Sabtu, 15 September 2018

KARANGAN DIMENSI NEGARA-PERANAN KAUM WANITA SETARAF DENGAN KAUM LELAKI. BINCANGKAN.


Kaum wanita di negara ini wajar diberikan peluang yang sama rata dengan kaum lelaki untuk menceburi diri dalam pelbagai bidang.
Berikan komen anda tentang pernyataan di atas.

         “Mampukah wanita menggalas tugas kaum lelaki?”  “ Kaum wanita hanya sesuai di dapur, mengemas rumah dan menjaga anak” “ Bolehkah wanita menjadi seorang pemimpin?” Persoalan sebegini kerap diperbual dan kerap menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan kaum adam yang sering memandang rendah akan kemampuan kaum hawa.  Namun, tohmahan dan pandangan kaum adam akan terhakis apabila nama-nama tokoh wanita sudah membarisi nama-nama hebat dengan kejayaan mereka dalam pelbagai bidang dan sekaligus membuktikan mereka mampu menyamai dan ada yang mengatasi kaum lelaki. Hal ini terbukti terbukti sejak dari dahulu lagi. Mana tidaknya, semenjak zaman Rasulullah sendiri nama wanita seperti Saiditina Aisyah, Ummi Salamah, Fatimah dan Zainab Al Ghazali memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan Islam. Begitu wanita di Malaysia yang Berjaya dalam bidang mereka seperti Dr. Zeti Akhtar Aziz wanita pertama dilantik sebagai Gabenor  Bank Negara Malaysia,  Aireen Omar wanita pertama yang mengepalai syarikat Penerbangan Air-Asia, Datuk Dr. Maznah Hamid bekerjaya  dan memiliki syarikat sekuriti dan hartanah, Kadijah Abdullah Ketua Eksekutif Insuran Malaysia dan pelbagai lagi nama wanita berjaya di Malaysia, sudah pasti menutup pandangan serong golongan adam akan kebolehan kaum hawa. Benarlah kata pepatah, tangan yang menghayun buaian mampu mengoncang dunia. Tegasnya, wanita wajar diberi peluang yang sama rata dengan kaum lelaki untuk menceburi pelbagai bidang asalkan peranan mereka tidak bertentangan dengan agama.

        Mari kita lebarkan lensa skop perbincangan berdasarkan minda pelajar kelas pertama dengan kata kunci golongan wanita mampu menerajui bidang kewangan negara. Nama yang tidak asing dalam bidang kewangan berkenaan ialah Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu anak kepada pasangan Profesor Diraja  Ungku  Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Alsagof merupakan Tokoh Budayawan Negara.  Dr. Zeti Akhtar Aziz merupakan wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia setelah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana dan  Doktor Falsafah dalam Jurusan Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa Universiti Pennyslvania pada tahun 1978. Atas sumbangan  dan kejayaannya dalam mentadbir kewangan negara,  beliau telah terpilih sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik di dunia oleh Majalah Global Finance.  Beliau menerima anugerah berprestij tersebut bersama-sama tokoh kewangan dunia seperti Gabenor Bank Australia, Gabenor Bank Israel, dan tokoh kewangan dari Filipina dan Taiwan. Selain Dr. Zeti Akhtar, nama wanita berjaya dalam bidang ekonomi seperti nama yang disebut di bahagian pengenalan iaitu Aireen Omar, Datuk Maznah, begitu juga Pengurus Syarikat Faiza Sdn. Bhd.  iaitu Faiza Bawurni Sayed Ahmad terkenan dengan pengedar beras basmathi.  Justeru, terbukti bahawa golongan wanita mampu untuk mentadbir kewangan dan ekonomi negara, malah jauh mengatasi kebolehan golongan lelaki apabila Dr. Zeti Akhtar telah diiktiraf sebagai antara Ketua Bank Negara yang terbaik di dunia.

         Seterusnya, mari kita selongkar kehebatan kaum hawa dalam bidang sukan agar sikap dan prasangka kebolehan wanita tidak dipertikai sebagai kaum yang lemah malah boleh berjaya seperti  peserta sukan lelaki. Kaum wanita juga mampu untuk berjaya seperti kaum lelaki dalam acara sukan sekiranya diberi ruang dan peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka. Kejayaan mereka bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah ada yang berjaya di peringkat global apabila mampu menunduk pencabar dunia. Justeru, nama-nama seperti peserta sukan wanita berjaya dalam karear mereka di peringkat antarabangsa seperti Dato' Nicol Ann David dan  Pandela Rinong berjaya dalam acara sukan yang mereka tandingi di peringkat dunia iaitu dalam acara skuasy dan acara terjun. Dalam acara skuasy, Ratu Skuasy Negara sering memberi kejutan demi kejutan apabila berjaya meneruskan gelaran sebagai pemain skuasy pertama dunia apabila muncul sebagai johan dalam pelbagai kejohanan skuasy di peringkat dunia. Kejayaan Pandela Rionong mendapat pingat gangsa dalam acara terjunan di  Sukan Olimpik London pada tahun 2013 amat membanggakan rakyat Malaysia. Hal ini kerana, beliau merupakan peserta sukan pertama negara yang berjaya mencapai kejayaan gemilang seperti itu di peringkat Sukan Olimpik. Tegasnya, kaum hawa juga mampu menggegarkan dunia apabila diberi ruang untuk menyertainya.

        Jika kita sorot lensa perbincangan kepada penglibatan golongan wanita dalam aktiviti ekstrim atas dasar untuk menyenaraikan nama wanita Malaysia sebaris dengan kejayaan wanita negara luar. Sebagai warganegara Malaysia,  kita amat berbangga dengan semangat patriotik golongan hawa yang sanggup menggadai nyawa untuk memartabatkan nama negara kita sebaris dengan negara maju yang lain agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara yang lain. Nama kaum hawa yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah  Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, pensyarah Psikologi Sukan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau telah mengambil risiko untuk menjelajah kawasan paling sejuk di dunia iaitu untuk menjelajahi Kutub Utara walaupun beliau sedar kemungkinan nyawa beliau boleh melayang dalam menjayakan usaha menjelajahi kutub berkenaan secara solo. Oleh sebab semangatnya yang membara untuk berjaya menakluk Kutub Utara akahirnya usahanya berjaya melaksanakan ekspedisinya  pada 17 April 2007, sekali gus menjadikannya sebagai wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan. Semangat dan keazaman penuh membara yang ditunjukkan oleh mereka ini seharusnya dijadikan iltizam buat generasi masa hadapan untuk terus mengorak langkah merintis kecemerlangan. Tegasnya, kaum wanita juga mampu untuk berjaya sekiranya mempunyai semangat patriotisme, di samping kecekalan hati dalam menghadapi cabaran mengharungi kawasan paling sejuk dan paling mencabar di dunia.

         Seterusnya, mari kita terus menyelongkar kehebatan wanita Malaysia menggunakan minda pelajar kelas pertama dengan memperkatakan kehebatan kaum hawa dengan kata kunci mereka juga boleh berjaya dalam bidang politik terutama membantu barisan kabinet menerajui kepimpinan negara.  Kini terdapat ramai wanita yang menyandang jawatan menteri, senator, ahli parlimen, ahli  EXCO, ADUN dan sebagainya. Kita berbangga dengan ahli-ahli politik wanita seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berusaha gigih menjaga hak dan kepentingan wanita. Berdasarkan senarai anggota kabinet Malaysia 2013, Datuk Rohani Abdul Karim merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengganti  Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Tidak lupa juga jasa mantan Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani yang telah banyak berjasa kepada negara dan  pertama di Malaysia yang dilantik ke jawatan senator pada tahun 1963 dan merupakan wakil wanita pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut sehingga tahun 1984. Oleh sebab itu, jasa mereka terhadap masyarakat amat dikagumi terutama dalam menentukan kebajikan golongan wanita agar sentiasa terbela terutama golongan ibu tunggal. Tuntasnya, kaum wanita juga memainkan peranan membantu barisan kabinet negara menerajui kepimpinan negara Malaysia.

         Setelah kita membincangkan jasa pemimpin wanita membela kaum wanita dan membantu barisan kabinet mentadbir negara dalam bidang politik, mari kita menelesuri pula peranan wanita dalam dalam membantu kebajikan masyarakat peringkat antarabangsa. Bukan senang untuk mencari seorang budiman seperti Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang sanggup meninggalkan kesenangan dan kemewahan demi untuk membantu orang lain. Beliau merupakan pengerusi dan pengasas MERCY Malaysia ataupun 'Malaysian Medical Relief Society' iaitu pertubuhan bantuan perubatan sukarela yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1999 berikutan perang di Kosovo. Beliau sendiri selalu mengetuai misi membantu penduduk di negara-negara yang menghadapi bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan juga di wilayah yang bergolak akibat perang. Baginya apa yang dilakukannya itu adalah lebih berharga daripada apa yang boleh dibeli oleh wang ringgit. Dr. Jemilah merupakan salah seorang daripada 16 yang lain dipilih oleh Setiausah Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), General Ban Ki-moon sebagai kumpulan penasihat Pusat Tindakan Tabung Kecemasan PBB (CERF). Begitulah jasa seorang wanita dan atas jasanya tersebut pelbagai penghargaan telah diterimanya seperti anugerah  Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Yang Teramat Mulia Sultan Azlan Shah pada tahun 2002 dan Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2003.Pada 6 Jun 2009, beliau dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau juga telah menerima Anugerah Keamanan Wanita yang Pertama di Asia Timur (Kategori Perkhidmatan Kemanusiaan) di Manila. Anugerah yang berprestij itu juga pernah dianugerahkan kepada Presiden Filipina Corazon Aquino dan Aung San Suu Kyi dari Manila. Justeru, insan bergelar kaum hawa memang hebat kerana jasa mereka sentiasa disanjung tinggi dunia atas jasa mereka tidak pernah kenal sempadan.

      Akhir kalam, jasa dan peranan wanita memang telah diiktiraf semenjak zaman Rasulullah lagi dan seterusnya nama-nama wanita Malasyia juga tidak kurang hebatnya. Mereka sentiasa mewarnai senario di tanah tumpah darah mereka dalam pelbagai bidang , sama ada di bidang politik, sukan, ekonomi, berusaha memartabatkan nama negara di mata dunia, membantu kepimpinan negara dan membantu masyarakat tanpa mengenal sempadan dunia. Sebagai warganegara Malaysia kita harus berbangga dengan sumbangan kaum hawa ini kerana keberadaan mereka membantu kaum adam untuk memantapkan segala kekurangan yang ada pada mereka. Oleh sebab itu, kaum wanita memang perlu diberi ruang untuk menceburi pelbagai bidang kerana kepakaran mereka bukan racun yang mampu membunuh kaum adam malah boleh diibaratkan ubat yang mampu menyembuhkan penyakit kaum adam. Allah berfirman bahawa kaum adam dijadikan untuk berpasangan dengan kaum hawa. Justeru, prasangka buruk dalam kalangan kaum adam terhadap kaum hawa perlu dihapuskan agar sikap bekerjasama akan wujud demi membina sebuah negara merdeka dan perkasa dalam pelbagai bidang agar mampu untuk menyinar di mata dunia.



Tiada ulasan: