Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang perlu dipertahan
untuk tatapan generasi akan datang.
Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan permainan
tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tak lapuk dek hujan tak
lekang dek panas, ini ialah peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan
panduan dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai
permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh
tertentu. Sejak dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan
tradisional semakin ditelan zaman seiring dengan arus pemodenan masa
kini. Pada masa yang sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam
kalangan masyarakat masa kini. Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin
dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik
yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat seantero dunia. Persoalannya
kini, adakah kita bersedia untuk melihat satu-satunya warisan daripada nenek
moyang kita hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan tanpa kita sedari,
ibarat daun kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup melihat masyarakat
sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik yang
sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding
kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan
menerawang di gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak
untuk memartabatkan lagi permainan tradisional dalam kalangan masyarakat
Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak yang boleh dilakukan ialah menganjurkan
kelab permainan tradisional dan mengadakan kempen untuk mengangkat martabat
permainan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. Oleh hal yang demikian,
pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas serta
disegarkan dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih
tercari-cari tongkat mereka untuk dijadikan panduan.
Suatu hakikat yang tidak
boleh dipertikaikan ialah ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam
usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya
anak-anak. Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan
untuk anak-anak mereka yang sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana,
setiap perbuatan ibu bapa akan dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana
acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan
anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu
bapa pulang dari bekerja di luar daerah seperti congkak dan gasing. Dalam
konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan ilmu yang dipelajarinya satu ketika dahulu
kepada anak-anak mereka. Pada masa yang sama, ibu bapa boleh membawa anak-anak
ke tempat rekreasi untuk bermain dengan permainan tradisional. Peribahasa yang
berkaitan dengan hal ini ialah melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Secara
langsung, anak-anak dapat mewarisi permainan tradisional daripada ibu bapa
mereka tentang teknik dan cara- cara bermain. Sekiranya, ibu bapa memainkan
peranan mereka maka, permainan tradisional ini akan kekal sepanjang zaman
walaupun sudah berdekad-dekad lamanya. Tegasnya, peranan ibu bapa amat
signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan tradisional yang semakin
ditelan zaman agar dapat terus diwarisi dari generasi ke generasi.
Memang tidak dapat
disangkal lagi bahawa peranan pihak sekolah juga merupakan salah satu usaha
yang penting untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di
Malaysia. Dalam konteks ini, pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak
sekolah supaya pelajar lebih mengenali dan meminati permainan tradisional
kerana tak kenal maka tak cinta. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh
menganjurkan kelab permainan tradisional sejak awal lagi supaya usaha-usaha
lain dapat dilakukan melalui kelab tersebut. Dalam hal ini, untuk menarik minat
pelajar menyertai program-program yang dianjurkan, pihak persatuan boleh
menjemput tetamu dari luar yang mahir dalam permainan tradisional untuk
membimbing mereka tentang cara dan teknik bermain permainan tradisional yang
betul. Secara langsung, para pelajar dapat mendominasi permainan tradisional dengan
lebih baik lagi kerana jauhari juga yang mengenal manikam. Tambahan pula, pihak
sekolah boleh mengadakan acara dan pertandingan yang menarik yang boleh
disertai oleh para pelajar dan guru. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah
perlu menyediakan lebih banyak alatan permainan tradisional yang boleh
digunakan di sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menggunakan alatan
permainan tradisional. Secara tidak langsung, para pelajar akan lebih
mendekatkan diri dengan permainan tradisional dan mengekalkan warisan bangsa
dalam diri setiap pelajar. Begitu juga halnya dengan pengekalan permainan
tradisional yang perlu ditekankan oleh setiap pihak agar warisan ini tak lapuk
dek hujan, tak lekang dek panas. Izharlah bahawa, pihak sekolah mestilah
memainkan peranan untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan
remaja di Malaysia.
Lanjutan daripada huraian
yang telah dinyatakan di atas ialah media massa perlu memainkan peranan yang
tidak kurang pentingnya dalam usaha untuk memartabatkan permainan tradisional
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Umum mengetahui bahawa, media massa
merupakan suatu medium yang sentiasa menguar-uarkan sesuatu berita dengan
cepat, tepat dan sahih. Bertitik tolak daripada itu, pihak media massa boleh
menghebahkan tentang permainan tradisional melalui surat khabar, majalah,
radio, Internet dan televisyen. Tambahan pula, media massa boleh menganjurkan
pertandingan melalui program seperti jom heboh dengan tawaran hadiah yang
lumayan. Yang paling nyata ialah apabila media massa memaparkan iklan-iklan
yang menarik mengenai permainan tradisional kita maka, masyarakat dari negara
luar akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam tentang permainan
tradisional ini. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa media massa mampu
mendominasi seluruh masyarakat di setiap ceruk rantau dunia. Bagi membuktikan
perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah sukan sepak takraw yang kini
telah diangkat sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat
antarabangsa iaitu piala dunia. Dalam hal ini dapat kita lihat bahawa negara
luar seperti Thailand kini telah menguasai sukan sepak takraw dan mampu
menandingi Malaysia. Impaknya, media massa yang memaparkan sukan ini dapat
mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia
tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah
bahawa, media massa perlu bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk
memartabatkan permainan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat
Malaysia agar diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa dan
membuka mata dunia tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.
Umum mengetahui bahawa
pihak kerajaan merupakan peranan yg penting dalam mengekalkan permainan tradisional.
Beritik tolak daripada itu, pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian,
Kebudayaan dan Warisan dapat mengekalkan permainan tradisional dengan
mengadakan pesta permainan tradisional di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai kaum dapat mengetahui dengan lebih
mendalam tentang permainan tradisional yang hampir tenggelam oleh peredaran
zaman. Pada masa yang sama, pihak kerajaan boleh memperluaskan permainan
tradisional negara Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa. Melalui cara
ini, rakyat dapat membuka mata bahawa permainan tradisional juga dapat dibawa
ke peringkat antarabangsa dan mendapat perhatian di mata dunia. Sebagai
contohnya, permainan wau dan layang-layang. Tambahan pula, ramai pelancong asing
melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan layang-layang yang dianjurkan
oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun. Secara eksplisitnya, rakyat
Malaysia tidak mudah untuk melupakan permainan tradisional yang semakin pudar
di mata rakyat. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh memperkenalkan
program Cintai Permainan Tradisional agar rakyat mampu menyelami dan
mempelajari permainan tradisional dengan lebih mendalam. Dengan cara ini,
permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada zaman akan datang. Izharlah
bahawa, pihak kerajaan mampu melestarikan permainan tradisional yang diwarisi
secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia hingga ke tahap
antarabangsa.
Perbincangan saya telah
meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirul kalam seluruh masyarakat Malaysia
tidak seharusnya membiarkan warisan Malaysia yang berharga seperti permainan
tradisional ini lenyap terus daripada muka bumi ini. Jika semua pihak
berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, kelurah sama dituruni, isu ini
akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia dan warisan paling berharga ini
akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi akan datang. Tambahan pula, kita
sebagai pewaris khazanah negara tidak mungkin akan membiarkan permainan
tradisional ini terus menjadi sejarah yang hanya diketahui namanya sahaja dan
tiada siapa pun yang dapat mewarisi kemahiran atau teknik bermain permainan
tradisional untuk diturunkan kepada generasi pada masa akan datang. Bertitik
tolak daripada itu, kita sebagai penerus warisan negara perlu mengambil
inisiatif yang pragmatik,vital,kreatif dan kritis supaya dapat memanifestasikan
generasi pewaris negara yang tidak akan melupakan warisan mereka seperti kacang
lupakan kulit. Dalam konteks ini, generasi sekarang perlulah memupuk rasa cinta
akan warisan negara agar dapat menyanjung dan menghargai warisan negara dari
rebungnya lagi. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia perlu
bersungguh-sungguh dalam memastikan warisan negara ini sentiasa terpelihara dan
tidak hilang ditelan zaman serta terus hidup subur di dalam hati, fikiran dan
diri masyarakat itu sendiri. Prakarsa yang diambil memerlukan komitmen yang
padu daripada semua pihak dan bukannya hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam
mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Kendatipun demikian, kita masih perlu
menjangkau sehabis tangan bagi mempertahankan khazanah warisan tinggalan nenek
moyang kita yang ulung ini agar tidak dilupakan terus oleh masyarakat. Marilah
kita sama-sama menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara
dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi kudsi Wawasan
2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan