Kempen gaya hidup
sihat telah diperkenalkan oleh
kerajaan untuk melahirkan
masyarakat yang mementingkan
kesejahteraan hidup.
Bincangkan amalan yang wajar anda lakukan untuk
memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga.
Dimensi: Dimensi diri – jawapan perlu rujuk kepada
diri sendiri (saya)
Kesihatan ialah
harga yang paling
mahal untuk mengekalkan individu meneruskan kehidupan secara
kondusif. Kesihatan ialah
anugerah daripada Allah
kepada setiap insan setelah
semua sistem anatomi
dan fisiologi disempurnakan. Kesihatan
tidak boleh ditukarkan
dengan nilai wang
ringgit kerana manusia yang
paling kaya dalam
dunia pun tidak
boleh membeli kesihatan.
Demikian juga dengan
sepotong ungkapan dalam lima perkara terpenting daripada Hadis
Rasulullah yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”.
Oleh itu, alangkah besarnya makna kesihatan dalam kehidupan setiap insan,
justeru saya wajar menjadikan
kesihatan sebagai agenda
terpenting sesuai dengan
peribahasa, jimat sementara
belum habis, ingat sementara belum kena. Sekiranya, saya
mengambil berat soal kesihatan di dalam kehidupan, sudah pasti saya merupakan
orang yang paling bahagia meneruskan kehidupan ini. Persoalannya, apakah amalan
yang perlu saya lakukan untuk memastikan saya sentiasa sihat.
Sebagai insan yang bijak, saya perlu sentiasa mengawal
keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk saya sentiasa kekal sihat. Oleh
sebab kesihatan sangat penting maka Kementerian Pendidikan Malaysia telah
memfokus kemenjadian pelajar perlu seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Seyogia falsafah
pendidikan ini perlu saya praktikkan untuk memastikan saya mampu untuk
memastikan diri saya sentiasa mempunyai fizikal dan mental yang baik. Antaranya
saya perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan sebarang aktiviti yang tidak sihat
yang boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental saya seperti melepak,
merokok, berjaga malam, berpelesiran, dan terlibat dengan aktiviti jenayah
kerana impaknya emosi saya tidak akan stabil. Apabila emosi saya celaru dan tidak stabil saya
akan mengalami stress dan kemurungan yang boleh menjejaskan fizikal dan mental
saya. Jika saya bijak menjaga fizikal dan mental serta melibatkan diri dengan aktiviti
sihat seperti bersukan, beriadah, mengerjakan amalan agama sudah pasti saya
akan kekal sihat. Sebaliknya, jika saya tidak mengawal aktiviti saya dan terlibat dengan aktiviti kurang sihat, sudah
pasti saya akan terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kehidupan saya sebagai khalifah di dunia ini kerana sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna. Tegasnya, saya
perlu sentiasa mengawal keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk saya
sentiasa kekal sihat.
Selain itu, sebagai seorang insan yang prihatin saya perlu
meneliti cara pemakanan saya agar kekal sihat kerana pemakanan menjadi terminologi
utama untuk menentukan asas kesihatan saya. Oleh sebab itu, pengambilan makanan
saya perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai mana yang telah disarankan
oleh pengamal perubatan. Seyogia saya perlu mengambil makanan berzat dan bukan
makan mengikut sedap sahaja. Selain itu, saya juga perlu untuk mengurangkan
makanan bergula dan berlemak yang boleh menjejaskan kesihatan kerana pemakanan
berkenaan boleh mendekatkan saya dengan obesiti, keradangan jantung, komplikasi buah pinggang,
kecing manis, dan darah tinggi kerana persis peribahasa Melayu ada mengatakan
apabila nasi sudah menjadi bubur tidak akan berguna lagi. Sekiranya saya dapat
mengekal cara pemakanan sihat dalam kehidupan saya mampu mengelakkan penyakit
tiga serangkai yang dikatakan pembunuh utama masyarakat di Malaysia pada zaman
moden ini. Tegasnya, saya perlu meneliti cara pemakanan saya agar terus kekal
sihat.
Sebagai insan yang sedar akan kepentingan kesihatan, saya
juga akan memastikan diri saya sentiasa terlibat dengan riadah dan latihan
jasmani secara teratur dan berjadual. Sebagaimana kita sedia maklum, riadah
merupakan asbab untuk menjaga pertumbuhan tubuh badan yang sihat. Oleh sebab itu,
saya akan menyediakan jadual terancang untuk memastikan saya melakukan aktiviti
riadah setiap hari pada waktu senggang. Dengan jadual berkenaan saya akan
menyusun aktiviti harian saya agar segala aktiviti dirancang secara tersusun seperti
ada ruang untuk masa saya berehat, mengulangkaji pelajaran, bersukan, dan tidur agar
masa yang ada dipenuhkan dengan aktiviti sihat. Bahkan juga saya juga perlu
memilih aktiviti riadah yang sesuai dengan jiwa saya seperti berjoging, bermain
sepak takraw, bermain bola, bermain badminton dan sebagainya. Jika saya bijak
menggunakan masa, bukan sahaja masa saya terisi dengan atividi berfaedah malah
aktiviti berkenaan sesuai dengan jiwa saya kerana masa itu emas. Sebaliknya
jika saya tidak pandai menjadula masa, sudah pasti banyak masa saya terbuang,
malah kemungkinan saya akan melakukan aktiviti yang kurang sihat seperti
bercampur dengan rakan-rakan yang buruk ahklaknya. Sudah terang lagi bersuluh, saya
juga akan memastikan diri saya sentiasa terlibat dengan riadah dan latihan
jasmani secara teratur dan berjadual.
Bahkan juga,
sebagai insan yang mempunyai sikap terpuji, saya perlu bijak bersosial dan
berkawan kerana bertepatan
dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita
akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa
bahangnya. Hal ini demikian kerana
apabila saya bijak memilih kawan sudah pasti saya akan dapat bersosial secara
sihat dan dapat meluaskan hubungan silaturahim kerana berkawan biarlah
menunjukkan kebenaran kerana salah pilih kawan, kawan akan makan kawan. Selain
itu, dengan adanya rakan yang baik dan sejati, semangat setiakawan yang kita
pupuk bersama-sama akan mampu untuk menstabilkan emosi saya. Contohnya, jika saya
menghadapi masalah, orang yang paling dekat dengan saya selain ibu bapa dan
guru ialah kawan. Merekalah tempat saya mengadu dan mencurahkan perasaan dan
secara langsung akan meredakan permasalahan yang saya hadapi. Oleh sebab itu,
berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Sekiranya saya pandai memilih
kawan sudah pasti kawan akan mengajak saya melakukan kebenaran sebalikya jika
saya tersalah pilih kawan impaknya saya yang akan rugi kerana kawan yang buruk akhlaknya mudah mempengaruhi saya untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Tegasnya, sebagai
insan yang mempunyai sikap terpuji, saya perlu bijak bersosial dan berkawan.
Akhirnya, sebagai seorang beragama Islam saya hendaklah
mendekati diri dengan Maha Pencipta iaitu Allah Tuhan sekalian alam. Tiada
kuasa yang paling tinggi daripada kuasa Allah dan Allah yang mengawal
perjalanan bumi dan matahari dan Allah jugalah yang akan menentukan perjalanan
hidup saya. Oleh sebab itu, saya perlu sentiasa mendekati diri dengan Tuhan dan mengerjakan ketetapan-Nya seperti menunaikan
solat lima kali sehari, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengelakkan daripada
melakukan sebarang larangan-Nya. Apabila saya patuh kepada perintah Allah sudah
pasti saya mampu untuk mengelakkan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan
syariat Islam seperti membuang masa kerana masa itu emas,berkawan dengan kawan
yang tidak bermoral akhlaknya, mencuri, merokok, dan banyak lagi perbuatan yang
bertentangan dengan agama. Jika saya sentiasa berada di sisi Allah, insya-Allah
saya mampu untuk menjadi manusia yang berguna, sihat kesihatan sama ada fizikal
atau mental dan seimbang emosi. Tegasnya, sebagai seorang seorang beragama Islam
saya hendaklah mendekati diri dengan Maha Pencipta iaitu Allah Tuhan sekalian
alam kerana Allah yang menentukan perjalanan hidup kita sebagai hamba-Nya.
Dalam menguruskan
kehidupan yang sihat,
sejahtera dan harmoni,
saya hendaklah sentiasa
berpegang kepada kata-kata bijaksana,
“Seseorang yang gagal
merancang dia telah
merancang untuk gagal”.
Kita hidup atas rahmat
dan kurniaan daripada
Tuhan yang amat
besar anugerah-Nya. Oleh
hal yang demikian,
menjaga kesihatan diri merupakan sebahagian
daripada amanah Tuhan
kepada kita. Insan
yang sihat sentiasa
boleh beribadah kepada
Allah, memberikan sumbangan kepada
negara dan berguna
kepada masyarakat. Oleh
itu, jagalah kesihatan
dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
5 ulasan:
Salam cikgu.Dimensi diri kalau guna perkataan "kita" blh ke?
Mohon penjelasan drpd cikgu.Terima kasih
Karangan dimensi diri iaitu soalan bahagian B kertas Bahasa Melayu 1 memerlukan pelajar menulis karangan dengan menyatakan apakah tindakan yang perlu anda lakukan untuk memastikan isu yang diperkatakan dapat dicapai. Oleh sebab itu sepanjang anda menulis karangan berkenaan ganti nama yang paling sesuai digunakan ialah saya. Sedangkan kata ganti nama "kita" ialah kata ganti nama diri pertama jamak iaitu melibatkan diri orang yang terlibat menulis karangan serta orang kedua dalam perbualan, justeru, penggunaan ganti nama diri "kita" agak kurang tepat untuk penulisan karangan dimensi diri. Namun begitu, anda boleh menyelitkan ganti nama diri "saya" untuk memastikan anda masih menjawab soalan dimensi diri ini. Jika anda tidak langsung mengaitkan kata ganti nama diri pertama "saya" semasa menulis karangan dimensi diri, anda sukar untuk mendapat markah cemerlang. Oleh sebab itu, saya nasihatkan anda sentiasa berhati-hati menulis karangan dimensi diri dan biasakan menulis ganti nama "saya" semasa menulis karangan dimensi diri.
Great
Saya minta izin utk kongsi karangan ini dgn pelajar saya.
Gunakan cikgu segala bahan yang terdapat di dalam blog ini demi anak didik SPM tercinta, dan saya halalkan segala ilmu yang ada. Semoga doakan saya sihat dan dapat menjalankan tugas seharian walaupun saya tidak bertugas seperti guru biasa selepas ini kerana saya saya akan berpencen atas masalah kesihatan atau mendical board. Doakan juga ursusan pencen saya berjalan lancar dan sekiranya saya diberi kesihatan dan ruang waktu saya akan meneneruskan urusan blog Laman Bahasa Melayu SPM untuk panduan guru-guru dan pelajar, insya-Allah.
Catat Ulasan