SOALAN
: Penggunaan media sosial amat popular di Malaysia. Media sosial seperti
Facebook, Twitter, WhatsApps dan My Space mendapat perhatian masyarakat di
negara ini. Kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan sukar membendung angkara
negatif di sebaliknya.
Terangkan
cara-cara mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.
Dalam meniti arus pemodenan yang mencabar akal dan
minda,kita sering kali dikaitkan dengan penggunaan media sosial yang kian
meluas di segenap empat penjuru dunia yang juga menular dalam kalangan
masyarakat di Malaysia. Blog,rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter,
Instagram, WeChat, Skype, Viber dan WhatsApps adalah antara contoh medium
penting yang terdapat dalam aplikasi media sosial. Media sosial ini menjadi
wahana bagi setiap lapisan masyarakat dunia untuk kekal berhubung dengan
kenalan, sahabat handai dan keluarga yang berjauhan. Menurut Wikipedia, iaitu
ensiklopedia bebas yang tersohor mentakrifkan media sosial adalah sejenis
wahana yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna
dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencipta isi meliputi blog,
rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Menurut sumber yang dipetik
daripada persatuan Digital Malaysia ( MDA ), pada bulan Oktober 2010 sahaja
mencatatkan bahawa Facebook merupakan media sosial paling popular dalam
kalangan lapan juta rakyat Malaysia yang menggunakannya. Anggota komuniti yang
paling popular adalah antara 15 hingga 30 tahun. Belakangan ini, isu
membabitkan media sosial hebat diperkatakan apabila media sosial itu dilihat
sebagai ancaman keselamatan terhadap masyarakat dan negara. Hal ini disebabkan
kewujudan golongan tidak bertanggungjawab yang menjadikan media sosial
sebagai wadah untuk memfitnah, menipu, menyamar menjadi individu tertentu bagi
tujuan menjatuhkan reputasi seseorang dan menarik perhatian dengan
membangkitkan isu sensitif seperti agama, budaya dan kaum. Pelbagai persoalan
terus menghantui minda kita apabila berbicara tentang penyalahgunaan media
sosial. Persoalannya ialah apakah cara-cara untuk mengawal penyalahgunaan media
sosial dalam masyarakat? Siapakah yang sebenarnya wajar memikul dan menggalas
tugas-tugas untuk mengawal penyalahgunaan media sosial? Seharusnya media sosial
dipantau oleh pelbagai pihak daripada jari-jari yang tidak bertanggungjawab
ini.
Suatu hakikat yang tidak dapat diketepikan untuk mengawal
penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat ialah peranan yang dimainkan
oleh setiap individu. Dalam ilmu sosial, individu bererti bagian
terkecil dari kelompok masyarakat yang tidak dapat dipisahkan lagi menjadi
bagian yang lebih kecil. Persoalan yang menerawang dalam benak kita ialah
bagaimanakah individu itu boleh mengawal penggunaan media sosial? Pada zaman
yang serba canggih ini, keimanan dan jati diri perlu ada dalam diri setiap
individu untuk mengawal penggunaan media sosial. Jari jemari amat mudah untuk
menari-nari pada papan kekunci menaip apa-apa sahaja yang ada di fikiran,
apatah lagi mudah sangat untuk mengetuk peranti pintar yang dimiliki. Tanpa
kita sedar ada kalanya bait-bait tulisan itu mengundang provokasi atau banyak
dusta daripada benarnya umpama baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal
ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah
berdusta. Setiap individu perlulah menggunakan media sosial dengan bijak
sebagai penambah timbangan pahala agar tidak menimbulkan perkara yang sensitif
yang membawa kepada permusuhan. Seseorang individu itu juga perlulah
berdisiplin dalam melayari media sosial agar tidak terleka dengan keasyikan
dunia alam maya yang disajikan. Tugas hakiki seharian perlu dilunaskan terlebih
dahulu seperti mengulang kaji pelajaran bagi seorang yang bergelar murid dan
melakukan tugas rutin seharian bagi orang dewasa persis masa itu emas iaitu
media sosial tidak seharusnya menjadi peneman sepanjang 24 jam sehingga
melupakan hubungan sosial secara bersemuka bersama keluarga dan
teman-teman. Berdasarkan statistik terkini di laman Statistik menyatakan bahawa
penggunaan harian media sosial oleh pengguna Internet secara global telah
mencecah 106.2 minit sehari berbanding 103.2 minit sehari pada 2014. Pada 2016
pula, pengguna media sosial sedunia dijangkakan mencecah dua bilion. Persatuan
Digital Malaysia menyatakan bahawa pada bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan
bahawa laman web sosial Facebook merupakan laman web paling popular dalam
kalangan lapan juta rakyat Malaysia. Seseorang individu itu boleh mengurangkan
masa mengakses media sosial dengan menyibukkan diri melakukan sesuatu pekerjaan
seperti melakukan aktiviti beriadah yang boleh menyihatkan badan dan
mencerdaskan minda seperti bersukan, berkelah sambil merapatkan saf
kekeluargaan dan bergotong-royong sambil membasmi nyamuk Aedes dan mengeratkan
silaturahim sesama jiran tetangga dan mewujudkan perpaduan berbilang kaum
ibarat bersatu kita teguh,bercerai kita roboh. Setiap individu memikul amanah
terhadap diri sendiri bersesuaian dengan kata-kata daripada Hamka iaitu
seorang ulama, sasterawan, sejarawan dan ahli politik Indonesia yang mengungkapkan
kata-kata puitis untuk renungan kita bersama berbunyi kecantikan abadi terletak
pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan
pakaiannya. Tegasnya, tepuk dada tanya selera masing-masing sama ada seseorang
individu itu mahu menjadi seorang yang berguna dengan mengaut ilmu sebanyak
mungkin menggunakan media sosial atau sebaliknya menyalahgunakannya untuk
perkara-perkara yang tidak baik.
Kupasan dan huraian tentang media sosial tidak harus
ada titik noktahnya. Maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah
andai kata ditinjau pula dari aspek peranan ibu bapa. Hal ini
dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan
anak-anak. Persoalan yang bermain dalam minda kita ialah bagaimanakah ibu bapa
dapat memainkan peranan untuk membendung penyalahgunaan media sosial dalam
kalangan anak-anak? Pemikir tersohor dan tokoh ilmuwan yang disegani di negara
kita, Profesor diraja Ungku Aziz pernah menyatakan bahawa rumah merupakan
universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama
bagi mereka. Nah, sudah terang lagi bersuluh fungsi primer ibu bapa iaitu
sebagai profesor pertama bagi anak-anak! Ibu bapa perlulah memantau setiap
perkara yang dilakukan oleh anak-anak ketika mereka mengakses media sosial.
Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu menggelakkan anak-anak daripada mengakses
laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah siber
seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman
sesawang. Ibu bapa juga boleh menjadi mata dan telinga umpama sambil menyelam
minum air iaitu dengan menjadi rakan dalam laman sesawang Facebook, WhatsApps,
Instragram dan sebagainya bagi mengetahui perjalanan pelayaran kembara
anak-anak dalam media sosial. Ibu bapa yang menjadi rakan dalam alam maya
anak-anak akan dapat mengetahui 1001 rahsia anak-anak dari segi emosi,
perlakuan, kesukaan, perasaan, cita-cita dan mengenali rakan-rakan anak mereka.
Ibu bapa boleh menjadi rakan paling akrab dan mesra kepada anak-anak mereka
apabila memahami naluri anak-anak. Sudah pasti anak-anak yang tahu kasih sayang
dan cakna orang tua mereka tidak tergamak untuk menconteng arang ke muka ibu
bapa mereka dengan melakukan penyalahgunaan dalam media sosial. Pada masa yang
sama, ibu bapa juga perlulah mengehadkan masa penggunaan media sosial dalam
kalangan anak-anak. Sebagai contoh yang bersesuaian dengan situasi di atas,
anak-anak hanya dibenarkan untuk mengakses media sosial dengan pemantauan
daripada ibu bapa selama satu jam sehari. Mungkin anak-anak ingin mendapatkan
info daripada guru, rakan-rakan atau mengakses Internet untuk bahan rujukan
pembelajaran. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau penggunaan media
sosial dalam kalangan anak-anak yang baru berumur setahun jagung, berdarah
setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Anak diibaratkan
sehelai kain putih, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya
sama ada seindah warna pelangi atau semalap mendung awan di langit. Ibu bapa
harus mengambil alternatif yang lain persis meletakkan komputer di ruangan yang
terbuka sama ada di ruang tamu atau di sudut-sudut yang boleh dilihat
oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh terlepas pandang daripada
memerhatikan anugerah terindah ini lagi-lagi di zaman dunia tanpa sempadan dan
segala maklumat baik buruk hanya di hujung jari sahaja. Setegas-tegasnya
dinyatakan bahawa ibu bapa seyogialah memainkan peranan yang dominan untuk
melahirkan anak-anak yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan
kedua-dua ibu bapa mereka dan bukan anak-anak yang bobrok dan kaya dengan
pidana termasuk jenayah di media sosial.
Paparan demi paparan berita tentang penggunaan media sosial
yang sering menjadi hiasan media arus perdana, nyata perlu dijadikan agenda
penting oleh pihak sekolah. Sekolah diumpamakan sebagai gedung ilmu
bagi insan-insan yang dahagakan ilmu pengetahuan. Mengambil sumber benar lagi
tepat daripada Kamus Dewan (edisi keempat) mendefinisikan sekolah sebagai
tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran.
Persoalan yang bermain-main di minda kita ialah bagaimanakah sekolah boleh
menjadi institusi yang mengawal penggunaan media sosial? Bertepatan dengan
maksudnya, murid menerima pelajaran secara formal meliputi jasmani, emosi,
rohani dan inteleknya seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Guru-guru di sekolah memainkan peranan penting dengan menasihati murid agar
menjadi insan yang bermoral dah bersahsiah terpuji dengan menjauhi
perkara-perkara mungkar bersangkut paut dengan penyalahgunaan media sosial.
Guru mata pelajaran Pendidikan Islam boleh membuktikan hukum penyalahgunaan
media sosial dengan dalil Al-Quran manakala guru mata pelajaran Pendidikan
Moral boleh menyenaraikan beberapa nilai seperti nilai amanah, harga diri,
rasional dan bertanggungjawab. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Jailani Johari berkata jumlah capaian Internet di negara ini mencecah
70.2 peratus dengan purata seseorang melayari laman sesawang ialah empat jam 30
minit sehari. Tidak mustahil 70.2 peratus itu termasuk penggunaan Internet oleh
mereka yang masih memakai uniform sekolah. Larangan membawa telefon bimbit ke
sekolah memang bertepatan dengan peribahasa lama yang menyatakan ibarat orang
mengantuk disorongkan bantal. Budaya buli, gengsterisme dan perlakuan tidak
senonoh yang menjadi tular dalam kalangan murid sekolah begitu menyesakkan
nafas pihak sekolah. Imej sekolah tercalar,apatah lagi air muka ibu bapa mereka
yang melakukan perkara mungkar dan tersebar dalam media sosial yang boleh
disaksikan seantero dunia. Pihak sekolah mengikut hukuman dalam Panduan
Tatacara Disiplin Sekolah selaras dengan Peraturan-peraturan Pelajaran
(Disiplin Sekolah 1959) boleh mengambil tindakan dengan Pembuangan Sekolah,
Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera (Corporal Punishment), Penahanan
(detention) dan Amaran. Unit Kaunseling dan Unit Disiplin di sekolah juga boleh
berganding bahu mengadakan kem motivasi, pameran dan kempen kesedaran untuk
murid tentang penggunaan media sosial. Pendedahan dari segi rohani dan jasmani
boleh membentuk murid yang celik IT dan mengelakkan murid menjadi ketagihan
media sosial. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pihak sekolah memainkan
peranan penting mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan murid-murid di
sekolah agar tidak menjadi kudis bernanah yang merosakkan masyarakat, bak
peribahasa Melayu yang amat berharga iaitu sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Sebelum nasi menjadi bubur, ada baiknya segala masalah
media sosial dikekang sejak di bangku sekolah lagi sebelum membarah dalam
masyarakat.
Populariti media sosial ini tidak dapat disangkal lagi oleh
mana-mana pihak.Masyarakat sendiri perlu bertindak pantas untuk
mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan mereka. Setiap anggota
masyarakat harus menjunjung tinggi sikap bekerjasama dan bertoleransi yang
menjadi senjata utama untuk mengawal penggunaan media sosial. Menurut Kamus
Dewan (edisi keempat) yang benar lagi sahih mendefinisikan masyarakat sebagai
kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara
tertentu. Persoalan yang berlegar-legar dalam minda kita ialah bagaimanakah
seluruh masyarakat Malaysia dapat berganding bahu dan saling mendepani
penggunaan media sosial bak peribahasa Melayu yang tak jemu diucap selalu iaitu
yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing? Adakah masyarakat kita
ambil peduli tentang permasalahan ini atau hanya menutup mata dan memekakkan
telinga masing-masing? Statistik yang diambil daripada akhbar arus perdana iaitu
Utusan Malaysia melaporkan bahawa menurut laman web Internet Lives Stars
seramai tiga bilion atau 40 peratus daripada penduduk dunia menggunakan
Internet. Di Malaysia terdapat hampir 20 juta atau 67 peratus rakyat
menggunakan Internet dan lebih daripada 15 juta orang mengakses Facebook. Ayuh,
bangkitlah semua! Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak
berkuasa dengan melaporkan kepada pihak polis jika terdapat penyalahgunaan
media sosial. Masyarakat di kawasan komuniti masing-masing boleh mengadakan
kempen kesedaran tentang media sosial kepada remaja atau golongan belia. Kempen
kesedaran ini boleh diadakan di dewan serba guna yang gah tersergam dibina di
setiap kawasan perumahan, di balai raya atau di rumah-rumah ibadat seperti
masjid. Forum atau tazkirah santai berkenaan cara penggunaan media sosial yang
betul pasti menarik perhatian golongan belia yang sinonim dengan minat mereka.
Melalui forum, bual bicara atau tazkirah santai tersebut boleh diselitkan
dengan pengenalan aplikasi-aplikasi canggih yang secara tidak langsung
masyarakat itu sendiri dapat membuka minda golongan muda ini untuk menerokainya
dan menjauhi jenayah siber. Masyarakat juga boleh menggunakan media sosial
seperti Facebook, WhatsApps atau Instagram untuk mengajak setiap ahli komuniti
melakukan sesuatu yang memberi impak positif seperti berniaga dalam talian dan
bertukar-tukar idea atau info tentang resipi masakan bagi kaum ibu atau info
pelajaran bagi mereka yang bergelar pelajar . Setiap individu di muka bumi ini
merupakan khalifah yang tugasnya menyeru semua orang berbuat kebaikan dan
bukannya memukul canang menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu melalui
media massa. Masyarakat juga hendaklah berfikir sejenak dan tidak cepat melatah
menerima sesuatu berita itu tanpa menganalisis dengan bijaksana. .Oleh yang
demikian, jelaslah bahawa masyarakat berperanan penting dalam mengawal
penggunaan media sosial bersesuaian dengan peribahasa buat air kerana muafakat,
bulat manusia kerana muafakat. Maka masyarakat hendaklah saling menggembleng
tenaga untuk mengawal penggunaan media sosial.
Sebagai akhir kalam, pihak kerajaan merupakan
tonggak utama dalam mengawal penggunaan media sosial. Statistik yang diambil
daripada Koleksi Rencana Umum Untuk Rujukan Karangan SPM & STPM yang
ditulis oleh Hj. Samat bin Buang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan sebagai
13 negara paling aktif dalam jenayah siber di seluruh dunia. Sebenarnya dalam
konteks jenayah siber, banyak sudah berlaku kes penipuan dalam talian sejak
lima hingga tujuh tahun kebelakangan ini apabila wujud kes-kes seperti “Love
Scam, Parcel Scam dan Online Scam yang menyaksikan penjenayah boleh mengakses
akaun peribadi seseorang mangsa. Modus operandi yang digunakan oleh penjenayah
siber ini ialah menyamar sebagai wakil Bank Negara kononnya akaun mereka
dibekukan dan meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun lain yang lebih
selamat. Pertanyaan yang muncul dalam benak kita ialah bagaimanakah kerajaan
dapat mengawal penyalahgunaan media sosial dalam kalangan masyarakat? Pihak
polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal berhadapan cabaran lebih hebat pada masa
akan datang berikutan pelbagai taktik baharu perlakuan jenayah siber.
Antara undang-undang yang sudah sedia wujud di Malaysia bagi mengawal
selia segala yang berlaku dalam dunia siber ialah Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (Akta 588), dan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563). PDRM
boleh berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) yang diterajui oleh Datuk Sri Salleh Said Keruak untuk mengambil
tindakan tegas kepada seseorang yang menyalahgunakan rangkaian media sosial
untuk menyebar berita palsu, lucah, mengancam keselamatan dengan niat
menyinggung perasaan, menganiaya, menggugat atau mengganggu orang lain. Mereka
boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 dan jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak
melebihi setahun atau kedua-duanya sekali. Janganlah kita hanya bertindak
setelah keadaan sudah menjadi parah. Portal-portal berita yang merasakan mereka
kebal dan bebas untuk melakukan fitnah dan tohmahan serta memutarbelitkan
sesuatu berita perlu diajar memahami undang-undang. Sekarang masa untuk
bertindak bagi mengelakkan yang benar dianggap batil, yang batil dianggap
benar, fitnah diiktiraf sebagai bukti dan tohmahan dijamah setiap hari. Rakyat
semestinya tanpa ragu-ragu menjunjung tinggi prinsip undang-undang negara di
mana-mana sahaja mereka berada, bak kata peribahasa Melayu zaman berzaman iaitu
di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung. Tidak manis kiranya tindakan
undang-undang diambil sebelum diberikan penerangan dan kempen kesedaran tentang
kesan buruk penyalahgunaan media sosial kepada masyarakat. Oleh itu mengambil
pendekatan pendidikan perlu sejak awal usia lagi, program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) merupakan suatu program yang bertepatan untuk menyemai jati diri,
nilai murni yang tinggi dan taat kepada agama, bangsa dan negara selari dengan
laungan slogan ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara. Besarnya harapan
menggunung terpikul di pundak muda-mudi generasi pelapis memimpin negara
tercinta. Oleh itu sudah semestinya mereka iaitu generasi muda yang bakal
menerajui negara sifar daripada penyalahgunaan media sosial. Jelaslah bahawa
pihak kerajaan merupakan peneraju gemilang terhadap sesebuah negara berperanan
menjaga keharmonian dan keamanan negara melalui kempen kesedaran dan
undang-undang yang tegas bagi mengawal penyalahgunaan media sosial.
Sebagai melabuh tirai perbincangan tentang mauduk mengawal
penggunaan media sosial telah dikupas dengan mendalam. Hal ini tidak akan
menemui kejayaan jika tiada sokongan padu daripada pelbagai pihak. Oleh itu,
setiap lapisan masyarakat perlu bahu membahu dan bergandingan tangan untuk
merealisasikan mengawal penggunaan media sosial demi keharmonian dan kemajuan
negara serta membentuk masyarakat yang celik IT, berinovasi dan bermaklumat
seiring dengan lagu Keranamu Malaysia.
Alam
siber teknologi terkini,
Kejayaan
semakin hampiri,
Biar
di kota ataupun desa,
Kita
semua pasti merasa bangga.
Persatuan Digital Malaysia
menyatakan bahawa pada bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web
sosial Facebook merupakan laman web paling popular dalam kalangan lapan juta
rakyat Malaysia.
Pelajar digalakkan mengubahsuai karangan di atas dengan mengaplikasi Kaedah Pengembangan Idea Karangan.
1 ulasan:
Teebaik
Catat Ulasan