Jumaat, 21 September 2018

SOALAN DAN CADANGAN JAWAPAN SOALAN 2 (C) PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI SELANGOR


Soalan 2(c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

       Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah sama-sama orang banyak. Maka, kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; adapun orang Kelang ini menghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan.”

        Maka tiada disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu pun tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya, |‘Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan
matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba tahu? Adapun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan perempuan anak isteri dan segala perkakas. Maka benarkah pada fikir tuan hamba kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawankan anak isterinya bersungguh-sungguh.”

      Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”

Dipetik daripada ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam antologi Sejadah Rindu,
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i)      Berikan maksud demikian fiil tuan.                                                                   [2 markah]
           Demikian fiil bermaksud begini/begitu/ seperti ini/seperti itu sikap /tingkah laku
           tuan/kamu/anda/ engkau

(ii)    Berdasarkan petikan di atas, apakah pesanan Tun Perak kepada Seri Amerta?    [3 markah]
       
     1
sentiasa membawa pedangnya bersama-sama /tuan hamba dengan pedang tuan hamba
2
menjaga pedangnya dengan baik / hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan
3
jangan biarkan pedangnya berkarat / jangan diberi berkarat
4
jangan kemakanan matanya


(iii)    Dalam sesuatu peperangan, setiap individu memainkan peranan dalam usaha 
          mempertahankan  negara daripada ancaman musuh.
         Pada pendapat anda, bagaimanakah kaum wanita boleh memainkan peranan sekiranya
         berlaku peperangan?                                                                                              [3 markah]

        
   Pada pendapat saya, kaum wanita boleh memainkan peranan sekiranya berlaku   peperiangan seperti:-

1
Menjaga dan memastikan anak-anak sentiasa selamat
2
Menjaga rumah dan harta benda dengan baik
3
Membantu menyediakan makanan dan minuman untuk kaum lelaki yang
Berperang
4
Membantu merawat askar yang tercedera
5
Memberikan sokongan moral kepada suami dan ahli keluarga yang terlibat
dengan peperangan



4 ulasan:

Unknown berkata...

Maksud jangan kemakanan matanya

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Maksud kemakanan matanya ialah elakkan mata pedangnya berkarat

Unknown berkata...

Maksud jangan diberi berkarat kemanakan?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Soalan, sebelumnya lebih kurang sama iaitu pelajar perlu tahu maksud kemakanan bukan kemanakan, jika dirujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kemakanan bermaksud habis dimakan, dan apabila dikaitkan dengan frasa berkarat kemakanan, karat pada mata pedang akan memakan mata pedang berkenaan.