KEPENTINGAN MEMBACA DALAM KALANGAN PELAJAR.
BINCANGKAN LANGKAH-LANGKAH YANG DIPERLUKAN OLEH IBU BAPA UNTUK
MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MEMBACA.
Apabila seseorang itu cuba mengkaji
dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq,
nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu
kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada persediaan
pelajar untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk
melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan.
Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila
masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada pada peringkat
masyarakat umum ataupun pada peringkat mahasiswa yang menuntut di pusat-pusat
pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan
insentif diberikan untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh
amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu amalan itu bermula dari
rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula
amalan membaca. Persoalan yang bermain di gawang minda kita ialah apakah
langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak membudayakan
membaca.
Berpandukan peribahasa, cahaya yang
cerah bermula daripada lampu di tengah rumah membuktikan semua amalan yang baik
hendaklah bermula daripada keluarga. Demikianlah dengan budaya membaca,
keluargalah yang perlu membudayakan amalan tersebut. Amalan membaca perlu
dibudayakan dan bukan sekadar dibiasakan. Apabila sudah menjadi budaya,membaca
akan menjadi keperluan yang perlu dilakukan pada setiap masa. Untuk mengasimilasi
budaya membaca dalam kalangan anak-anak, setiap ahli keluarga terutama ibu bapa
harus menjadikan diri mereka umpama lampu yang menyinari kehidupan keluarga.
Lampu tersebut sudah tentulah sikap yang gemar akan tradisi membaca. Dalam
tradisi Islam, setiap anak perlu dididik dengan amalan membaca Al Quran sejak
berumur lima tahun lagi. Oleh itu, amalan ini haruslah diperluas kepada bidang
pengetahuan yang lain melalui amalan membaca. Seandainya aktiviti lain seperti
menonton televisyen, beriadah dan makan bersama boleh dibudayakan, masakan
amalan membaca tidak boleh dilaksanakan? Untuk menjawab soalan ini, hanya ibu
bapa yang dapat menjawabnya. Tegasnya, budaya membaca mestilah bermula daripada
organisai rumah tangga dengan ahli-ahlinya melibatkan ibu bapa, dan anak-anak
mereka.
Peribahasa yang menyatakan
‘getah daun akan mengalir ke perdu juga’ menunjukkan bahawa segala
tingkah laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak.
Al hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap
perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan
singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam
kalangan anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baharu dengan
membaca dan melayari maklumat di internet kerana maklumat di hujung jari..
Membaca buku, majalah, dan melayari internet juga boleh dijadikan sebagai suatu
aktiviti penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang
daripada usia mereka. Malang sekali, belakangan ini akibat tekanan kerja dan
masa yang terhad minat membaca dalam kalangan ibu bapa sendiri pun amat rendah.
Masing-masing lebih mengutamakan kerjaya mereka daripada pembentukan nilai
membaca dalam kalangan anak-anak. Sesungguhnya, inilah virus yang boleh merosakkan
hubungan mereka dengan anak-anak pascamilenium kini, terperap dalam kopompong
kebodohan sendiri atas desakan hidup yang mengutamakan materialistik daripada
pembetukan minda anak-anak. Sekiranya, sindrom mengutamakan kerjaya daripada usaha
membentuk nilai murni budaya membaca dalam kalangan anak-anak merebak
disanubari ibu bapa sudah pasti
anak-anak akan kurang membaca dan minda mereka akan jumud. Tegasnya, tingkah
laku yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak.
Ibu bapa juga bertanggungjawab
menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup kepada anak-anak. Hal ini
amatlah mustahak kerana kebanyakan ibu bapa masa kini cukup serius dalam
menyediakan keselesaan fizikal kepada anak-anak seperti bilik tidur berhawa
dingin, peranti elektronik dan peti televisyen. Akhirnya, semua kemudahan
tersebut akan melalaikan anak-anak daripada membaca. Tidak salah kepada ibu
bapa untuk melengkapi anak-anak mengikut kemampuan mereka, namun tugas yang
paling utama untuk mempertajam minda anak-anak tidak boleh diabaikan. Oleh itu,
ibu bapa hendaklah menyediakan kemudahan pembacaan dan mempelbagaikan bahan
bacaan mengikut minat dan tahap. Dalam pemilihan bahan bacaan pula, ibu bapa
tidak akur dengan permintaan anak-anak kerana minat dan bakat sememangnya tidak
pernah sama dengan ibu bapa. Dengan sebab itu, kenalilah minat anak-anak serta
didiklah mereka menjadi insan yang berjaya menyelak jendela ilmu dengan gemar
membaca dan meneroka perkara-perkara yang baharu. Sekiranya, ibu bapa dapat
mengenali minat dan tahap pembacaan anak-anak mereka, sudah pasti amalan
membaca akan dapat disemai dalam diri anak-anak. Tegasnya, Ibu bapa juga
bertanggungjawab menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup kepada
anak-anak
Langkah yang paling proaktif ialah
ibu bapa perlu meluangkan masa mengadakan rutin tetap mingguan atau
bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku. Aktiviti sambil
menyelam minum air ini akan memberikan suntikan baharu kepada anak-anak untuk gemar
membuat koleksi bahan bacaan. Anak-anak akan terasa diri mereka dihargai atas
kesudian ibu dan ayah membawa mereka bersiar-siar dan bersantai di samping
memberi mereka ‘baja’ minda dengan berkunjung ke premis-premis bacaan untuk
memberikan inovasi dan perspektif baharu kepada anak-anak tentang perkembangan
dunia buku. Sekiranya usaha ini diperkasakan oleh setiap keluarga di Malaysia,
nescaya dalam satu dekad lagi kita akan dapat melihat rakyat Malaysia akan
bergulat dengan buku sama ada di dalam bas, LRT dan di mana-mana sahaja tempat
yang masanya terluang. Sekiranya anak-anak sering didedahkan dan dibawa ke
premis-premis buku bacaan sudah pasti anak-anak akan menjadi ulat buku kerana
menjadi ulat buku lebih baik daripada menjadi lalat yang mersokkan makanan.
Tegasnya, Langkah yang paling proaktif ialah ibu bapa perlu meluangkan
masa mengadakan rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke
kedai buku atau pameran buku.
Hidup dengan mengutamakan budaya membaca ibarat minda yang sedang
bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang
berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui huruf dan
angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa
membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh polosok alam kerana jauh perjalanan luas pandangan.
Dengan hal yang demikian, pupuklah budaya membaca dalam kalangan ahli keluarga kerana banyak kemaslahatan yang boleh kita peroleh dengan amalan membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan