Ahad, 14 Oktober 2018

SOALAN BAHAGIAN A, KARANGAN BERPANDU PEPERIKSAAN PERCUBAAN NEGERI TERENGGANU

SEPATUTNYA, PADA HARI ISNIN (ESOK), 15 OKTOBER, PELAJAR PERLU MENGHANTAR
KARANGAN INI UNTUK SAYA SEMAK.
LATIHAN KERJA RUMAH KELAS 5 ELIT. CONTOH KARANGAN:-

Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, Mantan Ketua Pengarah Institut Perhutanan Malaysia (FRIM) semasa ditemurah oleh salah seorang pemberita Akhbar Metro berkata bahawa hutan merupakan rumah kedua baginya. Begitu juga pemimpin tersohor India Mahatma Ghandi pernah berkata dunia ini mencukupi untuk keperluan semua tetapi tidak bagi mereka yang tamak.” Kedua-dua kenyataan pemimpin di atas ini amat berkait dengan hutan yang amat bermakna kepada manusia.  Sebagaimana kita sedia maklum,hutan merupakan salah satu sumber alam yang sangat bernilai dan memberi pelbagai manfaat dan pulangan kepada manusia. Aktiviti pembangunan yang begitu pesat menyebabkan kawasan hutan semakin berkurangan dari semasa ke semasa. Antara aktiviti yang boleh memberikan impak kepada kesejahteraan biodeversiti adalah seperti pembinaan kawasan perumahan, pembinaan kawasan perindustrian, pembinaan kawasan pertanian dan  sebagainya. Kesemua aktiviti tersebut perlu dijalankan secara prihatin diikuti dengan kawanan dan penguatkuasaan undang-undan oleh Jabatan Hutan agar kawasan hutan tidak di teroka dengan begitu rakus dan sewenang-wenangya oleh pihak tidak bertanggungjawab. Di samping itu, terdapat juga aktiviti pembalakkan haram di jalankan di kawasan hutan simpan mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit dan khazanah hutan berumur berjuta-juta tahun musnah begitu saja akibat tangan-tangan yang rakus yang tidak mengenal hati budi dan natijah yang diterima oleh orang lain. Aktiviti ini mereka jalankan lebih berfokus untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda tanpa memikirkan kepentingan hutan kepada manusia sejagat ibarat perbuatan mereka bagi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Menurut satu kajian hutan di dunia pada suatu ketika dahulu meliputi 60% daripada kawasan dataran bumi tetapi kini hanya tinggal sesetengah sahaja. Sudah pasti hasil kajian ini menakutkan kita. Persoalannya, apakah kesan-kesan penerokaan hutan tidak terkawal kepada manusia sejagat?

        Sebagai pelajar berminda kelas pertama, izinkan saya membicarakan kesan-kesan penerokaan hutan yang tidak terkawal dengan kata kunci mauduk iaitu berlakunya peningkatan suhu bumi yang mengancam manusia sejagat. Terdapat pelbagai kesan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal dalam kehidupan seharian kita. Antara kesan tersebut berlakunya peningkatan suhu bumi. Hal ini terjadi kerana cahaya matahari yang terus-menerus jatuh ke permukaan bumi bumi akan menyebabkan permukaan bumi cepat panas. Bahkan juga, akibat pembalakan tanpa kawalan menyebabkan pokok gagal melakukan proses fotosintisis pada waktu siang dan pernafasan  pada waktu malam dan akan menyebabkan kadar oksigen dalam udara akan berkurang.  Seyogia, masyarakat perlu akur dengan ketiadaan hutan, mereka bakal menerima pelbagai musibah yang tidak terduga sama ada disedari atau tidak. Sebagai contoh, akibat hutan batu mengatasi hutan pokok di kawasan bandar menyebabkan kawasan bandar lebih panas berbanding di petempatan masyarakat di luar bandar. Sekiranya, pihak bertanggungjawab alpa dalam menjalankan tugas mereka mengawal dan menguatkuasakan undang-undang terhadap manusia berhati rakus menjalankan aktiviti pembalakan yang memusnahkan hutan sudah pasti natijahnya akan dirasai oleh generasi yang akan datang kerana akibat nila setitik habis susu sebelanga. Tegasnya, penerokaan hutan yang tidak terkawal dengan kata kunci mauduk iaitu berlakunya peningkatan suhu bumi yang mengancam kesejahteraan manusia sejagat.

        Lensa perbincangan akan saya teruskan dengan kata kunci mauduk selanjutnya iaitu aktiviti pembalakan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kepupusan flora dan fauna. Akibat aktiviti pembalakan flora dan fauna yang terdiri daripada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan binatang yang menjadikan hutan sebagai habitatnya akan terancam dan menghadapi kepupusan. Selain itu, flora dan fauna merupakan salah satu aset terpenting kepada sesebuah negara terutamanya negara yang bergantung harap kepada sektor pelancongan sebagai punca utama kepada pendapatan negara. Bilangannya pelancong asing dan domestik semakin hari semakin berkurangan akibat daripada aktiviti pembalakan yang mampu menjadi daya penarik utama kepada aktiviti pelancongan ke nagara kita. Sekiranya flora dan fauna ini pupus maka tarikan pelancong ke sesuatu tempat tersebut menjadi kurang kerana kehadiran mereka ibarat ada gula adanya semut. Kedatangan pelancong asing ke sesuatu tempat itu secara tidak langsung akan meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat dan hal ini juga boleh menguntungkan negara kerana pengaliran mata wang asing di dalam negara. Kepupusan flora dan fauna juga akan mengakibatkan generasi akan datang tidak mengetahui dan mengenali tentang kewujudan flora dan fauna tersebut. Selain itu,kepupusan flora menyembabkan sumber perubatan tradisional seperti kacip fatimah dan tongkat ali akan musnah akibat daripada aktiviti pembalakan. Bagi orang-orang yang tinggal di dalam kawasan hutan seperti orang asli sumber makanan dan pendapatan mereka turut terjejas akibat kemusnahan hutan yang berleluasa sekarang. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti pembalakan yang tidak terkawal menyebabkan kepupusan flora dan fauna.

       Seterusnya, saya menjurus perbincangan dengan memilih kata kunci mauduk iaitu penerokaan hutan tanpa kawalan akan menyebabkan tanah yang dilindungi terdedah kepada pelbagai bencana alam.Hal ini berpunca daripada hutan tidak lagi dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Apabila hujan lebat melanda sesuatu kawasan, air yang turun tersebut akan terus menghakis permukaan bumi yang gondol lalu membawa hakisan tanah-tanah ini ke dalam sungai. Kejadian ini dapat kita lihat misalnya pada kejadian tanah runtuh yang sering berlaku semasa musim tengkujuh. Kejadian ini berlaku kerana ketiadaan akar tumbuhan yang mencengkam tanah terutamanya tebing atau tanah tinggi. Sungai pula akan menjadi semakin cetek sebagai akibat pemendakan tanah lumpur di dasarnya. Keadaan ini akan menyebabkan banjir kilat lebih mudah berlaku. Selain itu, tanah yang terdedah kepada pancaran cahaya matahari akan menjadi kontang dan tidak subur untuk aktiviti pertanian. Keadaan dan kejadian ini membuktikan bahawa penerokaan kawasan hutan menyebabkan manusia terdedah kepada kejadian bencana alam yang sukar diramalkan oleh akan manusia. Sekiranya pembalakan tanpa kawalan dilakukan sudah pasti masyarakat akan sentiasa hidup di dalam ketakutan kerana pelbagai kejadian atau musibah yang mengancam mereka kerana malang tidak berbau. Sudah terang lagi bersuluh, penerokaan hutan tanpa kawalan akan menyebabkan tanah yang dilindungi terdedah kepada pelbagai bencana alam.

      Selain yang dinyatakan di atas, kesan yang seterusnya berlaku apabila penerokaan kawasan dijalankan secara tidak terkawal menyebabkan kawasan tadahan air hujan terjejas. Seperti yang diketahui umum air merupakan keperluan asas kepada kesemua hidupan di muka bumi. Kandungan air bersih yang terkandung di permukaan bumi adalan sedikit jumlahnya jika dibandingkan dengan jumlah air yang tidak bersih. Oleh itu,takungan air hujan di bukit-bukit boleh menjadi sumber air bersih kepada penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman. Pada kebiasaanya aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan pendalaman mungkin meninggalkan kesan yang negatif kepada penduduk setempat seperti pencemaran air yang disebabkan oleh aktiviti yang dijalankan oleh  mereka yang tidak berhati perut di hulu sungai dan hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu akibat nila setitik habis susu sebelanga. Secara lansung aktiviti manusia tidak bertamadun ini sudah pasti menimbulkan masalah kepada  penduduk yang tinggal di persekitaran kawasan tersebut. Sebagai contoh, apabila musim tengkujuh berlaku air sungai akan tercemar dengan kelodak akibat aktiviti pembalakan dan air sungai akan berwarna kuning dan tidak sesuai dijadikan sebagai sumber minuman mahupun untuk membasuh pakaian. Akibatnya penduduk terpaksa mencari alternatif untuk mendapat sumber air bersih sama ada menampung air hujan atau menggali perigi. Sekiranya situasi seperti ini berlaku sudah pasti akan menimbulkan masalah kepada mereka untuk meneruskan kehidupan secara lebih kondusif. Tegasnya, penerokaan kawasan dijalankan secara tidak terkawal menyebabkan kawasan tadahan air hujan terjejas.
                                          
       Kesimpulannya, kawasan hutan mempunyai pelbagai khazanah yang sangat bernilai dan perlu dipelihara agar ianya terus berkekalan. Pihak Kerajaan harus melakukan pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dan tidak hangat-hangat tahi ayam sahaja agar isu pembalakan haram dapat diatasi dengan sepenuhnya. Aktiviti Pembalakan secara  terancang harus diamalkan supaya hutan tidak musnah dan semua kehidupan yang menghuninya tidak akan  pupus. Kempen seperti antipengimportan kayu hutan tropika merupakan satu tindakan yang bijak daripada negara-negara maju bagi membendung masalah ini. Oleh itu, negara-negara maju harus bekerjasama dengan negara-negara yang ekonominya bergantung pada aktiviti pembalakan. Dengan cara ini pembalakan terkawal dan aktiviti pertanian terkawal dapat diperkenalkan dan diamalkan agar kehidupan masyarakat sejagat kembali normal.

Dihasilkan oleh Cikgu Mohd Ramsul b. Abd. Rahiman

Tiada ulasan: