Ahad, 2 September 2018

INFO BERKAITAN AYAT DAN JENIS-JENISNYA


JENIS-JENIS AYAT

Ayat bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada empat jenis:
(a)   Ayat penyata
(b)   Ayat tanya
(c)   Ayat perintah
(d)   Ayat seruan

Ayat Penyata
Ayat penyata bertujuan atau maksud membuat sesuatu kenyataan, menyatakan atau memberikan sesuatu keterangan tentang sesuatu berita atau hal. Ayat penyata juga disebut ayat berita atau ayat keterangan.

Contoh:
1.       Kota Kinabalu ialah ibu negeri Sabah yang letaknya di tepi laut. (FN+FN)
2.       Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat. (FN+FS)
3.       Bangunan perpustakaan yang baru siap dibina di bandar itu amat besar. (FN+FA)
4.       Kain songket ialah busana yang lazimnya dipakai oleh pasangan pengantin. (FN+FN)
5.       Bandar raya Kuala Lumpur yang sedang pesat membangun sangat bersih dan indah.(FN+FA)
6.       Bungkusan hadiah ini untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti.(FN+FS)
7.       Semua rakyat diingatkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan negara ini. (FN+FK)
8.       Pihak kerajaan sedang memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris di negara ini. (FN+FK)

Ayat Tanya
Ayat tanya bertujuan menanyakan sesuatu berita atau hal.
Terdapat dua jenis ayat tanya
(a) Ayat tanya tanpa kata tanya
(b) Ayat tanya dengan unsur tanya

(a) Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya tanpa kata tanya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Biasanya, ayat jenis ini menggunakan tanda tanya (?) pada akhir ayat.

1.       Ikan hiasan di dalam akuarium itu cantik-cantik? (FN+FA)
2.       Bangunan itu asrama untuk pelajar dari luar bandar? (FN+FN)
3.       Darurat di negara kita diisytiharkan pada tahun 1948? (FN+FK)
4.       Mereka sekeluarga akan ke Pulau Langkawi untuk bercuti? (FN+FS)
5.       Kota Paris bandar raya yang terkenal dengan bangunan Menara Eiffel? (FN+FN)
6.       Guru sukan sekolah mengetuai rombongan pelajar mendaki gunung itu? (FN+FK)
7.       Padang sukan sekolah itu sangat luas berbanding dengan padang sekolah lain? (FN+FA)
8.       Ahli arkeologi yang sedang menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang dari Muzium Negara? (FN+FS)

PERINGATAN
Ayat tanya tanpa kata tanya menggunakan partikel tanya –kah yang hadir dalam predikat ayat. Apabila ini berlaku, predikat ayat dikedepankan.

Salah
Betul
1. Ikan hiasan di dalam akuarium cantik-cantikkah?
Cantik-cantikkah ikan hiasan di dalam akuarium?
2. Bangunan itu asrama untuk pelajar dari luar bandarkah?
Asrama untuk pelajar dari luar bandarkahbangunan itu?
3. Negara kita mengisytiharkan darurat pada tahun 1948kah?
Pada tahun 1948kah darurat di negara kita diisytiharkan?
4. Mereka sekeluarga akan ke Pulau Langkawi untuk bercutikah?
Akan ke Pulau Langkawi untuk bercutikahmereka sekeluarga?
5. Kota Paris bandar raya yang terkenal dengan bangunan Menara Eiffelkah?
Bandar raya yang terkenal dengan Menara Eiffelkah kota Paris?
6. Guru sukan sekolah mengetuai rombongan pelajar mendaki gunung itukah?
Mengetuai rombongan pelajar mendaki gunung itukah guru sukan sekolah?
7. Padang sukan sekolah itu sangat luas berbanding dengan padang sekolah lainkah?
Sangat luaskah padang sukan sekolah itu berbanding dengan padang sekolah lain?
8. Ahli arkeologi yang sedang menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang dari Muzium Negarakah?
Dari Muzium Negarakah ahli arkeologi yang sedang menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang?


Ayat tanya dengan unsur tanya
Ayat tanya yang mengandungi unsur tanya seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila. Ayat tanya yang mengandungi unsur tanya terdiri daripada tiga kategori, iaitu:

(a) Ayat tanya dengan kata tanya
(b) Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya
(c) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya

(a) Ayat tanya dengan kata tanya
Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang mengandungi kata tanya seperti bila, berapa, bagaimana, mengapa dan kenapa. Dalam susunan biasa, kata tanya menduduki konstituen predikat.

Contoh:
1.  Baju kemeja kamu yang biru itu basah kenapa? (FN+FA)
2.  Kenaikan harga minyak petrol baru-baru ini bila? (FN+FK)
3.  Kamu menyediakan sate untuk tetamu bapa bagaimana? (FN+FK)
4.  Latihan forum pelajar di kantin sekolah pagi tadi mengapa? (FN+FS)
5.  Jumlah kayu hoki yang rosak di bilik sukan sekolah berapa? (FN+FN)
6.  Pokok bunga di sekitar bangunan sekolah kami kering dan layumengapa? (FN+FA)
7.  Harga kereta mainan dengan alat kawalan jauh yang baru dibeli ituberapa? (FN+FN)
8.  Peserta program pertukaran pelajar dari negara China akan ke Kuala Lumpur bila? (FN+FS)

Ayat di atas boleh menerima partikel –kah yang hadir dalam predikat. Apabila ini berlaku, predikat ayat mengalami proses pendepanan.
Contoh dalam ayat:

1.  Kenapakah baju kemeja kamu yang biru itu basah? (FN+FA)
2.  Bilakah kenaikan harga minyak berkuat kuasa baru-baru ini? (FN+FK)
3.  Bagaimanakah kamu menyediakan sate untuk tetamu bapa? (FN+FK)
4.  Mengapakah latihan forum pelajar di kantin sekolah pagi tadi? (FN+FS)
5.  Berapakah jumlah kayu hoki yang rosak di bilik sukan sekolah? (FN+FN)
6.  Mengapakah pokok bunga di sekitar bangunan sekolah kami kering dan layu? (FN+FA)
7.  Berapakah harga kereta mainan dengan alat kawalan jauh yang baru dibeli itu? (FN+FN)
8.  Bilakah program pertukaran pelajar dari negara China akan ke Kuala Lumpur? (FN+FS)

(b) Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya
Ayat tanya dengan kata ganti diri tanya ialah ayat yang mengandungi kata ganti diri tanya seperti apa,siapa dan mana. Dalam susunan biasa, kata ganti diri tanya menduduki bahagian predikat.

Contoh:
1.  Buku rujukan yang kamu pinjam dahulu itu mana? (FN+FN)
2.  Tajuk debat antara pelajar sekolah asrama penuh pada tahun iniapa? (FN+FN)
3.  Pegawai Kementerian Pendidikan yang mengetuai rombongan itusiapa? (FN+FN)

Ayat di atas menerima partikel –kah yang hadir dalam predikat. Apabila ini berlaku, predikat ayat mengalami proses pendepanan.

Contoh:
1.  Manakah buku rujukan yang kamu pinjam dahulu itu? (FN+FN)
2.  Apakah tajuk debat antara pelajar sekolah asrama penuh pada tahun ini? (FN+FN)
3.  Siapakah pegawai Kementerian Pendidikan yang mengetuai rombongan itu? (FN+FN)

(c) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya
Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya ialah ayat yang mengandungi frasa sendi nama tanya seperti di mana, daripada siapa, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan dengan siapa. Dalam susunan biasa, kata ganti diri tanya menduduki bahagian predikat.

Contoh:
1.  Ibu jari kaki kanan kamu bengkak sejak bila? (FN+FA)
2.  Rombongan pelancong yang menaiki bas itu dari mana? (FN+FS)
3.  Doktor muda hospital ini pakar penyakit kulit sejak bila? (FN+FN)
4.  Michael yang terburu-buru berjalan itu hendak ke mana? (FN+FS)
5.  Surat berdaftar yang kamu terima semalam daripada siapa? (FN+FS)
6.  Pelajar itu menghadiri kelas tuisyen di bandar dengan siapa? (FN+FK)
7.  Pameran hasil kraf tangan tradisional dilanjutkan sampai bila? (FN+FK)
8.  Pelajar yang akan memasuki pertandingan pidato peringkat kebangsaan itu di mana? (FN+FS)

Ayat di atas boleh mengalami proses pendepanan predikat dengan meletakkan bahagian predikat ayat di hadapan ayat serta menggunakan partikel –kah.

Contoh:
1.  Sejak bilakah ibu jari kaki kanan kamu bengkak? (FN+FA)
2.  Sejak bilakah doktor muda hospital ini pakar penyakit kulit? (FN+FN)
3.  Dari manakah rombongan pelancong yang menaiki bas itu? (FN+FS)
4.  Hendak ke manakah Michael yang terburu-buru berjalan itu? (FN+FS)
5.  Daripada siapakah surat berdaftar yang kamu terima semalam? (FN+FS)
6.  Dengan siapakah pelajar itu menghadiri kelas tuisyen di bandar? (FN+FK)
7.  Sampai bilakah pameran hasil kraf tangan tradisional dilanjutkan? (FN+FK)
8.  Di manakah pelajar yang akan memasuki pertandingan pidato peringkat kebangsaan itu? (FN+FS)

1.     Ayat tanya jawapan terbuka dan jawapan tertutup
               (i)     Ayat tanya jawapan terbuka
             (ii)     ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada jawapan yaatau tidak atau bukan, tetapi lebih luas bergantung pada maksud yang terkandung dalam ayat tanya tersebut 

Contoh:
1.     Apakah binatang yang sangat cerdik mengikut cerita dongeng tradisional? (FN+FN)
Binatang yang sangat cerdik mengikut cerita dongeng tradisional ialah kancil.

2.     Siapakah pelukis gambar pemandangan di tepi pantai yang cantik ini? (FN+FN)
Pelukis gambar pemandangan di tepi pantai yang cantik ini ialah Encik Osman dari Pekan, Pahang.

3.     Dari manakah mereka datang untuk menjual mutiara di sini? (FN+FS)
Mereka datang dari Sabah untuk menjual mutiara di sini.

4.     Kenapakah pasukan bola sepak negara kita ke Singapura pada minggu lalu? (FN+FS)
Pasukan bola sepak negara kita ke Singapura pada minggu lalu untuk perlawanan dengan negara tersebut.

Ayat Perintah
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan sama ada suruhan, larangan, ajakan atau menyampaikan permintaan. Ayat perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamudan engkau. Ayat perintah terbahagi kepada empat jenis:
(a) Ayat suruhan
(b) Ayat larangan
(c) Ayat silaan
(d) Ayat permintaan


(a) Ayat suruhan
Ayat suruhan bertujuan memberikan perintah atau arahan. Subjek ialah kata ganti nama diri orang kedua [awak, engkau dan kamu ]
Contoh:
1.  Engkau pergi dari kawasan perumahan ini segera. (FN+FK)
2.  Keluar dari bilik ini sekrang jika mahu selamat. (FN+FK)
3.  Awak tunggu dia di sini hingga dia datang. (FN+FK)
4.  Buat karangan itu dengan cermat hingga selesai. (FN+FK)
5.  Baca surat yang baru kamu dapat itu dengan telitinya. (FN+FK)
6.  Isi borang permohonan yang kamu dapat itu betul-betul. (FN+FK)
7.  “Kamu siapkan kerja itu sekarang juga,” kata guru kepada muridnya. (FN+FK)
8.  “Tuan pergi terus ke bangunan itu dan belok ke kiri.” kata anggota polis kepada pelancong tersebut. (FN+FK)

PERINGATAN
Kata ganti nama diri orang kedua yang berfungsi sebagai subjek digugurkan. Sekiranya hendak diberi penegasan kepada orang yang disuruh, subjek kata ganti nama diri orang kedua boleh juga digunakan.Partikel –lah boleh digunakan untuk melembutkan arahan dan kehadirannya mesti di hadapan ayat:

Salah
Betul
1. Keluar dari bilik ini sekaranglah.
Keluarlah dari bilik ini sekarang.
2. Engkau pergi dari sini segeralah.
Engkau pergilah dari sini segera.
3. “Kamu siapkan kerja itu sekarang jugalah,” kata guru kepada muridnya.
“Kamu siapkanlah kerja itu sekarang juga,” kata guru kepada muridnya.
4. Awak tunggu dia di sini hingga dia datanglah.
Awak tunggulah dia di sini hingga dia datang.


(b) Ayat larangan
Ayat larangan bertujuan menghentikan sesuatu perbuatan atau melarang seseorang melakukan sesuatu. Ayat larangan menggunakan kata larangan seperti jangan dan usah.

Contoh:
1.  Jangan buang sampah merata-rata di tempat ini.
2.  Usah dikenang perkara yang lalu, nanti rosak jiwa.
3.  Engkau jangan mengambil barang orang tanpa kebenaran.
4.  “Jangan berjaja di kawasan ini,” kata pengawal di sekolah itu.
5.  “Kamu jangan merokok lagi,” kata guru disiplin kepada murid itu.
6.  “Usah kau dengar kata kawan kamu itu,” nasihat Pak Haris kepada anaknya.
7.  “Jangan beritahu sesiapa tentang perkara itu,” pesan Azman kepada adiknya.
8.  “Jangan dimakan makanan yang basi, nanti sakit perut,” kata ibu Hajar kepada anak bongsunya.

Contoh:
1.  Janganlah buang sampah di tempat ini.
2.  Usahlah dikenang perkara yang lalu, nanti rosak jiwa.
3.  Engkau janganlah mengambil barang orang tanpa kebenaran.
4.  “Janganlah berjaja di kawasan ini,” kata pengawal di sekolah itu.
5.  “Kamu janganlah merokok lagi,” kata guru disiplin kepada murid itu.
6.  “Usahlah kau dengar kata kawan kamu itu,” nasihat Pak Haris kepada anaknya.
7.  “Janganlah beritahu sesiapa tentang perkara itu,” pesan Azman kepada adiknya.
8.  Janganlah dimakan makanan yang basi, nanti sakit perut,” kata ibu Hajar kepada anak bongsunya.

PERINGATAN
Seperti ayat suruhan, subjek ayat larangan juga boleh digugurkan.
Contoh:
1. Awak janganlah merokok lagi.
Janganlah merokok lagi.

2. Engkau janganlah ponteng sekolah lagi.
Janganlah ponteng sekolah lagi.

3. Usahlah kau dengar kat kawan kamu itu.
    Usahlah dengar kata kawan kamu itu.
Terdapat juga ayat larangan yang bersifat umum yang tidak menggunakan partikel pelembut –lah.

Salah
Betul
1. Dilaranglah keluar melalui pintu ini.
Dilarang keluar melalui pintu ini.
2. Ditegahlah meludah di sini.
Ditegah meludah di sini.
3. Dilaranglah membuang sampah di sini.
Dilarang membuang sampah di sini.



PERINGATAN
Ayat larangan dapat dilembutkan dengan menggunakan perkataan harappada bahagian hadapannya.
Contoh:
1.  Harap jangan berkecil hati.
2.  Harap jangan kotorkan tempat ini.
3.  Harap jangan bunyikan radio kuat-kuat.
4.  Harap jangan berkumpul di kawasan ini.
5.  Harap jangan salah faham tentang perkara itu.

PERINGATAN
Dalam ayat larangan yang menggunakan kata kerja tak transitif, awalanme- dan ber- tidak boleh digugurkan.
Salah
Betul
Jangan ludah
Jangan meludah
Jangan lompat
Jangan melompat
Jangan rokok
Jangan merokok
Jangan membuat bising
Jangan berbuat bising

(c) Ayat silaan
Ayat silaan bertujuan menjemput atau mempersilakan seseorang atau menyilakan seseorang untuk melakukan sesuatu. Ayat silaan menggunakan kata silaan seperti sila dan jemput.

Contoh:
1.  Sila datang lagi ke kedai kami pada bila-bila masa. (FN+FK)
2.  Jemput naik ke pentas untuk menerima hadiah. (FN+FK)
3.  Jemput makan juadah yang sedia terhidang di atas meja itu. (FN+FK)
4.  “Sila masuk ke dewan perhimpunan sekarang juga,” kata juruacara majlis (FN+FK)
NOTA: Partikel –lah boleh digunakan bagi maksud melembutkan jemputan.

Contoh:
1.  Silalah datang lagi ke kedai kami pada bila-bila masa.
2.  Jemputlah naik ke pentas untuk menerima hadiah.
3.  Jemputlah makan juadah yang sedia terhidang di tas meja itu.


(d) Ayat permintaan
Ayat permintaan bertujuan memohon atau meminta sesuatu. Ayat permintaan menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong.
Contoh:
1.  Minta jelaskan sewa rumah untuk bulan lepas.
2.  Tolong berikan perhatian semasa guru kamu mengajar.
3.  “Tolong serahkan laporan ini kepada ketua jabatan, Ali,” kata pegawai itu.
4.  Minta tuan puan berada di lapangan terbang semasa ketibaan Duli Yang Maha Mulia Sultan.
PERINGATAN
Kata silaan tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata larangan kerana ayat silaan dan ayat permintaan membawa makna yang positif tetapi ayat larangan membawa makna yang negatif.

Salah
Betul
Minta usah dikenang perkara yang lalu.
Usah dikenang perkara yang lalu.
Sila jangan buang sampah di tempat ini.
Jangan buang sampah di tempat ini.
Tolong jangan dimakan makanan yang basi.
Jangan dimakan makanan yang basi.
Tolong jangan berjaja di sini.
Jangan berjaja di sini.

Bagi ayat larangan aktif, awalan “me-” boleh dikekalkan atau digugurkan.

Contoh:
Jangan buang sampah di merata-rata tempat.
Jangan membuang sampah di merata-rata tempat.
“membuang” ialah kata kerja transitif.

Ayat Seruan
Ayat seruan bertujuan melahirkan perasaan seperti terkejut, hairan, geram, seronok, sakit dan sebagainya. Tanda seru (!) digunakan di akhir ayat. Ayat seruan menggunakan kata seru seperti wah, oh, amboi, wahai, cis, aduh, eh dan syabas di permulaan ayat.

Contoh dalam ayat:
1.  Wah, besar sungguh Masjid Jamek baharu ini! (FN+FA)
2.  Cis, habis tanaman ubi kayuku dimusnahkannya! (FN+FK)
3.  Amboi, ke panggung wayung pula budak-budak ini! (FN+FS)
4.  Aduh, sakitnya perut aku kerana makan buah tadi! (FN+FS)
5.  Eh, di sini rupanya kamu! (FN+FK)
6.  Oh, abang kamu yang berjaya mendaki Gunung Everest itu! (FN+FN)
7.  Wahai anakku, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin sementara kamu masih muda! (FN+FK)
8.  Syabas, andalah orang yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia! (FN+FN)


PERINGATAN
Dalam ayat seruan, tanda seru hadir di hujung ayat. Lazimnya, tanda koma (,) diletakkan selepas kata seru. Contoh:

Salah
Betul
Wah! Besar sungguh masjid ini.
Wah, besar sungguh masjid ini!
Cis! Habis tanaman aku dimusnahkannya.
Cis, habis tanaman aku dimusnahkannya!
Amboi! Melampau kamu diberi betis hendak paha.
Amboi, melampau kamu diberi betis hendak paha!
Eh! Begitu fasih pelajar asing itu berbahasa Melayu.
Eh, begitu fasih pelajar asing itu berbahasa Melayu!

Sumber daripada Dr. Tan CL.

2 ulasan:

千面娇娃 berkata...

Cikgu, adakah anda seorang penyemak kertas bm spm?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Tiada komen. Minta maaf. Cukup saya katakan bahawa apa yang saya buat adalah untuk membantu pelajar saya menghadapi peperiksaan SPM.