Sabtu, 10 November 2018

NOTA SOALAN 2(D) YANG KELUAR DALAM PEPERIKSAAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2018 SE MALAYSIA

  1. Seloka Berbuat Istana Zaman Dahulu
  2. Sajak Erti Hidup Bererti
  3. Syair Bidasari
  4. Sajak Sejadah Rindu
  5. Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga) Ting 4
SELOKA – BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU (Za’ba)
A MAKSUD

RANGKAP 1
Baginda sultan menitahkan empat orang pembesar untuk membina istana sebagai mercu tanda kotanya. Oleh hal yang demikian, Pawang Raja telah mengerah rakyat untuk bekerja keras. Sebanyak empat puluh empat orang jurubina dan pandai tukang dan projek pembinaan itu dijalankan siang dan malam tanpa henti.

RANGKAP 2
Pembinaan istana baginda itu menelan masa tujuh bulan sehingga siapkan sempurna dengan perabot dan segala peralatan di dalamnya. Istana yang disiapkan itu tersergam indah dengan sembilan ruang utama yang memiliki sepuluh batang tiang penyokong. Di dalam istana itu, ada kain yang disusun dan diikat serong dengan puncanya tergantung dan memiliki kawasan anjung yang tinggi.

RANGKAP 3
Di dalam istana itu, ada tiga sudut untuk kegunaan lapan orang menteri yang utama yang dihias dengan tiga batang tiang yang dinamakan maharaja lela. Di tengah-tengah istana itu, ada sebatang tiang besar yang kukuh yang bertanggam dengan ukiran corak ular yang garang. Kayu yang melintang pada atap istana pula bercorak seorang puteri yang menyembah dan sebatang kayu yang melengkung pada atap istana juga bercorak ukiran helang di sekelilingnya.

RANGKAP 4
Bahagian tingkap istana raja dibina dengan seni yang istimewa, yakni berukir corak bunga dan ular sawa yang berbaring dengan lemah longlai. Di samping itu, jendela istana pula diperbuat daripada batu yang kukuh dan bertiang. Seni bina ini dipercantik dengan ukiran Jawa dan Cina. Selepas itu, garam ditaburkan di sekeliling istana yang baharu untuk membuang segala kekotoran dan anasir jahat yang cuba dibawa oleh pendatang asing atau nakhoda. Pada pintu istana yang besar itu, ukiran bunga kenanga amat jelas kelihatan bersama corak ular. Demikianlah keunikan istana raja yang siap dibina.

RANGKAP 5
Setelah istana siap dibina, tukang bina istana pun meninggal dunia. Kesetiaan jurubina istana ini menyempurnakan pembinaan istana ini amat terserlah apabila tiada sesiapa yang dapat meniru teknik dan gaya pembinaan istana tersebut. Apabila istana siap dibina, pembesar yang bertanggungjawab dalam pembinaan itu mempersembahkan istana tersebut kepada baginda raja dan permaisuri.

B TEMA DAN PERSOALAN

Tema seloka ini ialah keunikan seni bina istana yang dibina oleh jurubina yang setia. Hal ini dapat dibuktikan apabila tukang bina istana meninggal dunia selepas istana siap dibina dan memastikan tiada sesiapa yang mampu meniru pembinaan itu.
Persoalan
(a) Kepentingan istana kepada raja.
(b) Keunikan seni bina istana.
(c) Kesetiaan pembesar kepada raja.
(d) Kesempurnaan seni bina istana lama.

C GAYA BAHASA
(a) Repitasi
Buktinya, empat puluh empat tukang dan utas
(b) Imej alam atau imejan
Buktinya, Berbunga sawa mengelempai,
Garam sebuku sisa jeragan
Bunga kenangan dimakan ular
(c) Anafora
Buktinya, Tiang panjang maharaja lela
Tiang tengah syukur menanti
Kasau kecil puteri menyembah
Kasau lentik helang berbega
(d) Responsi
Buktinya, Istana siap dengan alatnya,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi.

D NILAI MURNI
(a) Kesetiaan
(b) Bertanggungjawab
(c) Amanah
(d) Kegigihan
(e) Ketaatan

E PENGAJARAN
(a) Kita mestilah setia kepada raja dan menjalankan titah perintah raja dengan sempurna.
(b) Kita mestilah bertanggungjawab dalam semua tugasan yang kita jalankan.
(c) Kita mestilah memegang amanah yang diberikan kepada kita oleh raja.
(d) Kita mestilah gigih mengerjakan sesuatu tugasan sehingga selesai.
(e) Kita mestilah taat setia kepada raja dan mengikut titah perintah baginda.

SAJAK – ERTI HIDUP BERERTI (Teo Wei Sing)

SAJAK – ERTI HIDUP BERERTI (Teo Wei Sing)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Penulis berkata bahawa setiap malam yang dilaluinya adalah sepi seribu bahasa yang tidak pernah membawa apa-apa perubahan dalam dirinya. Dia berteka-teki dengan diri sendiri sama ada anaknya akan datang menjenguknya. Oleh hal yang demikian, penulis yang mengeluh telah meluahkan kesunyiannya pada usia tua dengan harapan hari-hari tuanya akan menjadi lebih bermakna.

RANGKAP 2
Penulis hanya dapat membayangkan ketenangan hidup dan kesegaran usia mudanya yang pernah dilaluinya pada usia muda. Pada usia tua yang semakin terbatas ini, penulis meluahkan perasaan kecewanya terhadap anak-anak yang kian melupakan ibu yang pernah mengandungkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anaknya tidak mahu bertanggungjawab menjaga ibu yang sudah tua, sebaliknya dihantar dari rumah seorang anak ke rumah seorang anak yang tidak mahu menjaganya dengan lama. Hal ini menyebabkan penulis berfikir tentang erti kehidupan sebagai ibu yang sebenar kerana dia tidak mempunyai tempat untuk mengadu sakit waima meneruskan hidupnya.

RANGKAP 3
Penulis berkata bahawa dirinya sebagai seorang ibu seolah-olah tidak bermakna kepada anak-anak kandungnya. Penulis juga berharap agar anak-anaknya insaf akan kesilapan yang dilakukan oleh mereka agar tidak terus menjadi anak yang derhaka. Penulis ingin menegaskan bahawa setiap manusia akan melalui kehidupan, ketuaan, dan kematian. Oleh hal yang demikian, penulis berharap agar kesedihan dan kepiluan rasanya dapat diubati dengan kasih sayang dan keprihatinan daripada anak-anaknya.

B TEMA DAN PERSOALAN
Tema sajak ini ialah kesunyian hidup warga tua yang berharap agar anak-anak akan datang menjenguknya dan menyayanginya. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis berasa seih dan pilu serta kesunyian pada usia tua. Dia berharap agar anak-anak dapat melawatnya dan memberikan kasih sayang kepadanya sebagaimana dia menyayangi anak-anaknya sewaktu mereka kecil dulu.

Persoalan
(a) Kesunyian hidup pada usia tua.
(b) Kasih sayang ibu kepada anak.
(c) Pengorbanan ibu bapa terhadap anak.
(d) Nasib warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak
(e) Harapan ibu bapa kepada anak.
(f) Kesepian hidup sendirian pada usia tua.
(g) Penderitaan ibu bapa yang diabaikan.
(h) Hidup dan mati ketentuan Tuhan

C GAYA BAHASA
(a) Personifikasi
Buktinya, malam sepi
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
(b) Simile
Buktinya, bagai kalung
(c) Sinkope
Buktinya, yang melingkari leherku
siapa yang akan datang menjengukku
kucari erti hidup
anakku bakaku
(d) Anafora
Buktinya, dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
ada yang mati
ada yang hidup
(e) Responsi
Buktinya, dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.
(f) Metafora
Buktinya, Keheningan tasik
kehijauan rumput
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
(g) Imejan atau imej alam
Buktinya, Keheningan tasik
kehijauan rumput

D NILAI MURNI
(a) Kasih sayang
(b) Ketabahan
(c) Ketaatan
(d) Berdikari
(e) Kesabaran
(f) Bertanggungjawab

E PENGAJARAN
(a) Kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dan menjaga ibu bapa sehingga hari tua mereka.
(b) Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri, terutamanya menghadapi usia yang tua.
(c) Kita haruslah taat kepada ibu bapa dan tidak melupakan mereka selepas berpindah dari rumah ibu bapa, malah sentiasa menjenguk mereka.
(d) Kita mestilah berdikari sewaktu hidup di bandar seorang diri supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain, walaupun sewaktu tua.
(e) Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa kita agar dapat menjadikan diri kita lebih kental.
(f) Kita haruslah menjadi anak yang bertanggungjawab dengan menjaga kebajikan ibu bapa dan menyejahterakan serta membahagiakan mereka

  SYAIR BIDASARI

A. MAKSUD RANGKAP
Rangkap 1

          Dengarkan tuan suatu riwayat
          Raja di desa Negeri Kembayat
          Dikarang fakir dijadikan hikayat
          Supaya menjadi tamsil ibarat

Pengenalan kisah seorang raja yang memerintah Negeri Kembayat. Pengarangnya hanya mahu dikenali sebagai fakir sebagai tanda merendah diri. Tujuan hikayat supaya menjadi contoh dan perbandingan kepada pembaca.

Rangkap 2

          Ada raja suatu negeri,
          Sultan halifah akas bestari,
          Asalnya baginda raja yang bahari,
          Melimpah ngadil dagang senteri.

Di sebuah negeri terdapat seorang pemerintah, iaitu sultan yang gagah perkasa lagi bijaksana. Baginda raja dahulukala yang cemerlang (pada peringkat awal sebelum dilanggar geroda). Keadilan baginda telah menggamit kedatangan para pedagang dan orang soleh (pelajar ilmu agama yang merantau).

Rangkap 3

           Hairan orang empunya temasya,
           Baginda itulah raja perkasa,
           Sangat tiada merasai susah,
           Entah pada esok dan lusa.

Kegagahan dan kelangsungan pemerintahan baginda memang mengkagumkan. Sesaat pun baginda tidak mengalami kesusahan. Namun, tiada sesiapa yang tahu sama ada keadaan itu akan berkekalan atau sebaliknya.

Rangkap 4

          Seri sultan raja bestari,
          Setelah ia sudah beristeri,
          Beberapa bulan beberapa hari,
          Hamillah puteri permaisuri.

Sultan yang bijaksana bertambah berseri apabila menempuh alam perkahwinan. Selang beberapa bulan, permaisuri pun hamil.

Rangkap 5

          Beberapa lamanya dalam kerajaan,
          Baginda duduk bersuka-sukaan,
          Datanglah beroleh kedukaan,
          Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Setelah beberapa tahun memerintah negara dengan bahagia dan aman sentosa, dugaan mala petaka datang melanda. Baginda terpaksa berundur dari istana.

Rangkap 6

          Datanglah kepada suatu masa,
          Melayanglah unggas dari angkasa,
          Unggas gurda sangat perkasa,
          Menjadi negeri rosak binasa.

Tiba-tiba pada suatu hari muncul seekor burung raksasa melayang di ruang angkasa negeri Kembayat. Geroda, iaitu helang besar (seperti dalam epik Hindu, Visynu: dalam syair dieja sebagai gurda) melanggar Kembayat sehingga menimbulkan huru-hara dan kemusnahan.

Rangkap 7

          Datanglah menyambar suaranya bahana,
          Gemparlah sekalian mulia dan hina,
          Seisi negeri gundah-gelana,
          Membawa diri ke mana-mana.

Geroda melakukan serangan dengan suara yang bergema luar biasa. Sekalian rakyat negeri Kembayat berada dalam keadaan huru-hara dan kekalutan. Seluruh negeri dilanda duka lara dan lesu, serta rakyat bercempera tanpa arah tujuan.

Rangkap 8

          Baginda pun sedang dihadap orang,
          Mendengar gempar seperti perang,
          Bertitah baginda raja yang garang,
          "Gempar ini apakah kurang."


Ketika itu baginda sedang bersemayam di singgahsana sambil menerima menghadap pembesar dan rakyat jelata. Keadaan huru-hara bagaikan di medan peperangan jelas kedengaran. Baginda bertitah dengan nada yang tegas tentang perkara cemas apa pula yang berlaku.

B.   Tema

Menceritakan Raja Kembayat Negara dan Permaisurinya yang sedang melarikan diri telah tiba di sebuah hutan. Mereka telah tiba di sebuah kampung dan permaisuri yang sarat mengandung telah tiba waktu untuk bersalin.Mereka mencari tempat persinggahan yang sesuai yang berhampiran dengan sungai.

C. Persoalan

Persoalan  perjalanan yang penuh rintangan dalam usaha mencari kehidupan yang lebih terjamin.
Persoalan pengorbanan yang perlu ditanggung demi orang yang tersayang.
Persoalan kasih sayang seorang suami terhadap isteri.

C.  Bentuk

Terdiri daripada 8 rangkap.
Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5 patah kata.
Semua baris adalah maksud.
Rima akhir aaaa.


D.  Gaya Bahasa

Asonansi -Pengulangan huruf vokal -  Dengarkan tuan suatu riwayat (a)
Aliterasi -  Seri sultan raja bestari (s)
Bahasa  klasik-  akas, ngadil, halifah, takhta
Bahasa istana - baginda, permaisuri, takhta


E.  Nilai

Nilai ketaatan
Rakyat Kembayat taat kepada sultan pemerintah. 

Nilai tanggungjawab
Raja negeri Kembayat bertanggungjawab mentadbir negeri.

Nilai keprihatin seorang pemimpin
Seseorang perlu prihatin dengan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.

Nilai kasih-sayang
Raja yang menyayangi rakyat dan isterinya.



F.  Pengajaran

Kita hendaklah bersabar dalam mengharungi ranjau kehidupan agar hidup lebih bermakna.
Kita hendaklah berkorban demi orang yang kita kasihi agar mereka beroleh kebahagiaan  .
Kita hendaklah prihatin dengan kesusahan yang tanggung oleh orang lain.
Kita hendaklah bersyukur kepada Tuhan kerana negara kita sentiasa aman dan makmur.
Kita mestilah berani menghadapi cabaran masa depan.
Kita mestilah bijak mentadbir negara untuk kebaikan bersama.


SAJAK – SEJADAH RINDU (Mohd. Haikal Aminuddin)

A MAKSUD

RANGKAP 1
Penulis menangis sewaktu sujud di atas kain sejadah sambil membaca ayat-ayat suci dalam sembahyang yang didirikannya. Pada waktu itu, dia yang khusyuk bersembahyang dikuasai rasa insaf yang sudah lama terpendam mula terbit di dalam hati. Hal ini terjadi demikian kerana penulis teringat akan dosa-dosa yang pernah dilakukannya sejak dahulu.

RANGKAP 2
Dengan penuh keinsafan di dalam hati, penulis tetap bersyukur kerana dia mendapat peluang hidup yang dikurniakan kepadanya oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa. Penulis juga sedar bahawa hidupnya semakin terbatas dan terhad kerana usianya semakin lanjut. Oleh hal yang demikian, penulis berharap agar Tuhan mengampunkannya sebelum dia menemui ajal pada waktu yang ditetapkan oleh-Nya.

RANGKAP 3
Sewaktu bersujud di atas tikar sembahyang, penulis mengalirkan air mata keinsafan dan ikhlas memohon keampunan daripada-Nya. Dalam kesepian dan kesunyian diri pada usia tua itu, penulis juga meluahkan rasa insaf dan taubatnya kepada Tuhan melalui doa yang dipanjatkannya dalam sembahyang yang didirikan. Pada masa yang sama, penulis berasa sebak atas segala-galanya yang terjadi kerana banyak dosa yang telah dilakukannya sebelum ini.

RANGKAP 4
Penulis berasa bahawa perasaannya sedih sekali dan jiwanya terkesan oleh perasaan insaf yang makin galak menguasai sanubarinya. Oleh sebab itu, dia terus memanjatkan doa di atas tikar sembahyang yang sudah lama digunakannya. Penulis meminta maaf dengan bersungguh-sungguh daripada Tuhan yang Maha Berkuasa agar mendapat keampunan demi meneruskan sisa-sisa hidupnya yang tidal lama lagi akan menemui Pencipta.

RANGKAP 5
Penulis berdoa kepada Tuhan yang Maha Esa agar dia menjadi manusia yang taat akan didikan agama. Selain itu, penulis juga berjanji akan mengikut segala perintah Tuhan yang Maha Berkuasa. Hal ini penting agar dia tidak akan lupa untuk mengingatkan diri bahawa kita hidup untuk sementara waktu sahaja.

B TEMA DAN PERSOALAN
Tema sajak ini ialah ketuhanan dan ketaatan seseorang kepada agama. Hal ini dapat dibuktikan oleh penyajak yang berasa insaf ketika mendekatkan diri kepada Tuhan. Apabila mengabdikan diri kepada Tuhan, dia berharap agar dosa-dosanya dapat diampunkan sebelum dia meninggal dunia.

Persoalan
(a) Keinsafan seseorang yang banyak berdosa.
(b) Kepentingan mendirikan sembahyang.
(c) Kepentingan didikan agama
(d) Kebaikan sifat bertaubat atas dosa yang dilakukan.
(e) Pengabdian kepada Tuhan Yang Masa Esa.

C GAYA BAHASA
(a) Metafora
Buktinya, di sejadah rindu
(b) Bahasa asing, bahasa Arab
Buktinya, mengungkap kalimah syahdu
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
aku sujud menghadap Ilahi
lafaz taubat mengiringi
(c) Pengulangan kata
Buktinya, di sejadah rindu
di masa yang Kautetapkan
di keheningan yang sepi
di sejadah rindu yang luruh
(d) Sinkope
Buktinya, mengenang dosaku yang terdahulu
kupohon kembali nafas kehidupan
di masa yang Kautetapkan
kemaafan yang kupohon
(e) Responsi
Buktinya, izinkan aku menjadi manusia
agar aku tidak lupa

D NILAI MURNI
(a) Keinsafan
(b) Kepercayaan kepada Tuhan
(c) Rasional
(d) Kesyukuran
(e) Ketaatan
(f) Hemah tinggi
(g) Keikhlasan
(h) Kejujuran
(i) Keberanian

E PENGAJARAN
(a) Kita mestilah insaf akan kesilapan diri dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.
(b) Kita mestilah percaya bahawa adanya kita di bumi ini kepada kuasa Tuhan yang Maha Esa.
(c) Kita mestilah berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.
(d) Kita mestilah bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat dan peluang hidup yang dikurniakan kepada kita.
(e) Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
(f) Kita mestilah mengakui kesalahan diri dan sedar bahawa keampunan daripada Tuhan dapat memberikan ketenangan hidup.
(g) Kita mestilah ikhlas meminta keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa agar hidup menjadi lebih tenang.
(h) Kita haruslah jujur dalam perbuatan dan tingkah laku agar tidak menyesal kemudian hari.

  Gurindam Dua Belas (Fasal yang Ketiga)

Pabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.    

Mata haruslah diperlihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh tuhan


Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.

Telinga perlu dijauhkan dari mendengar segala hasutan dan kejian.


Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.

Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaatnya


Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
Daripada segala berat dan ringan.    

Tangan perlu dipelihara daripada mengambil barang yang bukan hak kita.


Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tidak senonoh.

Nafsu makan perlu dikawal supaya tidak melakukan perbuatan yang dilarang.


Anggota tengah hendaklah ingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat.


Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.


Anggota kaki perlulah dipelihara dari melangkah ke tempat-tempat yang maksiat.


Tema     

Nasihat memelihara anggota diri.
Gurindam ini memberi nasihat supaya memelihara anggota diri dan berbudi pekerti.

Persoalan

Persoalan memelihara penglihatan dalam kehidupan
Persoalan kebaikan memelihara tutur kata
Persoalan pentingnya memelihara pendengaran
Persoalan semangat penting dalam kehidupan

Bentuk

Mempunyai 7 rangkap.

Setiap rangkap mengandungi 2 baris
            Contohnya : Apabila terpelihara mata,
        Sedikitlah cita-cita

Jumlah perkataan antara 2 hingga enam perkataan

Suku kata antara 8 hingga 15 suku kata

Rima akhir aa
            Contohnya : Apabila terpelihara lidah,

        Nescaya dapat daripadanya faedah

Gaya Bahasa

Kata ganda – cita-cita

Asonansi – pengulangan vokal a
       Apabila terpelihara mata,( rangkap 1 baris 1)    

Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan g
            Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan (rangkap 4 baris 1)

Nilai

Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam menuturkan kata-kata.
Nilai  kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan ketika menghadap rezeki
Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran memelihara mata melihat perkara negatif.

Pengajaran

Kita hendaklah memelihara mata dengan  bijaksana.
Kita janganlah terlalu mengikut nafsu ketika makan agar tidak mendatangkan kemudaratan..
Kita perlulah menjaga tutur kata supaya disenangi masyarakat.
Kita hendaklah sentiasa bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Tiada ulasan: