Selasa, 2 Oktober 2018

SOALAN BAHAGIAN KARANGAN JENIS DIMENSI PEPERIKSAAN PERCUBAAN MRSM

         Insya-Allah, jika ada kelapangan masa saya akan berbicara berkaitan karangan dimensi diri dan karangan dimensi masyarakat iatu soalan 1 dan 2. Jika tak silap saya, soalan 2, dimensi diri sudah saya bicarakan sebelum ini. Cuma karangan dimensi diri (1) merupakan karangan berformat syarahan. Doakan saya mampu menghasilkan contoh cadangan jawapan.

Cadangan jawapan soalan dimensi diri soalan 1:-

                 Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, yang berbahagia Tuan Pendidikan Daerah Perak Tengah, Tuan Pengetua SMK Seri Londang, para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati. Selamat pagi dan salam 1 Malaysia. Pada pagi yang cukup cerah ini, saya, akan menyampaikan syarahan saya bertajuk “Faedah-faedah Melabur dalam Saham Amanah.

Hadirin yang dihormati,

             Sebelum saya meneruskan syarahan saya, izinkan saya mendefinisikan maksud melabur. Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, melabur bermaksud membeli saham (syer dan sebagainya) dalam sesuatu badan perniagaan untuk tujuan mendapat keuntungan atau menanam modal. Oleh sebab itu, melabur, mereka yang terlibat dengan aktiviti pelaburan dapat menabung wang sebagai simpanan dan pada masa yang sama mereka akan menerima keuntungan aktiviti pelaburan yang dijalankan. Slogan “ Menabunglah untuk masa depan anda” amat bertepatan dengan amalan melabur tetapi pelaburan yang selamat seperti pelaburan Amanah  kerana pelaburan seperti  dijamin oleh kerajaan berbanding melabur secara terbuka. Amalan melabur di pelaburan amanah lebih baik berbanding melabur di pasaran terbuka kerana pengguna yang melabur di pasaran terbuka seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) berisiko mengalami kerugian sekiranya mereka tidak arif soal pelaburan.  Hal ini kerana pengguna yang melabur di pasaran terbuka ditentukan oleh turun naiknya pasar saham dunia dan negara serta unit pelaburan yang kita laburkan di kaunter dan syarikat pelaburan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pada masa yang sama suasana politik, isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara banyak mempengaruhi saham pelaburan.. Silap langkah dan silap hari bulan, pelabur mungkin akan menghadapi kerugian. Persoalannya, apakah faedah-faedah  melabur dalam dalam saham amanah sebelum umur kita meningkat tua?

Hadirin yang dihormati.

                  Antara kepentingan melabur ialah pelabur dapat menyimpan wang untuk kegunaan pada masa tua kerana peribahasa Melayu ada mengatakan sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Seyogia, apabila umur kita semakin  meningkat, kemampuan untuk kita bekerja semakin berkurang. Tambahan pula orang di sekeling kita belum tentu dapat menyara kehidupan kita ketika umur kita tua kerana beringat sebelum kena dan berjimat sebelum habis. Oleh sebab itu, kita perlu melabur dan menabung daripada sekarang sebelum umur kita meningkat tua kerana malang tidak berbau. Kedatipun, kita mempunyai anak dan keluarga, situasi marcapada seperti keadaan sosial masyarakat modenisasi banyak memberi impak kepada warga tua. Anak buang ayah dan ibu , anak dera ayah dan ibu kerap terpapar di muka hadapan media masa. Apatah lagi sekiranya ditakdirkan semasa tua kita mengalami masalah kesihatan seperti masalah buah pinggang, kanser, menghadapi masalah jantung, menghadap masalah paru-paru dan pelbagai lagi penyakit kronik bukahkah wang simpanan kita akan memastikan kehidupan tua kita bahagia dan kita tidak perlu membebankan kehidupan. Tambahan pula, anak-anak yang semakin membesar memerlukan biaya yang semakin meningkat ditambah pula kos sara hidup keluarga semakin amat membebankan pihak ibu bapa. Perlu diingat, anak-anak yang membesarkan memerlukan ibu bapa mempunyai simpanan wang terutama apabila ada kalangan anak-anak yang memerlukan wang untuk meneruskan pengajian mereka ke menara gading atau ke asrama penuh, ibu bapa perlu mempunyai wang. Sekiranya ibu bapa alpa dan tiada duit simpanan di mana sumber wang dicari untuk menampung kos perbelanjaan untuk anak-anak kerana kawan ketika kita gembira senang dicari tetapi kawan ketika kita menangis tiada siapa yang peduli.

Hadirin yang dihormati,

                 Seterusnya, pelaburan juga boleh memberi keuntungan tambahan selain daripada pelabur  melaburkan atau menyimpan wang mereka ke dalam unit pelaburan. Seyogia pelabur perlu faham melabur di unit Amanah, pelaburan wang mereka dijamin oleh kerajaan tetapi tempoh masa yang diambil untuk mendapat keuntungah daripada wang yang dilaburkan memakan masa  yang panjang. Berbanding pelaburan secara terbuka contoh di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), pelabur mungkin akan mendapat keuntungan dengan cepat sama ada sehari, seminggu, sebulan atau berbulan-bulan kerana keuntungan pelabur diperoleh berdasarkan keuntungan atau kerugian saham semasa. Namun begitu, pelabur saham secara terbuka mendedahkan pelabur kepada keuntungan dan kerugian kaunter saham yang dipegang oleh mereka. Sebagai contoh, sekiranya pelabur membeli saham syarikat Thheay dan didapati bahawa saham berkenaan merunduh nilai asetnya di pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur maka pelabur akan mengalami kerugian dan wang peaburannya akan merosot.  Sebaliknya melabur di saham amanah, wang pelaburan mereka diberikan amanah kepada mereka yang arif  dan profesional berkaitan pelaburan kerana hanya mutu mengenal manikam. Dalam erti kata yang lain, pelaburan dalam unit saham amanah mempunyai kelebihan tambahan berbanding pelabur menjalankan pelaburan  di pasaran terbuka kerana wang pelaburan yang mereka laburkan dikendalikan oleh golongan profesional yang sentiasa membuat penyelidikan suasana pasaran saham dan pelaburan mereka dijamin pula oleh kerajaan. Oleh sebab itu, pelabur tidak perlu risau wang pelaburan yang mereka laburkan kerana mereka akan menerima keuntungan berbentuk dividen hasil keuntungan pelaburan mereka pada setiap tahun dan boleh tidur lena dengan pelaburan mereka. Tegasnya, pelaburan juga boleh memberi keuntungan tambahan selain daripada pelabur  melaburkan atau menyimpan wang mereka ke dalam unit pelaburan

                 Selain itu, pelabur dalam unit saham amanah juga memberikan peluang kepada pelabur runcit atau perseorangan yang mempunyai modal kecil untuk turut terlibat melabur dalam sektor atau kelas aset yang memerlukan modal yang besar. Sebagai contoh, jika anda hanya mempunyai RM100 , adalah mustahil utuk anda melabur dalam operasi saham-saham yang harganya melebihi RM1.0000.000 bagi setiap unit kerana ukur baju di badan sendiri sebelum melabur. Oleh sebab itu, peraturan pembelian saham bagi pelabur runcit adalah minimum pembelian dan pelabur hanya mampu untuk membeli saham yang kecil sahaja berbanding dengan saham amanah yang membolehkan pelabur terlibat sama melabur dalam skala pelaburan yang besar dengan asetnya bernilai juta atau bilion ringgit. Seyogia, pelabur yang membeli unit saham amanah boleh melabur dalam syarikat gergasi kerana wang pelaburan mereka akan digunakan bersama-sama wang pelaburan sama ada orang perseorangan atau syarikat besar yang melabur dalam unit amanah seperti syarikat-syarikat yang dipilih dari pelbagai sektor seperti sektor telekomukasi, syarikat minyak dan gas, syarikat perladangan , syarikat pengeluar barangan pengguna, syarikat teknologi maklumat dan pelabagai lagi. Sekiranya, pengguna melaburkan wang pelaburan mereka dalam unit pelaburan saham amanah mereka mampu melabur dengan syarikat gergasi negara yang selalunya mendapat keuntungan daripada aktivtiti syarikat mereka.Sebaliknya pelabur yang melabur di pasaran terbuka hanya mampu melabur unit saham berskala kecil dan sukar untuk mendapatkan keuntungan daripada operasinya di pasaran seperti Bursa Kuala Lumpur. Sudah terang lagi bersuluh pelabur dalam unit saham amanah juga memberikan peluang kepada pelabur runcit atau orang perseorangan bermodal kecil untuk melabur dalam sektor atau kelas aset yang memerlukan modal yang besar.

Hadirin sekalian,

                  Selanjutnya, pelaburan sama ada di unit amanah mahupun pelaburan secara terbuka menggalakkan masyarakat membudayakan amalan menabung dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana masyarakat yang menabung bermula pada peringkat umur muda amat digalakkan kerana secara langsung amalan menabung dan melabur akan mengelakkan mereka daripada membazir kerana membazir amalan syaitan. Sebagaimana kita sedia maklum dunia pascaglobalisasi dan pasca modenisasi menyebabkan masyarakat perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai ranjau dan duri dalam kehidupan mereka. Kos sara hidup semakin meningkat setiap saat dan minit, kadar inflasi negara semakin parah iaitu kadar kemampuan pengguna untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan semakin sukar apabila nilai wang ringgit semakin mengecil menyebabkan masyarakat memerlukan wang yang lebih banyak berbanding kehidupan mereka 20 tahun dahulu untuk meneruskan kehidupan semasa agar kehidupan mereka lebih sempurna. Seyogia, masyarakat memerlukan wang pada saat tertentu untuk memastikan setiap mereka mampu untuk meleraikan sebarang masalah yang menghimpit kehidupan semasa. Contohnya, harga barangan sentisa meningkat, kos untuk mendapatkan rawatan doktor semain tinggi, kos membayar api dan elektrik semakin naik, kos minyak semakin hari semakin meningkat dan pelbagai lagi masalah yang menghimpit masyarakat  dan semua masalah berkenaan akan dapat diselesaikan sekiranya masyarakat mempunyai wang. Oleh sebab itu, apabila masyarakat mempunyai wang dalam bentuk simpanan dan pelaburan, mereka akan mudah untuk melayari kehidupan dengan lebih baik, berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai simpanan. Sekianya masyarakat membudayakan amalan menabung mereka sudah pasti yang disimpan dalam bentuk simpanan dan pelaburan mampu menjamin kehidupan masyarakat lebih sempurna pada masa mendatang kerana malang tidak berbau dan langit tidak semestinya sentiasa cerah. Sudah terang lagi pelaburan sama ada di unit amanah mahupun pelaburan secara terbuka menggalakkan masyarakat membudayakan amalan menabung dalam kehidupan mereka.

                  Sebagai pengakhiran syarahan saya ini, saya akan menumpukan perhatian kepada tajuk melabur mampu mengurangkan inflasi dan memajukan ekonomi negara. Hal kerana kenaikan dan penurunan harga barangan bergantung kepada penawaran dan permintaan barangan yang ditawarkan oleh penjual. Seyogia, masyarakat sebagai pengguna merupakan faktor penentu harga barangan kerana harga sesuatu barangan ditentukan oleh keluk penawaran individu. Berdasarkan keluk penawaran kita boleh membayangkan iaitu semakin banyak barangan berkenaan dibeli oleh pengguna secara langsung akan menyebabkan harga barangan berkenaan akan meningkat tanpa kawalan. Oleh sebab itu, pengguna atau pembeli merupakan raja yang akan menentukan kenaikan atau penurunan barangan. Sekiranya seorang penguna dapat mengawal pembelian sesuatu barangan maka secara automatik harga barangan akan menurun dan sebaliknya jika pengguna membeli barangan dengan banyak maka harga barangan akan meningkat, justeru dengan budaya menabung dan melaburkan wang di pasaran amanah akan mampu mengawal harga barangan dan mengurangkan inflasi negara. Bahkan, dengan menabung dan melaburkan wang ke dalam saham amanah, pelabur dapat membantu untuk meningkatkan ekonomi negara. Wang pelaburan yang dilaburkan akan digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kemajuan sektor perniagaan, sektor perladangan, sektor komunikasi, sektor pelancongan dan pelbagai lagi. Hal ini kerana kerajaan sesebuah negara akan maju apabila wang pelaburan berkenaan dapat digunakan untuk memajukan negara selain sistem cukai yang dikenakan kepada sektor perbankan. Setiap sen wang pelabur dapat membantu untuk membangun sebagai negara maju selaras dengan harapan negara untuk mencapai negara maju pada tahun 2020. Dalam masa yang sama pelabur akan menerima keuntungan hasil daripada pelaburan yang dibuat dalam bentuk dividen pada setiap tahun dan situasi ini berkait dengan peribahasa Melayu,  sambil menyelam minum air. Sekiranya  masyarakat  membudayakan amalan menabung sambil melabur sudah pasti bukan sahaja mereka menerima keuntungan tetapi budaya berkenaan akan dapat memajukan negara. Tegasnya, terbukti amalan menabung sambil melabur mampu mengurangkan inflasi dan memajukan ekonomi ekonomi negara tercinta.

Hadirin sekalian.

Berdasarkan hujah-hujah saya di atas jelaslah kemaslahatan yang akan kita terima sekiranya amalan menabung di unit amanah  dapat dibudayakan  daripada awal kehidupan. Antara kemashalatannya ialah kita akan hidup bahagia semasa umur kita tua, kita akan dapat menyediakan payung sebelum hujan apabila kita dilanda bencana dan musibah, kita akan mendapat keuntungan dari wang yang kita tabung dan laburkan, kita juga akan dapat mengawal harga barangan dan inflasi dan secara tidak langsung dengan manabung dan melabur kita akan dapat memajukan negara tecinta.

Insya-Allah karangan di atas akan diedit dari masa ke masa. Selamat mengarang.




Tiada ulasan: