Selasa, 11 September 2018

CONTOH CADANGAN JAWAPAN -SOALAN RUMUSAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI PULAU PINANG 2018


Soalan Peperiksaan Percubaan Negeri Pulau Pinag 2018
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat tarian sebagai medium perkembangan remaja dan cara-cara menggalakkan penyertaan tarian di sekolah. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tarian merupakan gerak tubuh yang dilakukan secara berirama dan penuh penghayatan. Unsur utama dalam tarian ialah gerakan yang melibatkan semua anggota badan penari. Elemen ini menjadikan tarian yang dipersembahkan lebih harmoni dan memberikan kesan yang baik kepada penonton. Terdapat berbagai-bagai jenis tarian di Malaysia yang dapat dibanggakan. Antaranya termasuklah tarian tradisional, tarian rakyat dan tarian kontemporari. Setiap tarian mengandungi nilai seni dan kreativiti yang tinggi. Tarian akan menjadi lebih menarik apabila penari menggayakan busana, tatarias dan aksesori yang memiliki keindahan tersendiri.

Rentetan itu, pelbagai program telah dilaksanakan bagi memperlihatkan kepentingan pelibatan remaja dalam bidang ini seperti aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dijalankan di sekolah. Aktiviti tarian memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja. Pelibatan remaja dalam bidang seni tari dapat menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang lahir secara semula jadi. Secara tidak langsung kebolehan ini boleh digilap dan dibangunkan agar menyambung tradisi pada masa depan. Seterusnya, aktiviti tarian dapat membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan.

Proses penguasaan seni tari yang dipelajari meliputi kemampuan individu menghafal gerakan, memahami dan menghayati sesuatu tarian. Seterusnya, tarian berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai sesuatu gerakan kreatif. Kebiasaannya individu yang menceburi bidang tarian ini lebih cekap menghafal dan mengimbangi diri mereka dalam sesuatu perkara. Melalui pelibatan ini, remaja juga dapat mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di Malaysia. Hal ini memberikan nilai tambah terhadap pengetahuan am seseorang remaja. Tambahan pula, melalui pertandingan tarian yang disertai dapat menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.

Pembabitan remaja dalam bidang seni tari juga mampu melahirkan individu yang berdisiplin tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana persembahan tarian memerlukan penari yang berdisiplin, menepati masa dan memberikan sepenuh komitmen semasa latihan, persediaan sebelum persembahan, semasa persembahan ataupun selepas persembahan. Dengan adanya tarian, remaja akan lebih berdikari dan terdidik untuk mengimbangi diri dalam pelajaran serta aktiviti kokurikulum yang disertai. Hasil kejayaan yang dicapai dalam pertandingan tarian akan menyuntik semangat kepada golongan remaja ini untuk terus maju dan berjaya.

Bagi menyemarakkan pelibatan remaja dalam aktiviti ini, sokongan ibu bapa penting dengan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam seni tari. Sekatan dan sikap yang terlalu mengongkong aktiviti anak akan melemahkan perkembangan diri mereka. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang tarian yang diminati dan mempunyai hala tuju. Selain itu, motivasi yang diberikan secara berterusan mampu melahirkan anak-anak yang aktif dalam seni tari. Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya mempertahankan warisan seni budaya bangsa agar terus bertahan dalam mendepani zaman moden ini.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Tarian Sebagai Medium
Perkembangan Remaja’, oleh Shasha Shakierah, Dewan Siswa, Mac 2016)

Jawapan yang dicadangkan untuk soalan rumusan.

Pengenalan:-
Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/ keistimewaan/ faedah-faedah/kesan postif tarian sebagai medium perkembangan remaja di Malaysia/ di negara ini     ( 2 markah)
atau
Rumusan membincangkan Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/ keistimewaan/ faedah-faedah/kesan postif tarian sebagai medium perkembangan remaja dan  cara-cara menggalakkan penyertaan tarian di sekolah.                                                                     ( 2 markah )


Isi Tersurat:-
       Tarian penting sebagai medium perkembangan remaja kerana memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja dan menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang lahir secara semula jadi. Selain itu, tarian juga berupaya membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan di samping berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai sesuatu gerakan kreatif. Bahkan juga, tarian dapat membantu pelajar mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di Malaysia  serta dapat menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.

Isi tersirat:-
        Sebagai usaha untuk menggalakkan tarian di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan kelab tarian dan keseniaan serta  mengadakan pertandingan tarian pada setiap tahun.

Penutup.
      Kesimpulannya, pelajar dan pihak sekolah perlu memfokus tarian sebagai  aktiviti sekolah agar aktiviti berkernaan mampu menarik minat pelajar untuk menyertainya.

Rumusan Lengkap:-
Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/ keistimewaan/ faedah-faedah/kesan positif tarian sebagai medium perkembangan remaja di Malaysia/ di negara ini     ( 2 markah)
Tarian penting sebagai medium perkembangan remaja kerana memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja dan menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang lahir secara semula jadi. Selain itu, tarian juga berupaya membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat persembahan di samping berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai sesuatu gerakan kreatif. Bahkan juga, tarian dapat membantu pelajar mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di Malaysia  serta dapat menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.
Sebagai usaha untuk menggalakkan tarian di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan kelab tarian dan keseniaan serta  mengadakan pertandingan tarian pada setiap tahun.
        Kesimpulannya, pihak sekolah perlu memfokus tarian sebagai aktiviti keseniaan sekolah agar aktiviti berkenaan mampu menarik minat pelajar untuk menyertainya.
( 133 patah perkataan)

Cara untuk mengelakkan perkataan yang panjang, pelajar boleh memilih isi yang tidak banyak perkataannya.

Contoh isi ketiga, bilangan perkataannya ( 14 patah perkataan ) dan digantikan dengan isi ketujuh ( 6 patah perkataan sahaja), jimat 8 patah perkataan.

Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2 (a) - Petikan Umum
 Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)                  Apakah maksud rangkai kata kemampuan individu?   
Cadangan jawapan:-
             Rangkai kata kemampuan individu bermaksud kebolehan/ keupayaan seseorang
[2 markah]

(ii) Pengarang mengatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan      
     penyertaan anak-anak dalam bidang tarian.   
     Nyatakan peranan-peranan tersebut.

Cadangan jawapan:- ( Jawapan ada di dalam teks - elakkan memberi pendapat sendiri)
    Ibu bapa berperanan menyokong dan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam seni tari. Selain itu, ibu bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang tarian yang diminati dan mempunyai hala tuju dan memotivasikan anak-anak secara  secara  supaya aktif dalam seni tari.
    
 [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk
      meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan di Malaysia? 

Cadangan jawapan:- ( KBAT)
     Pada pendapat saya, usaha yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan di Malaysia adalah dengan menawarkan kursus tarian di universiti tanah air, menawarkan biasiswa kepada mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian dalam seni tarian di universiti tempatan, serta mengadakan kempen kepentingan tarian secara berterusan untuk menarik minat remaja menyertai aktiviti tarian.
                                                                                               [4 markah]

Jawapan lain yang sesuai diterima sebagai jawapan.


3 ulasan:

Unknown berkata...

👍

Unknown berkata...

Jati diri remaja abad ke 21 penentu masa hadapan negara

mfaizh___ berkata...

esok spm bois