Selasa, 3 November 2020

NOTA PUISI MODEN - "SAJAK SEJADAH RINDU" ( MOHD HAIKAL AMINUDDIN)

 

NOTA PUISI MODEN - "SAJAK SEJADAH RINDU" ( MOHD HAIKAL AMINUDDIN)

Sebagai persiapan pembentangan KOMSAS antologi pada 11 Januari 2018, saya lampirkan nota seperti di bawah.

NOTA SAJAK SEJADAH RINDU   (MOHD. HAIKAL AMINUDDIN)

Maksud Setiap Rangkap Sajak.

Maksud Rangkap 1: 

Terkedu aku 
di sejadah rindu 
mengungkap kalimah syahdu 
merekah keinsafan di hati yang beku 
mengenang dosaku yang terdahulu 

Maksud: 

Penyajak berdiam sambil bermunajat kepada Allah SWT sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha  Agung. Dalam bermunajat itulah timbul satu persatu segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu.



Rangkap 2: 

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
 Kupohon kembali nafas kehidupan 
dalam keterhadan dan keterbatasan insan 
moga terbuka ruang keampunan
 sebelum saat aku dinisankan 
di masa yang Kautetapkan.

 Maksud: 

Dengan menggunakan segala pancaindera yang dikurniakan Tuhan, penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa. Apa yang diharapkan agar segala taubatnya diterima sebelum beliau meninggal dunia. 

Rangkap 3 

Air mata menjadi saksi
 keikhlasan menjadi bukti 
akhirnya
 aku sujud menghadap Ilahi 
di keheningan yang sepi
 lafaz taubat mengiringi 
nafas sebak kian mengikuti. 

Maksud: 

Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Beliau menangis teresak-esak dalam suasana bening menyatakan keinsafan diri terhadap kesalahan lalu. 

Rangkap 4: 

Hati ini luluh 
jiwa yang kaku tersentuh 
ayat-ayat cinta disusun kukuh 
di sejadah rindu yang lusuh 
kemaafan yang kupohon sungguh 
dari Pencipta dalam gemuruh.

 Maksud: 
Keegoan diri penyajak musnah dan dia berasakan dirinya kosong. Penyajak memuji keagungan Tuhan di atas sejadahnya. Beliau memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

 Rangkap 5 

Ungkapan doa pada Yang Esa
 izinkan aku menjadi manusia yang taat sentiasa
 pada perintah Maha Kuasa
 agar aku tidak lupa 
dunia ini hanya bersifat sementara.

 Maksud : 
Penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Beliau juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara.

TEMA

Keinsafan di saat meniti hari-hari terakhir. Penyajak menyesali dosanya dan memohon diberi kesempatan untuk mengulang kembali kehidupan yang lalu kerana penyajak sudah benar-benar insaf.
Contoh :
(R1;B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.

PERSOALAN
1.    Persoalan keinsafan seorang pesalah yang menunggu hukuman 
Contoh:
(R1; B5;B6)
Merekah keinsafan di hati yang beku
Mengenang dosaku yang terdahulu.

2.    Persoalan setiap manusia diberi peluang untuk bertaubat selagi dia hidup.
Contoh :
(R3;B6;B7)
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

3.    Persoalan setiap manusia masih berkesempatan untuk memohon keampunan sebelum meninggal dunia.
Contoh :
(R2;B4;B5)
 moga terbuka ruang keampunan
 sebelum saat aku di nisankan.

4.    Persoalan ajal maut di tangan tuhan.
Contoh :
(R2;B5;B6)
sebelum saat aku dinisankan

di masa yang kautetapkan.


C GAYA BAHASA

(a) Metafora   ( Jelaskan maksud metafora)
Buktinya, di sejadah rindu

(b) Bahasa asing, bahasa Arab
Buktinya, mengungkap kalimah syahdu
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
aku sujud menghadap Ilahi
lafaz taubat mengiringi

(c) Pengulangan kata
Buktinya, di sejadah rindu
di masa yang Kautetapkan
di keheningan yang sepi
di sejadah rindu yang luruh

(d) Sinkope  ( Jelaskan maksud Sinkope)
Buktinya, mengenang dosaku yang terdahulu
kupohon kembali nafas kehidupan
di masa yang Kautetapkan
kemaafan yang kupohon

(e) Responsi  
( Jelaskan maksud Responsi )
Buktinya, izinkan aku menjadi manusia
agar aku tidak lupa

D)   NILAI MURNI

Saya mengharapkan kumpulan pertama melampirkan bukti, nilai-nilai di bawah berdasarkan puisi yang dikaji.

(a) Keinsafan
(b) Kepercayaan kepada Tuhan
(c) Rasional
(d) Kesyukuran
(e) Ketaatan
(f) Hemah tinggi
(g) Keikhlasan
(h) Kejujuran
(i) Keberanian

E)  PENGAJARAN

Saya mengharapkan kumpulan pertama melampirkan bukti, nilai-nilai di bawah berdasarkan puisi yang dikaji.

(a) Kita mestilah insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.
(b) Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.
(c) Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.
(d) Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.
(e) Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
(f) Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.
(g) Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.
(h) Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.
(i) Kita mestilah berani menghadapi segala cabaran dalam kehidupan demi ketenangan hidup pada usia tua



SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM NEGERI KEDAH 2017
SAJAK SEJARAH RINDU

SILA JAWAB SOALAN SAJAK DI BAWAH. PASTIKAN ANDA MENJAWAB SOALAN-SOALAN BERKENAAN DENGAN BINAAN AYAT YANG GRAMATIS

Tiada ulasan: