Amalan gotong-royong merupakan budaya masyarakat kita pada masa
dahulu. Apakah kebaikan amalan gotong-royong terhadap masyarakat kita?
Dalam zaman globalisasi ini, semangat
gotong-royong semakin pudar dalam kalangan masyarakat. Suatu ketika dahulu,
amalan gotong-royong telah menjadi budaya masyarakat kita yang tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas. Namun lama-kelamaan, amalan ini terhakis dalam
masyarakat terutamanya masyarakat bandar yang terlalu sibuk membanting tulang
empat kerat untuk mencari sesuap nasi bagi menunaikan tanggungjawab terhadap
keluarga. Fenomena ini akan melunturkan semangat gotong-royong dalam kalangan
masyarakat. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara efektif lagi drastik
agar dapat menyuburkan semula amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat
moden.
Aktiviti membersihkan kawasan kediaman boleh
diadakan secara gotong-royong dengan jiran tetangga sesuai dengan peribahasa jiran
sepakat membawa berkat. Dengan cara ini kawasan kediaman menjadi bersih dan
cantik serta menceriakan suasana persekitaran seterusnya memberi keselesaan
pada kita dan jiran tetangga terutama pada tetamu yang hadir ke rumah. Oleh
itu, amalan gotong-royong dapat memastikan kawasan kediaman menjadi bersih,
cantik dan ceria serta melambangkan asas keimanan seperti yang dinukil daripada
hadis nabi, sesungguhnya kebersihan itu separuh daripada iman.
Selain kawasan perumahan menjadi bersih dan
cantik, masalah penyakit bawaan unggas dan haiwan juga dapat kita hindari
dengan melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan yang terbabit. Penularan penyakit berjangkit seperti H1N1 atau selesema burung adalah disebabkan
kebersihan reban ayam yang tidak dijaga dengan baik. Keadaan ini menyebabkan
penyakit tersebar lalu menjangkiti manusia. Masalah ini hanya akan dapat
diselesaikan dengan aktiviti pembersihan secara gotong royong dengan skala yang
lebih besar. Dalam isu ini, tindakan tegas perlu diambil sebelum keadaan
menjadi teruk sesuai dengan peribahasa cegah sebelum parah.
Amalan gotong-royong juga dapat memupuk nilai
murni dalam kalangan masyarakat. Mereka yang terlibat dalam aktiviti
gotong-royong sebenarnya tanpa disedari telah memupuk nilai keikhlasan dalam
melakukan pekerjaan ibarat kata tangan kanan memberi tangan kiri tidak
mengetahui. Mereka melakukan aktiviti ini tanpa mengharapkan pujian atau
wang upahan. Malah mereka turut dipupuk dengan nilai bekerjasama dalam
masyarakat ketika melakukan aktiviti gotong-royong. Hal ini bertepatan dengan
pepatah Melayu yang menyebut, bulat air kerana pembentung, bulat manusia
kerana muafakat. Jiran tetangga bekerjasama melakukan aktiviti
gotong-royong demi kepentingan bersama dan bukan kepentingan diri
sahaja.
Sudah terang lagi bersuluh, semangat kejiranan
dapat dipupuk melalui aktiviti bergotong-royong. Sebagai contoh, program
membakar lemang yang diadakan secara gotong- royong ini akan dibahagi kepada
beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugasan. Ketika aktiviti ini berlangsung,
mereka akan saling berkenalan, berbual-bual dan bergurau senda. Walaupun
kepenatan, namun jiran-jiran berasa seronok apatah lagi aktiviti ini berakhir
dengan sambutan perayaan sesuai dengan peribahasa yang menyebut berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing. Hasil daripada amalan gotong-royong ini,
lahirkan jiran yang sepakat kerana sesungguhnya jiran sepakat membawa berkat.
Intihanya, amalan bergotong-royong merupakan
amalan yang telah tersemai dalam budaya bangsa. Tanpa amalan ini, banyak agenda
kemasyarakatan tidak dapat dicapai kerana tiada kesepakatan dalam membuat
keputusan. Oleh itu, semua pihak perlulah menjadikan amalan mulia ini sebagai
satu gaya hidup dalam masyarakat agar kita dapat meneruskan kesinambungan demi
membina Malaysia yang gemilang. Jika amalan ini terpinggir daripada arus
pemikiran masyarakat moden nescaya manusia akan hidup dengan penuh sifat
keegoan dan kesombongan yang menjadikan mereka terus lalai di bumi Tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan