Soalan Peperiksaan Percubaan Negeri Pulau Pinag 2018
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat
satu rumusan tentang manfaat tarian sebagai medium perkembangan remaja dan cara-cara
menggalakkan penyertaan tarian di sekolah. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Tarian merupakan gerak tubuh yang
dilakukan secara berirama dan penuh penghayatan. Unsur utama dalam tarian ialah
gerakan yang melibatkan semua anggota badan penari. Elemen ini menjadikan
tarian yang dipersembahkan lebih harmoni dan memberikan kesan yang baik kepada penonton.
Terdapat berbagai-bagai jenis tarian di Malaysia yang dapat dibanggakan.
Antaranya termasuklah tarian tradisional, tarian rakyat dan tarian
kontemporari. Setiap tarian mengandungi nilai seni dan kreativiti yang tinggi.
Tarian akan menjadi lebih menarik apabila penari menggayakan busana, tatarias
dan aksesori yang memiliki keindahan tersendiri.
Rentetan itu, pelbagai program
telah dilaksanakan bagi memperlihatkan kepentingan pelibatan remaja dalam
bidang ini seperti aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dijalankan di sekolah.
Aktiviti tarian memainkan
peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja. Pelibatan
remaja dalam bidang seni tari dapat menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang lahir secara semula
jadi. Secara tidak langsung kebolehan ini boleh digilap dan dibangunkan
agar menyambung tradisi pada masa depan. Seterusnya, aktiviti tarian dapat membina keyakinan dan
keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat
persembahan.
Proses penguasaan seni tari yang
dipelajari meliputi kemampuan individu menghafal gerakan, memahami dan
menghayati sesuatu tarian. Seterusnya, tarian berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai
sesuatu gerakan kreatif. Kebiasaannya individu yang menceburi bidang
tarian ini lebih cekap menghafal dan mengimbangi diri mereka dalam sesuatu
perkara. Melalui pelibatan ini, remaja juga dapat mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian
tradisional di Malaysia. Hal ini memberikan nilai tambah terhadap
pengetahuan am seseorang remaja. Tambahan pula, melalui pertandingan tarian
yang disertai dapat
menyatukan pelajar berbilang bangsa tanpa mengira kaum.
Pembabitan remaja dalam bidang
seni tari juga mampu
melahirkan individu yang berdisiplin tinggi. Hal ini dikatakan demikian
kerana persembahan tarian memerlukan penari yang berdisiplin, menepati masa dan
memberikan sepenuh komitmen semasa latihan, persediaan sebelum persembahan,
semasa persembahan ataupun selepas persembahan. Dengan adanya tarian, remaja akan
lebih berdikari dan terdidik
untuk mengimbangi diri dalam pelajaran serta aktiviti kokurikulum yang
disertai. Hasil kejayaan yang dicapai dalam pertandingan tarian akan menyuntik semangat kepada
golongan remaja ini untuk terus maju dan berjaya.
Bagi menyemarakkan pelibatan
remaja dalam aktiviti ini, sokongan
ibu bapa penting dengan memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengambil
bahagian dalam seni tari. Sekatan dan sikap yang terlalu mengongkong
aktiviti anak akan melemahkan perkembangan diri mereka. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang
tarian yang diminati dan mempunyai hala tuju. Selain itu, motivasi yang diberikan secara
berterusan mampu melahirkan anak-anak yang aktif dalam seni tari. Sebagai
rakyat Malaysia, kita sewajarnya mempertahankan warisan seni budaya bangsa agar
terus bertahan dalam mendepani zaman moden ini.
(Dipetik dan
diubahsuaikan daripada ‘Tarian Sebagai Medium
Perkembangan Remaja’,
oleh Shasha Shakierah, Dewan Siswa, Mac 2016)
Jawapan yang dicadangkan untuk soalan rumusan.
Pengenalan:-
Petikan membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/ keistimewaan/
faedah-faedah/kesan postif tarian sebagai medium perkembangan remaja di
Malaysia/ di negara ini ( 2 markah)
atau
Rumusan membincangkan Petikan
membincangkan kebaikan/ kemaslahatan/ keistimewaan/ faedah-faedah/kesan postif
tarian sebagai medium perkembangan remaja dan
cara-cara menggalakkan
penyertaan tarian di sekolah.
( 2 markah )
Isi Tersurat:-
Tarian
penting sebagai medium perkembangan remaja kerana memainkan peranan
penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri remaja dan menonjolkan bakat dan
potensi diri mereka yang lahir secara semula jadi. Selain itu, tarian juga
berupaya membina keyakinan dan keberanian seseorang individu untuk tampil di
hadapan semasa membuat persembahan di samping berupaya melahirkan keupayaan
remaja untuk menguasai sesuatu gerakan kreatif. Bahkan juga, tarian dapat membantu
pelajar mengetahui susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di
Malaysia serta dapat menyatukan pelajar
berbilang bangsa tanpa mengira kaum.
Isi tersirat:-
Sebagai usaha untuk menggalakkan tarian
di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan kelab tarian dan keseniaan serta mengadakan pertandingan tarian pada setiap
tahun.
Penutup.
Kesimpulannya, pelajar dan pihak sekolah
perlu memfokus tarian sebagai aktiviti
sekolah agar aktiviti berkernaan mampu menarik minat pelajar untuk
menyertainya.
Rumusan Lengkap:-
Petikan membincangkan kebaikan/
kemaslahatan/ keistimewaan/ faedah-faedah/kesan positif tarian sebagai medium
perkembangan remaja di Malaysia/ di negara ini ( 2 markah)
Tarian penting sebagai medium
perkembangan remaja kerana memainkan peranan penting dalam membentuk
sahsiah dan jati diri remaja dan menonjolkan bakat dan potensi diri mereka yang
lahir secara semula jadi. Selain itu, tarian juga berupaya membina keyakinan
dan keberanian seseorang individu untuk tampil di hadapan semasa membuat
persembahan di samping berupaya melahirkan keupayaan remaja untuk menguasai
sesuatu gerakan kreatif. Bahkan juga, tarian dapat membantu pelajar mengetahui
susur galur keturunan dan sejarah tarian tradisional di Malaysia serta dapat menyatukan pelajar berbilang
bangsa tanpa mengira kaum.
Sebagai usaha
untuk menggalakkan tarian di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan kelab
tarian dan keseniaan serta mengadakan
pertandingan tarian pada setiap tahun.
Kesimpulannya, pihak sekolah
perlu memfokus tarian sebagai aktiviti keseniaan sekolah agar aktiviti berkenaan
mampu menarik minat pelajar untuk menyertainya.
( 133 patah perkataan)
Cara untuk mengelakkan perkataan yang panjang, pelajar boleh memilih isi yang tidak banyak perkataannya.
Contoh isi ketiga, bilangan perkataannya ( 14 patah perkataan ) dan digantikan dengan isi ketujuh ( 6 patah perkataan sahaja), jimat 8 patah perkataan.
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab
soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Apakah maksud rangkai kata kemampuan
individu?
Cadangan
jawapan:-
Rangkai kata kemampuan individu
bermaksud kebolehan/ keupayaan seseorang
[2 markah]
(ii) Pengarang mengatakan bahawa
ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan
penyertaan anak-anak dalam bidang
tarian.
Nyatakan peranan-peranan tersebut.
Cadangan jawapan:- ( Jawapan ada
di dalam teks - elakkan memberi pendapat sendiri)
Ibu bapa berperanan menyokong dan memberikan
peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian dalam seni tari. Selain itu, ibu
bapa juga perlu membantu anak-anak memilih bidang tarian yang diminati dan
mempunyai hala tuju dan memotivasikan anak-anak secara secara supaya
aktif dalam seni tari.
[3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah
usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk
meningkatkan martabat bidang kesenian dan
kebudayaan di Malaysia?
Cadangan jawapan:- ( KBAT)
Pada pendapat saya, usaha yang harus dilakukan
oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan martabat bidang kesenian dan kebudayaan
di Malaysia adalah dengan menawarkan kursus tarian di universiti tanah air,
menawarkan biasiswa kepada mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian dalam seni
tarian di universiti tempatan, serta mengadakan kempen kepentingan tarian secara berterusan untuk menarik minat remaja menyertai aktiviti tarian.
[4 markah]
Jawapan lain yang sesuai diterima sebagai jawapan.
3 ulasan:
👍
Jati diri remaja abad ke 21 penentu masa hadapan negara
esok spm bois
Catat Ulasan