Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup
sihat. Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Dalam meniti arus
kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan
masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa
terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak
pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia
tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing manis
merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini
golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut
statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011,
angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200
000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya.
Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara
terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak
disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa,
Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan
kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit
yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap
penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu
daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang
disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya
untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?
Mari
kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah
kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap
pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat
mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali. Hal ini kerana pengambilan
makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang
mengandungi semua nutrien dan multivitamin yang diperlukan oleh tubuh badan
secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan
terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan
seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan
makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang
mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang
mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan
mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna
dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali,
seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita
ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil
dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga
untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang
ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan
hidup untuk makan. Sekiranya kita mengutamakan pemakanan yang sihat sudah pasti
tubuh badan kita akan kekal sihat. Sebaliknya, mereka yang mengambil mudah soal
pemakanan sudah pasti mereka akan mudah ditimpa penyakit." Tegasnya, kita
boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap
hari.
Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya
hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia
maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk
mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain
menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada
bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak
muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan
menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, ,
menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan
rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan
aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta
untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular
kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan
juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran
darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti
yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan
merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan.
Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti
patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi
penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai
langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk
mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak
berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta
lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas
menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya
hidup sihat dalam kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam
membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita
maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan
mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan
pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang
menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran
Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian
pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan
program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum
membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti
berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya,
pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih
belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka.
Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan
badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika
bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan
mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran
oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan
bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk
menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka
tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses
pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan
bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Sekiranya kita mengamalkan
gaya hidup sihat dengan menyertai aktivti
bersukan sudah pasti tubuh badan kita akan sihat. Justeru, kita boleh
mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.
Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan
kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada
di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan
terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil
berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihatan perkhidmatan
bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat
pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan
Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan
kepentingan kesihatan mereka. Tambahan pula Kilink 1 Malaysai menjadi kebanggaan
rakyat Malaysia kerana perkhidmatan yang kesihatan yang disediakan pada setiap
masa kecuali cuti umum. Bahkan juga,
pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah
berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah
untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika
dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh
mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar sahaja. Oleh
sebab itu, rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu
tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan
rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali
perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor
dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit
secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara
langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit
menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi,
kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami
penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit
mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalami masalah
diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan supaya dapat mengawal
paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik
daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan
adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan
baik.
Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri.
Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri
dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita
seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai
aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu,
untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah
memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja,
pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja
yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan
Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara
maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting kepada kita sebagai
warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting
daripada wang ringgit yang menggunung.
13 ulasan:
Panjangnya
Terima kasih karangan ini sangat bagus
Karangan yang bagus
Its so long
Karangan yang gramatis
Karangan bagus tapi panjang sangat tak macam 250 patah perkataan 😅
How many words are there?
Terima kasih karangan bagus.
Why so long?
Karangan yang baik ialah pelajar memasukkan semua keperluan ayat berdasarkan Jadual Pengembangan Idea Perenggan Pengenalan, Perenggan Isi dan Perenggan Penutup. Karangan yang panjang tetapi tidak mengikut jadual pengembangan idea karangan juga tidak merujuk karangan yang baik. Selain itu, ada banyak kaedah digunakan untuk menghasilkan karangan yang baik seperti kaedah Imbakup, kaedah apatah lagi, semua acuan untuk menghasilkan karangan cemerlang. Oleh sebab itu, bergantung kepada pelajar untuk menggunakan kaedah yang mana. Diharapkan pelajar mulai berlatih untuk menghasilkan karangan yang baik.
bagus karangan nih. teruskan usaha murni anda
Terbaik👍🏻
Ok
Catat Ulasan