2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam kalangan remaja pada
hari ini.
Jelaskan peranan pelbagai
pihak untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan
remaja.
Apabila seseorang itu cuba mengkaji
dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq,
nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca ialah suatu kewajipan
yang penting. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu
peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang
berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan
membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya
amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke
pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai
kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang
diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan
insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca, nescaya seluruh adiwangsa
memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya dalam kalangan
remaja.
Kelompok sasar yang pertama untuk
merancakkan budaya membaca ialah ibu bapa. Peribahasa yang menyatakan, getah
daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku yang
baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al hasil, sikap yang
positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap perkara yang baik dan
melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan singgah dan melekat pada
diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam kalangan anak-anak seperti
sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru dengan cara membaca. Membaca
juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti penerokaan minda yang membolehkan
anak-anak menjadi lebih matang daripada usia mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang
tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp, Facebook, Twiter dan Instagram yang
mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa haruslah dikurangkan. Sesungguhnya,
inilah virus yang sedang bergerak aktif untuk meletakkan manusia pascamilenium
terperap dalam kopompong kebodohan ciptaan sendiri.
Institusi alma mater merupakan pusat
kemenjadian manusia yang telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di
sinilah insan mula membina sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, sekolah
berperanan penting untuk melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui
kalam membaca. Ejen terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang
gemar membaca ialah para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan
menyuburkan minat membaca dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir
seperti mencari maklumat dan meneroka gaya berfikir seperti orang-orang
bijaksana sewajarnya digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas.
Dalam usaha mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah dimanfaatkan.
Pihak sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan
peranti elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden
yang semakin berkembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama,
sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung.
Masyarakat massa termasuk rakan sebaya
hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya membaca terus diperkasakan.
Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai pegaruh negatif begitu aktif
menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala membuang masa seperti
berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi kegilaan anak-anak muda hari
ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada masa hadapan. Oleh sebab itu,
masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan gejala pagan ini daripada terus
menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada melalui nasihat dan kaunseling
mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah dilakukan dengan segera.
Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi ujana ilmu hendaklah kembali
kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan kamil yang berbudaya dan
berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling menyokong sebagai usaha
melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang baik itu ibarat cahaya
sepanjang kehidupan.
Agensi kerajaan dan swasta merupakan
institusi masyarakat yang terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya
membaca sebagai suatu tingkah laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh
ini mula menggerakkan inisiatif pardana amalan membaca, justeru masyarakat
massa dengan sendirinya akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya
agensi seperti Jabatan Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain
menyediakan brosur dan bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh
pengunjung pada setiap kali menanti giliran ketika berurusan dengan agensi
berkenaan. Sementara itu, agensi swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama
berpada-padalah menyajikan pengunjung dengan sumber-sumber hiburan yang bermula
daripada awal pagi hingga lewat malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu
hanya mengumpan masyarakat untuk menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya
kokok berderai ekor bergelumang tahi.
Tuntasnya, insan yang membaca ibarat
minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama
kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana
melalui aksara dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat
yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang
mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda
ahli masyarakat dengan amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa
membaca bangsa yang berjaya.
INSYA-ALLAH PERKONGSIAN MAKLUMAT KARANGAN TUAN HJ. ISHAK B. MD. SHAH INI AKAN SAYA TERUSKAN UNTUK KELUARAN SELANJUTNYA. SEMOGA ALLAH MEMBERI RAHMAT KEPADA TUAN. TERIMA KASIH.
INSYA-ALLAH PERKONGSIAN MAKLUMAT KARANGAN TUAN HJ. ISHAK B. MD. SHAH INI AKAN SAYA TERUSKAN UNTUK KELUARAN SELANJUTNYA. SEMOGA ALLAH MEMBERI RAHMAT KEPADA TUAN. TERIMA KASIH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan