Cadangan jawapan:- ( Karangan Menggunakan Kaedah Pengembangan Idea Perenggan Karangan)
Soalan Peperiksaan Percubaan Daerah Batu Pahat, Johor.
Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, Tun
Dr. Mahathir Mohammad, pernah mengatakan bahawa sesebuah masyarakat yang tidak
menguasai ilmu atau kecekapan yang penting, pada suatu zaman akan dijajah orang
lain. Jelaslah bahawa ilmu menjadi penyuluh hidup dalam semua aspek; sama ada
dalam kehidupan sesebuah individu ataupun pembinaan sesebuah bangsa dan negara.
Kini, kerajaan Malaysia amat mementingkan ilmu pengetahuan dalam kalangan
masyarakatnya dan menyeru rakyatnya agar menyabung pengajian ke peringkat yang
lebih tinggi. Antara initiatif kerajaan termasuklah menangguhkan mereka yang
gajinya kurang dari RM 4000 daripada membayar pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN). Selain itu, kerajaan juga menyediakan
pelbagai biasiswa untuk murid-murid yang cemerlang dan juga golongan
berpendapatan rendah supaya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di
institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Malaysia. Pada pendapat saya, banyak
faedah yang boleh kita akan peroleh apabila kita dapat melanjutkan pengajian ke peringkat
yang lebih tinggi. Persoalanya, apakah faedah-faedah yang kita akan peroleh
sekiranya kita berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi ?
Sebagai pelajar berminda kelas pertama, saya ingin membahaskan kelebihan melanjutkan pelajar ke IPT dengan kata kunci dapat berkawan dengan cendekiawan. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa jika kita berkawan dengan si pembuat besi, maka kita akan terasa kepanasan bahang apinya. Namun, sekirannya kita berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung bau wanginya akan terletak pada diri kita. Maksudnya, kita sebagai manusia senang dipengaruhi oleh orang-orang di sekeliling kita; oleh sebab itu kita haruslah bijak memilih rakan dan juga suasana di sekeliling kita untuk menyemai sikap-sikap positif dalam diri kita. Dengan melanjutkan pelajaran di universiti, kita akan banyak menjumpai mereka yang bijak pandai, rajin, inovatif, dan kreatif. Secara tidak langsung, kita akan mencontohi sikap–sikap terpuji mereka ini. Nilai–nilai tersebut banyak membantu dalam kehidupan seharian kita dan masa depan kita, bukan di sekolah sahaja. Seseorang yang ringan tulang dan sedia membantu sudah tentu akan lebih disenangi oleh manusia–manusia disekelilingnya berbanding rakan yang malas, bermulut tajam, dan megkhianati orang lain. Pendek kata, objektif melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti bukan semata-mata untuk menimba ilmu sahaja, tetapi juga untuk membina perwatakkan diri yang baik dan juga kemahiran-kemahiran lain seperti cara berkomunikasi dan melayan orang lain yang berada di sekeliling kita. Jika saya dapat melanjutkan pelajaran ke institut-institut pengajian tinggi awam sudah pasti saya merupakan orang yang paling bertuah kerana saya mampu menjadi golongan cendekiawan dan sudah pasti banyak impak positif yang akan saya terima seperti saya disemai dengan perwatakan, dan sahsiah golongan berkenaan sekaligus saya akan dipuji masyarakat. Tegasnya, kelebihan melanjutkan pengajian ke IPT akan memudahkan kita berkawan dengan cendekiawan yang akan menjadi rakan taulan kita sepanjang kita berada di menara gading.
Seterusnya, saya meluaskan horizon perbincangan dengan membahaskan kata kunci mauduk iaitu dengan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti mampu membantu saya mendapatkan pekerjaan setelah saya menamatkan pengajian. Dalam mendepani ombak modenisasi ini, kualifikasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi mencukupi untuk memastikan seseorang mendapatkan pekerjaan yang dihajati dan kelulusan sijil pelajaran Malaysia (SPM) hanya mampu membantu seseorang mendapatkan pekerjaan dengan gaji minimum sahaja. Seyogia, mereka yang hanya mempunyai sijil pelajaran sahaja pada zaman mencabar marcapada tidak mampu menampung kos sara hidup untuk kehidupan yang lebih kondusif apatah lagi bagi mereka yang telah berkeluarga. Adakah kita ingin terus-menerus bergantung kepada ibu bapa sepanjang hidup kita? Mereka sudah tua; kita perlu bertanggungjawab terhadap kehidupan kita sendiri. Demi mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan yang lebih stabil, ijazah pertama menjadi kualifikasi minimum yang diperlukan. Hal ini demikian kerana pasaran tenaga manusia kini tepu dengan pemegang sijil ijazah pertama dan diploma. Demi bersaing dengan mereka, kita sendiri memerlukan kualifikasi yang sama. Walaupun sijil ijazah pertama atau diploma tidak akan menjamin kita mendapatkan pekerjaan, tetapi dengan sijil dan diploma berkenaan kita akan dapat meningkatkan peluang untuk berkerjaya. Asalkan kita bijak merebut peluang dan tekad mencari pekerjaan, sudah tentu kita akan berjaya. Sekiranya, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA sudah pasti kehidupan masa depan saya akan cemerlang. Sebaliknya, jika saya tidak mempunyai kelulusan, sudah pasti saya akan menghadapi kesukaran untuk bersaing mendapat kerja dengan mereka yang mempunyai ijazah, diploma apatah lagi sijil SPM dalam menempuh dunia yang penuh dengan ranjau dan duri.Tuntasnya, melanjutkan pengajian ke peringkat universiti mampu membantu saya mendapatkan pekerjaan setelah saya menamatkan pengajian nanti.
Seterusnya, dengan melanjutkan pelajaran ke IPTA juga kita dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Negara Malaysia kini mengalami pembangunan yang pesat sejajar dengan usaha kerajaan untuk menyediakan negara dan masyarakat ke arah negara berstatus maju. Wujudnya inisiatif-inisiatif, sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta, dalam pembinaaan infrastruktur, kemudahan awam, perkembangan teknologi dan juga intergrasi penggunaan teknologi, maklumat, komunikasi (TMK) dalam kehidupan masyarakat seharian. Oleh itu, Malaysia memerlukan pakar – pakar dan golongan profesional dalam bidang tersebut untuk menjayakan usaha-usaha yang dilakukan. Sebagai tamsilan, projek penambahbaikan Genting Highlands, antara tempat pelancongan yang terbesar di Malaysia, memerlukan sekurang-kurangnya 2 juta individu yang pakar dalam bidang TMK, kejuruteraan, pelancongan, dan sebagainya untuk menjayakan projek tersebut dalam tempoh dua tahun ini. Sekirannya tidak cukup rakyat Malaysia yang layak dari segi ilmu pengetahuan, kualifikasi, dan pengalaman, siapakah yang akan menjalankan projek tersebut? Adakah kita, sebagai rakyat Malaysia, ingin mengancam status quo kita di tanah air kita dengan kemasukan orang asing untuk memenuhi kuota pelaksanaan projek tersebut? Begitu cepat kita lupa apa yang terjadi pada zaman pemerintahan British? Oleh itu, kita haruslah berusaha memainkan peranan kita, walaupun sedikit, untuk menyambut usaha-usaha tersebut dan menjayakannya. Tuntasnya, pelanjutan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi akan mewujudkan rakyat Malaysia yang layak dan mampu menyumbang dalam pembangunan negara kita yang tercinta ini.
Di samping itu, melanjutkan pelajaran di universiti akan melahirkan golongan intelektual yang mampu bersaing di persada antarabangsa. Seyogia, dengan melanjutkan pelajaran akan membuka mata para pelajar kepada dunia intelek yang tidak mungkin diketahui mereka sebelum ini melalui program-program yang bertujuan untuk mendedahkan murid kepada dunia di luar. Antaranya ialah penganjuran seminar, atau bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah luar. Selain itu, juga wujudnya universiti-universiti yang mempunyai persetejuan awal dengan universiti negara lain untuk mengadakan program pertukaran pelajar. Melalui program tersebut, pelajar-pelajar yang layak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Pengalaman ini sangat penting untuk mendedahkan para pelajar kepada perbezaan yang wujud antara negara kita dan negara lain. Pengalaman ini juga membangkitkan semangat inkuiri dalam diri pelajar dan membolehkannya membina perwatakan sendiri. Secara umumnya, pengajian ke peringkat universiti memberi pelajar-pelajar peluang untuk memperbaiki diri sendiri yang tidak didapati di tempat lain. Oleh sebab itu, sekiranya kita berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan bergelar Dr. Falsafah atau PHD, kita merupakan orang yang mampu untuk mencorakkan negara menjadi negara maju kerana negara memerlukan kreativiti kita untuk mencipta sesuatu yang baru sama ada untuk industri pertanian, permotoran, perkilangan dan sebagainya. Tegasnya, melanjutkan pelajaran di universiti akan melahirkan golongan intelektual yang mampu bersaing di persada antarabangsa.
Konklusinya, banyak faedah yang boleh kita dapati melalui pelanjutan pelajaran ke peringkat universiti. Kita haruslah menyambut hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan dan mengambil peluang ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti. Bersyukurlah, kerana bukan semua manusia di dunia ini diberi peluang sama untuk menimba ilmu pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi seperti di negara kita. Wujudnya negara yang terlalu miskin sehingga kerajaannya tidak mampu mendirikan pusat pengajian tinggi. Ada juga negara di mana kos pengajian tinggi terlalu mahal sehingga majoriti rakyatnya tidak mampu membiayainya ataupun muflis demi mengejarkan ilmu. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, gunakanlah peluang yang diberi ini sebaik mungkin dan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Pelajar dibenarkan untuk mengubahsuai dan membuat penambahbaikan karangan di atas kerana masih banyak pembetulan yang perlu dibuat. Karangan di atas hanya sebagai lontaran cara untuk menghasilkan karangan cemerlang
5 ulasan:
Thks! Sangat mmbantu untuk spm esok
Haha same here
alhamdulillah sangat membantu untuk spm esk
terima kasih kerana membantu dalam pengembangan isi karangan saya utk SPM esok
Isi yang ditulis berlainan dengan isi yang diberi di gambar atas?==
Catat Ulasan