Sabtu, 22 September 2018

PERANAN TANDA BACA DALAM BAHASA MELAYU


TANDA BACA I.

TANDA PETIK ("...")

Tanda Petik Digunakan untuk:

1. Menunjukkan cakap langsung.
con:
“Tadi engkau di mana?” tanya ayah.“Di padang sekolah, ayah. Hari ini ada latihan bola sepak,” jawab Razif.

2. Menunjukkan petikan langsung daripada bahan cetak.
con:
“Jika dapat diibaratkan menulis karangan sebagai pekerjaan mengembara, maka rangka karangan dapatlah diumpamakan sebagai peta yang amat penting kepada pengembara. Tanpa peta si pengembara mungkin saja akan sesat entah ke mana.”

(Dipetik daripada Teknik Mengarang: Kertas Am dan Malaysia I oleh Awang Sariyan)

3. Menunjukkan sesuatu judul buku, majalah, dll.
con:
Komentar Profesor Madya Dr. Othman Puteh dalam majalah “Dewan Sastera” terhadap antologi cerpen Zaen Kasturi berjudul “Yuda” begitu menarik.

4. Menunjukkan istilah ilmiah.
con:
Spesies udang yang ada dikultur di negara kita ialah spesies air tawar, iaitu udang galah “macrobrachium rosenbergii” dan spesies air payau, iaitu udang harimau (“penaeus monodon”), serta udang putih (“penaeus indicus” dan “penaeus merguiensis”).

5. Mengapit slogan surat rasmi.
con:
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“CINTAILAH BAHASA KITA”
“BAHASA JIWA BANGSA”

TANDA PETIK TUNGGAL ('...')

1. Menunjukkan ungkapan yang sudah diapit oleh tanda petik (“…”)
Con:
“Sudah puas saya menasihati mereka tetapi segala nasihat saya itu ‘seperti mencurahkan air di daun keladi’ saja,” kata Shamsul dengan nada yang kecewa.
TANDA BACA II
TANDA SEMPANG ( - ) / sempang

1. Menunjukkan & menegaskan ejaan sesuatu perkataan
con:
K-a-m-p-u-n-g bukan K-a-m-p-o-n-g.
T-o-n-t-o-n dan t-u-n-t-u-n mempunyai makna yang berlainan

2 Menunjukkan pertuturan yang tidak lancar.
con:
“M-m-m-maksud saya begitulah,” katanya gagap.

3. Memisahkan angka yang berbeza fungsi
con:
03-2481011
3016280-07-1013-6315700
470301-10-5209

4. Menggabungkan kata dasar yang dipendekkan untuk menyatakan sifat
con:
Indo-Belanda Anglo-China

5. Menunjukkan kata ganda
con:
beribu-ribu
pelajar-pelajar
anak-anak kecil
awan-gemawan
mengucar-ngacirkan

Nota:
(perbezaan antara tanda sempang & sengkang ialah:-
- tidak menggunakan 'spacing' di papan kekunci untuk menaip (sempang)
- menggunakan 'spacing' di keyboard untuk menaip (sengkang)

TANDA PISAH ( – ) / sengkang
1. Memisahkan keterangan sesuatu idea atau siri idea di tengah atau di akhir ayat
con:
a) Segala impiannya – wang, nama dan kuasa – kini, musnah akibat perbuatan sendiri.
b) Novel yang dibacanya itu meninggalkan berbagai-bagai kesan pada dirinya – sedih, gembira, marah, kesal.

2. Menunjukkan aliran fikiran penulis, atau pembicara, yang terganggu, terhenti, berpindah-pindah, atau berubah-ubah.Untuk menyisipkan perkataan, frasa, atau klausa lain di celah ayat.
con:
a) Semasa saya di kampung dahulu – saya sudah menyatakan hal ini tadi – saya pernah dilantik sebagai ketua kampung.
b) Sebaik-baik sahaja kamu sampai di Labuan – saya pasti pelayaran itu selamat – harap hubungi saya.

3. Menggantikan perkataan “hingga”
con:
a) Jun – Oktober
b) Dia tinggal di bandar itu dari tahun 1997 – 1980
TANDA BACA III
KOMA BERTITIK

TANDA KOMA BERTITIK ( ; )

a) Memisahkan dua atau beberapa klausa utama yang biasanya disambung dengan kata hubung dan, tetapi, atau, namun dan lalu
con:

i. Membaca menambahkan ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikan kedua-dua ini pegangan hidupmu.

ii. Malam makin larut; kerja masih banyak.

iii.Tetamu itu tiba; dia menyambutnya.

(b) Memulakan klausa yang dimulai dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, malah, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya
con:

i. Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik.

ii. Seminar akan diadakan pada minggu hadapan; oleh yang demikian, kita perlu mengadakan pertemuan untuk membuat persiapan

(c) Memisahkan klausa-klausa yang terdapat dalam sesuatu ayat panjang
con:

i. Karya ini menggunakan berbagai-bagai pendekatan; ada yang menghasilkan kembali analisis Za’ba, disesuaikan ke dalam bentuk teks; adayang menerapkan teori-teori baharu.

ii. Pelbagai ragam, manusia dapat dilihat di stesen kereta api; ada yang rancak berbual dengan teman-temannya; ada yang bersedih kerana akan berpisah dengan rakannya; ada yang termenung sendirian di bangku.

(d) Memisahkan klausa yang bersiri, yang berlainan kategori, terutama jika bahagian-bahagian keterangannya dipisahkan oleh koma.
con:

i. Kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur;
kepada mereka yang cedera, diucapkan sabar; dan kepada keluarga
mereka yang gugur diucapkan takziah.

ii. Kepada mereka yang lulus, syabas dan selamat maju jaya saya ucapkan; kepada mereka yang gagal, usahlah berputus asa.


Tiada ulasan: