Ahad, 14 Oktober 2018

JERAYAWARA MENGULAS JAWAPAN SOALAN 1 (RUMUSAN) PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI DITERUSKAN UNTUK NEGERI PAHANG



     Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menghargai kepelbagaian budaya dan kepentingannya terhadap negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
         Biar mati anak, jangan mati adat merupakan peribahasa Melayu yang menunjukkan betapa adat resam dan amalan tradisi sangat dititikberatkan dalam masyarakat. Adat resam merupakan sebahagian daripada budaya bangsa atau etnik yang melambangkan identiti komuniti tersebut.(1) Budaya merupakan indikator penting yang mencerminkan jati diri seseorang individu dan mampu dijadikan medium untuk merapatkan hubungan antara rakyat.
       Setiap individu seharusnya peka dengan kewujudan budaya yang pelbagai di Malaysia dan tidak menggunakan alasan perbezaan budaya sebagai punca yang menghalang pergaulan antara kaum. Hal ini disebabkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negara ini dituturkan oleh setiap rakyat yang membolehkan komunikasi antara mereka berlaku dengan baiknya. Selain itu, (2) proses akulturasi yang merujuk kepada penyerapan unsur kebudayaan daripada satu budaya kepada budaya yang lain dapat menyemai semangat kekitaan dalam kalangan rakyat.
       (3) Perkongsian amalan tradisi dan adat resam, terutama bagi kaum yang serumpun, dapat mengurangkan jurang perbezaan kaum jika hal ini dihayati. Sebagai contoh, pengantin Melayu dan India mempraktikkan amalan memakai inai di jari dalam majlis perkahwinannya dan mengunyah sirih pada waktu senggang. Kaum Baba Nyonya dan masyarakat Melayu juga mempunyai persamaan budaya yang banyak hasil daripada(4) proses asimilasi dan akulturasi yang seharusnya dihargai serta dijadikan medium yang dapat merapatkan perhubungan antara dua kaum ini.
       Dengan (5) memahami sejarah adat resam dan amalan tradisi yang diamalkan, kita dapat mengetahui asal usul masyarakat yang mempraktikkannya, yang sebenarnya mungkin berasal daripada budaya kaum lain. Sebagai contoh, perkahwinan masyarakat Melayu yang melibatkan hiasan pelamin dan adat bersanding diadaptasi daripada amalan kaum India. (6) Sejarah sesuatu budaya yang dihayati dapat mendekatkan jurang perbezaan antara kaum apabila budaya tersebut merupakan perkongsian antara dua atau lebih kaum yang berbeza.
      (7)Perbezaan budaya dan amalan tidak seharusnya menjadi punca perpisahan kaum, tetapi perlu berfungsi sebagai wadah penyatuan rakyat apabila perbezaan itu dianggap keunikan yang perlu didekati dan dikenali, seperti kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Oleh hal yang demikian, setiap individu perlu membuang rasa prejudis atau persepsi negatif terhadap kaum lain. Syak wasangka yang berlandaskan perkauman boleh mewujudkan diskriminasi kaum yang seterusnya mengundang perbalahan dalam masyarakat dan menghalang integrasi antara kaum. Selain itu, (8) rakyat Malaysia perlu mengelakkan sikap etnosentrik, iaitu kecendurangan untuk menganggap masyarakat dan budaya sendiri lebih unggul daripada yang lain.
Sehubungan dengan itu, (9) rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat yang provokatif dan menyentuh sensitiviti bangsa tertentu sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum. Hal ini penting agar rakyat menghargai kepelbagaian warisan tradisi kaum- kaum di Malaysia.

(Dipetik dan diubah suai daripada
“Menghargai dan Menghormati Kepelbagaian Budaya”,
oleh Nuraziah Mohd Amin,
Dewan Siswa Jun 2016)
Cadangan rumusan:-

Perenggan pengenalan rumusan

Petikan membincangkan cara-cara / kaedah-kaedah / pendekatan-pendekatan/tindakan-tindakan / cadangan-cadangan / modus operandi / strategi / mekanisme  menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia / negara kita.

Atau

Rumusan membincangkan cara-cara / kaedah-kaedah / pendekatan-pendekatan / tindakan-tindakan / cadangan-cadangan / modus operandi /strategi / mekanisme  menghargai kepelbagaian budaya dan kepentingannya terhadap negara

Isi tersurat ( Langkah-langkah menghargai kepelbagaian budaya)

1.      Budaya merupakan indikator penting yang mencerminkan jati diri seseorang individu dan mampu dijadikan medium untuk merapatkan hubungan antara rakyat.
2.   proses akulturasi yang merujuk kepada penyerapan unsur kebudayaan daripada satu budaya kepada budaya yang lain dapat menyemai semangat kekitaan dalam kalangan rakyat.
3. Perkongsian amalan tradisi dan adat resam, terutama bagi kaum yang serumpun, dapat mengurangkan jurang perbezaan kaum jika hal ini dihayati.
4.  proses asimilasi dan akulturasi yang seharusnya dihargai serta dijadikan medium yang dapat merapatkan perhubungan antara dua kaum ini.
5.     memahami sejarah adat resam dan amalan tradisi yang diamalkan, kita dapat mengetahui asal usul masyarakat yang mempraktikkannya.
6.      Sejarah sesuatu budaya yang dihayati dapat mendekatkan jurang perbezaan antara kaum.
7.   Perbezaan budaya berfungsi sebagai wadah penyatuan rakyat apabila perbezaan itu dianggap keunikan yang perlu didekati dan dikenali.
8.   rakyat Malaysia perlu mengelakkan sikap etnosentrik, iaitu kecendurangan untuk menganggap masyarakat dan budaya sendiri lebih unggul daripada yang lain.
9.       rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat yang provokatif dan menyentuh sensitiviti bangsa tertentu sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum

Isi tersirat ( kepentingannya terhadap negara)

1.       menyatukan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.
2.       memastikan masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
3.       negara akan maju pada masa akan datang.
4.       sosiopolitik negara akan mantap dan mampan.
5.       masyarakat Malaysia akan meninkmati kesejahteraan negara.
6.       masyarakat Malaysia mampu menentang usaha musuh negara.

Penutup rumusan:-
Kesimpulannya,  masyarakat Malaysia perlu berusaha untuk menghargai kepelbagaian budaya kaum di Malaysia agar / supaya kehidupan masyarakat Malaysia kekal harmoni.

Disediakan oleh Cikgu Mohd Ramsul b. Abd Rahiman. Sesungguhnya skema jawapan Negeri
Pahang labih tepat dan cadangan di atas hanya sekadar perkongsian ilmu daripada saya
 untuk membantu pelajar mendapat jawapan soalan-soalan berkenaan. Harap maklum. 
 

Tiada ulasan: