Khamis, 15 November 2018

ULASAN SOALAN KARANGAN BERPANDU SPM 2018


Soalan berpandu di atas meminta pelajar menulis langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, isi karangan berkenaan telah diberikan, antaranya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan awam, antaranya:-
  1.  meningkatkan mutu perkhidmatan
  2.  memperbanyakkan kempen
  3.  menawarkan tambang berpatutan
Pelajar cemerlang dan bijak akan menambah satu lagi isi KBAT, di luar daripada maklumat dalam petikan diberikan seperti :-

  1. mendidik anak-anak menggunakan pengangkutan awam daripada kecil.
  2. mewujudkan sistem pengangkutan berintergrasi
  3. mewujudkan hiburan untuk pengguna dalam pengangkutan awam.
    Paling penting pelajar perlu banyak membaca sama ada melalui buku, surat khabar, atau sumber atas talian sama ada melalui akses internet serta membuat latihan yang banyak berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia akan gembira mendapat soalan sebegini rupa. Insya-Allah saya akan cuba memberikan contoh karangan terbaik berkaitan tajuk ini. Namun, pelajar yang banyak membaca dan mempunyai kemahiran KBAT semasa mengarang sangat bertuah menjawab tajuk soalan bergini. Pelajar cemerlang dapat mengaplikasi kemahiran mengarang mereka dalam pelbagai situasi dan dimensi soalan. 

    Selain itu, pelajar juga perlu ada acuan atau kaedah untuk menghasilkan karangan yang baik dan bermutu, dan kaedah yang saya maksudkan ialah pendekatan guru untuk menjelaskan cara untuk mengarang dengan baik. Banyak kaedah yang boleh digunapakai seperti kaedah imbakup, kaedah saya gunakan iaitu Kaedah Pengembangan Idea Perenggan Karangan, dan pelbagai lagi. Paling utama kaedah berkenaan mampu untuk membantu pelajar mengembangkan isi, huraian isi,ayat contoh, frasa menarik,ayat KBAT, dan ayat penegas. Selain itu, pelajar juga perlu mahir menulis perenggan isi, dan juga perenggan penutup.

     Sebagai makluman, penulisan karangan berpandu dengan karangan bahagian B atau karangan dimensi sama sahaja, yang membezakannya karangan berpandu ada diberikan panduan isi, sementara karangan dimensi memerlukan pelajar menulis isi sendiri. Selain itu, karangan berpandu memerlukan 4 isi dan isi keempat jika tidak disenaraikan boleh menggunakan isi sendiri tetapi perlu merujuk tajuk. Sedangkan karangan berbentuk dimensi, pelajar perlu menyenaraikan 5 isi. Semoga pelajar faham dengan penerangan di atas.

Contoh Karangan Berpandu:-

Perenggan Pengenalan:-

Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan konvensional. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya disediakan oleh kerajaan. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada kemajuan dan keselesaan pengguna sesebuah negara. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan diperoleh apabila masyarakat menggunakannya. Pengenalan sistem pengangkutan terkini seperti perkhidmatan grab car atau e-haling, dan Uber merancakkan lagi sistem pengangkutan awam dengan pengguna diberi kesempatan untuk memilih pelbagai pengangkutan awam yang ada di negara kita. Namun, sekiranya budaya masyarakat tidak berubah dan pengguna masih menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi mereka, bermakna kerajaan gagal mencapai objektifnya untuk menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dimainkan oleh kerajaan, masyarakat dan keluarga untuk memastikan pengangkutan awam menjadi keutamaan dalam kalangan pengguna.


        Sebagai seorang pelajar mempunyai minda kelas pertama, saya berpendapat pihak kerajaan perlu meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam seperti mewujudkan sistem tiket berintergrasi.  Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket digunapakai telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain . Hal kerana pengguna lebih selesa memilih pengangkutan awam yang sesuai setiap lokasi tempat tumpuan mereka. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian.  Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia.  Di Melbourne penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas.  Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Sekiranya pendekatan ini dilaksanakan bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur laluan perjalanan harian mereka secara lebih selesa.  Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam. Tegasnya, pihak kerajaan perlu meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam seperti mewujudkan sistem tiket berintergrasi atau bersepadu.

       Sebagai pelajar berminda kelas pertama, saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan memperbanyak kempen untuk menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam. Antara kempen berkenaan ialah menguar-uarkan kuantiti dan kualiti serta kekerapan laluan pengangkutan awam ke sesuatu destinasi.  Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai.  Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seperti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam.  Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik termoden, kekerapan perkhidmatan train elektrik di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal.  Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut kerana masa itu emas. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.


        Selain itu, sebagai mengukuhkan lagi usaha untuk menggalakkan masyarakat pengguna menggunakan sistem pengangkutan awam saya mencadangkan pihak kerajaan atau swasta meneruskan usaha mengurangkan harga tiket pengangkutan awam melibatkan golongan warga emas, anak-anak dibawah umur, golongan pelajar malah warga yang menggunakan perkhidmatan awam setiap masa. Bahkan juga harga tiket boleh diberi potongan kepada keluarga yang menggunakan perkhidmatan awam dalam bilangan ahli keluarga yang besar. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga berkenaan membeli tiket sama ada bas atau kereta api untuk kegunaan ahli keluarga melibatkan  sepuluh ahli keluarga ke atas, keluarga berkenaan boleh mendapat diskaun harga berbanding mereka membeli tiket secara individu. Sekiranya, potongan harga diberikan kepada kategori pengguna kereta api atau bas seperti yang saya perkatakan seperti di atas, sudah pasti masyarakat pengguna pengangkutan awam akan tertarik untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Hal ini kerana, pengguna akan mendapat keuntungan kerana kos yang mereka bayar untuk menggunakan pengangkutan awam amat berpatutan. Bagi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam pula, mereka perlu sedar bahawa dengan adanya potongan harga sedemikian rupa, sudah pasti ruangan tempat duduk bas atau kereta api akan sentiasa penuh dan situasi ini sudah pasti akan menguntungkan mereka berbanding dengan harga tiket biasa, tempat duduk disediakan oleh perkhidmatan pengangkutan awam mereka sentiasa tidak diisi kerana konsep sama untung atau menang-menang perlu ada dalam kalangan pengguna dan penyedia pengangkutan awam di Malaysia. Sekiranya penyedia perkhidmatan awam terus menerus untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan keuntungan kepada pengguna, sampai bila-bila hasrat kerajaan untuk menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan awam tidak akan menjadi kenyataan kerana pengguna lebih suka memilih untuk menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk menuju ke destinasi mereka. Tegasnya, untuk menggalakkan masyarakat pengguna menggunakan sistem pengangkutan awam pihak kerajaan atau swasta perlu meneruskan usaha mengurangkan harga tiket pengangkutan awam melibatkan golongan warga emas, anak-anak dibawah umur, golongan pelajar malah warga yang menggunakan perkhidmatan awam setiap masa. Bahkan juga harga tiket boleh diberi potongan kepada keluarga yang menggunakan perkhidmatan awam dalam bilangan ahli keluarga yang besar.

       Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.

   Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.


6 ulasan:

Unknown berkata...

Terbaiklah ayat dia.

Unknown berkata...

Assalamualaikum.. Saya nak tanya jika tajuk tulis 'orang ramai' tetapi saya gantikan'masyarakat'dalam karangan saya...boleh x?

MOHD. RAMSUL ABD. RAHIMAN berkata...

Waalaikumsalam, jika tak salah saya soalan di atas bermaksud subjek soalan memerlukan calon menulis contohnya kepentingan membaca dalam kalangan orang ramai dan yang anda tulis kepentingan membaca dalam kalangan masyarakat. Pada hakikatnya, masyarakat merupakan sekelompok orang yang tinggal disesuatu kawasan. Oleh sebab itu penggunaan orang ramai dan masyarakat tidak menimbulkan banyak perbezaan. Insya-Allah.

Unknown berkata...

nampak mcm pjg je ni brapa patah perkataan?

Unknown berkata...

Nampak macam panjang sangat.

Unknown berkata...

Memang lojik ini karangan😘😘