Kewujudan masyarakat penyayang dilihat sebagai kaedah paling berkesan untuk mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia.
Huraikan peranan yang perlu dilaksanakan untuk mewujudkan masyarakat penyayang.
Dr. Mahathir
Mohammad telah memperkenalkan WAWASAN 2020 pada tahun 1991 dengan menggariskan sembilan
strategik ke arah Malasyia mencapai status negara maju pada tahun 2020. Cabaran
ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
penyayang. Masyarakat penyayang boleh diertikan sebagai kelompok masyarakat
yang hidup dalam suasana saling menghormati, berbakti, memberi khidmat,
menolong, berbuat jasa, menabur budi, melakukan kebajikan, menunjukkan rasa
kasih dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah terhadap mereka yang
memerlukan pertolongan dan bantuan. Cara hidup ini juga dikenali sebagai
‘budaya ikram’. Tun Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya
penyayang sebagai sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada
diri sendiri. Sayangnya, kehidupan dalam suasana pemuafakatan antara
ahli-ahli keluarga yang terjalin mesra, bertimbang rasa, faham-memahami,
hormat-menghormati sudah semakin terhakis dan telah diganti dengan sikap
individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing dan tidak peduli yang menebal. Sama ada kita mahu
menerima hakikat ini ataupun tidak, fenomena inilah merupakan salah satu daripada
punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat seperti yang dihidangkan oleh
media massa setiap hari. Malah boleh dikatakan, hampir setiap hari
akhbar-akhbar melaporkan berita kejadian penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi,
pergaduhan yang berakhir dengan kematian, penculikan kanak-kanak, remaja lari
dari rumah, murid ponteng sekolah, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi
masalah yang melibatkan setiap lapisan individu dalam masyarakat. Sebelum
bisul menjadi nanah, setiap anggota masyarakat tanpa mengira usia,
bangsa, agama dan status harus memainkan peranan masing-masing untuk menangani
masalah ini supaya masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.
Peranan masyarakat yang signifikan ialah setiap individu
masyarakat haruslah mempunyai didikan agama yang mantap dan utuh. Membentuk
sebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam
pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah
dengan pembentukan masyarakat yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya
iaitu didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama
mengajar umatnya supaya berkasih sayang sama ada kasih sayang kepada Pencipta,
kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang kepada makhluk yang lain di muka
bumi ini. Tanpa didikan agama, sudah pasti kehidupan manusia akan keberantakan
lantaran nipisnya keimanan yang dimiliki senipis kulit bawang. Sekiranya
kita mempunyai keimanan yang tebal sudah pasti kita tidak akan melakukan
kezaliman dan penganiayaan kepada insan lain seperti kes penganiayaan bayi, kes
pembunuhan, perogolan, penindasan dan sebagainya. Bukan sahaja itu, kemusnahan
alam sekitar juga dapat dielakkan. Sejajar dengan itu, masyarakat
yang penyayang dapat mengurangkan kadar jenayah dan setiap anggota masyarakat
dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Lebih-lebih lagi pembangunan yang
lestari dan mapan dapat dipraktikkan disebabkan sifat penyayang telah mulai
membenih dalam jiwa masyarakat kita. Maka jelaslah di sini
bahawa didikan agama yang mantap mampu melahirkan masyarakat yang penyayang
demi kebaikan bersama.
Jika kita kaji dari dimensi yang lain, peranan masyarakat
yang lain adalah dengan menjadi suri teladan kepada golongan yang masih hijau
atau separa matang. Dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan utama. Hal ini disebabkan
setiap individu yang dilahirkan merupakan bakal khalifah untuk mencorak
kehidupan generasi akan datang . Seyogia, ibu bapa sepatutnya berusaha
membentuk seorang anak agar memiliki sifat-sifat penyayang. Jika setiap ibu
bapa terlibat dalam usaha nirmala dan kudsi serta bersinergi ini sudah pasti kehidupan
anak-anak akan sempurna kerana mereka ibarat kain putih bersih dan ibu bapa
bertanggungjawab mencorak kehidupan mereka anak sudah pasti masyarakat yang
penyayang. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi contoh yang terbaik
kepada anak-anak bak kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’. Peribahasa Melayu ini membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya
jejak langkah meraka akan diikuti oleh anak mereka dan mengelakkan sifat
negatif sesetengan ibu bapa bagai ketam mengajar anak-anak berjalan lurus
sedangkan diri mereka sendiri tidak terurus. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri
perlu mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka supaya anak-anak yang
membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang. Keadaan ini secara
tidak langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai
sifat kasih sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan dan peri
pentingnya kasih sayang dalam kehidupan. Akhirnya, masyarakat yang penyayang
yang lahir daripada insititusi keluarga akan mewujudkan masyarakat penyayang. Sekiranya
ibu bapa berkolaborasi melahirkan anak-anak penyayang sudah pasti kehidupan
masyarakat akan aman dan bahagia. Tegasnya, sebagai sebahagian daripada anggota
masyarakat ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan masyarakat
yang penyayang.
Selain
itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab pihak sekolah juga
haruslah memikul obligasi untuk melahirkan masyarakt yang penyayang. Hal
ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah juga merupakan salah satu agen yang
penting dalam membentuk masyarakat yang penyayang. Lagipun, golongan
kanak-kanak dan remaja banyak menghabiskan masa mereka di sekolah selain rumah
dan sekolah dianggap sebagai rumah kedua mereka. Pendedahan nilai-nilai
murni harus didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar.
Oleh itu, pihak sekolah tidak seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai
murni kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam sahaja
tetapi nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu
dua subjek tersebut. Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang
kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi seperti kata peribahasa Melayu, ‘melentur
buluh biarlah dari rebungnya’. Seterusnya pendekatan-pendekatan
yang bersifat penyayang semasa proses pembelajaran dan pengajaran seharusnya
dikreatifkan. Dengan ini, para pelajar dapat membesar dengan
persekitaran yang penyayang dan harmoni sekali gus impian untuk melahirkan
masyarakat penyayang dapat direalisasikan. Bukan itu sahaja, impian negara
untuk melahirkan modal insan bermentaliti kelas pertama juga dapat dilahirkan. Sekiranya pihak sekolah berkolaborasi sebagai agen pemangkin nilai kasih sayang dalam kalangan pelajar, sudah pasti stragei ketujuh WAWASAN 2020 akan mengarah kecemerlangan negara sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 Jadi, jelaslah peranan masyarakat pendidik penting untuk melahirkan masyarakat penyayang.
Peranan masyarakat yang seterusnya ialah aktiviti-aktiviti
kemasyarakatan diperbanyakkan. Melalui aktiviti kemasyarakatan yang
diadakan, setiap anggota masyarakat akan bersatu kudrat dan sebulat suara untuk
menjayakan aktiviti yang dijalankan persis kata orang tua-tua,“bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Bukan itu
sahaja, sifat penyayang akan terserlah melalui amalan tolong-menolong dan
bertoleransi dalam aktivti-aktiviti tersebut. Sebagai tamsilannya,
amalan rumah terbuka akan menggalakkan
aktiviti ziarah-menziarahi jiran tetangga, saudara-mara dan rumah-rumah
kebajikan pada hari-hari perayaan. Manakala penyertaan masyarakat setempat
dalam aktiviti gotong-royong dan kerja sukarela juga perlulah diperbanyakkan. Aktiviti-aktiviti
sosial ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama
lain di samping memupuk sikap pemurah, ikhlas, sentiasa sanggup membantu dan
menghulurkan tenaga untuk golongan yang tidak berkemampuan ibarat
yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Akhirnya,
masyarakat yang berjiwa penyayang dapat dilahirkan untuk membentuk sebuah
negara yang harmoni dan bertaraf kelas pertama. Deduksinya, penganjuran
aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang banyak merupakan antara elemen yang
penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.
Meninjau dari
skop yang berbeza, masyarakat yang penyayang juga dapat dilahirkan melalui
kempen kesedaran yang efektif secara berterusan. Usaha ini dapat dilaksanakan
oleh golongan masyarakat media sama ada media elektronik atau media cetak. Seperti
yang diketahui umum bahawa media merupakan wahana yang berkesan untuk
menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan amalan penyayang dalam
menjalani kehidupan harian kita. Pihak media lebih menitikberatkan
aspek sosial iaitu hubungan sesama manusia untuk didedahkan tatapan umum. Oleh
itu, pihak media yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang
prihatin haruslah menggiatkan pelaksanaan kempen ‘Keluarga Bahagia’, ‘Penerapan
Nilai-nilai Murni’ dan ‘Cintai Sungai Kita’ untuk menerapkan budaya penyayang
dalam kalangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini haruslah diadakan secara
berterusan dan bukannya bermusim atau hangat-hangat tahi
ayam. Sehubungan dengan itu,
masyarakat sedar akan kepentingan amalan penyayang dalam konteks kehidupan
bermasyarakat. Sikap menganiayai, menindas dan memusnahkan kepentingan orang
lain dapat dihindarkan sekali gus dapat menyemai sikap prihatin dalam kalbu
masyarakat kita hari ini. Sekiranya media masa menjalankan tanggungjawab
sosial mereka, suah pasti masyarakat penyayang yang digariskan sebagai cabaran
ketujuh WASASAN 2020 akan menjadi kenyataan dan Malasyia akan menuju ke arah
negara maju pada tahun 2020. Izharlah bahawa peranan masyarakat media melalui
kempen-kempen yang diadakan dapat membentuk masyarakat yang penyayang.
Sudah terang lagi bersuluh peranan kudsi
dan nirmala setiap anggota masyarakat amat penting untuk melahirkan masyarakat
yang penyayang. Kasih sayang merupakan suatu fitrah yang amat
bernilai dalam diri manusia. Kasih sayang sangat penting untuk menjamin
kesejahteraan masyarakat. Pernyataan ini disokong oleh sabda Rasulullah S.A.W
dalam memupuk amalan kasih sayang yang bermaksud, “ Tidak beriman
seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan
dirinya sendiri”. Oleh itu, setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya
mengambil inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma
bagi merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang dalam
kalangan rakyat Malaysia. Kita tidak seharusnya mengharapkan pihak berkuasa
sahaja untuk menjayakan matlamat ini keranabertepuk sebelah tangan takkan
berbunyi. Ibu bapa seyogianya memainkan peranan penting
untuk melahirkan generasi muda yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka
menbantu orang lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling
membantu serta saling menyayangi ibarat yang tua dihormati, yang
muda disayangi. Kita juga harus mematuhi peraturan dan undang-undang
yang ditetapkan oleh kerajaan. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi
sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya justeru
kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga imej negara akan harum
di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat kelas
pertama kerana ketinggian akhlaknya. Tokoh pujangga yang bernama Ahmad
Shauqi Bey berkata, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih
utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap”. Diharapkan
pembentukan masyarakat penyayang dapat merealisasikan visi kudsi negara iaitu
Wawasan 2020 dengan mudahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan