BERJIMAT CERMAT AMALAN
MULIA
Ulaskan pernyataan
tersebut
Setelah
menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas
daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa
ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun
kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap,
negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit.
Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat,
tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan
dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang
disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh
dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk
merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak
dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Persoalannya, mengapakan
Berjimat Cermat Amalan Mulia?
Setiap
penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian
yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif
dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke
seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di
tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan membazir dan
tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen
tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai
murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan
yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut
kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan
usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja
dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa
Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa
binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan
pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi,
menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan
kempen tersebut. Jikalau usaha seperti ini tidak dilakukan sudah pasti
masyarakat akan menghadapi masalah kewangan terutama untuk mengharungi keadaan
inflasi serta peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa
penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai
yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
“Jika
satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang
kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun
begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian
itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang
telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan
bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di
pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang
masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna.
Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala
permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan
keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang
melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan
yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan
tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak
bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan
ukhuwahibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita
juga berpegang pada falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur
sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang
berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak
pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh
psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh
diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata
ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di
bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj
yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas
terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa
memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga
haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara
mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan
para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan
juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka
untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang
secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan
peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang
lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan
sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh
itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang
masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan
semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh
kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas
kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan
prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang
kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia
masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan
bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan
pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah
menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan
hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media
massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka
daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila
berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak
berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan.
Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para
pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara
total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan
di negara ini.
Setelah
meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh,
segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk
mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya. Sebagai manusia
yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit menunggu
kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh
itu,semua anggota komuniti haruslah mendukung semangat habis kapak
berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu,
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun
Mahathir bin Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin
Pelajar digalakkan mengubah suai karangan di atas dengan mengaplikasi Kaedah Pengembangan Idea Karangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan