                     ( Isi dengan huraian 2 markah )
                     ( Huraian sahaja tanpa isi 0 markah )


Soalan 2(b) – Petikan Cerpen  ( Latih Tubi)
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Kehadiran Pak Husain menjadi jambatan kepada ingatanku untuk menyeberang bagi menemui detik-detik peristiwa yang berlaku lebih daripada tiga puluh tahun yang lalu.

        Kakinya yang buntung, terkulai dalam kain sarungnya yang kelihatan singkat. Kaki kayunya sudah usang. Kepala kakinya sudah berjabu-jabu di bawah ketiaknya. Kalau tidaklah kerana parut yang memanjang di atas dahinya, yang separuh telah ditutup oleh semutar kain batik Kelantan, aku akan kehilangan wajahnya. Kehilangan itu akan membuatkan aku tidak melihat peristiwa sejarah tanah air. Kebisingan dan kehiruk-pikukan yang berbaur daripada ramainya orang yang menghadiri temasya kota (menyambut ulang tahun kemerdekaan), seolah-olah tidak masuk dalam telingaku. Tidak.

       Wajah Pak Husain memanjat kepalaku. Menerkam dan menggigitku. Berlari-lari dalam ingatanku. Dia pahlawan yang tidak pernah difikirkannya bahawa dia telah menyelamatkan kami. Ketika dia tersiuk-siuk melangkah dengan tiga kakinya melewati orang ramai, dalam kumpulan yang lebih merupakan sampah sarap yang disongsong oleh pasang penuh, aku tepuk belakangnya. Pak Husain berhenti mendadak. Menikam wajahku dengan pandangannya yang berkaca-kaca. Aku menaburkan senyumanku. Kuduga ingatannya. Ingatkah ia?
       “Kau, kau, Khalid?”
       “Ya, Khalid,” kataku membenarkan dugaannya.

                                                                 (Dipetik daripada cerpen ‘Pahlawan Buntung’                                              
                                                            oleh S. Othman Kelantan dalam Antologi
       Dirgahayu Bahasaku, Dewan Bahasa dan Pustaka)




(i)       Siapakah Pak Husain berdasarkan petikan tersebut?                              [2 markah]

(ii)      Pada pendapat anda, bagaimanakah kerajaan dapat menghargai jasa dan
          pengorbanan pejuang tanah air?                                                               [3 markah]

(iii)     Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu
          latar  masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen.                       [4 markah]

Saya akan memasukkan lagi jawapan soalan kemudian.

Jawapan:-
i.       Pak Husain seorang i) cacat kerana kakinya kudung
                                       ii) mempunyai parut memanjang di atas dahinya.
                                      iii) bekas pahlawan/ pejuang.                                  [2 markah]
                                                                                                                   [ isi cukup 2]

ii)     Antara cara kerajaan untuk menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air adalah seperti:-
                   i)  menganugerahkan pingat pahlawan/ sijil/
                  ii)  memberi imbuhan tahunan / bantuan kewangan
                 iii)  memberi tanah untuk diusahakan
                 iv)  menerbitkan buku/rencana mengenai pejuang tanah air
                  v)  memberikan biasiswa membantu anak-anak pejuang untuk menyambung pelajaran.
                ** Jawapan lain sesuai boleh diterima.                                          [ 3 markah ]
                                                                                                                    [ isi cukup 2]

iii)     Latar masyarakat yang terdapat dalam teks ialah masyarakat yang menyanjung dan mengenang jasa   
         pejuang tanah air
        Huraian, contohnya pengarang sering mengagung dan mengingati pejuangan Pak Husain yang telah       
        menyelamatkan mereka suatu ketika dahulu.
        Latar masyarakat di luar teks, masyarakat yang berani, contohnya Pak Husain berani mengetuai  
        penduduk kampung untuk berpindah ke Kampung Dal selepas kedatangan tentera Jepun ke Kampung 
        Pulau Pak Amat.
        ( Jawapan lain sesuai boleh diterima)
                                                                                                                 [ 4 markah ]
                                                                                                                 [ Isi cukup 2]
        Pelajar yang tidak menghurai isi beri 1 markah. 



2 (b) – Petikan Umum  ( Latihan Elit)

Baca petikan dialog di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




TUK WALI : Kalau Si Piee tu datang ke sini, halaukan dia.

MAK UMI : Tersengkang lagi marah awak pada budak tu?

TUK WALI : Budak kata awak? Dah berjanggut, budak apa ke namanya? Dua ribu ringgit
yang dicurinya tu duit tambang aku nak ke Makkah, Umi! Berdikit-dikit aku
menabung! Senang saja dia mengambilnya, terbuku dalam hati aku ini tau!
Eh,awak kata imam datang tadi, apa mahunya?
MAK UMI : Siak pun ada sama! Nasihat! macam yang dia pesan pada Abang Ngah
minggu lepas.
TUK WALI : Boleh! Aku boleh duduk di masjid berzikir terus sampai mati! Tapi , orang
patah kaki. urat terkehel tu, siapa nak ubatkan? Budak-budak kilang
menjerit histeria beramai-ramai siapa nak menolong?
MAK UMI : Yang itu tak pulak disebut! Bersilat dalam majlis kahwin saja! Kurang manis
katanya!
TUK WALI : (Menggantung biola di dinding beranda. TUK WALI kelhatan tersinggung
dan marah.) Dah lebih setengah abad aku bersilat! Dulu, semua budak muda
dalam kampung ini anak murid aku belaka… Zaman darurat dulu! Aku
dilantik jadi ketua mengawal kampung! Dua kali bertempur di hutan,
berkumpul semua orang lelaki perempuan, datang pada aku belajar silat.
Masa itu, apa yang aku buat semuanya, baik! Semuanya manis! Tapi, bila
aku dah tua macam ni, tak manis pulak jadinya.
MAK UMI : Kerana dah tualah jadi tak manis tu!
(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


(i) Berdasarkan petikan di atas, berikan dua sumbangan Tuk Wali kepada masyarakat.          [2 markah]

(ii) Huraikan tiga usaha yang dapat anda lakukan untuk memelihara khazanah budaya bangsa.
                                                                                                                                          [3 markah]

(iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas, dan satu persoalan lain yang terdapat
      dalam keseluruhan drama.              
                                                                                     [4 markah]

Jawapan :-

(i)   Antara sumbangan Tuk Wali kepada masyarakat ialah beliau telah mengajar ilmu persilatan kepada 
      golongan remaja,  dan menjadi ketua pengawal kampung semasa darurat.

(ii)  Tiga usaha yang boleh saya lakukan untuk memelihara khazanah budaya bangsa adalah dengan
       menyertai  sebarang aktiviti budaya seperti congkak, silat, dan sebagainya. Selain itu, saya akan
       menjadi ahli persatuan kelab yang ada kaitan dengan permainan sepak takraw dan membantu pihak
       pengurusan kelab untuk menganjurkan pertandingan berkenaan di peringkat sekolah. Selain itu, saya
      akan menyebarkan rencana atau bahan di dalam face book atau laman web mengenai permainan dan
      budaya bangsa agar diketahui oleh masyarakat.

iii)  Terdapat beberapa persoalan yang terdapat di dalam petikan drama di atas:-
      a)  Persoalan pertama berkaitan dengan kesungguhan Tuk Wali untuk mengajar ilmu persilatan walaupun
           beliau menghadapi halangan dalam usaha untuk memelihara warisan bangsa. Contohnya, Tuk Wali
           menghadapi cemuhan kerana masih memperjuangkan ilmu persilatan walaupun sudah berusia.
     b)   Persoalan mengenai semangat patriotik Tuk Wali dalam memperahankan kampungnya daripada
           serangan musuh. Hal ini dapat dibuktikan melalui usaha Tuk Wali mempertahankan kampungnya
           semasa darurat semasa beliau dilantik menjadi ketua pengawal kampung. Beliau juga berapa kali
           bertempung dengan musuh di hutan.
       Persoalan keseluruhan teks, antaranya:-
     a)   Kesungguhan golongan muda mempertahankan seni silat. Hal ini dapat dilihat melalui kesungguhan
           Ripin dan Mariam yang berusaha untuk membantu Tuk Wali mengekalkan warisan seni bangsa
           tersebut.
     b)   Persoalan peranan keris dalam melambangkan kepahlwanan dan masyarakat Melayu. Contohnya Tu
           Wali menyerahkan keris pusaka warisan bangsa kepada Ripin sebagai suatu amanah supaya Ripin
           terus mempertahan keris pusaka tersebut.
           ( Jawapan lain boleh diterima asalkan berkaitan dengan teks)
 
Soalan 2(c) – Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka kata inang pengasuh itu, “Sungguhlah tuan puteri itu beranak seorang laki-laki bernama Indera Nata tetapi sekarang ini Indera Nata itu telah lamalah sudah hilang disuruh oleh Raja Rom pergi mencari gajah bergandingkan emas serta tuan puteri tujuh orang.”
Maka kata Indera Nata, “Hai mak inang, akulah ini Indera Nata serta tuan puteri tujuh orang itu dan adalah aku bawa ini!”
Mak mak inang pun segeralah membukakan pintu itu lalu ia pergi memberitahu akan Tuan Puteri Cenderawati. Setelah bondanya menengar Indera Nata datang itu maka segeralah ia mendapatkan anakanda itu.
Arakian maka tuan puteri pun terlihatlah kepada tuan puteri tujuh orang itu dibawa oleh anakanda itu. Maka hati bondanya pun terlalu sukacita melihat anakanda itu. Maka lalu ia memeluk mencium anaknya itu seraya katanya, “Wah anakku tuan, hiduplah rasa hatiku tuan dan nyawa bonda tuan adapun selama anakku pergi itu tiadalah aku mau makan dan minum dan tidur daripada sangat aku bercintakan anakku ini!”
Hatta maka Indera Nata pun lalu menyembah serta sujud kepada bondanya itu serta kata bondanya sambil bercucuran air matanya, “Hai anakku Indera Nata, betapakah anakku beroleh gajah bergadingkan emas ini dan tuan puteri sekalian?”
(Dipetik daripada “Hikayat Indera Nata”
dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
 
 

 
(i)       Berikan maksud aku bercintakan anakku.                                                        [2 markah]

(ii)      Apakah yang berlaku terhadap Tuan Puteri Cenderawati sepanjang ketiadaan  Indera 
           Nata?                                                                                                                      [3 markah]

(iii)     Pada pendapat anda, apakah tanggungjawab seorang anak  kepada seorang ibu?
                                                                                                                                    [3 markah]

Jawapan soalan:-
i)      "aku bericintakan anakku bermaksud tuan puteri merindui puteranya.

ii)     Sepanjang ketiadaan anaknya, Tuan Puteri Cenderawati tidak lalu makan, minum dan 
         tidur.

iii)    Pada pendapat saya, sebagai seorang anak mereka perlu mengikut nasihat ibu,    
        memberi wang bulanan kepada ibu sekiranya sudah bekerja, membantu ibu semasa ibu 
        memerlukan bantuan dan pertolongan, menyedia tempat tinggal ibu yang selesa seperti 
        membeli rumah untuk ibu tinggal dengan selesa, pulang ke kampung sekiranya bercuti, 
        menghantar ibu mengerjakan haji atau umrah.
        ( apa sahaja tindakan yang dapat memberikan keselesaan kepada ibu boleh diterima)



Soalan 2(c) – Petikan Prosa Klasik ( Latih Tubi)

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

   Mendengar suara itu lanun-lanun itu mulai gementar. Mereka kenal itulah suara Awang
Sulung, .Hai,baru ini kita kiamat, kita sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri dan
kepada diri kita sendiri!. bisik mereka sesama sendiri.
.  Ampun Tuanku, patik tidak tahu bahawa Tuanku rupanya di dalam geliung panjang
ini,. sembah mereka beramai-ramai dengan tubuh yang gementar.
.Beta tidak beritahukan pelayaran beta pada kalian kerana beta menemani Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa kembali ke negerinya. Lagipun beta telah berhutang kepadanya sebanyak
dua puluh lapan rial batu dan emas sejangka tiga untuk melangsaikan hutang beta kepada
Datuk Batin Alam..
    .Ampun Tuanku, janganlah Tuanku dukacita dengan hutang itu. Sekiranya Tuanku
hendak kembali ke Bandar Mengkaleh, biarlah patik isikan geliung ini penuh sarat dengan
rial batu dan emas..
Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak bersabar lagi lalu
menyampuk,.Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial
kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia
seorang pahlawan yang handal..
.Kalau begitu,. kata Awang Sulung pula, .memanglah benar kata adinda itu, kerana
kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kakanda
daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima,
maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkaleh..
(Dipetik daripada prosa klasik .Pelayaran yang Penuh Peristiwa. dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)   Berikan maksud rangkai kata  sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri.             [2 markah]

(ii)  Apakah alasan yang telah diberikan oleh Awang Sulung Merah Muda untuk  membolehkan baginda
       pulang semula ke Bandar Mengkaleh.                                                                              [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mentaati ketua yang telah dilantik oleh majoriti
       masyarakat?                                                                                                                       [3 markah]

Jawapan:-
i)    Rangkai kata "sudah derhaka kepada penghulu kita sendiri" bermaksud telah kianat kita kepada 
      pemimpin.

ii)   Antara alasan Awang Sulung Merah Muda untuk membolehkan baginda pulang semula ke Bandar 
      Mengkaleh kerana Baginda telah  telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak 
      merampas baginda daripada tangan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan sekarang hutang pun sudah 
      berbayar, piutang pun sudah diterima.

iii)  Pada pendapat saya, kita perlu mentaati ketua yang dilantik majoriti masyarakat kerana:-
      i)  ketua telah dilantik oleh masyarakat dan sudah pastinya ketua merupakan orang yang paling layak diikuti 
          nasihat atau arahannya. 
    ii)   ketua orang yang paling mahir mentadbir organisasi dan selalunya mereka orang yang berpengalaman.
   iii)   keputusan mersyuarah atau mesyuarat merupakan keputusan ramai dan jika menentangnya bermakna
          tindakan kita bertentangan dengan budaya hidup bermasyarakat.
   
     ( Terima jawapan lain yang sesuai )



2 (d) Sajak  ( Latih Tubi)
Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.




Harga Remaja

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.

                        Rahman Shaari
                        Langit di Tangan, 1995



(i) Berdasarkan sajak di atas nyatakan ciri-ciri seorang remaja yang berharga?                [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh remaja untuk mencapai cita -cita ?
                                                                                                                              [3 markah]

(iii) Huraikankan tiga pengajaran yang diperoleh daripada sajak tersebut?                       [4 markah]
 
Jawapan:-

i)  Berdasarkan sajak di atas, ciri-ciri remaja berharga yang dipaparkan antaranya ialah remaja mempunyai
    jati diri, keberanian, mempunyai ilmu dan hala tuju.

ii) Pada pendapat saya, antara tindakan yang perlu dilakukan oleh remaja untuk mencapai cita-cita adalah
    dengan:-
  i)   belajar bersungguh-sungguh kerana dengan adanya pelajaran atau ilmu cita-cita mudah digapai.
 ii)   mempuyai keberanian dalam mengharungi kehidupan zaman globalisas yang mempunyai pelbagai
       cabaran.
iii)  perlu bijak menentukan tindakan iaitu membezakan perkara yang baik dan buruk supaya mereka tidak
      terjemak dengan masalah sosial.
 iv) bijak memilih rakan sebaya kerana rakan sebaya boleh mempengaruhi cita-cita kita. Sekiranya kita
      memilih rakan yang baik sudah pasti mereka akan membantu kita untuk berjaya dalam kehidupan.
  v) mempunyai objektif dalam kehidupan untuk memastikan cita-cita akan berjaya diperoleh.
( Jawapan lain sesuai boleh diterima asalkan logik )



Soalan 2 (d) Gurindam ( Latihan Elit)
Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


                  Gurindam 12 Fasal yang Keenam

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahaya olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.

(Abu Hassan Sham (Penyelenggara)
Puisi-puisi Raja Ali Haji,
Dalam antologi Harga Remaja, 1993 DBP)




i.     Apakan yang dimaksudkan dengan Cahari olehmu akan sahabat ,Yang boleh 
       dijadikan  ubat.                                                                                                             [3 markah]

ii.    Sahabat amat penting pada masa susah maupun senang.
       Cadangkan ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang sahabat yang setia.              [3 markah]

iii.    Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam gurindam di atas.                                     [3 markah]

Jawapan:-
 


i)     Cahari olehmu akan sahabat ,Yang boleh dijadikan  ubat  bermaksud pilih rakan   
        yang boleh membantu kita dalam kehidupan

ii)    Ciri-ciri yang perlu ada pada sahabat yang setua ialah:-
        i)  Sahabat yang sentiasa berada di sisi kita sama ada semasa senang ataupun susah.
      ii)   Sahabat yang bijaksana atau berilmu kerana mereka boleh membantu kita dalam 
            pelajaran.
     iii)   Sahabat yang mempunyai sifat terpuji iaitu mempunyai nilai baik seperti beriman, 
            ikhlas, bertanggungjawab, jujur, berlolenrasi dan sebagainya.
     ( Jawapan lain sesuai boleh diterima)

iii)   Terdapat dua nilai dalam gurindam di atas iaitu nilal  berhati-hati dalam kehidupan 
        contohnya kita perlu berhati-hati semasa memilih rakan atau sahabat agar mereka dapat
        membantu kita dalam meneruskan kehidpuan dengan sempurna.
        Selain itu, nilai kebijaksanaan. iaitu kebijaksanaan perlu untuk kita membuat keputusan 
        yang mendatangkan kebaikan kepada kita dalam bertindak untuk menyelesaikan 
        sebarang  masalah.
        ( Jawapan lain sesuai boleh diterima)



Tiada ulasan: