Ahad, 16 September 2018

CADANGAN SOALAN (1)RUMUSAN DAN SOALAN 2(A) PEMAHAMAN UMUM KERTAS BAHASA MELAYU PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI JOHOR (TANGKAK)


Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah bersukan dan cabaran yang dihadapi untuk memajukan sukan negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
     Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan ataupun untuk mengisi masa lapang dan beriadah.  Contoh aktiviti sukan yang agak popular pada masa ini ialah olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan squasy.
      Inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bersukan ini harus bermula dari bangku sekolah lagi. Khususnya dari peringkat remaja. Ibu bapa turut bertanggungjawab dalam usaha membentuk peribadi anak yang bersukan sejak dari peringkat awal lagi. Ibu bapa juga perlu mendorong dan menggalakkan anak mereka dengan cara  membeli peralatan sukan yang diminati anak, memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan dan membelikan anak-anak majalah sukan.
     Banyak faedah yang diperoleh remaja sekiranya mereka aktif bersukan.  Faedah bersukan yang utama ialah dapat mendisiplinkan diri. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sukan juga penting bagi melahirkan remaja yang sihat, sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Dengan kegiatan bersukan, remaja boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik.
     Kegiatan bersukan bukan sahaja baik untuk kesihatan malah sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada setiap pagi, petang atau hujung minggu. Dengan mengisi masa lapang, kegiatan sukan dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan diri daripada membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.  Bukan itu sahaja, remaja juga dapat menghindari masalah sosial yang kian meruncing belakangan ini. Seterusnya, kegiatan bersukan penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang.
     Dewasa ini kita dapat menyaksikan banyak orang yang telah menceburi bidang sukan pilihan mereka untuk dijadikan platform membina kerjaya. Sukan bukan sekadar riadah semata-mata kerana sukan juga merupakan bidang yang mampu menjana pulangan yang lumayan. Hal ini dapat dicapai sekiranya sukan diceburi secara serius. Sebenarnya sukan merupakan saluran paling berkesan bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama untuk mencapai satu matlamat, iaitu kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang diwakilinya.
   Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati sukan dan tidak melibatkan diri dengan   kegiatan   kokurikulum,   usaha   untuk   menarik   minat   golongan   ini   haruslah   kekal berterusan, bak kata pepatah, “genggam bara api biar sampai jadi arang”.  Jadikanlah kegiatan bersukan itu sebahagian daripada kehidupan kita.
 (Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Remaja Aktif Bersukan,
Norsuhaila Ibrahim,Majalah Dewan Siswa, April 2017)
   Cadangan jawapan:-
   Pengenalan:-
                     i.         Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/keistimewaan/kelebihan/manfaat bersukan dalam kalangan murid di Malaysia.
                   ii.         Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/keistimewaan/kelebihan/manfaat bersukan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
         atau
                 iii.        Rumusan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/keistimewaan/kelebihan/manfaat bersukan dan cabaran yang dihadapi untuk memajukan sukan negara.

   Isi tersurat:-
                     i.            dapat mendisiplinkan diri.
                   ii.            bagi melahirkan remaja yang sihat, sama ada dari segi fizikal ataupun mental.
                 iii.            remaja boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik.
                 iv.            sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan kawan atau keluarga pada setiap pagi,     petang atau hujung minggu
                   v.            dapat meningkatkan tahap kesihatan diri, malah mengelakkan diri daripada membuang       masa dengan perkara yang tidak berfaedah. 
                 vi.            remaja juga dapat menghindari masalah sosial yang kian meruncing belakangan ini
                vii.            penting untuk menyemai semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang berbeza latar belakang.
              viii.            untuk dijadikan platform membina kerjaya
                  ix.            saluran paling berkesan bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.


Isi tersirat:-
1.          Ketandusan atlet terutama barisan pelapis beberapa acara acara sukan tertentu.
2.          Kerap berlakunya pertukaran kepimpinan sukan.
3.          Tidak konsistennya usaha untuk melahirkan atlet sukan yang berjaya di peringkat    
         antarabangsa.
4.          Wujudnya karenah birokrasi dalam persatuan sukan sehingga menghancurkan masa dapat 
         atlet sukan negara.
5.          Pemimpin kelab sukan menjawat jawatan hanya muntuk kepentingan peribadi.
6.          Berlakunya campurtangan politik dalam pentadbiran kelab dan persatuan.

Penutup:-
Kesimpulan,  semua pihak perlu memanfaat faedah bersukan agar dapat melahirkan
masyarakat yang sihat.


Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) : Petikan Umum
Berdasarkan   petikan   soalan   1,   jawab   soalan-soalan   yang   berikut   dengan   menggunakan   ayat
anda sendiri.
(i)         Berikan maksud rangkai kata peringkat awal berdasarkan petikan .                   [2 markah]
Cadangan jawapan:-
Rangkai kata peringkat awal bermaksud batas/bahagian/tahap permulaan.

(ii)       Pengarang   menyatakan   beberapa   usaha   ibu   bapa   dalam   menggalakkan   anak-anak menyertai aktiviti sukan.
         Nyatakan usaha-usaha tersebut.                                                                          [ 3 markah]
         Cadangan jawapan:-
      Ibu bapa perlu berusaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan seperti membeli peralatan sukan yang diminati anak, memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan dan membelikan anak-anak majalah sukan.


(iii)   Andaikan anda sebagai atlet sukan sekolah dan bergiat aktif dalam sukan bola sepak, bagaimanakah caranya untuk anda meningkatkan lagi kebolehan anda dalam bidang sukan tersebut.
       Kemukakan pendapat anda.                                                                                  [4 markah]
           Sekiranya saya atlet sukan sekolah saya akan cuba meningkatkan kebolehan saya dalam acara sukan tersebut dengan berlatih pada waktu senggang, membuat latihan bersama-sama dengan pelajar yang mempunyai kebolehan dalam acara yang saya sertai, melibatkan diri dalam pertandingan persahabatan sama ada yang dianjurkan oleh sekolah atau badan-badan sukan daerah. Selain itu, saya akan sentiasa akur dan patuh kepada jurulatih saya, sentiasa mengekalkan stamina dan kemahiran saya dalam acara yang saya serta- serta mengkaji Teknik dan kaedah untuk saya meningkatkan kemahiran dalam acara  sukan yang saya sertai.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Masalah-masalah yang melanda bidang sukan

Unknown berkata...

Ulasan tentang kebaikan bersukan