Program Si cilik Membaca diadakan bertujuan memupuk budaya membaca
dalam kalangan kanak-kanak, di samping menggalakkan mereka mengisi masa pada
musim PKP ini dengan aktiviti berfaedah. Program ini adalah anjuran Wanita IKRAM Johor (Unit IKRAM
Junior) dengan kerjasama Yayasan IKRAM Malaysia (YIM) dan IMAN ELC. Sebanyak
100 set buku-buku bacaan disediakan untuk anak-anak daripada 100 keluarga
terpilih. Agihan sumbangan buku untuk fasa pertama diadakan secara ‘drive thru’
di perkarangan Kompleks IKRAM Johor, Taman Universiti. Seramai 50 keluarga
santunan IKRAM Kawasan Iskandar Puteri, Pulai dan Skudai telah terpilih sebagai
penerima pada kali ini.
Sumber
dipetik dan diubahsuai daripada
artikel
‘Program Cilik Membaca’ dalam Yayasan
Ikram
Malaysia, 6 Ogos 2021.
Petikan
di atas berkaitan Program galakan membaca yang difokuskan kepada golongan
kanak-kanak yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Johor dengan Kerjasama Yayasan
IKRAM Malaysia dan IMAN ELC.
Nyatakan
usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan program galakan
membaca dalam kalangan kanak-kanak menjadi kenyataan.
Membaca jambatan ilmu, begitulah ungkapan yang sering menjadi halwa telinga apabila
menjelaskan kepentingan membaca. Sememangnya amalan membaca itu menjadi tali
yang menghubungkan seseorang dengan ilmu pengetahuan. Membaca dapat menambahkan
ilmu dan keyakinan seseorang untuk berhadapan dengan dunia realiti. Namun
begitu, amat menyedihkan apabila kajian yang dibuat menunjukkan majoriti
masyarakat Malaysia hanya membaca tiga buah buku sahaja setahun. Amalan membaca
sepatutnya menjadi budaya dalam lapisan masyarakat tanpa mengira agama ataupun
bangsa seseorang. Oleh itu, dalam merealisasi hasrat murni ini, peranan ibu
bapa sangat ditagih. Persoalannya , apakah peranan ibu bapa dalam usaha memupuk
minat membaca dalam kalangan anak-anak ?
Ibu
bapa merupakan suri teladan utama kepada anak-anak. Ibu bapa mesti mendidik dan
menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi bak
kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk itu, ibu bapa
hendaklah menerapkan amalan membaca dalam kehidupan anak-anak seharian. Ibu
bapa hendaklah membudayakan amalan mulia ini di hadapan anak-anak di samping
mengajak mereka membaca bersama-sama. Tindakan segelintir ibu bapa yang selalu
membacakan buku cerita kepada anak-anak kecil mereka sebelum tidur pada waktu
malam wajar dipuji kerana amalan ini tanpa disedari boleh memupuk minat membaca
dalam kalangan kanak-kanak. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik dan menanam minat
membaca kepada anak-anak mereka.
Ibu
bapa haruslah bersedia melabur wang ringgit dengan membeli bahan bacaan yang
mencukupi untuk anak-anak. Walaupun pelaburan ini tidak menampakkan keuntungan
dalam jangka masa pendek, namun dalam jangka masa panjang pelaburan ini cukup
menguntungkan. Secara tidak langsung, tindakan ini seolah-olah menjadi serampang
dua mata dalam usaha melahirkan anak-anak yang cemerlang. Bahan bacaan yang
boleh menjadi pilihan ibu bapa untuk tatapan anak-anak ialah bahan bacaan
ilmiah dan majalah seperti Asuh, e-Baca, Kawan dan sebagainya. Selain itu, ibu
bapa boleh membeli akhbar perdana setiap hari seperti akhbar Berita Harian dan
Utusan Malaysia supaya anak-anak dapat membaca berita utama setiap hari sebagai
persediaan untuk menjawab soalan karangan bahagian A dan B. Seelok-eloknya, ibu
bapa melanggan surat khabar harian dan majalah-majalah seperti ini pada setiap
bulan.
Akhir
sekali, ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak membaca dengan memberi hadiah dan
ganjaran. Hadiah dan ganjaran mungkin dalam bentuk barangan atau wang ringgit.
Ganjaran yang dijanjikan ini akan memberi motivasi dan galakan kepada anak-anak
dan seterusnya menjadi tarikan untuk mereka membaca. Anak-anak di minta membaca
buku atau bahan bacaan lain sebanyak mungkin dalam tempoh sebulan.Mereka perlu
bersaing antara adik-beradik untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh
ibu bapa. Persaingan ini sangat sihat kerana mereka akan memdapat pelbagai ilmu
dan maklumat yang buku yang di baca di samping hadiah yang bakal diberikan oleh
ibu bapa mereka.
Kesimpulannya, budaya membaca banyak mendatangkan manfaat. Sehubungan
dengan itu, ibu bapa perlu proaktif dalam usaha menggalakkan anak-anak membaca.
Walaupun sesibuk mana, ibu bapa perlu meluangkan sedikit masa untuk
menemani dan membaca bersama-sama dengan anak. Peribahasa Melayu ada mengatakan bapa borek anak
rintik memberi gambaran kepada umum bahawa anak-anak akan mengikut semua
tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Jadi, ibu bapa hendaklah menjadikan
amalan mulia ini sebagai ikutan anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan