Khamis, 25 Oktober 2018

KARANGAN DIMENSI MASYARAKAT-BERKAITAN-KEBANYAKAN REMAJA LEPASAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA MENGIMPIKAN KERJAYA YANG DAPAT MENJAMIN MASA HADAPAN MEREKA. HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA BAGI SESEORANG REMAJA.


SAMPEL KARANGAN 1
KEBANYAKAN REMAJA LEPASAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA MENGIMPIKAN KERJAYA YANG DAPAT MENJAMIN MASA HADAPAN MEREKA.
HURAIKAN FAKTOR-FAKTOR PEMILIHAN KERJAYA BAGI SESEORANG REMAJA.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?  

Fokus perbincangan pertama saya berkaitan faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).   Oleh sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat, pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka. Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebaliknya, pelajar yang tidak mempunyai cita-cita mereka diibarat seperti seorang nahkhoda mengendalikan sebuah kapal di lautan luas tanpa hala tuju. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.

Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar  memilih kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.

          Bahkan juga, pelajar yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola sebagai motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di  Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University, Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
     
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

          Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 

Ulasan guru: Oleh sebab karangan ini merupakan karangan umum bahagian B dan dimensi masyarakat pelajar perlu menambah satu isi lagi untuk mendapatkan markah cemerlang atas.

Isi yang dicadangkan:-

  1. Pelajar perlu bijak memilih kalangan rakan sebaya yang mempunyai cita-cita dan kerjaya yang sesuai dengan diri mereka.
  2. Pelajar perlu meneroka prospek kerjaya yang mereka pilih dengan mengkases internet-untuk mengetahui kelebihan kerjaya dan prospek kerja pada masa akan datang.
  3. Fikirkan isi yang sesuai dengan tajuk.


Tiada ulasan: