Jumaat, 5 Oktober 2018

KENALI AYAT MAJMUK GABUNGAN, AYAT MAJMUK PANCANGAN DAN AYAT MAJMUK CAMPURAN DENGAN LEBIH DEKAT


AYAT yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal yang dicantumkan ini disebut ayat majmuk. Ayat majmuk ialah ayat yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal. Ayat majmuk terbahagi kepada:-
i)    Ayat Majmuk Gabungan,
ii)   Ayat Majmuk Pancangan dan
iii)  Ayat Majmuk Campuran.

Ayat Majmuk Gabungan terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, tetapi, atau, sambil, dan sebagainya.
Contoh: Murid itu bernyanyi sambil menari.
Ayat I: Murid itu bernyanyi.
Ayat II: Murid itu menari.
Kata Hubung Gabungan: sambil

Ayat Majmuk Pancangan Relatif menggunakan kata hubung yang.
Contoh: Kereta yang berwarna merah itu kereta Puan Devi.
Ayat Induk: Kereta itu kereta Puan Devi.
Ayat Kecil: Kereta itu berwarna merah.
Kata Hubung Relatif: yang

Ayat Majmuk Pancangan Komplemen mempunyai bahagian komplemen yang menggunakan kata hubung bahawa dan untuk. Bahagian komplemen berfungsi sebagai unsur yang melengkapkan ayat tersebut.
Contoh: Mahat menyatakan bahawa dia akan pulang esok.
Ayat Induk: Mahat menyatakan (sesuatu) - (sesuatu) = Dia akan pulang esok.
Ayat Komplemen: Dia akan pulang esok.
Kata Hubung Komplemen: bahawa

Ayat Majmuk Pancangan Keterangan mempunyai ayat keterangan atau klausa keterangan di dalamnya. Ayat seperti ini disambungkan dengan menggunakan kata hubung ketika, kerana, jika, dengan, dan sebagainya.
Contoh: Dia selalu mendapat nombor satu kerana rajin belajar.
Ayat Induk: Dia selalu mendapat nombor satu.
Ayat Keterangan: (Dia) rajin belajar.
Kata Hubung Keterangan: kerana

Ayat Majmuk Campuran mempunyai  lebih  daripada  satu jenis ayat yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan beberapa ayat majmuk yang menggunakan kata hubung dan, yang, bahawa, dan kerana. Contoh:    
1. Encik Wong ialah guru Sains dan Sejarah yang berpengalaman luas.
2. Wuang Xing dan Ahmad menyatakan bahawa buku latihan mereka telah hilang petang semalam.
3. Ganesan dan Swee Fong sangat bijak kerana mereka lulus dengan cemerlang.
Ayat Majmuk Campuran I:
a. Azrul dan Swee Lan membaca karangan yang ditulis oleh Mutu.
Ayat Majmuk Gabungan:
b. Azrul dan Swee Lan membaca karangan.
Ayat I: Azrul membaca karangan.
Ayat II: Swee Lan membaca karangan.
Kata Hubung Gabungan: dan

Ayat Majmuk Pancangan Relatif:
a. Azrul dan Swee Lan membaca karangan yang ditulis oleh Mutu.
Ayat Induk: Azrul dan Swee Lan membaca karangan.
Ayat Kecil: Karangan itu ditulis oleh Mutu.
Kata Hubung Relatif: yang

Ayat Majmuk Campuran II:
a. Susan sangat pandai kerana sering membaca dan sentiasa mengulang kaji pelajaran.
  Ayat Majmuk Pancangan Keterangan:
b.Susan sangat pandai kerana sering membaca.
Ayat Induk: Susan sangat pandai.
Ayat Keterangan: (Susan) sering membaca.
Kata Hubung Keterangan: kerana

Ayat Majmuk Gabungan:
a. Susan sangat pandai kerana sering membaca dan mengulang kaji pelajaran.
Ayat I:  Susan sangat pandai kerana sering membaca.
Ayat II: Susan sangat pandai kerana sering mengulang kaji pelajaran.
Kata Hubung Gabungan: dan

Sebagai kesimpulan, pengguna bahasa Melayu perlu menguasai binaan ayat majmuk yang baku dan bermutu kerana kita sering menggunakan ayat majmuk dalam genre penulisan, sama ada dalam penulisan ayat, skrip ucapan, minit mesyuarat, laporan, dan wacana penulisan rasmi yang lain dalam kehidupan kita sehari-hari.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/oh-bahasaku/ayat-majmuk-dalam-bahasa-melayu-1.719934