Jumaat, 14 September 2018

JERAYAWARA PERBINCANGAN DAN JAWAPAN SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI MALAYSIA

     Alhamdulillah, sehingga penulisan saya pada malam ini, saya diberikan kekuatan untuk membincangkan cadangan jawapan Soalan-Soalan Peperiksaan Negeri Pulau Pinang dan Negeri Sarawak. Sepanjang saya mengulas dan membincangkan cadangan jawapan berkenaan, saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya ada cadangan jawapan yang tidak selaras dan saya memohon jasa baik guru-guru dan pelajar untuk menegur sebarang kesilapan saya kerana sebagai manusia biasa, saya juga tidak lari daripada membuat kesalahan dan kesilapan. Sekiranya ada teguran, saya akan terima teguran berkenaan kerana dengan teguran tersebut saya akan dapat memantapkan kemahiran berbahasa saya kerana pada pandangan saya walaupun saya telah menjadi guru selama 26 tahun, kemahiran masih belum mantap kerna kemahiran bahasa Melayu amat luas bagi saya. Namun, saya berbangga menjadi seorang guru bahasa Melayu kerana Bahasa Jiwa Bangsa.
      Insya-Allah, saya akan cuba untuk meneruskan usaha saya membuat cadangan serta ulasan Soalan-Soalan Peperiksaan Percubaan Negeri-Negeri lain sekiranya Allah terus memberikan kekuatan kepada saya. Sebagai seorang penghidap kanser, saya memohon tuan-puan, anak-anak didik, dan sesiapa mengenali diri saya agar mendoakan agar Allah memberikan saya kekuatan untuk meneruskan kehidupan saya seperti insan-insan yang lain. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini saya mampu mengendalikan Laman Bahasa Melayu ini dengan jayanya. Pada masa yang sama, saya mengucapkan terima atas sokongan kepada semua pelayar blog ini kerana dengan kunjungan anda semua menyokong kewujudan blog ini. Semoga anda akan memanfaat blog ini untuk memantapkan kemahiran berbahasa anda. Aamiiin.
        Pada masa yang sama saya juga sedang menunggu Skema Jawapan negeri-negeri yang masih belum saya terima. Walaupun begitu, ada juga skema negeri telah saya terima terutama melalui dapatan blog BMSPM.Net dan juga Whatsapp guru Bahasa Melayu SeMalaysia. Saya sedang menunggu skema jawapan negeri lain. Diharapkan, sekiranya ada guru-guru yang ingin berkongsi maklumat berkaitan Soalan dan skema jawapan Soalan Peperiksaan Percubaan SPM Negeri-Negeri, sila hantarkan maklumat berkenaan ke email saya - mohdramsul@gmail.com. Semoga dengan perkongsaian maklumat berkenaan akan dapat membantu pelajar untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM 2018. Doakan saya terus sihat dan mampu untuk melaksanakan tugasan ini demi kepentingan pelajar. Terima kasih daripada saya admin Laman Bahasa Melayu SPM.
        Insya-Allah, saya akan meneruskan penulisan saya selepas ini untuk membincangkan ulasan dan cadangan jawapan Soalan-soalan Peperiksaan Percubaan SPM negeri-negeri yang lain.
       

Tiada ulasan: