Sabtu, 8 September 2018

KARANGAN DIMENSI DIRI-BINCANGKAN AMALAN YANG WAJAR ANDA LAKUKAN UNTUK MEMASTIKAN KESIHATAN DIRI SENTIASA TERJAGA.


Kempen   gaya   hidup   sihat   telah   diperkenalkan   oleh   kerajaan   untuk   melahirkan   masyarakat   yang mementingkan kesejahteraan hidup.
Bincangkan amalan yang wajar anda lakukan untuk memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga. 

Dimensi: Dimensi diri – jawapan perlu rujuk kepada diri sendiri (saya)

               Kesihatan  ialah  harga  yang  paling  mahal untuk mengekalkan individu meneruskan kehidupan secara kondusif.  Kesihatan  ialah  anugerah  daripada  Allah  kepada  setiap  insan setelah  semua  sistem  anatomi  dan  fisiologi  disempurnakan.  Kesihatan  tidak  boleh  ditukarkan  dengan  nilai  wang  ringgit kerana  manusia  yang  paling  kaya  dalam  dunia  pun  tidak  boleh  membeli  kesihatan.  Demikian  juga  dengan  sepotong ungkapan dalam lima perkara terpenting daripada Hadis Rasulullah yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”. Oleh itu, alangkah besarnya makna kesihatan dalam kehidupan setiap insan, justeru saya wajar menjadikan  kesihatan  sebagai  agenda  terpenting  sesuai  dengan  peribahasa,  jimat  sementara  belum  habis,  ingat sementara belum kena. Sekiranya, saya mengambil berat soal kesihatan di dalam kehidupan, sudah pasti saya merupakan orang yang paling bahagia meneruskan kehidupan ini. Persoalannya, apakah amalan yang perlu saya lakukan untuk memastikan saya sentiasa sihat.

            Sebagai insan yang bijak, saya perlu sentiasa mengawal keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk saya sentiasa kekal sihat. Oleh sebab kesihatan sangat penting maka Kementerian Pendidikan Malaysia telah memfokus kemenjadian pelajar perlu seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Seyogia falsafah pendidikan ini perlu saya praktikkan untuk memastikan saya mampu untuk memastikan diri saya sentiasa mempunyai fizikal dan mental yang baik. Antaranya saya perlu mengelakkan diri saya daripada melakukan sebarang aktiviti yang tidak sihat yang boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental saya seperti melepak, merokok, berjaga malam, berpelesiran, dan terlibat dengan aktiviti jenayah kerana impaknya emosi saya tidak akan stabil. Apabila emosi saya celaru dan tidak stabil saya akan mengalami stress dan kemurungan yang boleh menjejaskan fizikal dan mental saya. Jika saya bijak menjaga fizikal dan mental serta melibatkan diri dengan aktiviti sihat seperti bersukan, beriadah, mengerjakan amalan agama sudah pasti saya akan kekal sihat. Sebaliknya, jika saya tidak mengawal aktiviti saya dan terlibat dengan aktiviti kurang sihat, sudah pasti saya akan terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan kehidupan saya sebagai khalifah di dunia ini kerana sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna. Tegasnya, saya perlu sentiasa mengawal keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk saya sentiasa kekal sihat.

            Selain itu, sebagai seorang insan yang prihatin saya perlu meneliti cara pemakanan saya agar kekal sihat kerana pemakanan menjadi terminologi utama untuk menentukan asas kesihatan saya. Oleh sebab itu, pengambilan makanan saya perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai mana yang telah disarankan oleh pengamal perubatan. Seyogia saya perlu mengambil makanan berzat dan bukan makan mengikut sedap sahaja. Selain itu, saya juga perlu untuk mengurangkan makanan bergula dan berlemak yang boleh menjejaskan kesihatan kerana pemakanan berkenaan boleh mendekatkan saya dengan obesiti,  keradangan jantung, komplikasi buah pinggang, kecing manis, dan darah tinggi kerana persis peribahasa Melayu ada mengatakan apabila nasi sudah menjadi bubur tidak akan berguna lagi. Sekiranya saya dapat mengekal cara pemakanan sihat dalam kehidupan saya mampu mengelakkan penyakit tiga serangkai yang dikatakan pembunuh utama masyarakat di Malaysia pada zaman moden ini. Tegasnya, saya perlu meneliti cara pemakanan saya agar terus kekal sihat.

            Sebagai insan yang sedar akan kepentingan kesihatan, saya juga akan memastikan diri saya sentiasa terlibat dengan riadah dan latihan jasmani secara teratur dan berjadual. Sebagaimana kita sedia maklum, riadah merupakan asbab untuk menjaga pertumbuhan tubuh badan yang sihat. Oleh sebab itu, saya akan menyediakan jadual terancang untuk memastikan saya melakukan aktiviti riadah setiap hari pada waktu senggang. Dengan jadual berkenaan saya akan menyusun aktiviti harian saya agar segala aktiviti dirancang secara tersusun seperti ada ruang untuk masa saya berehat, mengulangkaji pelajaran, bersukan, dan tidur agar masa yang ada dipenuhkan dengan aktiviti sihat. Bahkan juga saya juga perlu memilih aktiviti riadah yang sesuai dengan jiwa saya seperti berjoging, bermain sepak takraw, bermain bola, bermain badminton dan sebagainya. Jika saya bijak menggunakan masa, bukan sahaja masa saya terisi dengan atividi berfaedah malah aktiviti berkenaan sesuai dengan jiwa saya kerana masa itu emas. Sebaliknya jika saya tidak pandai menjadula masa, sudah pasti banyak masa saya terbuang, malah kemungkinan saya akan melakukan aktiviti yang kurang sihat seperti bercampur dengan rakan-rakan yang buruk ahklaknya. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan memastikan diri saya sentiasa terlibat dengan riadah dan latihan jasmani secara teratur dan berjadual.

            Bahkan  juga, sebagai insan yang mempunyai sikap terpuji, saya perlu bijak bersosial dan berkawan kerana bertepatan dengan peribahasa Arab, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Hal ini demikian kerana apabila saya bijak memilih kawan sudah pasti saya akan dapat bersosial secara sihat dan dapat meluaskan hubungan silaturahim kerana berkawan biarlah menunjukkan kebenaran kerana salah pilih kawan, kawan akan makan kawan. Selain itu, dengan adanya rakan yang baik dan sejati, semangat setiakawan yang kita pupuk bersama-sama akan mampu untuk menstabilkan emosi saya. Contohnya, jika saya menghadapi masalah, orang yang paling dekat dengan saya selain ibu bapa dan guru ialah kawan. Merekalah tempat saya mengadu dan mencurahkan perasaan dan secara langsung akan meredakan permasalahan yang saya hadapi. Oleh sebab itu, berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali. Sekiranya saya pandai memilih kawan sudah pasti kawan akan mengajak saya melakukan kebenaran sebalikya jika saya tersalah pilih kawan impaknya saya yang akan rugi kerana kawan yang buruk akhlaknya mudah mempengaruhi saya untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Tegasnya, sebagai insan yang mempunyai sikap terpuji, saya perlu bijak bersosial dan berkawan.

            Akhirnya, sebagai seorang beragama Islam saya hendaklah mendekati diri dengan Maha Pencipta iaitu Allah Tuhan sekalian alam. Tiada kuasa yang paling tinggi daripada kuasa Allah dan Allah yang mengawal perjalanan bumi dan matahari dan Allah jugalah yang akan menentukan perjalanan hidup saya. Oleh sebab itu, saya perlu sentiasa mendekati diri dengan Tuhan dan mengerjakan ketetapan-Nya seperti menunaikan solat lima kali sehari, berpuasa di bulan Ramadhan, dan mengelakkan daripada melakukan sebarang larangan-Nya. Apabila saya patuh kepada perintah Allah sudah pasti saya mampu untuk mengelakkan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti membuang masa kerana masa itu emas,berkawan dengan kawan yang tidak bermoral akhlaknya, mencuri, merokok, dan banyak lagi perbuatan yang bertentangan dengan agama. Jika saya sentiasa berada di sisi Allah, insya-Allah saya mampu untuk menjadi manusia yang berguna, sihat kesihatan sama ada fizikal atau mental dan seimbang emosi. Tegasnya, sebagai seorang seorang beragama Islam saya hendaklah mendekati diri dengan Maha Pencipta iaitu Allah Tuhan sekalian alam kerana Allah yang menentukan perjalanan hidup kita sebagai hamba-Nya.

Dalam  menguruskan  kehidupan  yang  sihat,  sejahtera  dan  harmoni,  saya  hendaklah  sentiasa  berpegang kepada  kata-kata  bijaksana,  “Seseorang  yang  gagal  merancang  dia  telah  merancang  untuk  gagal”.  Kita  hidup  atas rahmat  dan  kurniaan  daripada  Tuhan  yang  amat  besar  anugerah-Nya.  Oleh  hal  yang  demikian,  menjaga  kesihatan  diri merupakan  sebahagian  daripada  amanah  Tuhan  kepada  kita.  Insan  yang  sihat  sentiasa  boleh  beribadah  kepada  Allah, memberikan   sumbangan   kepada   negara   dan   berguna   kepada   masyarakat.   Oleh   itu,   jagalah   kesihatan   dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

5 ulasan:

Unknown berkata...

Salam cikgu.Dimensi diri kalau guna perkataan "kita" blh ke?
Mohon penjelasan drpd cikgu.Terima kasih

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Karangan dimensi diri iaitu soalan bahagian B kertas Bahasa Melayu 1 memerlukan pelajar menulis karangan dengan menyatakan apakah tindakan yang perlu anda lakukan untuk memastikan isu yang diperkatakan dapat dicapai. Oleh sebab itu sepanjang anda menulis karangan berkenaan ganti nama yang paling sesuai digunakan ialah saya. Sedangkan kata ganti nama "kita" ialah kata ganti nama diri pertama jamak iaitu melibatkan diri orang yang terlibat menulis karangan serta orang kedua dalam perbualan, justeru, penggunaan ganti nama diri "kita" agak kurang tepat untuk penulisan karangan dimensi diri. Namun begitu, anda boleh menyelitkan ganti nama diri "saya" untuk memastikan anda masih menjawab soalan dimensi diri ini. Jika anda tidak langsung mengaitkan kata ganti nama diri pertama "saya" semasa menulis karangan dimensi diri, anda sukar untuk mendapat markah cemerlang. Oleh sebab itu, saya nasihatkan anda sentiasa berhati-hati menulis karangan dimensi diri dan biasakan menulis ganti nama "saya" semasa menulis karangan dimensi diri.

Tanpa Nama berkata...

Great

Unknown berkata...

Saya minta izin utk kongsi karangan ini dgn pelajar saya.

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Gunakan cikgu segala bahan yang terdapat di dalam blog ini demi anak didik SPM tercinta, dan saya halalkan segala ilmu yang ada. Semoga doakan saya sihat dan dapat menjalankan tugas seharian walaupun saya tidak bertugas seperti guru biasa selepas ini kerana saya saya akan berpencen atas masalah kesihatan atau mendical board. Doakan juga ursusan pencen saya berjalan lancar dan sekiranya saya diberi kesihatan dan ruang waktu saya akan meneneruskan urusan blog Laman Bahasa Melayu SPM untuk panduan guru-guru dan pelajar, insya-Allah.