Ahad, 1 November 2020

SEMANGAT KEJIRANAN DALAM KALANGAN RAKYAT DI NEGARA INI SEMAKIN LONGGAR. SEBAGAI REMAJA, JELASKAN LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS ANDA LAKUKAN SUPAYA SEMANGAT KEJIRANAN DALAM DIRI DAPAT DITINGKATKAN.

 

Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat negara ini semakin longgar.

Sebagai seorang remaja, jelaskan langkah-langkah yang harus anda lakukan supaya semangat kejiranan dalam diri dapat ditingkatkan. 

Karangan di atas memerlukan pelajar menulis karangan berfokus dimensi diri. Oleh sebab itu, penulisan karangan berkenaan perlu merujuk kepada diri pelajar dengan menggunakan kata ganti nama diri pertama, saya. Jika pelajar menulis karangan berkenaan dengan merujuk tindakan keluarga atau masyarakat, karangan pelajar hasilkan lari dari tajuk atau karangan berkenaan dianggap terpesong. Impaknya, karangan pelajar tidak akan mendapat markah cemerlang. Sila berhati-hati memilih dan menulis karangan jenis dimensi bahagian B, soalan 2, Kertas Bahasa Melayu 1.

 Contoh jawapan karangan:-

 Pengenalan Karangan:-

            Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas kerana jiran diistilah sebagai ahli masyarakat yang tinggal berhampiran dengan rumah kita dan radiusnya melibatkan empat puluh buah rumah atau keluarga yang berdekatan. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan berjiran, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Marcapada, masyarakat Malaysia sudah hilang kewarasan berfikir, mementing  nafsi sehingga ada pihak yang cuba mengadu domba kalangan ahli masyarakat untuk menimbulkan krisis perkauman demi kepentingan diri, dan kepentingan politik mereka. Oleh sebab itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum kudis menjadi tokak, saya sebagai seorang ahli masyarakat yang cakna akan perpaduan masyarakat perlulah membantu kepimpinan negara  mengukuhkan semangat kejiranan agar  perpaduan masyarakat sentiasa mampan. Sebagai  seorang remaja yang progresif, saya akan cuba memastikan sejarah hitam negara seperti berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa Mamali di Kedah, dan terkini isu rusuhan kaum di Kuil Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya yang pernah mencalar nama baik negara tidak akan berulang kembali. Persoalannya, apakah langkah-langkah efektif yang wajar saya  lakukan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan ahli masyarakat?

 

Perenggan isi pertama:-

       Menyedari hakikat pentingnya semangat kejiranan perlu diamal atau dibudayakan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha pertama yang perlu saya lakukan agar nilai yang berharga ini tidak lenyap ditelan zaman adalah dengan menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat bersama-sama ahli keluarga. Hal ini demikian kerana aktiviti bergotong-royong merupakan lapangan untuk penduduk setempat berkumpul bersama-sama dan berkomunikasi secara mesra  dan pada masa yang sama saya dan ahli keluarga akan mengenal hati budi jiran tetangga saya kerana peribahasa Melayu ada mengatakan “jika tak kenal maka tak cinta.” Bahkan juga, semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan, saya dan ahli keluarga saya boleh berbual secara santai bersama-sama jiran tetangga berkaitan latar belakang keluarga, isu semasa, dan masalah semasa, secara langsung menyemai hubungan silaturahim antara jiran setaman. Tambahan pula, marcapada masyarakat sibuk dengan aktiviti masing-masing kerana anak-anak sibuk dengan urusan sekolah, menghadiri kelas tambahan, terlibat dengan sekolah agama rakyat dan  ibu bapa pula sibuk dengan kerjaya masing-masing dan sudah pasti aktiviti bergotong-royong merupakan satu wahana yang boleh mempertautkan hubungan saya dan keluarga dengan jiran tetangga.  Jika aktiviti bergotong-royong dijalankan sudah pasti kerja yang berat akan dapat diringankan kerana muafakat membawa berkat contohnya membersihkan kawasan kawasan taman, masjid, taman permainan, dan sebagainya. Sebaliknya, jika saya bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing sudah pasti kawasan taman perumahan saya akan kotor dan memudahkan berlaku penyakit berjangkit seperti penyakit taun, denggi, malaria, chikukungya dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh, jika saya menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat saya bersama-sama ahli keluarga, saya dapat memupuk semangat kejiranan.

 Perenggan isi kedua:-

            Seterusnya, sebagai seorang remaja yang berintektual, saya akan menyertai persatuan belia di tempat tinggal saya untuk merancang aktiviti yang bermanfaat ke arah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan remaja yang sebaya dengan umur saya. Hal ini demikian kerana penglibatan saya dengan persatuan belia membolehkan saya bersama-sama jawatankuasa belia berbincang dan merancang sebarang aktiviti belia yang akan dijalankan agar aktiviti yang akan dijalankan memberi manfaat kepada masyarakat taman terutama dalam kalangan remaja sebaya dengan saya. Mayapada, golongan remaja sering leka dengan aktiviti yang kurang bermanfaat seperti melayari laman prognografi, alpa dengan permainan dalam perisian telefon pintar, sering melayari laman muzik seperti “Youtube”, sering berkomunikasi menggunakan komunikasi bisu seperti “facebook”, “twitter”, “Whatsapp”, dan “WheChat”. Paling menakutkan  laporan Facebook  menyatakan masyarakat Malaysia menduduki senarai kelapan tertinggi dalam penggunaan laman sosial berkenaan di dunia, justeru, masyarakat  dan remaja kurang berkomunikasi secara terus dalam aktiviti masyarakat. Oleh sebab itu, aktiviti belia yang dirancang seperti aktiviti bergotong-royong, pertandingan berbentuk kesukanan seperti pertandingan bola sepak, pertandingan badminton, pertandingan sepak takraw, merupakan medium untuk mempertemukan golongan remaja tidak kira agama, keturunan atau umur agar semangat kejiranan tidak terus luntur dalam minda remaja dan semoga mereka tidak hidup seperti katak di bawah tempurung. Sekiranya, saya dan jawatankuasa belia tidak aktif menjalankan program belia, sudah pasti golongan remaja akan terus tersisih dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan situasi sebegini akan memudahkan berlakunya masalah perkauman dalam kalangan belia. Tambahan pula, marcapada golongan remaja mudah disogok dengan pelbagai isu sensitif terutamanya isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial dan tindakan berkenaan seperti mencurah minyak ke dalam api yang sedang panas. Tegasnya, sebagai seorang remaja yang berintektual, saya akan menyertai persatuan belia di tempat tinggal saya untuk merancang aktiviti yang bermanfaat ke arah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat remaja yang sebaya dengan umur saya.

 Perenggan isi ketiga:-

                 Selain itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan sentiasa menjadikan ibu bapa saya sebagai suri teladan atau ‘role model’ kerana mereka mengamalkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana saya amat takjub dengan nilai murni yang ditunjukkan ibu bapa apabila sentiasa bantu membantu seperti ‘aur dengan tebing’, ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan dalam hidup berjiran.  Bahkan juga, ibu bapa saya  sentiasa mengambil berat akan masalah jiran saya walaupun ada dalam kalangan jiran berkenaan tidak sebangsa dengannya kerana bagi mereka setiap masalah yang dihadapi oleh jiran tetangga perlu diselesaikan secara bersama-sama ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa. Langit tidak sentiasa cerah, malang tidak berbau dan setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah, justeru, masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan jiran yang lain. Misalnya, bapa saya pernah membantu ahli keluarga jiran ke hospital kerana sakit tenat, membantu menghubungi ahli keluarga jiran yang tinggal berjauhan apabila keluarga mereka ditimpa musibah, memberi bantuan nasihat ataupun kewangan kepada jiran saya yang memerlukan pertolongan dan sebagainya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa begitulah kehidupan kami berjiran kerana jiran-jiran saya pula tidak lokek menghulurkan bantuan apabila kami memerlukan bantuan. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa  saya terhadap jiran dan kemurahan hati jiran saya amat saya kagumi. Oleh sebab itu, saya akan sentiasa mencontohi sikap terpuji ibu bapa yang mengutamakan jiran tetangga dan begitu juga dengan kemurahan hati jiran-jiran saya. Jika saya mengikuti nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh ibu bapa saya, saya yakin kehidupan keluarga saya dan jiran-jiran akan sentiasa harmoni. Tegasnya, sebagai remaja yang prihatin saya akan sentiasa menjadikan ibu bapa saya sebagai suri teladan atau ‘role model’ kerana mereka mengamalkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian.

 Perenggan isi keempat:

             Di samping itu, saya akan sentiasa membantu ibu bapa mengada atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan yang akan diadakan saban tahun. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui majlis rumah terbuka, berkenaan saya boleh menjemput rakan-rakan saya tanpa mengira kaum agar turut sama hadir dalam majlis berkenaan . Dalam majlis tersebut, saya akan dapat bertemu dan berbual mesra dengan rakan-rakan saya, begitu juga dengan anak-anak rakan ibu bapa saya serta sanak saudara saya turut sama berkumpul dan sudah pasti suasana ini akan dapat menyemai benih-benih kemesraan antara kami. Begitu juga majlis rumah terbuka dijalankan oleh rakan-rakan ibu bapa saya, saya berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, saya akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran saya dan ibu bapa bersama ahli keluarga pada majlis rumah terbuka berkenaan bukan sahaja dapat memperkenalkan saya dengan anak-anak tuan rumah tetapi anak-anak tetamu lain yang hadir dan secara langsung saya berpeluang mengenali lebih dekat adat resam malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dan mengamalkan semangat kejiranan yang selama ini berfungsi untuk mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia . Sekiranya sikap dan amalan murni ini saya budayakan terutama menjelang hari perayaan sudah pasti keakraban masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan kekal terjalin. Tegasnya, saya akan sentiasa membantu ibu bapa mengada atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan perayaan yang diadakan saban tahun.

Perenggan isi kelima:-

    Seterusnya, saya sebagai remaja perlu turut serta mengikuti ibu bapa menziarahi sahabat handainya apabila ada waktu senggang. Hal ini demikian kerana amalan ziarah-menziarahi amat banyak manfaatnya kerana amalan berkenaan dapat mengeratkan hubungan saya, ibu bapa dengan jiran tetangga. Bahkan juga, budaya ziarah-menzirahi jiran juga membolehkan saya dan ibu bapa mengetahui  masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran tetangga saya. Semua masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini akan menjadikan hidup jiran saya akan lebih aman dan harmoni walaupun mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan atau menghadapi masalah kesihatan. Sebagai contoh, saya boleh berkunjung ke hospital mengikut ibu bapa jika  mendapat tahu bahawa jiran saya telah dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau ditimpa kemalangan. Amalan ini dapat menyemai sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri  seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ terhadap jiran yang menghadapi masalah kesihatan. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, begitulah hakikatnya jiran kita yang menghadapi masalah kesihatan, saya mestilah berpegang teguh pada prinsip “cubit peha kiri, peha kanan terasa juga”. Oleh sebab itu, melalui lawatan saya dan ibu bapa ke hospital atau ke rumahnya, sekurang- kurangnya kami dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran saya berkenaan kerana mereka berasa diri mereka dipedulikan. Sekiranya saya tidak turut serta menziarahi jiran saya berkenaan, kemungkinan saya tidak tahu masalah yang dihadapi oleh jiran saya berkenaan tambahan pula jika anak jiran berkenaan sahabat saya sendiri. Sebaliknya, jika saya turut serta menzirahi jiran saya sekurang-kurangnya saya boleh menyampaikan kata-kata simpati kepada mereka atau menghulurkan apa-apa bantuan yang sesuai dengan kemampuan saya. Jelaslah, saya sebagai remaja perlu turut serta mengikuti ibu bapa menziarahi sahabat handainya apabila ada waktu senggang.

 Perenggan isi pilihan. Pelajar boleh memilih mana-mana perenggan isi yang terbaik semasa menulis karangan di atas. Pilih lima isi sahaja semasa mengarang.

           Akhir sekali, sebagai seorang remaja saya perlu melibatkan diri aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan kejiranan. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti berkenaan kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di tepi pantai. Penglibatan saya dan ahli keluarga dalam permainan yang disediakan sepanjang Hari Keluarga dijalankan dapat memberi impak positif kepada saya, ahli keluarga saya dan masyarakat setempat. Selain itu, saya sebagai seorang remaja akan mengetahui kepentingan hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Selain itu, saya akan tahu kepentingan hubungan keluarga dan kepentingan kejiranan untuk membentuk perpaduan masyarakat. Persatuan atau pertubuhan ini selalunya melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam kawasan kampung dan taman seperti Persatuan Belia, Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan, Kebajikan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap pertubuhan yang wujud mempunyai motif yang sama selain daripada bertujuan untuk kebajikan, kemudahan penduduk, dan keselamatan penduduk iaitu motif utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan masyarakat setempat. Hal ini sesuai dengan peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat hidup sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan. Jika jalinan mesra antara ahli keluarga dalam masyarakat wujud, sudah pasti kehidupan masyarakat aman dan makmur serta hubungan kejiranan akan mampan . Jelasnya,  sebagai seorang remaja saya perlu melibatkan diri aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan kejiranan 

 Perenggan penutup:-

   Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan peranan saya sebagai seorang remaja sangat penting untuk mewujudkan semangat kejiranan dalam kehidupan masyarakat. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun saya tinggal, saya perlulah mempunyai jiran yang prihatin dan baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat  saya memohon bantuan ketika saya dalam kesusahan dan saya pula perlu sentiasa ikhlas menghulurkan bantuan kepada jika jiran saya memerlukan pertolongan. Oleh sebab itu, untuk mewujudkan jiran yang baik, maka saya terlebih dahulu perlu menjadikan diri saya seorang jiran yang baik dan orang yang paling layak saya ikuti dan contohi sebagai suri teladan ialah ibu bapa saya. Sekiranya saya dan keluarga berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan saya serta keluarga, justeru, saya perlulah menjadi seorang remaja yang berguna di mata masyarakat atau jiran tetangga kerana saya ibarat benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dilontar ke langit menjadi bintang kejora, di campak ke daratan menjadi pokok yang berbuah nan rendang. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus saya amalkan dalam kehidupan  seharian agar amalan berkenaan diberkati Allah untuk saya meneruskan kehidupan. Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.

 

 

Tiada ulasan: