Isnin, 17 September 2018

CADANGAN JAWAPAN SOALAN 2 (C) SOALAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI JOHOR ( TANGKAK)


Soalan 2(c) : Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

       Maka Temenggung pun menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.

      Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.

     Setelah hari pun siang maka orang kaya-kaya itu pun datang menghadap raja mengadukan halnya kecurian semalam itu. Maka baginda pun hairan serta bertitah pada Temenggung, “Hai Temenggung, tiadalah menyuruhkan orangnya berkawal tadi?”

      Maka sembah Temenggung, “Daulat tuanku Syah Alam, patik menyuruh orang berkawal semalam tadi, seorang pun tak bertemu. Patik hamba itu pun hairanlah akan penjurit itu?”

     Maka baginda pun marah sedikit akan Temengggung. Maka baginda pun menyuruh memanggil laksamana, Laksamana pun segera datang lalu duduk menyembah.

    Maka titah baginda, “Hai kekasihku Laksamana datanglah bala ke atas negeriku dan
banyaklah orang aku kecurian; masing-masing mengadukan halnya pada kita.”

(Dipetik daripada prosa “Kepimpinan Melalui Teladan”
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka).

i)   Berikan maksud rangkai kata berkisah orang kaya-kaya.                                                  [2 markah]
     Cadangan jawapan:-
     Rangkai kata berkisah orang kaya-kaya memberitahu/menyampaikan/mengkhabarkan kepada para pembesar.

ii)  Berdasarkan petikan di atas apakah yang berlaku di negeri Tuanku Syah Alam?             [3 markah]
     Cadangan jawapan:-
     Peristiwa yang berlaku di negeri Tuanku Syah Alam:
         i.   orang-orang kaya dan saudagar berkawal.
       ii.   Temenggung menyuruh orang-orangnya berkawal.
     iii.   orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya.
     iv.   saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya
       v.   Kertala masuk ke kampung/ negeri.
     vi.   Bini orang kaya-kaya dicabuli Kertala Sari.
    vii.   orang kaya-kaya datang menghadap raja mengadukan halnya

iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah kecurian di tempat tinggal anda daripada berleluasa ?                                                       [3 markah]
     Cadangan jawapan:-
      i.      mengadakan amalan rukun tetangga dengan membuat rondaan di kampung atau di taman  
         perumahan.
    ii.      memasang alat penggera untuk mengelakkan kecurian.
  iii.      menutup dan mengunci rumah ketika berada di luar rumah.
  iv.       memaklumkan kepada pihak polis sekiranya meninggal rumah dalam jangka masa yang 
         lama/Panjang.
    v.       memaklumkan kepada jiran tetangga apabila meninggalkan rumah.