CABARAN REMAJA ABAD KE-21
Menurut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), remaja merupakan individu yang berkembang
dari saat pertama kali menunjukkan tanda-tanda seksual sekundernya sehinggalah
saat ia mencapai kematangan seksual. Remaja mengalami perkembangan biologi,
psikologi, dan dan sosiologi yang saling berkait antara satu sama lain.WHO
menetapkan batasan bahawa golongan remaja terdiri daripada mereka yang berusia
antara 12 hingga 24 tahun dan belum berkahwin. Perkataan ‘remaja’ berasal
daripada perkataan Latin yang bermaksud menuju kearah kematangan.
Golongan ini sentiasa mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi
dewasa.Remaja akan mengalami pelbagai perubahan drastik termasuklah perubahan
jasmani, sosial, emosi dan bahasa. Akibat daripada itu, golongan remaja
seringkali dilabelkan sebagai individu yang memiliki emosi yang tidak stabil
dan sentiasa bermasalah. Pelbagai persoalan yang mengganggu benak kita apabila
berbicara tentang remja. Persoalannya ialah apakah cabaran yang sebenarnya
dihadapi oleh golongan remaja pada abad yang ke-21? Bagaimanakah remaja
berdepan dengan cabaran yang dialami? Segala persoalan yang mewarnai mauduk
perbincangan di atas wajar dikupas hingga ke akar umbi.
Globalisasi merupakan proses membentuk sebuah dunia tanpa sempadan dan
kedudukan geografi. Remaja yang hidup dalam abad ke-21 ini terdedah
dengan cabaran teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja
boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan
dan rintangan. Terdapat banyak laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan
jati diri Islam seseorang remaja. Penggunaan media komunikasi yang berkaitan
dengan Internet seperti Youtube, Whatsapp, Wechat, Instagram dan lain-lain
telah menjadi satu perantaraan yang sangat efektif dan efisien untuk melakukan
pertukaran informasi jarak jauh dan dekat. Penggunaan Internet yang tidak
terkawal oleh ibu bapa telah mengundang banyak musibah. Kebebasan tanpa had dan
batasan akan merosakkan minda dan otak remaja. Banyak berita yang dilaporkan
oleh akhbar arus perdana tentang kisah remaja lelaki yang merogol adik
perempuan dan kawan-kawan perempuan setelah terangsang akibat menonton video
lucah di Internet. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mempunyai keimanan yang
ampuh sebagai benteng untuk menghadapi cabaran ini. Akidah Tauhid yang teguh
akan dapat memimpin akal fikiran dan tingkah laku remaja ke arah kebaikan.
Sesungguhnya iman dan amal tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya umpama
buah dan pohonnya.
Remaja seringkali dikaitkan dengan budaya lepak. Kegiatan melepak
merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius oleh masyarakat Malaysia.
Budaya ini dianggap sebagai suatu penyakit yang telah mengundang pelbagai
masalah lain dalam kalangan remaja kita. Persoalannya sekarang, mengapakah
budaya lepak diamalkan oleh segelintir remaja pada hari ini? Banyak kajian yang
telah dilakukan oleh para penyelidik sama ada tempatan mahupun luar negeri
berhubung dengan kecenderungan sikap suka melepak. Menurut kajian yang
dijalankan oleh tokoh cendekiawan tempatan, tingkah laku lepak dalam kalangan
remaja menunjukkan secara purata remaja menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam
seminggu membuang masa berkumpul dan berbual kosong dengan rakan sebaya di
tempat-tempat awam. Kadar ini lebih menonjol di kawasan luar bandar iaitu di
kawasan pembangunan tanah FELDA yang telah menghabiskan masa mereka sebanyak
28.4 jam seminggu untuk melepak. Kebanyakan remaja menyatakan mereka melepak
sekadar berjumpa kawan, bersiar-siar, berehat, mencari ketenangan, melepaskan
rasa bosan atau mendapatkan hiburan. Sesungguhnya remaja perlu diingatkan
bahawa masa yang diibaratkan emas itu tidak akan berundur walaupun sedetik. Ibu
bapa memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan setiap detik masa yang
dilalui oleh anak-anak mereka diisi dengan perkara yang bermanfaat.
Golongan remaja pada abad ke-21 juga berdepan dengan cabaran pergaulan
bebas. Masalah pergaulan bebas telah lama dibincangkan dan menjadi salah satu
isu sosial yang kian menanah di bumi Jalur Gemilang yang tercinta ini. Pelbagai
pihak di setiap lapisan masyarakat memandang isu ini sebagai satu masalah yang
perlu ditangani secara holistik kerana remaja merupakan generasi yang akan
mewarisi negara pada masa akan datang.Perasaan ingin berpasangan semakin
memuncak ketika berada di alam remaja. Sekiranya perasaan ini tidak dikawal
atau dibendung sudah tentu hal ini akan membawa kepada permasalahan sosial
dalam kalangan masyarakat. Isu terkini benarkah remaja abad ke-21 ini banyak
terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka bercinta dan melakukan hubungan seks
serentak demi cinta sejati. Hasilnya, lahirlah anak luar nikah, pembuangan bayi
dan sebagainya. Bercinta tidak pernah dianggap sebagai satu kesalahan malahan
orang yang tidak percaya akan cinta kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan
golongan manusia yang rugi. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling mengenali
antara satu sama lain tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.Oleh itu, remaja
perlu bijak semasa berkawan atau bercinta dengan cara yang telah
digariskan oleh agama dalam menongkah arus kehidupan yang kian mencabar. Remaja
perlu berani berkata “tidak” kepada rakan atau pasangannya apabila
tindakan dan perbuatan rakan mereka itu boleh menjerumuskan mereka ke
lembah yang hina.
Jika ditinjau dari aspek yang lain pula, remaja abad ke-21 juga
berhadapan dengan cabaran ledakan kebendaan atau materialistik. Memang tidak
dinafikan bahawa kebendaan merupakan keperluan bagi manusia. Namun,
berlebih-lebihan dalam mengumpul harta benda sehingga menjadi materialistik
boleh membawa akibat yang tidak sihat dalam masyarakat. Misalnya, kehidupan
sosial dalam masyarakat akan terpisah kepad dua golongan apabila salah satu
golongan menganggap pemilikan material sebagai nilai yang tinggi dan mengatasi
segala-galanya dalam kehidupan. Persoalannya, mengapakan remaja kini begitu
mementingkan materialisme berbanding hal-hal lain? Salah satu sebab yang
menjadi punca kepada permasalahan ini adalah kerana remaja telah dimomokkan
dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian
mereka. Segala perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan nilai-nilai kebendaan
semata-mata sehingga mereka berpegang kepada falsafah guna segala sumber alam
yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan untuk generasi yang
akan datang. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mengawal hawa nafsu mereka
daripada bersikap materialistik yang mengaburi mata seseorang untuk bersifat
lebih mengasihi dan menyayangi sesama makhluk.
Remaja abad ke-21 tidak dapat lari daripada berhadapan cabaran untuk mendapatkan
peluang pekerjaan. Alam pekerjaan merupakan destinasi yang terakhir kepada
kebanyakan pelajar yang telah menamatkan pengajian sama ada di peringkat sijil,
diploma mahupun peringkat ijazah. Mereka mula mencongak-congak untuk mencari
peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan
untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu
menjanjikan seseorang itu menjawat jawatan yang diimpikan. Sebaliknya, individu
yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti
dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh majikan. Satu perkara yang tidak
boleh dikesampingkan ialah remaja juga perlu bersaing dengan buruh asing yang
kian membanjiri bumi bertuah ini. Buruh asing yang mencari rezeki di negara
kita tidak boleh dipandang remeh. Walaupun hanya sebagai buruh kasar atau
operator kilang, mereka mempunyai pelbagai kelulusan yang standing dengan
lepasan graduan tempatan. Berbekalkan sikap rajin dan ingin membela nasib
keluarga yang ditinggalkan jauh di tanah air, mereka sanggup melakukan apa-apa
pekerjaan yang ada walaupun gaji yang ditawarkan itu tidak setimpal dengan
pekerjaan yang dilakukan. Jelaslah bahawa remaja wajar memperlengkap diri
mereka dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang
pekerjaan di samping membuka minda mereka supaya tidak memilih pekerjaan untuk
menyara kehidupan mereka.
Perbincangan tentang mauduk cabaran remaja telah meniti puncaknya.
Sebagai kesimpulan, remaja merupakan aset negara yang amat penting dan bakal
memimpin negara pada masa hadapan. Oleh itu, perubahan tingkah laku dan
pemikiran ke arah yang positif amat penting dalam memberi hala tuju yang betul
dan baik dalam kehidupan mereka. Selaras dengan perkembangan dunia moden
hari ini, banyak cabaran telah memberi implikasi dalam hidup mereka termasuklah
aspek sosiologi dan psikologi. Keadaan ini memberi impak secara menyeluruh
dalam hidup remaja. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa amat
diperlukan dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh remaja abad ke-21.
Kegagalan untuk menghadapi polemik ini secara rasional dan efektif akan
menjadikan masyarakat kita pada masa hadapan sebagai masyarakat yang lemah dan
tidak mampu bersaing dalam arus persada globalisasi kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan