Permainan
tradisional merupakan warisan bangsa yang perlu dipertahan untuk tatapan
generasi akan datang.
Huraikan
peranan pelbagai pihak untuk memartabatkan permainan tradisional
dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, ini ialah
peribahasa yang perlu kita jadikan pegangan dan panduan dalam usaha untuk
memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Permainan tradisional dapat ditakrifkan secara literal sebagai permainan budaya
yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh tertentu. Sejak
dua tiga dekad ini, dapat kita saksikan betapa permainan tradisional semakin
ditelan zaman seiring dengan arus pemodenan masa kini. Pada masa yang
sama, permainan elektronik semakin diagung-agungkan dalam kalangan masyarakat
masa kini. Dalam konteks ini, permainan tradisional semakin dipandang enteng
oleh masyarakat Malaysia dek pengaruh permainan elektronik yang semakin
mendapat tempat di hati masyarakat seantero dunia. Persoalannya kini, adakah
kita bersedia untuk melihat satu-satunya warisan daripada nenek moyang kita
hilang begitu sahaja secara perlahan-lahan tanpa kita sedari, ibarat daun
kering yang terbang ditiup angin? Adakah kita sanggup melihat masyarakat
sekarang semakin jatuh jauh ke dalam kancah permainan elektronik yang
sebenarnya tanpa kita sedar atau tidak banyak mendatangkan keburukan berbanding
kebaikan bagi seseorang itu sendiri. Persoalan yang sering menerjah dan
menerawang di gawang minda fikiran kita ialah apakah peranan pelbagai pihak
untuk memartabatkan lagi permainan tradisional dalam kalangan masyarakat
Malaysia? Antara peranan pelbagai pihak yang boleh dilakukan ialah menganjurkan
kelab permainan tradisional dan mengadakan kempen untuk mengangkat martabat
permainan tradisional ke tahap yang lebih tinggi. Oleh hal yang demikian,
pelbagai prakarsa yang konkrit, sistematik lagi pragmatik akan dikupas serta
disegarkan dengan lebih terperinci demi kemaslahatan semua pihak yang masih
tercari-cari tongkat mereka untuk dijadikan panduan.
Suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan ialah ibu bapa
memainkan peranan yang signifikan dalam usaha untuk memperkenalkan permainan
tradisional kepada generasi muda khususnya anak-anak. Sebagaimana yang kita
ketahui, ibu bapa sering menjadi suri teladan untuk anak-anak mereka yang
sedang meningkat dewasa. Hal ini adalah kerana, setiap perbuatan ibu bapa akan
dicontohi anak-anak seperti peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membelikan anak-anak permainan tradisional
sebagai hadiah atau buah tangan sekiranya ibu bapa pulang dari bekerja di luar
daerah seperti congkak dan gasing. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menurunkan
ilmu yang dipelajarinya satu ketika dahulu kepada anak-anak mereka. Pada masa yang
sama, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat rekreasi untuk bermain dengan
permainan tradisional. Peribahasa yang berkaitan dengan hal ini ialah melentur
buluh, biarlah dari rebungnya. Secara langsung, anak-anak dapat mewarisi
permainan tradisional daripada ibu bapa mereka tentang teknik dan cara- cara
bermain. Sekiranya, ibu bapa memainkan peranan mereka maka, permainan
tradisional ini akan kekal sepanjang zaman walaupun sudah berdekad-dekad
lamanya. Tegasnya, peranan ibu bapa amat signifikan dalam usaha untuk
memperkenalkan permainan tradisional yang semakin ditelan zaman agar dapat
terus diwarisi dari generasi ke generasi.
Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peranan pihak
sekolah juga merupakan salah satu usaha yang penting untuk memartabatkan
permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia. Dalam konteks ini,
pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah supaya pelajar lebih
mengenali dan meminati permainan tradisional kerana tak kenal maka tak cinta.
Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh menganjurkan kelab permainan tradisional
sejak awal lagi supaya usaha-usaha lain dapat dilakukan melalui kelab tersebut.
Dalam hal ini, untuk menarik minat pelajar menyertai program-program yang
dianjurkan, pihak persatuan boleh menjemput tetamu dari luar yang mahir
dalam permainan tradisional untuk membimbing mereka tentang cara dan teknik
bermain permainan tradisional yang betul. Secara langsung, para pelajar dapat
mendominasi permainan tradisional dengan lebih baik lagi kerana jauhari juga
yang mengenal manikam. Tambahan pula, pihak sekolah boleh mengadakan acara dan
pertandingan yang menarik yang boleh disertai oleh para pelajar dan guru.
Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah perlu menyediakan lebih banyak
alatan permainan tradisional yang boleh digunakan di sekolah bagi memudahkan
para pelajar untuk menggunakan alatan permainan tradisional. Secara tidak
langsung, para pelajar akan lebih mendekatkan diri dengan permainan tradisional
dan mengekalkan warisan bangsa dalam diri setiap pelajar. Begitu juga halnya
dengan pengekalan permainan tradisional yang perlu ditekankan oleh setiap pihak
agar warisan ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Izharlah bahawa,
pihak sekolah mestilah memainkan peranan untuk memartabatkan permainan tradisional
dalam kalangan remaja di Malaysia.
Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas
ialah media massa perlu memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam
usaha untuk memartabatkan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Umum mengetahui bahawa, media massa merupakan suatu medium yang sentiasa
menguar-uarkan sesuatu berita dengan cepat, tepat dan sahih. Bertitik tolak
daripada itu, pihak media massa boleh menghebahkan tentang permainan
tradisional melalui surat khabar, majalah, radio, Internet dan televisyen.
Tambahan pula, media massa boleh menganjurkan pertandingan melalui program
seperti jom heboh dengan tawaran hadiah yang lumayan. Yang paling nyata ialah
apabila media massa memaparkan iklan-iklan yang menarik mengenai permainan
tradisional kita maka, masyarakat dari negara luar akan tertarik untuk
mengetahui dengan lebih dalam tentang permainan tradisional ini. Daripada
realiti ini dapat kita katakan bahawa media massa mampu mendominasi seluruh
masyarakat di setiap ceruk rantau dunia. Bagi membuktikan perkara ini, contoh
yang boleh diketengahkan ialah sukan sepak takraw yang kini telah diangkat
sebagai salah satu acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa
iaitu piala dunia. Dalam hal ini dapat kita lihat bahawa negara luar seperti
Thailand kini telah menguasai sukan sepak takraw dan mampu menandingi Malaysia.
Impaknya, media massa yang memaparkan sukan ini dapat mempopularkan permainan
tradisional dalam kalangan masyarakat seantero dunia tanpa mengira perbezaan
latar belakang, agama, bangsa dan negara. Jelaslah bahawa, media massa perlu
bergerak dengan lebih giat lagi dalam usaha untuk memartabatkan permainan
tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia agar
diangkat lebih tinggi hingga ke peringkat antarabangsa dan membuka mata dunia
tentang keistimewaan negara yang bernama Malaysia.
Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan merupakan peranan yg
penting dalam mengekalkan permainan tradisional. Beritik tolak daripada itu,
pihak kerajaan seperti Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dapat
mengekalkan permainan tradisional dengan mengadakan pesta permainan tradisional
di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebagai analognya, rakyat daripada pelbagai
kaum dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang permainan tradisional yang
hampir tenggelam oleh peredaran zaman. Pada masa yang sama, pihak
kerajaan boleh memperluaskan permainan tradisional negara Malaysia sehingga ke
peringkat antarabangsa. Melalui cara ini, rakyat dapat membuka mata bahawa
permainan tradisional juga dapat dibawa ke peringkat antarabangsa dan mendapat
perhatian di mata dunia. Sebagai contohnya, permainan wau dan layang-layang.
Tambahan pula, ramai pelancong asing melawat ke Malaysia untuk melihat pertandingan
layang-layang yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada saban tahun.
Secara eksplisitnya, rakyat Malaysia tidak mudah untuk melupakan
permainan tradisional yang semakin pudar di mata rakyat. Dalam konteks
ini, pihak kerajaan boleh memperkenalkan program Cintai Permainan Tradisional
agar rakyat mampu menyelami dan mempelajari permainan tradisional dengan lebih
mendalam. Dengan cara ini, permainan tradisional tidak akan mudah terhakis pada
zaman akan datang. Izharlah bahawa, pihak kerajaan mampu melestarikan permainan
tradisional yang diwarisi secara turun-temurun oleh masyarakat Malaysia hingga
ke tahap antarabangsa.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai
akhirul kalam seluruh masyarakat Malaysia tidak seharusnya membiarkan warisan
Malaysia yang berharga seperti permainan tradisional ini lenyap terus daripada
muka bumi ini. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki,
kelurah sama dituruni, isu ini akan dapat ditangani oleh masyarakat Malaysia
dan warisan paling berharga ini akan tetap diamalkan dari generasi ke generasi
akan datang. Tambahan pula, kita sebagai pewaris khazanah negara tidak mungkin
akan membiarkan permainan tradisional ini terus menjadi sejarah yang hanya
diketahui namanya sahaja dan tiada siapa pun yang dapat mewarisi kemahiran atau
teknik bermain permainan tradisional untuk diturunkan kepada generasi pada masa
akan datang. Bertitik tolak daripada itu, kita sebagai penerus warisan negara
perlu mengambil inisiatif yang pragmatik,vital,kreatif dan kritis supaya dapat
memanifestasikan generasi pewaris negara yang tidak akan melupakan warisan
mereka seperti kacang lupakan kulit. Dalam konteks ini, generasi sekarang
perlulah memupuk rasa cinta akan warisan negara agar dapat menyanjung dan menghargai
warisan negara dari rebungnya lagi. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia
perlu bersungguh-sungguh dalam memastikan warisan negara ini sentiasa
terpelihara dan tidak hilang ditelan zaman serta terus hidup subur di dalam
hati, fikiran dan diri masyarakat itu sendiri. Prakarsa yang diambil memerlukan
komitmen yang padu daripada semua pihak dan bukannya hanya sekadar
hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga sahaja. Kendatipun
demikian, kita masih perlu menjangkau sehabis tangan bagi mempertahankan
khazanah warisan tinggalan nenek moyang kita yang ulung ini agar tidak
dilupakan terus oleh masyarakat. Marilah kita sama-sama menjangkau sehabis
tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam
merealisasikan misi dan visi kudsi Wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan