Sabtu, 15 September 2018

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN SESEORANG MURID DALAM PELAJARAN


FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN SESEORANG MURID DALAM PELAJARAN


CONTOH KARANGAN

Belakangan ini, soal pembinaan modal insan cemerlang adalah antara perkara yang menjadi agenda utama pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan cemerlang menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan.  Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan pelajar cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan pelajar dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang bakal memacu negara agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor  yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Persoalannya, apakah faktor yang mempengaruhi kejayaan murid dalam pelajaran.

Faktor pertama menentukan kejayaan pelajar dalam pelajaran ialah proses guru mengajar di dalam kelas. Oleh sebab itu,  kecemerlangan seseorang guru mengajar di dalam kelas menjadi faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Hal ini berlaku demikian kerana guru yang mahir mengajar mengatur pengajarannya mengikut pendekatan dan kaedah pengajaran terkini yang sesuai dengan kehendak pelajar, justeru, dengan cara itu pelajar  akan mudah  memahami ilmu yang hendak disampaikan oleh seseorang guru dan cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, guru cemerlang juga akan sentiasa menggunapakai pelbagai bahan bantu mengajar berdasarkan teknologi terkini untuk menarik perhatian pelajar mengikuti pengajarannya. Contohnya, seorang guru cemerlang akan menggunakan peralatan mengajar seperti komputer riba,  Liquid Crystal Display Projektor (LCD Projektor), bijak mengakses bahan pengajaran menggunakan internet dan alatan bantu mengajar lain sebagai usaha untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di dalam kelas. Tambahan pula, banyak bahan yang mudah dicapai dengan melayari internet kerana dunia tanpa sempadan dan maklumat berada di hujung jari. Sekiranya seseorang guru mengajar hanya menggunakan "calk and talk" sahaja, pelajar akan kurang memberi perhatian kepada pengajaran guru dan mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Sebaliknya penggunaan teknologi maklumat serta penggunaan alat teknologi terkini akan menambat hati mereka kepada pengajaran guru dan mereka akan berjaya dalam pelajaran. Sudah terang lagi bersuluh faktor utama kejayaan pelajar terletak  pada proses guru mengajar di dalam kelas.

Seterusnya faktor kedua penentu kejayaan seseorang pelajar berjaya dalam pelajaran ialah pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah . Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah.  Oleh sebab itu, apabila murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari oleh mereka akan dapat difahami dengan mudah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang pelajar adalah kerana  memberi mereka memberi penumpuan penuh di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat dirumuskan   bahawa proses pembelajaran dan pengajaran secara kondusif di dalam bilik darjah mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Sekiranya, suasana dalam kelas panas akibat sistem pengudaraan tidak sistematik, susun atur kerusi tidak teratur, keadaan kelas tidak bersih, sudah pasti pelajar tidak akan dapat belajar secara kondusif dan mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Hal ini dapat dilihat dikebanyakan kelas, terutama kelas hujung yang dihuni oleh pelajar yang kurang memberangsankan pelajaran mereka. Tegasnya, faktor pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah penentu kejayaan pelajar dalam pelajaran.

Seterusnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia mata pelajaran sama ada di dalam  atau di luar sekolah berupaya mencemerlangkan pelajar. Program-program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan, Bengkel Akademik, Cemamah Motivasi  dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang seperti ini membolehkan murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi soalan-soalan yang mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang  dengan guru dalam program yang dianjurkan.  Tambahan pula, sepanjang program seperti teknik menjawab soalan, pihak pengurusan sekolah sekarang berlumba-lumba menjemput guru pakar ke sekolah untuk menyampaikan ceramah dan membantu pelajar menjawab soalan bertepatan dengan kehendak skema pemarkahan sesuatu mata pelajaran. Tokoh motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali maka mereka mampu menghadapi setiap cabaran dengan mudah kerana sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak sekolah mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran mereka. Tegasnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Selain itu, murid-murid yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka dalam pelajaran. Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama ada secara individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid untuk siap siaga menghadapi peperiksaan. Sebagai mana kita sedia maklum, pusat tuisyen menyediakan guru yang pakar untuk membantu pelajar menjawab soalan peperiksaan dan kebanyakan guru berkenaan mahir dalam mata pelajaran yang diajar dan ada juga dalam kalangan mereka terlibat memeriksa kertas peperiksaan. Murid-murid akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang betul dan strategi untuk mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat pendedahan tersebut secara terus berbanding guru-guru di sekolah. Hal ini mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang diikuti, sekali gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Sekiranya, pelajar mendapat bimbingan tambahan di pusat tuisyen, mereka mempunyai banyak kelebihan berbanding pelajar yang hanya mendapat bimbingan daripada guru-guru sekolah. Jelas, pelajar yang menghadiri kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran mereka.

Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang  mahu melihat anak-anak mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Sebaliknya, pelajar yang tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa dan tidak mendapat motivasi untuk berjaya dalam pelajara akan terus tertinggal dalam pelajaran, Sudah terang lagi bersuluh menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. Tambahan pula, peperiksaan awam cuma dilalui oleh anak-anak sekali dalam seumur hidup, sekiranya mereka gagal menyumbang kejayaan dan kecemerlangan bukan sahaja anak-anak yang rugi tetapi ibu bapa ibu bapa yang akan menyesal dikemudian hari kerana " sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi.

11 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih sangat²

Unknown berkata...

saya cuba untuk meningkatkan prestasi saya.. aminn..

Tanpa Nama berkata...

Bagusnya!!!

Tanpa Nama berkata...

good thank you

Unknown berkata...

Arigato๐Ÿ˜๐Ÿ˜˜๐Ÿ˜˜

Tanpa Nama berkata...

doakan saya semoga spm thun dpn dipermudahkan dan dpt straight A :)

Unknown berkata...

thank you

Unknown berkata...

doakan saya dapat keputusan cemerlang spm tahun ni #batchcovid

Unknown berkata...

Sama-sama kasih...

Unknown berkata...

hebat

Tanpa Nama berkata...

doakan saya dimudahkan urusan spm pada 22hb ni hmm